SAYA BUKAN FANATIK - 21
Beberapa tahun dahulu, semasa baru memulakan perjalanan saya untuk mencari Islam kembali, ada lah hamba Allah ini panggil saya religious fanatic. Si polan ini label saya fanatik kerana saya berkeras untuk cuba menjaga solat dan solat tepat pada waktu. Kerana saya menukar pakaian harian dengan memakai abaya hitam kerana ingin cuba berpakaian lebih sopan dan mengikut syariah. Kerana saya ingin menutup beauty saya daripada khalayak ramai dan hanya pamerkan dan berhias untuk suami saya sahaja. Kerana saya sedang cuba sedaya upaya untuk mengetahui isi kandungan Al-Quran. Kerana saya cuba menghidupkan kembali sunnah ajaran Nabi Muhammad SAW yang semakin lama semakin dilupakan. Kerana saya ingin kurangkan masa untuk duniawi dan mula menabung untuk akhirat.

FANATIK bermaksud:-

Seorang yang menunjukkan keghairahan yang melampau dan kegigihan terhadap ketaatan membabi buta khususnya terhadap beberapa perkara kontroversi (sebagaimana dalam agama, politik atau falsafah).

Seriously Biar betul! Si polan ni bergurau agaknya. Sejak bila pula saya menunjukkan keghairahan yang melampau pulak Nak jadikan cerita, si polan yang labelkan saya fanatik ini orang Islam jugak. Bayangkan la

Memang saya mengaku strict dengan diri sendiri tetapi tak pernah paksa cara hidup ke atas orang lain. Saya tak harapkan pun orang lain akan ikut cara saya. Rules saya hanya terpakai untuk diri sendiri sahaja dan bagi saya tidak ekstrim langsung. Saya masih lagi terkial-kial untuk menjalankan ibadah fardu, tak payah ceritalah pasal yang sunat pulak. Cuma, saya rasa banyak nak kena qada kerana kejahilan masa lampau. Saya cuba buat sebanyak mana yang mampu.

Apa yang saya telah lakukan ialah berkongsi ilmu dengan orang lain. Tetapi apa mereka lakukan dengan ilmu itu terpulang kepada mereka sendiri. Saya bukannya penjaga iman atau conscience mereka dan juga tidak menilai mereka. Biarlah Tuhan sahaja yang menghakim dan mengadil. Tetapi, kalau perbuatan saya yang hanya cuba memperbetulkan ibadah fardu itu dianggap ekstrim atau fanatik, saya betul betul tak tahu nak kata apa-apa.

Sebenarnya, beberapa tahun yang lalu, saya sedar diri ini hipokrit. Saya mengaku Muslim tetapi sebenarnya menipu diri sendiri. Saya juga menipu kepada Tuhan. Saya tak ikut ajaran Islam betulbetul. Saya tak buat apa yang seorang Muslim sepatutnya lakukan bahkan saya buat apa yang tidak sepatutnya seorang Muslim lakukan. Ianya seolah seperti seseorang yang mengaku dirinya sebagai doktor tetapi tidak tahu menahu langsung pasal ilmu perubatan. Itu namanya menipu, kan Satu hari saya telah diberi tamparan hebat. Saya sedar bahawa ada banyak yang perlu dibaiki. Saya telah banyak habiskan masa menipu dan ingin membetulkan keadaan secepat mungkin.

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

Surah An-Nisa 4:142

Empat sifat, siapa yang bersifat dengannya bererti ia seorang munafik yang nyata, dan siapa yang mempunyai salah satu dari sifat-sifat itu bererti ia mempunyai satu sifat munafik sehingga ia meninggalkan sifat itu iaitu: Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji ia mungkiri, apabila ia mematerikan perjanjian ia cabuli perjanjian itu dan apabila berbalah (bertengkar) ia sentiasa ingin menang.

Riwayat Muslim dan Bukhari

Jadi, saya mulakan perjalanan dengan mempelajari mengenai Islam semula. Saya tahu, jika ingin terus mengaku diri sebagai seorang Muslim, saya harus ikut ajaran Islam sepenuhnya. Kalau tak ikut, maka saya masih lagi seorang hipokrit. Saya tidak boleh pick and choose apa yang nak dan tak nak diikut. Saya rasa tak boleh tengok diri sendiri dalam cermin kalau masih teruskan gaya hidup yang lama.

Saya mengadu kepada Wise Old Man mengenai orang yang label saya fanatik itu. Wise Old Man berkata bahawa hubungan hamba dengan Penciptanya adalah sesuatu yang unik dan amat peribadi. Ianya tidak melibatkan orang lain. Ianya adalah hubungan antara satu dengan satu. Betapa rapatnya hubungan tersebut bergantung kepada hamba itu sendiri. Malangnya, ramai Muslim yang tak faham keadaan tersebut. Apa yang menghairankan ialah sesetengah dari orang bukan Islam memahaminya.

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.

Surah Al-Baqarah 2:208

Sebenarnya, saya taklah marah dengan si polan tersebut. Saya tahu dia tak faham hubungan antara manusia dan Tuhan, tetapi saya telah beritahu dia yang saya sebenarnya bukannya seorang fanatik. Saya hanya manusia biasa yang hanya sedang cuba untuk menjadi seorang Muslim

Allah Taala berfirman dalam Hadith Qudsi; Aku tergantung persangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya (memberi rahmat dan membelanya) bila dia menyebut namaKu. Bila dia menyebut namaKu dalam dirinya, Aku menyebut namanya dalam diriku. Bila dia menyebut namaKu dalam perkumpulan orang banyak, Aku menyebutnya dalam perkumpulan yang lebih banyak dari mereka. Bila dia mendekat kepadaKu sejengkal(dengan melakukan amal soleh atau berkata baik), maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Bila dia mendekat kepadaKu sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Bila dia datang kepadaKu dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat (lari).

Riwayat Bukhari dan Muslim