BANDUAN AKHIR - 21
HUKUMAN gantung ke atas rakyat Australia, Nguyen Tuong Van, yang dijadualkan minggu depan selepas dia didapati bersalah menyeludup heroin, menyebabkan Singapura kini menjadi tumpuan dengan reputasi sebagai negara tertinggi melaksanakan hukuman mati Namun, kerajaan Singapura tetap tidak mempedulikan reputasi yang diberi pertubuhan hak asasi manusia, Amnesty International, yang menganggapnya amalan yang ketinggalan zaman. Republik berkenaan bertegas melaksanakan hukuman itu.

Nguyen yang berasal dari Vietnam, dijadualkan digantung di Penjara Changi pada 2 Disember ini, selepas Presiden Singapura, S R Nathan, menolak rayuan pengampunan. Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada 2002 ketika transit penerbangan antara Australia dan Kemboja kerana memiliki 400 gram heroin yang menurut Menteri Luar Singapura, mampu membekalkan 26,000 dos kepada penagih.

Tiada tanda-tanda kerajaan Singapura akan mengubah fikiran ketika ini. Secara jujur, saya tidak fikir Nguyen mempunyai peluang untuk terlepas, kata Pengerusi Think Centre, Sinapan Samydorai, iaitu pertubuhan hak asasi tempatan yang berjuang supaya hukuman mati dimansuhkan.

Menurutnya, kempen diketuai Perdana Menteri Australia, John Howard bagi menyelamatkan nyawa Nguyen terlalu lambat dan tidak cukup kuat berikutan hubungan dagang dan perniagaan keduadua negara

Bagi saya, mesejnya adalah kepentingan perniagaan boleh menentukan hidup mati seseorang. Nguyen akan dikorbankan demi perdagangan dan keuntungan, katanya.

Menurut Sinapan, Singapura adalah antara beberapa negara maju yang masih mengekalkan hukuman mati untuk

jenayah bukan keganasan, termasuk pengedaran dadah. Singapura tidak pernah mengumumkan jumlah pelaksanaan hukuman mati dan menegaskan ia cara terbaik memberi peringatan kepada bakal penjenayah. Bagaimanapun, laporan Amnesty International tahun lalu, menyatakan 408 banduan menjalani hukuman itu antara 1991 hingga 2003, termasuk sejumlah rakyat asing yang dianggap pertubuhan itu sebagai jumlah yang amat mengejutkan bagi negara berpenduduk empat juta orang.

Singapura ialah negara paling tinggi melaksanakan hukuman mati berbanding jumlah penduduknya, kata Amnesty.

Awal tahun ini, Kementerian Dalam Negeri Singapura memberitahu AFP bahawa lapan rakyat negara itu dan asing digantung tahun lalu dan 19 pesalah pada 2003. Menurut Amnesty yang berpangkalan di London, laporan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kadar hukuman mati Singapura antara 1994 hingga 1999 ialah 13.57 bagi setiap sejuta orang, iaitu yang tertinggi di dunia.

Arab Saudi ditempat kedua dengan kadar 4.65 bagi setiap sejuta penduduk, diikuti Bellarus (3.20) Sierra Leone (2.84), Kyrgyzstan (2.8), Jordan (2.12) dan China (2.01).

Jumlahterbesar keseluruhan pelaksanaan hukuman mati dalam tempoh yang sama berlaku di China, diikuti Iran, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Nigeria dan Singapura.

Menurut Amnesty, laporan media antara 1993 hingga 2003 menunjukkan 93 daripada 174 yang menjalani hukuman mati di Singapura ialah rakyat asing. Ramai daripada mereka dipercayai pekerja asing, termasuk rakyat Malaysia, Hong Kong, Indonesia, Thailand, Filipina, Bangladesh, India, Pakistan, Sri Lanka, Nigeria, Ghana, Belanda, Britain dan Portugal

Pada 1995, pelaksanaan hukuman gantung pembantu rumah Filipina, Flor Contemplacion, kerana membunuh rakannya, juga pembantu rumah dan seorang budak lelaki Singapura membangkitkan kemarahan rakyat Filipina yang hampir memutuskan hubungan diplomatik kedua-dua negara. Berikutan seorang lagi pembantu rumah Filipina, Guen Aguilar, yang turut menghadapi hukuman mati kerana membunuh seorang lagi pembantu rumah senegaranya, Jane La Puebla, September lalu, diplomat kedua-dua negara mengambil langkah menghalang krisis diplomatik.

Menurut Amnesty, satu lagi pelaksanaan hukuman mati pada 1995 membabitkan Angel Mou Puipeng, 25, dari Hong Kong, juga mencetuskan krisis diplomatik. Wanita itu digantung selepas diberi pelepasan sementara menyambut Krismas bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun. AFP

Hukuman Mati di Singapura 26/11/2005