Semuanya aku nampak apabila aku sampai di Vietnam sekitar tahun 2006. Negara ini bangkit membangun selepas perang yang panjang, semua orang pun tahu Vietnam berperang lama dengan Amerika dan Perancis. Perang Vietnam memang popular dalam lipatan sejarah sehingga ada begitu banyak dokumentari dan filem yang dihasilkan.
Aku ada seorang kawan bernama Zul. Aku kenal beliau sewaktu berjumpa ketika sama-sama berniaga di Pasar Lambak. Zul merupakan seorang warganegara Vietnam yang beragama Islam. Mereka ini sebenarnya
berketurunan Melayu Champa yang lari ketika perang dahulu ke Kemboja. Etnik Melayu ini boleh kita jumpa dengan banyak di seluruh Kemboja khususnya di lokasi bernama Kampung Cham dan ChauDoc. Zul datang hijrah ke Malaysia dan menetap di Terengganu bersama makciknya. Beliau ikut kumpulan keluarga mereka berniaga kain dan baju di sekitar Terengganu dan Pahang. Memang orang Melayu Champa sudah lama berhijrah ke Malaysia dan terkenal dengan perniagaan kain baju. Ramai yang aku pernah jumpa sudah kaya raya.
Zul pernah mengajak aku mengikut beliau balik ke Vietnam melalui jalan darat. Beliau berkata di sana nanti, beliau akan menunjukkan aku lokasi jualan kain baju dan mahu memperkenalkan aku dengan ayahnya yang juga seorang peraih kain di sempadan Kemboja. Aku setuju dan kami sama-sama ke Vietnam. Keterujaan aku semakin tinggi apabila dibawa masuk ke kedai fesyen di sekitar Ho Chi Minh City, boleh dikatakan hampir semua butik pakaian ada mempamerkan fesyen muslimah di Malaysia seperti baju kurung, jubah dan telekung. Dan terdapat pula gambar orang-orang kenamaan Malaysia yang telah pun berkunjung ke situ untuk menempah baju. Otak aku mula ligat dan ingin tahu lebih mendalam lagi.
Vietnam penuh sesak dengan motosikal, siapa yang pernah ke sana tahulah. Betul, kan Jalan raya penuh dengan motosikal macam semut berkerumun di atas jalan. Kami ke sana dan ke sini dengan menaiki kapcai milik Zul, setiap hari keluar pagi dan pulang lewat petang. Aku meneroka setiap lorong jualan dan pasar-pasar borong yang terdapat di sana. Di Vietnam, pasar di sebut sebagai Cho. Ada banyak pasar yang terkenal dalam kalangan pelancong untuk membeli belah antaranya ialah Cho Benh Tanh dan Cho Lon. Ada juga bangunan yang menjual pelbagai fesyen berjenama antarabangsa pada harga murah seperti Russian Market dan Saigon Square.
Apa yang kau boleh dapat di Vietnam pada hari ini Pertama, pelbagai jenis fesyen muslimah dari tudung sampailah ke telekung. Semuanya kau boleh dapat dengan harga murah dan boleh bawa pulang ke Malaysia buat berniaga. Kedua, pelbagai jenis kain dari jenis cotton sampailah ke jenis chiffon. Kau boleh beli seberapa banyak yang kau mahu dan bawa balik menjual di Malaysia. Ketiga, segala macam pakaian lelaki dan wanita berjenama antarabangsa. Pandai-pandailah kau menyelam, ada yang original dan ada juga yang tiruan. Kalau hidung kau jenis aku, jenis hidung kuat hidu peluang, kau akan duduk lama sikit di Vietnam untuk teroka lebih banyak peluang bisnes. Aku ada kawan yang turun naik Vietnam setiap bulan untuk membuat urus niaga kopi sahaja. Kopi juga merupakan komoditi eksport terbesar Vietnam selain hasil laut dan beras.
Nak makan di mana bang Ini soalan kesukaan Zul kepada aku.
Di mana saja pun boleh Zul. Janji kenyang!
Zul memang faham benar selera aku. Dia akan bawa aku makan di sekitar masjid yang terdapat di Bandar Ho Chi Minh. Terdapat lebih 20 buah masjid yang dibina di sini walaupun Vietnam bukan sebuah negara Islam. Masyarakat Melayu yang beragama Islam di sana hanyalah sebilangan kecil sahaja. Dan untuk pengetahuan kau, ada berpuluh-puluh agama di Vietnam yang dianuti oleh masyarakatnya termasuklah agama yang menyembah bapa kemerdekaan mereka iaitu Ho Chi Minh. Unik bukan Antara yang paling banyak aku belajar di Vietnam ialah tentang erti perjuangan hidup. Lihat bagaimana masyarakat mereka ini begitu komited dengan usaha setiap hari selepas tamat perang. Mereka tahu jika malas, mereka tidak akan membangunkan ekonomi keluarga. Apabila ekonomi sendiri lemah, ekonomi negara juga menjadi lemah. Mereka serik hidup bawah tanah ketika dijajah beratus-ratus tahun satu ketika dahulu. Mereka benar-benar belajar dan berubah!
Sehingga ke hari ini, begitu ramai sekali usahawan yang aku kenal menjalankan perniagaan dengan mengimport dan mengeluarkan pelbagai jenis fesyen di Vietnam. Kualiti jahitan yang bagus serta kos pengeluaran yang efektif menjadikan Vietnam sebagai destinasi pilihan. Sekarang juga ada banyak pilihan penerbangan ke Vietnam setiap hari dan kos terbang tidaklah terlalu mahal. Jika kau suka berjualan dalam bidang fesyen muslimah, aku syorkan kau cepat-cepat naik ke Vietnam dan duduk di sana lama sikit untuk meneroka peluang. Jika kau jenis penakut dan pemalas, kau duduklah di rumah dan kekal di tahap sama sampai bila-bila.
Aku sendiri sampai ke hari ini masih lagi mengimport dan membekal pakaian dari Vietnam ke Malaysia. Semuanya bermula dengan baik selepas aku masuk berniaga di pasar malam bersama Abang Dolah. Aku membina pasaran sendiri secara senyap dan perlahan-lahan. Kau bayangkanlah kalau kos mengeluarkan sehelai jubah yang cantik di Vietnam cuma RM40 sehelai dan boleh dijual semula di Malaysia dengan harga runcit sebanyak RM180 sehelai. Tak best Apa lagi yang kau mahu Tak usah bagi banyak alasan jika mahu berjaya, di dalam google terlalu banyak info mengenai selok-belok perniagaan dan produk berpotensi di Vietnam. Kau cari dan kena buat segera. Bertangguh itu pencuri masa!