RETRO BOLA SEPAK - 21
Sam Weller Widdowson, merupakan orang yang pertama mereka shin-pad / shin guard dalam permainan bola sepak.

Widdowson, merupakan seorang pemain kriket untuk sebuah kelab kriket, Nottinghamshire. Dalam masa yang sama, beliau juga seorang pemain bola sepak untuk kelab Nottingham Forest.

Idea tersebut hadir pada tahun 1874, Widdowson beranggapan pemain bola sepak juga perlu melindungi keting mereka seperti mana sukan lain. Beliau kemudiannya memotong cricket-pad (yang agak panjang), dan memuatkan pad yang telah dipotong pada luar stokin beliau. Pad tersebut diikat dengan menggunakan tali kulit.

Pertamanya, tindakan Widdowson itu agak pelik, para pemain bola sepak lain menganggap perilaku Widdowson itu janggal. Tetapi lama-kelamaan, mereka merasakan betapa tindakan memuatkan pad-kriket yang dipotong tersebut pada keting adalah sangat membantu.

Semakin ramai yang mengikut tindakan Widdowson - memakai perlindungan di keting. Dan seterusnya, pad yang lebih fleksibel dan ringan direka cipta untuk sukan bola sepak. Peraturan menggunakan pad tersebut kemudiannya dimasukkan dalam undang-undang bola sepak.

Selepas bersara, Widdowson kemudiannya menjadi pengadil bola sepak. Beliau juga pengadil pertama yang mengadili perlawanan yang menggunakan jaring pada gawang gol.

Untuk rekod; Sam Weller Widdowson merupakan Pengerusi kelab Nottingham Forest yang kelima, dari tahun 1879 hingga 1884.