MALAM itu, Chad mula mengasap kemenyan. Foto Puan Karina yang dicuri tadi mula diletakkan atas bekas kemenyan dan dia mula membaca sesuatu dalam bahasa siam. Apa yang dipelajari dari bomoh siam dulu dipraktikkan sepenuhnya. Dulu, selepas dia tahu ibunya menjadi gila kerana angkara Puan Karina dan Tengku Muzafar, dia nekad untuk membalas dendam. Dia sanggup mencari bomoh siam yang paling handal. Dengan bergurukan bomoh itu, dia kini sudah mahir melakukan pemujaan dan penyihiran hanya dengan menggunakan foto sahaja.
"Hmm...aku harap perempuan tu akan terima balasannya nanti." Chad ketawa berdekah-dekah.
Dia meneruskan amalan sihirnya dan mula mengasap foto Puan Karina dengan mentera yang sudah dihafal. Beberapa batang jarum dicucuk pada patung yang dibuat menyerupai bentuk tubuh Puan Karina dan ditampal foto perempuan itu di patung itu. Air dari najis khinzir disembur ke arah patung dan diperah limau nipis. Sebatang lagi jarum dicucuk pada bahagian kepala.
"Aku nak kau rasa seksa sebelum kau mampus!" Chad sudah semakin hanyut dihasut syaitan. Dia seolah kemaruk membalas dendam dengan menggunakan sihir. Dulu dia masih teragak-agak menggunakan sihir itu tetapi setelah melihat Hanim terseksa begitu, dia mula yakin dengan ilmunya.
DI RUMAH PUAN KARINA, Kusha semakin gelisah. Ibunya dilihat sudah mengerang kesakitan. Sekejap sakit di bahagian pinggang, sekejap pula di kepala. Selepas itu di seluruh badan. Ibunya dilihat meraung dan menangis menahan sakit.
"Mama...mengucap mama.." Kusha mula menangis. Dia sendiri tidak tahu macam mana lagi hendak menenangkan ibunya yang sudah kesakitan begitu. Dia pasti, itu mesti kerja syaitan. Ilmu sihir yang dihantar untuk menyeksa dan membunuh ibunya dengan senyap tanpa ada bukti nyata.
"Apa aku nak buat ni" Kusha cengkam rambutnya yang sudah kusut. Dia sudah buntu. Takkan dia nak hubungi Kudin. Ah! persetankan semua tu. Aku kena selamatkan mama aku!!
Kusha segera menghubungi Kudin walaupun egonya dirasakan sudah jatuh ke tahap paling rendah. Selama ini dia bersikap bongkak dengan Kudin dan Kuyah serta isteri papa yang lain. Mungkin sebab itu jugalah dia dan mama kini menjadi mangsa dendam seseorang. Kusha melihat semula ibunya yang masih berguling-guling atas katil dan memekik terlolong sambil meraung kesakitan.
"Mama...cuba zikir mama..sebut nama Allah.." Kali ini baru Kusha sedar yang selama ini dia dan ibunya tidak pernah ingat pada tuhan. Bila terjadi perkara begini, dia mula merasa berdosa. Terasa selama ini kehidupannya jauh dari agama. Bila keadaan seperti ini terjadi, senang saja syaitan dan jin merasuk.
"Aku harap Kudin sudi tolong aku." Kusha meraup muka. Dia sudah tidak sanggup lagi melihat ibunya meraung kesakitan. Tiba-tiba ibunya dilihat sudah diam.
Kusha merapati ibunya yang masih terlentang atas katil. Wajah ibunya sudah pucat. Apa yang membuatnya rasa sedih, seluruh tubuh ibunya terdapat kesan calar dan seolah dicucuk. Darah keluar dari lubang kecil melalui liang bulu roma.
"Mama...bertahan mama...mari kita ambil wudhuk.." Kusha menangis teresak-esak. Dia cuba papah ibunya ke bilik air. Dengan kudrat yang ada, dia memapah ibunya ke singki dan menolong mengambil wudhuk untuk ibunya. Ibunya dipapah semula ke katil.
Tubuh Puan Karina diselimutkan. Lama Kusha memerhati wajah ibunya yang sudah pucat lesi. Dia menapak keluar dari bilik ibunya dan menjenguk ke ruang tamu. Dia tersenyum. Kudin dilihat sudah mula masuk ke dalam rumah.
"Abang.." Kusha pantas memeluk Kudin sambil menangis teresak-esak.
Kudin kaget dengan tindakan Kusha. Pertama kali mendengar Kusha memanggilnya abang. Perlahan dia leraikan pelukan Kusha. Kedua bahu Kusha disentuh lembut.
"Kenapa ni Ada masalah" Kudin cuba bertanya. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumah besar itu.
"Mama...Kusha rasa mama disihir. Abang, tolong selamatkan mama.." Kusha merayu.
"Mana mama" Kudin pandang ke tingkat atas. Matanya beralih semula ke arah Kusha yang masih tercegat di depannya.
"Mama ada kat dalam bilik.." Kusha tuding ke arah bilik ibunya.
Seketika itu juga terdengar suara Puan Karina meraung kesakitan dan menjerit-jerit meminta tolong. Kudin dan Kusha berlari menaiki anak tangga menuju ke bilik Puan Karina. Sebaik pintu dibuka, Puan Karina dilihat sudah terapung-apung dari atas katil. Rambutnya sudah menggerbang. Ada suara hilai dari kotak suara Puan Karina.
Kusha pegang kuat lengan Kudin. Dia mula merasa takut melihat ibunya sudah dirasuk sama seperti cerita The Last Exorcisme yang pernah ditontonnya dulu. Memang menakutkan!
Kudin masih tercegat di situ sambil kumat kamit membaca ayat-ayat suci al Quran yang dimulakan dengan Auzubillahiminasyaitanirrajim. Bermula dengan surah al fatihah, disusuli dengan al Mu'awwizat iaitu tiga Qul, ayat kursi dan surah yassin ayat 1 hingga 9. Selesai membaca, Kudin terus melaungkan azan sekuat mungkin. Habis sahaja azan dilaungkan, tubuh Puan Karina sudah terjelepuk jatuh atas katil. Darah bersembur dari mulut perempuan itu. Kudin segera mendekati Puan Karina dan menyapu air yang sudah dibaca dengan surah al fatihah dan ayat pembatal sihir, surah Yunus ayat 81 dan 83 kepada wajah Puan Karina.
Kudin calit pula minyak wangi kasturi ke tapak kaki, tapak tangan, telinga dan ubun-ubun Puan Karina sambil membaca ayat-ayat manzil. Puan Karina dilihat sudah tenang semula. Dia berpaling pada Kusha yang berada di sisi puan Karina.
"Kusha...mama sudah tenang sekarang tetapi mungkin rasukan dan rasa cucukan itu akan datang lagi nanti. Orang tu nampaknya akan bertindak lagi. Jaga-jaga. Selalu ingat pada Allah dan jangan pernah lalai dari mengerjakan suruhan Allah. Solat dan zikir adalah pendinding dari jin dan syaitan." Pesan Kudin.
Kudin mula minta diri. Dia menolak pelawaan Kusha untuk bermalam di rumah itu.
"Kalau ada apa-apa nanti, call abang. InsyaAllah abang akan datang. Esok, kita akan bawa mama ke kampung. Tok Imam Ngah lebih arif tentang ni." Usul Kudin. Dia tahu, Puan Karina akan sembuh jika berubat dengan Tok Imam Ngah.
Kusha mengangguk perlahan. "Abang...maafkan Kusha. Kusha dan mama bersalah pada abang. Nanti Kusha cerita kat abang apa yang berlaku selama ini.."
Tubuh Kudin dipeluk seketika. Mengalir air mata penyesalan dari kelopak matanya. Sungguh dia sudah jauh dari agama sendiri. Kudin dipandang penuh sayang. Sayang seorang adik kepada abang.
SEKALI lagi Kudin menjejakkan kaki ke kampung Pinang Patah. Kali ini dia bersama Puan Karina dan Kusha. Kudin mempelawa mereka berdua bermalam di rumah neneknya sementara berubat dengan Tok Imam Ngah. Nek Tom pula nampak tidak berapa senang dengan kehadiran Karina yang menjadi penyebab anaknya Sarimah disingkir oleh Tengku Muzafar. Karina begitu tega menfitnah Sarimah dan tanpa siasat, Tengku Muzafar menceraikan Sarimah.
"Nek..buanglah semua tu. Sekarang ni kita kena bantu Puan Karina berubat. Ada orang yang inginkan dia sakit dan mati. Dari apa yang saya lihat, ada orang yang cuba menyihirnya." Pujuk Kudin. Nek Tom dilihat masih seperti dulu.
"Abang..abang tak tahu perasaan Kuyah dan mak. Kerana dia nilah mak hidup menderita. Lebih parah bila mak bernikah dengan Pak Ali Jambul tu. Sekarang ni abang nak tolong perempuan yang tamakkan harta ni" Kuyah turut menyokong tindakan Nek Tom yang tidak setuju Puan Karina dan Kusha tinggal di rumah mereka.
"Kuyah...tak baik berdendam. Ingat pada Allah. Apa yang berlaku dulu tu, hanya Allah yang mampu membalas. Serahkan pada Allah. Apa yang kita boleh buat sebagai hamba, kita berusaha dan memaafkan. Itu sebaiknya." Kudin pandang Kuyah dan Nek Tom silih berganti. Dia faham perasaan mereka yang telah lama menderita angkara Puan Karina dulu.
Puan Karina tunduk membisu. Memang salahnya. Sarimah yang sepatutnya berhak ke atas harta Tengku Muzafar tetapi kerana tamakkan harta dan kasih sayang, dia seolah tidak rela Tengku Muzafar dikongsi dengan orang lain termasuk isteri ketiga, Zaidah yang kini sudah menjadi gila, juga angkaranya dulu.
"Nek..maafkan mama saya. Kalau nenek nak hukum, biarlah lepas mama habis berubat. Sekarang ni pun mama saya dah terima balasannya." Rayu Kusha setelah melihat Nek Tom begitu keras hati menerimanya dan mama di rumah itu.
"Apa korang dah insaf Rumah ni tak sesuai untuk korang yang kaya raya. Tak ada penghawa dingin, mandi pun pakai air perigi saja. Kalau korang boleh tahan hidup macam ni, silakan." Nek Tom masih tidak senang dengan kedatangan orang bandar itu.
"Maafkan saya..saya yang bersalah dalam hal ni. Saya akan tebus kesalahan saya. Cakaplah apa saja yang makcik nak." Puan Karina pula bersuara. Dia faham perasaan Nek Tom yang sudah kehilangan anak perempuannya, Sarimah. Dia yang menfitnah dan membuatkan Tengku Muzafar menceraikan Sarimah dulu.
"Sudahlah nek. Sekarang ni, biar mereka tinggal di sini buat sementara. Kejap lagi saya nak ke rumah Tok Imam Ngah." Kudin membawa beg pakaian Puan Karina ke dalam bilik yang dihuni oleh Ana Dahlia dulu.
MALAM itu, Tok Imam Ngah segera ke rumah Nek Tom atas permintaan Kudin. Dia tahu, apa yang diberitahu Kudin siang tadi adalah perkara serius. Perempuan bandar itu harus diubati dan dihindarkan dari terkena sihir yang kemungkinan besar akan meragut nyawa nanti. Ilmu hitam yang semakin menjadi-jadi di zaman dunia moden sekarang ini perlu dibendung segera.
"Assalamualaikum!" Tok Imam Ngah memberi salam sebaiki tiba di laman rumah Nek Tom.
"Wa'alaikumussalam!" Kudin menjenguk. Tok Imam Ngah sudah tercegat di tepi tangga. Dia persilakan imam itu naik ke rumah.
Tok Imam Ngah duduk bersila di atas tikar mengkuang di ruang tamu. Dia melihat pada Kudin yang turut melabuhkan punggung di sebelahnya. Matanya beralih pula pada seorang perempuan yang agak berumur dan seorang perempuan muda yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Wajah perempuan yang agak berumur itu agak pucat. Ada kesan lebam di lengan.
"Tok, ni mak tiri saya, Puan Karina dan ini adik saya, Kusha." Kudin perkenalkan kepada Tok Imam Ngah yang dari tadi masih merenung kedua perempuan itu.
Kuyah dan Nek Tom yang berada di sebelah Kudin hanya mendengar perbualan Kudin dan Tok Imam Ngah. Seketika kemudian, Nek Tom bingkas bangun dan menuju ke ruang dapur menyediakan juadah ringan untuk tetamu. Kuyah turut membuntuti Nek Tom ke dapur.
Kudin menyambung bicara semula. Dia menceritakan apa yang sebenarnya berlaku pada Puan Karina. Kusha pula dilihat mengangguk-angguk, mengiakan kata-kata Kudin tadi.
"Hmm...nampaknya memang ada orang dendam dengan puan ni. Orang ni cuba menghantar sihir melalui syaitan dan iblis yang bersekongkol dengannya." Tok Imam Ngah mengusap dagu.
"Di dunia ni, bukan kita saja yang hidup di alam ni, jin juga adalah makhluk Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Az Dzariyat, ayat 56 'Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia kecuali hanyalah untuk beribadah kepadaKu.' Jin ada yang baik dan ada yang jahat, kita tak boleh nampak dengan mata kasar. Perkataan jin itu sendiri membawa maksud terhalang, tersembunyi dan tertutup. Syaitan dan iblis pula adalah sejenis jin yang tidak menurut perintah Allah. Makna syaitan ni adalah sesuai dengan tugasnya iaitu menjauhkan manusia dari kebenaran. Kita manusia dilarang dari mengikut telunjuk syaitan. Sudah jelas Allah menerangkan dalam al Quran, dalam surah yasin, ayat 60 'Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.'" Terang Tok Imam Ngah lagi.
"Tok, mama saya ni meraung kesakitan bila benda tu datang mengganggunya. Darah akan keluar dari liang roma dan selepas itu ada kesan lebam di seluruh tubuhnya. Tolong kami Tok. Saya dah buntu. Abang Kudin kata,
mungkin orang itu akan hantar lagi selagi dendamnya belum terbalas." Rayu Kusha sambil mengesat air mata. Dia jeling ibunya yang masih tunduk.
"Hmm...tok cuma boleh membantu merawat. Apa yang penting tuan badan sendiri yang kena berusaha menyingkirkan benda tu semua. Bila kita dekat dengan Allah, insyaAllah, kita akan terhindar dari semua itu dengan izinNya. Kita kena ingat, syaitan akan cuba sedaya mungkin menyesatkan manusia dan mengheret manusia sama-sama masuk ke neraka. Jadi, hanya iman dan amalan soleh saja yang boleh menghindarkan diri dari hasutan dan gangguan syaitan. Jin pun ada kelemahannya. Kitalah yang perlu beramal dan sentiasa ingat pada Allah dengan beribadah kepadaNya." Tok Imam Ngah memandang Kusha yang kelihatan sugul dari tadi.
"Kami menyesal tok. Hidup kami sekeluarga jauh dari ajaran agama Islam." Puan Karina tunduk malu.
"Mungkin itu juga antara sebab mengapa syaitan mudah merasuk kerana kita kurang berzikir pada Allah dan tidak mengamalkan suruhanNya. Tak apa..sekarang ni kita sudah tahu apa yang menjadi pendinding dari sihir ni. Solat jangan tinggal dan amalkan zikir seharian. Khusus untuk sihir, amalkan ayat ruqyah dan al fatihan. Selain dari ayat Kursi dan yasiin." Jelas Tok Imam Ngah.
Tok Imam Ngah mula minta segelas air kosong dan dia mula membaca ayat suci al Quran dan air itu diberi minum kepada Puan Karina.
"Lepas ni, banyakkan ibadah." Pesan Tok Imam Ngah lagi.
"Kalau ada apa-apa, panggil tok. Tok minta diri dulu.." Tok Imam Ngah mula minta diri untuk pulang. Puan Karina dilihat masih sihat.
"Baiklah tok." Kudin menghantar Tok Imam Ngah sehingga ke laman rumah.
KUSHA hanya memandang Tok Imam Ngah berlalu pergi dari rumah Kudin. Dia pandang pula ibunya yang sudah kelihatan segar sedikit. Ibunya dibawa masuk ke dalam bilik. Kusha kembali ke ruang tamu setelah ibunya mengambil wudhuk dan solat taubat sebelum tidur.
"Mama dah tidur" Kudin melabuhkan punggung sebelah Kusha yang bersimpuh di atas tikar mengkuang semula.
"Ya..harap-harap malam ni tak ada apa-apa yang berlaku." Kusha melepaskan keluhan seketika.
"Hmm..harap macam tulah. Kusha tinggallah di sini sehingga mama benar-benar sembuh." Kudin menyalakan sebatang rokok. Rokok itu dihisap dan dihembus asapnya sehingga berkepul-kepul.
"Abang...sebenarnya mama banyak dosa pada mak abang dan juga makcik Zaidah. Kerana tamakkan harta, mama lupa pada tuhan tapi percayalah mama tak akan bunuh ayah. Mama sayang pada ayah. Apa yang berlaku pada Hanim dan Suzy dulu kerana mereka cuba bongkarkan rahsia mama yang menipu ayah dalam pemindahan hakmilik harta ayah di luar negara. Tapi percayalah, kematian Hanim dan Suzy tak ada kaitan dengan mama. Hetty yang menyeleweng duit syarikat yang sebenarnya mengupah orang untuk membunuh Hanim dan Suzy kerana mereka juga sudah tahu kegiatan Hetty selama ini. Tak sangka, Hetty sanggup membunuh demi menutup kegiatannya itu dan mayat Hanim dan Suzy dibuang ke dalam kolam kumbahan di kampung Pinang Patah." Kusha mula membuka cerita sebenar.
"Abang dah tahu hal itu.." Kudin pandang Kusha. Dia sudah tahu dari Ana Dahlia yang turut sama menyiasat hal itu.
"Hetty juga yang mengupah Mak Jemah tu menyihir arwah papa kerana dulu dia suka pada papa tapi papa tak layan dia." Kusha sekali lagi membongkar kisah di pejabatnya.
"Jadi, Hetty yang bertanggungjawab membunuh arwah ayah" Kudin mula serius.
Kusha mengangguk.
"Sekarang ni Hetty sudah berada dalam lokap bersama teman lelakinya yang turut sama bersubahat. Apa yang pening sekarang, macam mana mama dirasuk" Kusha mula bingung.
"Bermakna ada orang lain lagi yang masih bebas di luar sana yang ingin membalas dendam pada mama." Tambah Kusha dengan wajah sugul.
"Siapa" Kudin turut bingung.
"Makcik Zaidah, dia ada seorang anak lelaki. Mungkin anak lelaki makcik Zaidah yang cuba membalas dendam pada mama kerana mamalah yang menyebabkan makcik Zaidah jadi gila dan dimasukkan ke wad gila. Hanim yang menjadi orang suruhan mama. Hanim tu sebenarnya bekas jururawat. Dia yang mencadangkan ubat apa yang perlu disuntik ke tubuh makcik Zaidah supaya makcik Zaidah jadi gila." Kusha mendongak melihat reaksi Kudin yang semakin keliru.
"Kusha kenal siapa anak makcik Zaidah tu" Tanya Kudin. Sengaja dia tanya. Sekiranya jawapan Kusha adalah Chad, bermakna memang benar cerita yang dibawa oleh Karim.
"Tak..Kusha pun tak kenal siapa dia tapi Kusha dapat rasa dia akan balas dendam satu nanti. Apa yang berlaku pada Hanim tu, mungkin juga perbuatan dia. Mana tahu Mungkin Hetty juga terlibat dengan kematian Hanim." Tambah Kusha.
"Hanim" Kudin agak terkejut. Dari siasatannya dulu,Hanim dilihat sebagai gadis yang baik yang cuba membongkar kegiatan Hetty kepada Tengku Muzafar.
"Ya..dia sebenarnya bukan baik sangat pun. Dia juga macam mama. Gilakan duit. Bila mama janjikan duit berkepuk, dia setuju saja dengan arahan mama. Dan kematian Hanim tu memang misteri. Dia cuba melarikan diri dan lepas tu hilang sehinggalah Kusha dapat tahu yang dia sudah dibunuh dan mayatnya dicampak di kolam kumbahan tu. Kusha upah Zarina untuk mencari mayat Hanim dan buang ditempat lain. Tak sangka mayat tu dicuri oleh Mak Jemah untuk tujuan pemujaan. Zarina menyamar masa tu. Dia berpura-pura mencari rumah sewa dan dia memakai kebaya merah." Kusha melepaskan keluhan lagi.
"Jadi..gadis yang abang jumpa dulu tu..Zarina la" Kudin terkejut.
"Maksud abang" Kusha berkerut kening.
"Abang pernah jumpa beberapa kali dengan gadis kebaya merah tu. Dia yang tanya abang pasal rumah sewa tu. Mula-mula abang ingat dia hantu tapi bila berjalan dia jejak kaki ke tanah." Kudin tergelak kecil.
"Hish! Abang ni! Ada ke hantu Mana ada hantu zaman moden ni" Kusha tepuk bahu Kudin.
"Betul..lepas tu, kampung ni diganggu dengan jelmaan gadis kebaya merah yang muncul dari kepulan asap. Gadis tu selalu mengganggu Kuyah dan merayu pada Kuyah supaya menolongnya." Terang Kudin. Kusha dilihat sudah mula pucat muka.
"Abang tahu tak...malam Hanim hilang tu, dia pakai baju kebaya merah, ada sulam di hujung lengan dan hujung baju." Kusha menelan liur.
"Nampaknya jelmaan tu memang Hanim yang tidak tenteram rohnya.." Kudin juga turut mengeluh.
"Sekarang ni macam mana Ada lagi ke jelmaan tu" Kusha memerhati sekeliling. Dia mula merasa seram sejuk. Dia rapatkan tubuhnya ke arah Kudin.
"Entah tapi abang dengar ada lagi. Bermakna rohnya masih tak tenteram." Kudin menjawab ringkas. Kusha dilihat sudah memaut lengannya.
"Kuyah mana" Kudin alih topik.
"Tadi dia dengan Nek Tom kat dapur. Dah masuk bilik kut.." Kusha semakin rapat.
"Tidaakkk!! Pergi!! Jangan ganggu aku!!"
Kusha dan Kudin saling berpandangan. Suara kuat Puan Karina dari dalam bilik jelas di telinga mereka.
KUSHA meluru ke bilik ibunya. Kudin turut mengikut Kusha dari belakang. Pintu bilik Puan Karina dibuka luas. Terbuntang Kusha melihat keadaan ibunya yang sudah menggerbang rambutnya. Baju yang dipakai pula sudah sedikit koyak di bahagian bahu seolah ada sesuatu yang mengoyaknya. Perlahan dia cuba menghampiri ibunya yang sudah duduk mencangkung atas katil sambil merenung tajam ke arah Kusha dan Kudin.
Kuyah dan Nek Tom yang baru sahaja hendak melelapkan mata turut meluru ke bilik Puan Karina.
"Abang..apa yang harus kita lakukan sekarang" Kusha mula menangis. Tidak sanggup melihat ibunya dirasuk begitu.
Kudin mula membaca al fatihah, ayat kursi dan tiga Qul dan dihembus ke arah Puan Karina. Menjerit-jerit Puan Karina di atas katil sambil menarik rambut. Sekali lagi Kudin mengulangi membaca ayat-ayat tadi tapi kali ini ditambah pula ayat ruqyah pendek dan dihembus ke arah Puan Karina. Serentak itu juga Puan Karina menjerit kuat dan melolong. Kudin segera melaungkan azan dengan kuat. Puan Karina dilihat sudah meracau dan mencakar-cakar badan sendiri. Darah mula mengalir dari kesan cakaran tadi.
"Abang...mama cakar tubuhnya sendiri.." Kusha mula panik. Ibunya dilihat semakin agresif mencederakan diri sendiri. Bukan setakat cakar tetapi turut digigit dengan kuat sehingga berdarah.
"Abang, baik panggil Tok Imam Ngah lagi sekali." Kuyah cuit lengan Kudin yang masih memerhati ke arah Puan Karina yang sudah meracau-racau.
"Baiklah. Tolong tengokkan Puan Karina. Abang akan cepat balik." Kudin segera mengilas kain pelekat yang dipakainya dan mengayuh basikal menuju ke rumah Tok Imam Ngah sekali lagi.
Sementara menunggu Kudin sampai bersama Tok Imam Ngah, Kuyah dan Kusha cuba menenangkan Puan Karina dan membaca surah Yasiin sekerap mungkin. Puan Karina dilihat sudah reda sedikit. Terbaring menelentang sambil mata bulat memandang siling.
"Nek, Kuyah rasa elok kita pagar rumah kita ni. Tadi Kuyah bermimpi, gadis kebaya merah tu datang lagi dan dia seperti marah pada Puan Karina juga." Kuyah pandang Nek Tom yang turut sama membaca surah Yasiin.
Kusha mula gelisah mendengar kata-kata Kuyah tadi. Jelas ibunya mempunyai ramai musuh di luar sana termasuk yang sudah meninggal dunia. Air mata mengalir deras ke pipi.
KUDIN menaiki anak tangga ke ruang tamu. Tok Imam Ngah sudah bersamanya. Mereka berdua mula menuju ke bilik Puan Karina yang kelihatan terlentang di atas katil. Mata terbeliak ke atas. Darah pula terus mengalir dari liang bulu roma.
"Hmm..nampaknya orang yang menyihirkan puan Karina ni begitu inginkan Puan Karina mati. Tengok tu! Darah tidak henti mengalir dari liang romanya." Tok Imam Ngah menuding ke arah Puan Karina yang sudah seperti orang kaku.
"Apa yang kita perlu buat tok" Kudin menggeleng melihat keadaan Puan Karina yang sudah terseksa begitu.
Tok Imam Ngah meminta air kosong dalam mangkuk putih. Dia kemudian membaca sebelas kali ayat Qursi dan merenjis air yang dibaca tadi ke muka Puan Karina. Puan Karina mula meraung. Tiba-tiba Puan Karina bersuara kasar.
"Siapa kau" Tanya Tok Imam Ngah.
"Aku adalah orang yang dendam pada Karina!!" Suara Puan Karina sudah berubah. Matanya terbeliak dan merah.
"Kenapa kau dendam" Tanya Tok Imam Ngah lagi.
"Kerana Karina perempuan jahat! Dia yang menyebabkan orang lain hidup menderita!" Jerit suara garau dari Puan Karina.
"Kalau kau nak dendam, bukan cara ni! Biar Allah yang membalasnya. Ini sudah jelas kau sudah sesat dengan mengikut telunjuk syaitan! Nyah kau dari badan perempuan ni!" Tok Imam Ngah melempar pula garam kasar yang telah dibaca surah la fatihah, tiga Qul dan ayat ke 9 Qursi ke arah Puan Karina.
Menjerit melolong Puan Karina dan berguling-guling atas katil. Dia kemudian tercegat bangun dan ingin menerkam Tok Imam Ngah tapi sempat dihalang oleh Tok Imam Ngah yang mula kumat-kamit membaca ayat-ayat Allah terutama ayat ruqyah. Sekali lagi Puan Karina menjerit dan mecakar-cakar tubuhnya sendiri sehingga berdarah banyak. Kali ini semakin banyak.
"Kau adalah makhluk Allah yang sesat! Ingat! Kau tidak boleh menyesatkan manusia! Kau tak dapat menandingi ilmu Allah! Nyah kau dari tubuh perempuan tu!" Sekali lagi Tok Imam Ngah melempar garam kasar ke arah tubuh Puan Karina.
Kali ini Puan Karina dilihat sudah bangun dan menerpa ke arah Tok Imam Ngah yang masih kumat kamit membaca ayat-ayat Allah.
Kedua tangan Puan Karina sudah melekat di leher Tok Imam Ngah. Kudin pula cuba meleraikan tangan Puan Karina yang melekat kuat di leher Tok Imam Ngah. Tok Imam Ngah dilihat masih kumat kamit membaca sesuatu. Satu hembusan yang kuat dilepaskan pada muka Puan Karina yang hanya seinci dari mukanya.
Kudin yang dari tadi cuba meleraikan tangan Puan Karina dari mencekik leher Tok Imam Ngah terpelanting bersama Puan Karina ke dinding setelah dihembus kuat oleh Tok Imam Ngah tadi.
"Cepat sapu air ni ke muka Puan Karina!" Tok Imam Ngah menghulurkan mangkuk putih tadi kepada Kusha.
Kusha meluru ke arah ibunya dan menyapu air ke seluruh muka ibunya.
Puan Karina masih pengsan di tepi dinding.
SEMENTARA ITU, Chad turut terpelanting ke dinding. Mentera yang dibacanya tadi seolah sudah ditepis oleh seseorang yang handal. Bara kemenyan segera diasapkan lagi. Kali ini dia nekad, tiada lagi cucukan jarum ke atas patung. Patung itu terus diasapkan dengan kemenyan dan dibaca mentera lagi.
"Aku nak kau terima padahnya!!" Patung itu dilepaskan ke dalam bara kemenyan.
Chad ketawa berdekah-dekah! Dengan patung yang sedikit demi sedikit terbakar itu, badan Puan Karina akan turut terbakar sedikit demi sedikit. Biar perempuan itu merasa seksa sebagaimana dia menyeksa ibunya yang diberi suntikan dadah sehingga menjadi gila! Ketawa Chad semakin kuat dan bergema di bilik pemujaan itu.
Tiba-tiba menjelma gadis kebaya merah di depannya dengan riak bengis. Chad hanya pandang dengan riak serius. Dia tahu gadis itu ingin menuntut bela atas kematiannya.
"Kau nak apa" Jerkah Chad.
"Aku nak nyawa kau!" Gadis kebaya merah itu merenung tajam ke arah Chad yang masih bersila di depan bara kemenyan yang sedang berasap. Asap kemenyan memenuhi ruang bilik itu.
"Hahahaha!!! Kau silap! Aku tak takut dengan kau! Nyah kau dari sini!!" Chad lempar segenggam lada hitam yang telah dijampi ke arah jelmaan itu.
Kali ini jelmaan gadis kebaya merah itu tidak berganjak. "Ilmu kau sudah dipatahkan oleh seseorang!" Hilai ketawa dari gadis kebaya merah itu jelas kuat bergema.
Chad tidak puas hati. Apa yang dilakukan tadi tidak sedikit pun menakutkan jelmaan gadis kebaya merah itu. Dia cuba sekali lagi tapi tetap sama.
"Ingat! Mayat kau dipuja Mak Jemah dan kau sendiri yang kata, orang tua itu yang bersalah dan membunuh kau!!" Chad teringat pada hari dia, Jai dan Kudin pergi ke rumah Mak Jemah dan melihat sendiri jelmaan gadis kebaya merah itu terawang-awang di atas bumbung rumah Mak Jemah.
"Dia puja aku kerana aku mati dalam keadaan hina! Kau yang sihir aku! Kau yang buat tubuh aku dicakar-cakar dan ditoreh-toreh!!" Gadis kebaya merah itu mengilai dengan suara nyaring.
"Itu kerana kau yang buat mak aku jadi gila dan cuba bongkarkan rahsia aku! Kau tamakkan duit Tengku Muzafar dan kau cuba ugut aku untuk menutup rahsia tu! Aku lagi bijak dari kau! Aku bunuh kau dengan senyap, dengan cara sihir!" Chad merenung tajam jelmaan gadis kebaya merah yang sedang berdiri di depannya kini.
"Kau yang jahat sebenarnya! Kau nak sihirkan perempuan tu kan" Gadis kebaya merah itu berkata dengan lantang.
"Ya! Sekarang ni dia sedang mengerang kesakitan! Padan muka! Dan kau, kau sepatutnya hilang dari hidup aku!! Nyah kau dari sini!!" Lantas Chad lempar lada hitam dan garam ke arah gadis kebaya merah itu.
Jelmaan gadis kebaya merah itu mula bengis. Dia menerpa ke arah Chad dan tidak semena-mena, Chad mengambil sendiri sebilah keris lama yang telah diasapkan dengan kemenyan dan keris itu dilihat dihunus ke dadanya sendiri.
"Sekarang ni kau rasa pembalasan dari aku!!" Jelmaan gadis kebaya merah itu mengilai kuat melihat Chad menikam dadanya sendiri dengan keris lama itu. Dia kemudian bertukar menjadi asap dan hilang.
Chad mengerang kesakitan. Keris itu cuba dicabut dari dadanya yang sudah berdarah. Sekali lagi tubuhnya terpelanting ke dinding. Dia tahu, ada seseorang yang melawannya ketika ini dan dia tahu tentu Puan Karina sedang dirawat seseorang.
"Arghhh!!!" Chad menjerit sekuat hati. Kali ini ilmunya dirasakan tidak menjadi. Tubuhnya semakin lama semakin lemah dan rebah tidak sedarkan diri.
TOK IMAM NGAH mengelap peluh di dahi. Dia bangun perlahan. Terasa badannya sudah rasa sakit dan sengal akibat terpelanting dan menghentam dinding tadi. Ternyata ilmu orang yang cuba menyihir Puan Karina begitu kuat. Kudin menolong Tok Imam Ngah bangun dan memapah tubuh orang tua itu ke ruang tamu. Puan Karina dilihat sudah lemah dan pengsan.
"Tok..ni air.." Kudin menghulurkan segelas air kepada Tok Imam Ngah yang sudah keletihan berlawan tadi. Jelas dia melihat langkah Tok Imam Ngah pantas menepis sesuatu yang cuba mencekiknya tadi. Bayang hitam itu dilihat cuba merasuk Tok Imam Ngah tapi berjaya dihalang oleh Tok Imam Ngah sendiri.
"Terima kasih..Puan Karina sudah ok tu. Sedar dari pengsan nanti, beri dia minum air ni." Tok Imam Ngah hulur pula mangkuk putih tadi yang mengandungi air yang telah dibaca dengan ayat Quran.
Kudin mengangguk tanda faham.
TOK IMAM NGAH mula minta diri. Sebelum dia beredar, sempat dia berpesan pada Kudin dan Kusha supaya memberitahu Puan Karina agar meminta ampun pada Allah dan bertaubat nasuha. Dia sempat berbisik sesuatu ke telinga Kudin sebelum melangkah pergi. Kudin hanya menghantar Tok Imam Ngah dari muka pintu rumahnya.
"Abang..apa yang tok imam tu bisik" Kuyah mendekati Kudin yang masih tercegat di situ.
"Tak ada apa. Dah, masuk tidur. Tengok tu dah pukul 2 pagi." Kudin tutup pintu dan menyuruh Kuyah dan Kusha ke bilik masing-masing.
"Kudin, kamu pasti Karina tu betul-betul dah sembuh Macam mana kalau dia menjerit lagi nanti" Nek Tom pandang Kudin yang juga kelihatan keletihan.
"InsyaAllah nek. Tok imam dah rawat tadi dan sekarang ni, kita kena rawat luka dan kesan cakar tu."Kudin menjawab penuh yakin.
"Baguslah. Karina tu kena bawa pergi hospital." Nek Tom menggeleng. Kerana dendam, manusia sanggup lakukan apa saja demi membalas semua dendam kesumat tanpa menghiraukan soal akidah dan agama.
"InsyaAllah nek. Esok, Kudin ingat nak bawa dia ke hospital. Boleh tak Puan Karina tinggal lama sikit di sini nek Bila dah sembuh nanti, dia akan kembali semula ke KL." Kudin mengharapkan ehsan dari neneknya yang dari semalam tidak begitu senang dengan kehadiran Puan Karina dan Kusha di rumah itu.
"Nenek tak kisah." Nek Tom mula lembut hati.
"Terima kasih nek. Nanti nenek ajarlah Puan Karina tu ilmu agama ya." Kudin senyum. Nek Tom dilihat sudah mula tersenyum. Bukan payah untuk memujuk orang tua itu, dia sudah kenal luar dalam. Yalah..sejak kecil dia tinggal dengan nenek.
"InsyaAllah..nenek akan ajar mana yang termampu." Nek Tom senyum dan mula berlalu ke bilik.
Kudin pula mula baring di atas tikar mengkuang di ruang tamu. Lengan tangan kanannya diletak atas dahi. Mata masih menala ke siling rumah. Segala apa yang berlaku tadi sungguh tidak masuk akal. Puan Karina seolah dirasuk dan cuba mencederakan diri sendiri. Ngeri melihat keadaan Puan Karina yang sudah berdarah di sana sini akibat dari kesan cakar.
"Siapa agaknya yang cuba nak rasuk dan bunuh Puan Karina Takkan Chad..." Kudin masih mencari-cari jawapan. Dia cuba kaitkan kata-kata Karim dengan kata-kata Kusha. Mungkin juga Chad sudah lama menyimpan dendam pada Puan Karina. Bagaimana dengan Hanim Takkan Hanim juga menjadi mangsa Chad
"Ah! Bingung aku fikir hal ni." Kudin mula mengiring dan pejamkan mata.
PAGI lagi, Kudin membawa Puan Karina ke klinik kesihatan berdekatan. Kusha juga turut sama ke situ. Setelah mengambil ubat dan menjalani pemeriksaan sedikit, Kudin segera pulang ke rumah semula. Puan Karina disuruh berehat saja di rumah dan tidak boleh ke mana-mana. Kusha hanya menurut kata-kata Kudin. Kuyah pula mula lembut hati dengan Kusha.
"Sekarang baru kau tahu kan" Kuyah sindir Kusha yang sebaya dengannya.
"Maafkan aku Kuyah. Tak sangka, sampai begitu sekali mereka nak mama menderita." Kusha tunduk.
"Itulah balasannya bila menganiaya orang lain. Allah maha Adil. Di dunia lagi, Allah balas. Balasan tu datang dalam pelbagai cara.
Aku rasa, elok sekarang ni kau dan mama kau tu bertaubat dan ikut suruhan Allah." Kuyah jeling Kusha yang masih tunduk. Sejak berada di kampung, Kusha sudah pandai mengenakan baju kurung. Kalau tak, asyik skirt pendek dan baju tanpa lengan saja memanjang. Dia senyum.
"Kenapa kau senyum" Kusha mendongak. Pelik melihat Kuyah yang tiba-tiba senyum.
"Padan juga baju kurung aku dengan kau ya" Kuyah perhatikan Kusha atas bawah.
Kusha turut melihat baju kurung biru yang tersarung di tubuhnya. Dia turut melemparkan senyuman. Malu pada Kuyah. Matanya beralih pada Kuyah yang sudah mula menutup aurat dengan sempurna. Tudung merah jambu yang dipakai Kuyah memang padan dengan kulit putih milik gadis itu.
"Kuyah..aku ingat aku nak berhijrah dan dekatkan diri pada Allah. Boleh kau bantu aku" Kusha pegang tangan Kuyah yang duduk di sebelahnya di ruang tamu.
"Alhamdulillah..aku sedia membantu. Aku pun banyak belajar dari nenek. Dia yang banyak ajar aku selama aku tinggal di sini." Kuyah membalas senyuman Kusha yang ternyata sudah mula terbuka hati untuk berubah.
"Hmm..adik-adik abang ni borak apa" Kudin turut melabuhkan punggung di sebelah Kuyah.
"Tak ada apa la bang.." Kusha tunduk. Malu pada Kudin yang sebelum ini dicemuh dan dikutuk, kini menjadi seorang abang yang sungguh bertanggungjawab.
"Esok abang kena ke KL semula. Banyak kerja pejabat yang perlu dibereskan. Lagipun, Senah dan Anum masih belum ditemui. Abang kena cari mereka tu sampai dapat. Ana Dahlia ada hubungi abang semalam. Abang kena bantunya." Kudin berkata perlahan.
"Senah belum dijumpai lagi ke bang" Kuyah terkejut.
Kudin menggeleng.
"Kesian Senah. Sebelum dia pergi ke KL, dia ada datang rumah ni jumpa nenek. Dia kecewa sebab nenek cakap, nenek nak masuk meminang Ana Dahlia untuk abang. Jadi, dia terima pelawaan Chad untuk ke KL cari abang." Kuyah menjelaskan perkara sebenar.
"Abang nak nikah dengan kerani tu" Kusha pula terkejut. Tak sangka, Kudin terpikat dengan kerani macam Ana Dahlia dan sekarang ini pula gadis itu adalah seorang pegawai polis.
Kudin diam seketika. Dia melepaskan helaan nafas yang panjang. Matanya beralih pada laman rumah yang menghijau melalui jendela yang terbuka luas. Lama dia melihat ke arah itu.
"Abang rasa abang hanya bertepuk sebelah tangan. Abang boleh rasa, Ana Dahlia tu suka pada orang lain. Tak apalah.." Kudin tunduk.
"Kenapa abang tak berterus terang saja dengan kak Ana tu" Kuyah pula yang teruja.
"Dah..abang dah berterus terang. Dia nak masa untuk beri jawapan. Itu maknanya dia ada orang lain. Kalau dia pun suka abang, dia akan diam saja atau mungkin terus beri jawapan masa abang tanya hari tu." Kudin melepaskan keluhan.
"Oh...abang nikah je la dengan Senah. Walaupun Senah tu macam tu tapi hati dia baik. Kuyah rasa Senah tu ok juga dengan abang tapi sayang dia sudah hilang entah ke mana.." Kuyah turut mengeluh.
Kusha juga turut tunduk.
"Dahlah..abang tak kisah pun kalau dia tolak cinta abang. Allah lebih tahu siapa jodoh kita." Kudin bingkas bangun dan melangkah keluar dari rumah.
Kuyah dan Kusha hanya melihat abang mereka yang kelihatan sugul. Kudin dilihat sudah menuju ke sawah padi. Mungkin ingin mengambil ketenangan di situ.