TORA DATANG LAGI - 22
Gula-gula getah adalah sejenis getah entah apa nama yang dimasukkan perisa ke dalamnya. Ianya hanya perlu dikunyah untuk mengeluarkan perisanya dan disedut. Gula-gula getah akan dikunyah sehingga habis perisanya dan getahnya tidak lagi mempunyai rasa melainkan rasa getah semata-mata.

Gula-gula getah perlu dibuang apabila perisanya telah habis. Ianya tidak boleh dimakan dan ditelan sama sekali. Cara membuang gula-gula getah yang betul adalah dengan melekatkan gula-gula getah tadi ke kertas pembungkusnya dan dilipat dua dan barulah dibuang ke dalam tong sampah. Tetapi itulah, siapa punya masa hendak ikut undang-undang

Pembuangan gula-gula getah yang tidak betul amatlah menyusahkan orang lain. Gula-gula getah yang terpijak pada tapak kasut atau melekat pada punggung seluar amatlah sukar ditanggalkan dan semestinya akan mendatangkan carut.

Gula-gula getah lebih dikenali dengan nama singgam, diadaptasi dari perkataan Inggeris, chewing gum.

Apa yang cool tentang gula-gula getah adalah ianya boleh menghasilkan belon kecil apabila diletakkan pada hujung lidah dan ditiup.

Dapat menghasilkan belon dengan menggunakan gula-gula getah merupakan suatu kelebihan kepada si pemakan.

Antara gula-gula getah yang popular adalah:

Gula getah rokok

Sejenis gula getah yang berbentuk panjang seperti sebatang rokok.

Turut dipek di dalam kotak yang sangat menyerupai kotak rokok sebenar dan mirip kepada pek rokok 555. Terdapat dalam pelbagai perisa seperti mempelam dan lemon.

Gula getah bola

Sejenis gula-gula getah berbentuk bebola dan berwarna merah, jingga dan kuning.

Mempunyai ruang kosong di dalamnya.

Dipek 3 biji di dalam satu bungkusan dan dijual pada harga 10 sen.

Gula getah kotak

Sejenis gula-gula getah yang menyerupai gula getah bola dengan bentuk bebola yang lebih kecil.

Juga mempunyai ruang kosong di dalamnya dan dipek 4 biji di dalam satu kotak empat segi sama dan dijual pada harga 10 sen.

Terdapat di dalam warna Merah (Strawberi), Ungu (Anggur), Hijau (Tembikai Susu) dan Jingga (Oren).

Gula getah bear/Apache

Sejenis gula-gula getah paling popular dijual dan mudah didapati di mana-mana.

Dibuat hanya dalam 1 perisa dan mempunyai sedikit potongan pada gula-gulanya yang boleh dipatahkan kepada 3 bahagian.

Pada sebelah dalam pembalutnya terdapat tatu olok-olok dengan gambar-gambar watak kartun-kartun popular. Ianya perlu dibasahkan dengan air untuk melekatkan tatu pada kulit.

Dijual pada harga 10 sen sekeping.

Chiclets

Sejenis gula-gula getah berbentuk ketulan-ketulan kecil di dalam 1 kotak.

Dianggap gula-gula getah yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh anak cikgu.

Mempunyai rasa Anggur (Ungu), Strawberi (Merah), Pudina (Hijau) dan Lemon (Kuning).

Gula-gula getah ini kesemuanya berwarna putih walaupun dengan perisa yang berlainan. Perkara ini memang sememangnya lekeh.

Wrigleys

Sejenis gula-gula getah 5 keping panjang yang dijual dalam 1 pembungkus.

Untuk nampak berlagak, gula getah ini disusun di dalam balangnya yang tersendiri.

Juga dianggap gula-gula getah yang mahal dan hanya mampu dibeli oleh anak orang kaya.

Mempunyai rasa Anggur (Ungu), Strawberi (Merah), Pudina (Hijau) dan Lemon (Kuning).

Gula-gula getah ini kesemuanya berwarna perang muda walaupun dengan perisa yang berlainan. Ya, juga lekeh.