SETAHUN sebelum tarikh ini, 20/11/2011, ketika berada di sebuah kedai buku di Ampang, aku tertarik dengan sebuah buku nipis terbitan Insight Guides. Tajuknya; London, Step by Step. Beberapa bulan selepas membelinya aku masih tidak faham mengapa aku tergamak membeli sebuah buku kecil yang harganya mencecah RM 40.00 itu. Namun enam bulan selepasnya barulah aku sedar. Tidak semena-mena, aku membeli tiket ke London gara-gara promosi tambang murah Air Asia. Ianya tidak lain adalah kerana setiap hari sebelumnya, aku membelek buku nipis tersebut.
Penerbangan selama 12 jam bermula 2.50 petang waktu Kuala Lumpur itu sungguh menyeksakan. Sesungguhnya, azab Boeing A320 yang sempit (ditemani wanita Inggeris berbadan besar disebelah) hanya akan dapat dirasai ketika badan teringin untuk membuang air kecil berkali-kali, akibat disuap makan dan minum sebanyak enam kali! Oleh sebab tempat duduk aku di tepi tingkap, setiap kali itulah, kedua-dua penumpang disebelah aku perlu bangun untuk memberi laluan. Kini, Air Asia tidak lagi meneruskan penerbangannya ke London akibat kos bahan api yang tinggi.
Ketika sampai, waktu di lapangan terbang London Gatwick ialah 8.50 malam, 20 November 2011. Kehangatan udara pesawat Boeing 320 Air Asia langsung menghilang. Suhu di lapangan terbang ialah 8 darjah Celcius, menyebabkan manusia spesies khatulistiwa seperti aku menggigil tak tentu hala. Terpaksa bermalam dahulu di lapangan terbang, oleh kerana tiket ke Coventry (rumah rakan yang masih belajar di Warwick University) iaitu tren Gatwick Express ke London Victoria, dan tren Virgin Train dari London Victoria ke stesen Coventry hanyalah GBP 8.60 pada jam 4.30 pagi keesokannya.Suasana lapangan terbang London Gatwick tidak jauh bezanya dengan LCCT di Malaysia. Sehingga awal pagi, masih ramai manusia berpusu-pusu, aku sempat berkenalan dengan seorang anak muda juga dari Kuala Lumpur, yang sedang menunggu penerbangan seterusnya ke Newcastle. Sebelum berpisah dengannya, aku sempat membelikannya secawan kopi panas dari gerai 24-jam Marks & Spencer sebagai tanda perkenalan.
Menaiki tren di London tidaklah sukar. Papan tanda terdapat di mana-mana, selain anda boleh sahaja bertanya jika tidak pasti. Tren Virgin Trains yang membawa aku dari London Voctoria sampai di stesen Coventry pada jam 7.02 pagi, 22 November 2011. Perjalanan sejauh 2 jam lebih dengan dua tren agak memenatkan, memandangkan aku juga tidak tidur dengan betul malam sebelumnya. Aku harus ke Coventry untuk bertemu dengan rakan di sana yang akan membantu urusan pembelian tiket tren, terutamanya untuk meminjam Railcard mereka. Terima kasih kepada Saiful Ridhwan dan Jamie, rakan yang masih menuntut di University Of Warwick dalam jurusan TESL kerana selain menyediakan penginapan ringkas aku di Earlsdon, juga meminjamkan aku Railcard mereka (membolehkan aku menikmati diskaun tiket tren yang menarik!). Sebelum bertolak semula ke London pada keesokan harinya, kami sempat berjalan-jalan di sekitar pekan Coventry dan Birmingham, bandar kedua terbesar di United Kingdom setelah London.
23 November 2011, tren London Midlands yang membawa aku ke kota London dari pekan sederhana Coventry bertolak pada jam 3.01 petang, dan sampai di stesen London Euston pada jam 4.59 petang. Oleh kerana musim sejuk, persekitaran di luar stesen sudah gelap, seakan-akan jam 8.00 malam di Kuala Lumpur. Aku terpaksa memilih tren ini memandangkan harganya yang (sekali lagi) murah, iaitu hanya GBP 3.95 sahaja sehala, tanpa mengetahui bilik penginapan aku di Erith, hujung London adalah di stesen Abbey Wood, jaraknya dari stesen London Euston adalah sejam perjalanan lagi! Setelah mengetahui tren yang sepatutnya aku naiki, aku sempat singgah sebentar di sebuah kedai kebab halal milik seorang peniaga Pakistan untuk mengalas perut di luar stesen London Euston.Ketika sedang mengunyah kebab itulah aku menyesali percaturan kurang bijak yang telah aku lakukan, iaitu menempah bilik murah (GBP 28.11 semalam) tanpa mengetahui jaraknya yang terlalu jauh dari pusat London. Lebih malang, aku mengetahui kemudiannya ketika mahu ke Abbey Wood (stesen terdekat untuk sampai ke Erith) melalui stesen London Bridge, tiket sehala berharga GBP 10 lebih kurang (terima kasih kepada bednbreakfast London kerana mencadangkan bilik murah di Erith ini). Ini bermakna aku perlu membelanjakan lebih kurang GBP 20 sehari untuk berulang dari Erith yang berada di Zon 6 (perjalanan sejam sehala!), menjadikan jumlah perbelanjaan ialah GBP 50, jumlah yang sama sekiranya aku menyewa sebuah bilik di King Cross, tengah London!
Kota London dihuni manusia dengan budaya yang pelbagai. Sehingga Mac 2011, populasi rasmi kota London ialah 8,174,100, menjadikannya kota yang paling padat di Kesatuan Eropah, menampung 12.5% populasi keseluruhan United Kingdom. Manakala London Metropolitan Area (yang terbesar di Kesatuan Eropah) menampung populasi menjangkau 12 ke 14 juta manusia. Menurut sejarah, London mempunyai populasi manusia tertinggi dari 1831 hingga 1925.Manakala stesen kereta api bawah tanahnya (stesen bawah tanah tertua di dunia), yang lebih dikenali dengan London Underground atau Tube, telah dibuka seawal 1863 yang kini menjadi sebahagian dari laluan Circle, Hammersmith & City dan Metropolitan, termasuk laluan pertama yang menggunakan tren elektrik pada 1890 iaitu Norther Line. Catatan sehingga 2007, lebih dari satu bilion penumpang telah direkodkan, manakala pada tahun 2011/12, rekod menunjukkan jumlah penumpang melebihi 1.2 bilion, menjadikannya sistem metro atau tren yang ketiga paling sibuk di dunia di Eropah selepas Moscow dan Paris.
Pagi pertama di kota London tidak berapa baik buat aku. Cuaca sejuk dengan suhu serendah 8 darjah Celcius, menjadikan tidur (di Erith, zon 6!) tidak berapa menyeronokkan. Aku segera dijangkiti selsema. Dari stesen Abbey Wood, aku keluar seawal jam 8.00 pagi menuju ke stesen Waterloo. Walaupun masih awal, warga London ataupun Londoners sudah berpusu-pusu bergerak laju masuk dan keluar stesen menuju tujuan masing-masing. Sesuatu yang jarang dapat diperhatikan di Kuala Lumpur, Londoners bergerak dengan pantas!Dari Waterloo, aku menjalar di sisi Sungai Thames yang terkenal itu melalui Jambatan Waterloo. Tertipu dengan pancaran cahaya matahari pagi, suhu sejuk menjadi-jadi ketika angin sungai Thames memukul-mukul badan ini. Aku kemudian sempat bergambar di Royal Opera House, sebelum sampai di Covent Garden yang terletak di West End. Covent Garden adalah pasar yang terkenal dengan sayuran dan buahan segar, kini menjadi tarikan pelancong selain pusat membeli belah. Di situ aku disambut mesra oleh seorang artis persembahan jalanan dari Australia yang sedang melakukan persembahan silap mata. Aku sendiri tidak melepaskan peluang membeli sebungkus Blueberry segar yang berharga GBP 2.00, atau lebih kurang RM 10.00 di Malaysia.
Salah satu tujuan utama aku ketika bertandang ke London ialah untuk untuk melawat West End Theatre di Theatreland-nya. Ketika membeli tiket teater di salah satu pusat penjualan tiket di Covent Garden, aku menolak tawaran untuk melawat London Dungeon mahupun Madame Tussaud. Oleh sebab waktu yang singkat sebelum aku perlu bertolak ke Paris pula selepas ini, aku membuat keputusan untuk memilih satu teater untuk ditonton pada malam ini. Kebetulan, pada malam ini sahaja, terdapat lebih dari 30 buah persembahan teater di sekitar Theatreland ini!
Antara individu terkenal yang menempa nama di West End Theatre ini ialah seperti Robert William Elliston, John Liston, Nell Gwynne, Lennie Dean, kemudiannya Henry Irving, Ellen Terry,John Lawrence Toole, Nellie Farren, Marie Tempest, Seymour Hicks, Ellaline Terriss, dan juga Marie Brema. Daerah teater West End menjadi terkenal bermula apabila pelbagai dewan pementasan kecil dibuka termasuk Adelphi di The Strand pada 17 November 1806 dan The Old Vic, Waterloo Road dibuka pada 11 Mei 1818.Daerah ini kemudiannya menyaksikan ia dibanjiri pelbagai rumah teater termasuk Criterion Theatre yang dibuka di Piccadilly Circus pada 1874, manakala pada 1881 dua lagi rumah teater dibuka iaitu Savoy Theatre di The Strand yang dibina khas oleh Richard DOyly Carte untuk mempersembahkan komik opera Gilbert and Sullivan (teater pertama menggunakan lampu elektrik) pada 10 Oktober, selain rumah teater Comedy Theatre yang dibuka lima hari kemudian di Panton Street, Liecester Square.
Teater di London bercambah semenjak zaman English Reformation. Rumah teater awam yang pertama dibina ialah The Theatre di Shoreditch pada 1576 oleh James Burbage, yang kemudiannya digunakan juga oleh The Curtain. Dewan ini dikatakan juga digunakan oleh syarikat William Shakespeare. Berdasarkan pamplet Official London Theatre Guide, antara pementasan yang sedang hangat ditayangkan termasuk The Lion King di Lyceum Theatre, The Ladykillers di Gielgud Theatre, Ghost The Musical di Piccadilly Theatre dan juga Priscilla Queen of The Desert The Musical di Palace.Walaubagaimanapun, aku memilih untuk menonton Shrek The Musical di Theatre Royal Drury Lane, memandangkan saya ingin menikmati suasana struktur baharu Theater Royal, Drury Lane, rumah teater yang dibina semula oleh Christopher Wren menggantikan Theatre Royal yang hancur terbakar sembilan tahun selepas ia dibuka pada 7 Mei 1663. Setelah membeli tiket teater Shrek The Musical yang berharga GBP 27.00, aku bergerak menuju ke Trafalgar Square.
Dalam perjalanan ke Trafalgar Square, aku berhenti minum sebentar di sebuah kedai kopi di kaki lima Bredford Street. Suasana tenang, dengan rata-rata kedai baru dibuka. Walaupun terang disinari cahaya matahari, suhu 9 darjah Celcius menyebabkan kopi panas berharga GBP 4.99 ini cukup menyenangkan. Aku memilih untuk duduk di luar kedai dan menikmati kopi ini sementara memanaskan badan dan menikmati suasana pagi di West End ini.
Ketika sampai di Trafalgar Square, National Gallery sedang mengadakan pameran bergerak tentang Leonardo da Vinci yang dibawa khas dari Perancis. Aku sempat membeli buku Inventions karya da Vinci, versi popup model dengan harga GBP 14.99. Setelah bergambar seketika di sekitar Trafalgar Square, aku menuju ke 10, Downing Street melalui Whitehall. 10, Downing Street ialah salah satu alamat paling terkenal di dunia.Selama 300 tahun, bangunan ini mempunyai 100 bilik merangkumi residen peribadi, bilik konferens, dewan makan di mana pelbagai menteri, ketua-ketua negara dan orang kenamaan bertemu. Dahulunya dimiliki oleh First Lord of Treasury, kini ia adalah kediaman rasmi Perdana Menteri United Kingdom.
Dari situ, aku menyusur Parliament Street sehingga ke hujung untuk ke Bridge Street. Dihadapan aku kini ialah Big Ben, manakala di belakang aku ialah stesen tren bawah tanah Westminster. Big Ben ialah nama gelaran yang diberi kepada jam gergasi yang terletak di salah sebuah menara di Palace of Westminster.Menara yang memegang jam loceng tersebut dinamakan sebagai Elizabeth Tower, memegang rekod sebagai menara keempat terbesar yang mempunyai empat muka jam loceng, menyambut sambutan ke-150 tahun pada 31 May 2009 yang lalu. Jam di Big Ben menunjukkan waktu kini ialah 14.05.
Daripada Big Ben, aku melintas Westminster Bridge untuk ke London Eye yang terletak di sisi Thames River. Di hadapan London Eye, Big Ben masih boleh kelihatan dari jauh, menandakan tidak terlalu jauh di antara keduanya. Terletak bersebelahan dengan London Film Musem dan Jubilee Gardens, kedudukan London Eye di bahagian South Bank, River Thames di antara Westminster Bridge dan Hungerford Bridge di bahagian London Borough of Lambert ini ialah tapak lama Dome of Discovery, dibina untuk Festival of Britain pada 1951.Giant Ferris Wheel yang tingginya 135 meter dengan diameter selebar 120 meter ini diiktiraf sebagai Ferris Wheel tertinggi di dunia dengan bilangan pengunjung sekitar 3.5 bilion setiap tahun, menawarkan pemandangan awam tertinggi di kota London. Tiket standard London Eye ini berharga GBP 17.00, boleh dibeli terus di pintu masuk hadapan. Menariknya, aku berpeluang menikmati pemandangan petang kota London termasuk menyaksikan matahari terbenam.
Apabila turun dari London Eye, suasana sudahpun gelap. Jam di tangan menunjukkan 16.15. Matahari turun lebih awal pada musim sejuk, dengan suhu menurun lagi sehingga mencecah 6 darjah Celcius. Aku mengambil keputusan untuk berhenti makan Fillet o Fish di restoran Mc Donald bersebelahan London Eye, sebelum bergerak menuju Wesminster Abbey (gereja di mana Putera William dan Kate dinikahkan) serta berjalan lagi sekitar 2km untuk ke Buckingham Palace. Ketika melalui Parliament Square, kelihatan sebilangan orang sedang berkhemah dengan pelbagai nota dan poster bantahan tentang peperangan di Afghanistan. Malangnya aku perlu mengejar masa, jika tidak sudah pasti aku akan berhenti seketika untuk berbual-bual dengan seorang dua demonstran aman ini. Apabila sampai di Buckingham Palace, jam sudahpun menunjukkan waktu 18.00 ataupun 6 petang.Aku perlu segera bergegas ke Shaftesbury Avenue, Theatre Royal Drury Lane untuk mengejar tayangan teater pada jam 19.45. Dari Buckingham Palace (sempat bergambar seketika di istana yang terkenal ini), saya melintas St James Park, lebih kurang 2km juga sebelum sampai semula di kawasan West End. Hari pertama di kota London saya akhiri dengan menyaksikan teater Shrek The Musical di Theater Royal, Drury Lane dengan durasi 2 jam 20 minit.
Stop the research. Stop the analysis paralysis. Just keep choosing and living. In travel, everything is as it is, and theres always another day to change course and choose again. A lot more happens in life when you stop worrying about what to do and just go. -Sasha Cagen.
CAMDEN MARKET, TOWER BRIDGE DAN
LONDONERS OXFORD STREET
The very basic core of a mans living spirit is his passion for adventure. The joy of life comes from our encounters with new experiences, and hence there is no greater joy than to have an endlessly changing horizon, for each day to have a new and different sun. - Jon Krakauer, Into the Wild
PAGI kedua di London; aku mengemas backpack aku seawal jam 7 pagi. Malam tadi sebelum tidur, aku telah menempah katil di Northumberland Kings Cross Hotel melalui Booking.com. Setelah menapak sejauh lebih kurang 800m ke stesen Abbey Wood, aku membeli tiket sehala ke London Kings Cross Station.
Aku tiba di 9-11, Euston Road, Northumberland Kings Cross Hotel pada jam 9 pagi, 4 jam lebih awal dari waktu check-in. Hotel ini jaraknya tidak sampai 50 meter dari stesen London Kings Cross Station. Setelah menjalankan urusan check-in dan meminta pihak hotel menyimpan backpack aku terus berjalan menyusur Euston Road ke arah Hampstead Road, lebih kurang 2.8km (setengah jam perjalanan berjalan) ke Camden Market.
Suasana di Camden Market masih lengang walau dengan panahan cahaya matahari yang menceriakan namun suhu tetap sedingin 4 darjah Celcius. Camden Market ialah blok pasar di Camden Town berdekatan Hampstead Road Lock di Regents Canal, lebih popular dikenali sebagai Camden Lock. Barangan yang dijual di sini ialah alat kraftangan, pakaian dan makanan. Di kota London, Camden Market ialah keempat paling popular sebagai tarikan pelancong dengan 100,000 orang dijangka hadir setiap minggu. Seperti biasa, apabila terjumpa sebuah kedai kebab Pakistan berstatus halal berdekatan; aku akan singgah dahulu sebentar. Sempat meneguk Capri-Sonne Safari Fruits dan membeli fries untuk mengalas perut. Makanan bukanlah masalah besar buat Muslim di kota London kedai kebab halal ada di mana-mana.
Camden Market boleh diakses melalui Camden Town Tube Station, ataupun stesen Chalk Farm dan stesen Morninton Crescent. Sebelum lokasi ini dipopularkan oleh filem seperti Withnail & I dan penulis seperti George Orwell, Mary Shelley serta Charles Dickens; Earl of Camden mula membuka kawasan yang dikenali sebagai Camden High Street pada 1790. Sebuah pub the Worlds End di Camden Town dahulunya adalah sebuah public house yang dikenali sebagai Mother Red Cap. Pada 1870, Regents Canal dibina menyambungkan laluan perdagangan yang menyaksikan kilang dibina di pinggir sungai.
Kompleks Camden Market ini terdiri daripada 6 seksyen; setiap satunya diberi fokus terhadap barangan mengikut kumpulan tertentu. Seorang penjual penduduk tetap di sini memberitahu barangan di sini selalunya dikaitkan dengan budaya alternatif termasuk barangan-barangan yang sukar didapati. Daripada Camden High Street, aku memasuki Stable Market melalui pintu masuk di Chalk Farm Road. Daripada Stable Market aku kemudiannya ke Camden Lock Market, barangan yang dijual meliputi Tshirt, barangan kulit, perhiasan besi, kraftangan, makanan dan buah-buahan, buku, barangan antik serta barangan-barangan menarik yang selalunya dicari oleh pengumpul. Tanpa disedari, sudah 3 jam aku bersiar-siar di sini sahaja. Untuk pengunjung yang menginginkan kelainan di kota London, Camden Market menyediakan miniature sejarah dan budaya kota London untuk anda nikmati.
Daripada Camden Market, aku mengambil tube dari Camden Town ke stesen Monument, sebelum menukar tren ke Tower Hill untuk ke Tower Bridge. Aku terpaksa membeli secawan kopi panas di luar stesen Tower Hill dan duduk minum sebentar untuk memanaskan badan, sebelum berjalan kaki lebih kurang 300 meter ke Tower Bridge. Jam menunjukkan waktu 3.00 petang, lebih kurang 1 jam sahaja lagi dan suasana akan menjadi gelap pada jam 4 petang kerana siang menjadi agak pendek pada musim sejuk. Setibanya aku di Tower Bridge, suasana menjadi lebih sejuk kerana angin Thames River.
Tower Bridge adalah kombinasi antara bascule dan suspension bridge di Thames River, berdekatan Tower of London. Dibina pada 1886-1894, ia terdiri daripada dua menara yang menghubungkan ruang pejalan kaki di bahagian atas serta bahagian bawah yang bersambung dengan dasar menara boleh diangkat 70 darjah untuk memberi laluan kepada kapal besar yang ingin melintas. Sehingga kini, Tower Bridge masih menjadi pilihan penduduk London yang ingin melintas Thames River.
Dianggar sehingga 40,000 pejalan kaki, penunggang motor dan kenderaan melintas Tower Bridge setiap hari. Bascules (bahagian yang boleh dinaikkan) dianggarkan naik sehingga 1000 kali setahun.
Pembinaan Tower Bridge dianggap sebuah pencapaian tinggi oleh penduduk London pada ketika itu. Peningkatan perkembangan komersial di bahagian East End of London menyebabkan perlunya pembinaan jambatan di bahagian downstream London Bridge, di mana sebuah jambatan statik tidak boleh dibina kerana akan mengganggu perjalanan kapal tinggi ke pelabuhan di antara Pool of London, London Brodge dan Tower of London. Dengan lebih dari 50 rekabentuk diterima ketika ia dibuka kepada awam, reka bentuk Sir Horace Jones melalui juruteranya, Sir John Wolfe Barry akhirnya diterima. Kini Tower Bridge dibuka kepada awam dengan bayaran 8 pound. Aku mengambil keputusan untuk tidak naik ke atas kawasan pameran dan hanya berlegar-legar di bahagian bawah sahaja.
Selepas mengambil gambar dan menikmati pemandangan Thames River seketika akibat tidak tahan sejuk aku bergerak menuju ke stesen Tower Hill semula. Dari sana saya menuju ke stesen Monument untuk menukar tren ke Oxford Circus melalui Central Line. Setibanya aku di stesen Oxford Circus suasana telahpun menjadi gelap. Walaubagaimanapun, kawasan sekitar stesen tersebut begitu meriah dengan warga London sedang berpusupusu pulang dari kerja di samping jualan murah yang sedang berlangsung di seluruh Eropah kerana kedatangan Krismas yang semakin hampir.
Tiada apa yang menarik di Oxford Street kecuali deretan kedai sepanjang jalan. Aku lebih berminat menonton gelagat Londoners yang baru pulang kerja; sesekali golongan muda young and trendy dalam kumpulan kecil dengan gaya korporat memasuki gedung Topshop dengan gelak tawa; manakala golongan berumur pula kelihatan serius dengan cawan kopi di tangan kiri manakala lipatan surat khabar di tangan kanan. Pada 2011, Oxford Street dianggarkan mempunyai lebih dari 300 buah kedai serta dicadangkan sebagai jalan beli-belah tersibuk di Eropah. Dengan jarak 2.5 km bermula dari Marble Arch merentas Oxford Circus sehingga ke Tottenham Court Road, ia dikira sebagai pusat beli belah terbesar di kawasan Inner London termasuk daerah beli belah lain seperti Regent Street dan Bond Street. Antara gedung beli belah besar dan popular adalah seperti Debenhams, HMV, House of Frase, H&M, Marks & Spencer, Selfridges dan Topshop. Akses ke Oxford Street boleh dilakukan melalui stesen underground seperi Marble Arch menggunakan Central Line, stesen Bond Street menggunakan Central Line atau Jubilee Line, stesen Oxford Circus menggunakan Central Line, Bakerloo Line atau Victoria Line serta stesen Tottenham Court Road menggunakan Central Line dan Northern Line.
Aku pulang lebih awal malam itu dari stesen Oxford Circus menaiki Victoria Line terus ke stesen Kings Cross St Pacrass dan hotel untuk berehat. Esok 25 November 2011, kapal terbang aku ke Paris dari Lapangan terbang London Luton seawal jam 11 pagi. Ini bermakna aku perlu sampai ke lapangan terbang London Luton dari stesen kereta api Kings Cross St Pacrass paling lewat jam 9 pagi.
Tiga hari di Paris, aku sehelai sepinggang kerana backpack aku ditinggalkan syarikat penerbangan EasyJet di London Luton (akan aku ceritakan dalam siri seterusnya).
Kisah aku di bumi British ini tidak selesai di London, pulang dari Paris kemudian aku akan teruskan perjalanan ke Birmingham, Liverpool, Oxford dan Cambridge pula. London adalah sebuah metropolitan super-materialistik; lihat bagaimana warga Londoners berpusu-pusu di underground tube semua orang berjalan dengan pantas seolah-oleh dunia akan berakhir esok. Mempunyai seribu satu tarikan terutamanya underground tube dan bangunan lamanya aku kira kota London lebih manis dilihat dari sisi budaya. Warganya tidak kekok menyapa Hello serta sentiasa tersenyum ketika membantu pelancong.
Walaubagaimanapun, pengalaman bercuti di musim sejuk dengan jumlah waktu siang yang sedikit adalah antara pengalaman berharga yang aku dapati di dalam pengembaraan kali ini.