Perincian setiap aspek yang dinilai adalah seperti yang berikut:
1. Teknik
Teknik ialah gerakan kreatif pendeklamasi. Gerakan ini mungkin sedikit sahaja tetapi ketara.
Penilai terhadap aspek teknik tertumpu pada keberkesanan gerakan kreatif ini. Sebagai contoh, ada pendeklamasi yang melangkah setapak ke hadapan, kemudian berundur setapak juga pada tempat yang sesuai. Terdapat pula pendeklamasi yang bermula dengan duduk dan kemudian bangun. Gerakan-gerakan begini, jika sesuai (khususnya bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan), menjadikan persembahan lebih berkesan.
Alat bantu (props) tidak dibenarkan dibawa semasa pertandingan. Selain itu, peserta juga tidak dibenarkan mendeklamasikan dengan bantuan
teman. Ertinya, manusia tidak boleh dijadikan alat bantu dalam sayembara deklamasi ini.
Muzik juga merupakan satu teknik. Oleh sebab itu muzik latar dibenarkan, tetapi hanya dalam bentuk rakaman sahaja. Iringan muzik secara langsung sama ada dimainkan oleh peserta sendiri atau dibantu oleh orang lain TIDAK dibenarkan.
2. Gaya
Gaya berkait rapat dengan keyakinan pendeklamasi. Terdapat tiga alasan yang menjadikan pendeklamasi kurang bergaya. Pertama, pendeklamasi itu tidak berkeyakinan berhadapan dengan khalayak. Kedua, tidak menguasai seni pentas dan ketiga, tingkat hafalannya tidak mencukupi.
Gaya termasuklah olahan / bahasa tubuh, gerak tangan dan sebagainya yang bersesuaian dengan puisi yang dideklamasikan.
Mimik muka juga merupakan gaya dan hendaklah bersesuaian dengan tema dan isi puisi yang dideklamasikan.
3. Nada
Nada yang dimaksudkan ialah nada yang ada dalam puisi. Terdapat beberapa nada yang popular seperti patriotik, marah, sinis, sedih, romantis dan sebagainya.
Setelah nada puisi dikenali dengan betul, pengucapannya pula perlu digandingkan dengan intonasi yang tepat iaitu turun naik dan tinggi rendah suara untuk dipadankan dengan maksud puisi. Jeda (tempat berhenti) juga perlu difahami oleh pendeklamasi untuk menjelaskan lagi maksud puisi.
4. Suara
Pendeklamasi yang bersemangat tinggi akan berusaha menerbitkan suara yang sesuai dengan puisi melalui permainan kualiti suara. Pendeklamasi hendaklah sedar bahawa suara boleh direndahkan, disederhanakan dan ditinggikan pada tempattempat yang sesuai. Yang dimaksudkan dengan kualiti suara ialah penerbitan suara yang berbezabeza itu, yang dalam bidang muzik disebut bas, tenor dan soprano.
Lontaran suara yang dibuat-buat akan menyebabkan deklamasi kurang bermutu.
5. Penilaian Aspek Lain Secara Umum (Termasuk markah bonus dan pemotongan markah)
Konsep Penghayatan
Kejayaan pendeklamasi mengemukakan teknik, gaya, nada dan suara yang bersesuaian dengan
puisi yang dideklamasikan adalah kejayaan dalam penghayatan puisi itu.
Kelemahan dan Pemotongan Markah
Markah yang diberikan untuk aspek-aspek yang dinyatakan di atas akan muktamad jika tiada kelemahan dalam deklamasi. Markah akan dipotong jika terdapat kelemahan seperti yang dinyatakan di bawah ini.
Salah atau Lemah Sebutan.
Ketersasulan
Tersalah Perkataan
Tertinggal Bahagian Tertentu
Perlakuan Negatif di Pentas
Pakaian pendeklamasi adalah bebas tetapi hendaklah bersopan dan sesuai.
6. Semua perkara yang tidak dinyatakan dalam syarat-syarat ini adalah menjadi hak penganjur dan Urus Setia Sayembara menentukannya dari semasa ke semasa.