Friendship, is not something you learn in school. But if you havent learned the meaning of friendship, you really havent learned anything.
- Muhammad Ali
Pukul 8 pagi. Usai mandi dan bersiap, aku turun bersarapan serta mahu bertanya tentang status aku ke Nusa Lembungan. Sampai di bawah, tidak kelihatan gadis receptionist semalam. Takpe, aku bersarapan dulu. Setelah beberapa ketika, aku dihampiri seorang pekerja hotel.
Selamat siang. Bus shuttle yang membawa mas ke jeti Sanur akan tiba jam 9 nanti, katanya kepada aku lalu membuatkan mata sepetku terbeliak memandangnya. Waduh, jam 9 Baiklah, terima kasih, aku segera menghabiskan sarapan dan bergegas ke bilik untuk mengambil backpack. Mujur aku ni jenis tak punggah semua barang keluar dari beg, maka tak perlulah berkemas sangat. Cuma mengambil beberapa helai seluar dalam dan pakaian yang tersidai di beranda.
Kembali menuruni lobi, gadis semalam juga ada cuma tidak memakai uniform. Dia sudah habis shift tapi dia tetap menguruskan perjalanan aku ke Nusa Lembungan.
Macam ini baru calon employee of the month. Aku ucapkan kepadanya dan membuat bayaran. Tepat jam terima kasih 9, shuttle bus yang dikhabarkan sampai. Shuttle bus yang dimaksudkan hanyalah mini van. Cuma aku seorang yang menaikinya menuju ke jeti Sanur. Terasa istimewa pula kerana hanya ada aku seorang saja. Supir yang membawa aku itu pun menyerahkan tiket jeti kepada aku.
Aku tiba di jeti. Ramai pelancong yang menunggu bot. Backpackku direbahkan di atas tanah dan aku duduk, minum air Nescafe tin sambil merokok. Kedai runcit berhampiran memasang lagu. Lagu yang agak aku cam. To all my friends, present past and beyond
Especially those who werent with us too long
Life is the most precious thing you can lose
While you were here the fun was never ending
Laugh a minute was only beginning
Mendengar sebahagian lirik maka aku syak ini lagu Pennywise bertajuk Bro Hymm. Lagu tentang friendship. Moleklah tu dengar lagu ni time aku baru hilang kawan. Ironi rasanya.
Sambil melayan lagu, aku termenung. Di sebalik cermin mata hitam, aku terlihat kelibat yang agak dikenali. Dari jauh aku lihat kelibat itu. Aku tundukkan sikit kepala dan lihat dari celahan cermin mata hitam. Itu macam Haeri je. Bisikku dalam hati. Dia mungkin tidak perasan. Aku pula rasa hendak menuju ke arah dia tapi teragak-agak. Jangan salah orang sudah. Monologku sendiri. Kalau memang dia, terfikir pula perbalahan hari itu.
Setelah menarik nafas dalam-dalam, aku persetankan saja konflik yang berlaku. Backpack aku galas kembali dan menuju ke arah Haeri. Haeri pula secara tidak sengaja telah mengalih pandangan ke arah aku dikala aku menapak ke arahnya.
Oi! aku mula bertegur.
Oi! balas Haeri pendek. Mungkin kami masih terkesan dengan perbalahan tempoh hari.
Gi Lembungan gak ke aku bertanya memecah tembok kejanggalan.
Haah, balas Haeri. Selepas itu perbualan kami mati seketika. Krik... krik... punggung aku digaru walaupun tidak gatal, cuma memikirkan bagaimana nak menjernihkan kembali keadaan.
Pasal hari tu, aku mintak maaflah. Aku emo lebih, lidahku meluahkan apa yang terbuku di hati. Haeri kemudian memandang aku.
Takde apalah. Aku pun sorry jugak. Aku pun emo hari tu. Lagipun nak gaduh lama-lama pun tak guna. Kau kawan aku jugak. Kat Malaysia kang jumpa lagi, panjang pula Haeri berkata-kata. Aku tergelak.
Haha.. terasa bangang pulak. Mungkin haritu penat sangat kot. Fizikal dan mental penat, tak boleh fikir betul-betul, tu yang gaduh. Padahal mende bodoh je, aku berbicara sambil Haeri menghulur tangan. Salamnya disambut dan kini aku pasti persahabatan ini sudah kembali dibaiki. Mudah saja nak berbaik bila bergaduh dengan kawan ni. Buang ego masing-masing. Pergaduhan yang berpanjangan kebanyakannya disebabkan ego yang tinggi dalam diri masing-masing. Kerana ego kita mengenepikan segala baik buruk yang pernah dilalui bersama. Masingmasing jadi seorang yang pentingkan diri sendiri.
Kau lepak mana je sorang-sorang dua tiga hari ni Dapat makwe bule ke Hehe, selorohku.
Lepak hotel apa tah. Hehe... soalan seterusnya tu, mana ada. Takat sembang-sembang je adalah. Haha, balas Haeri. Namun aku tahu Haeri ni adakala buat sesuatu perkara secara diam-diam.
Lepak Kuta ni lama-lama serabut kepala lah! Tu aku nak gi Lembungan. Kau pulak camne boleh nak gi Lembungan gak Haeri bersuara lagi.
Semalam aku lepak sini, ada orang cakap pasal Lembungan pastu aku teringat video yang kau tunjuk. Aku pun terus beli tiket. Lagipun kita memang plan nak gi situ kan, rancak pula perbualan kami. Kemudian perbualan kami terhenti apabila terdengar orang memanggil pelancong yang hendak ke Nusa Lembungan untuk segera menaiki bot. Kami bergegas pergi. Kini kami kembali mengembara bersama.
NUSA LEMBUNGAN
BALI, INDONESIA
Kami tiba di Nusa Lembungan pada petang hari dengan menaiki bot laju. Air lautnya sungguh jernih menghijau dihiasi pasir putih di tepian pantai. Beberapa penduduk tempatan pula sedang mengangkut rumpai air untuk dibawa berjemur. Kelibat warga asing juga kelihatan sedang bermain di pantai. Udara di sini lebih segar dan suasananya jauh lebih tenang dari Kuta.
Aku dan Haeri berjalan mencari tempat tinggal baru. Nusa Lembungan adalah sebuah pulau kecil di daerah Bali. Nusa di dalam bahasa Bali bermaksud pulau dan terdapat dua nusa lagi selepas Lembungan iaitu, Nusa Ceningan dan Nusa Penida. Tiga pulau ini terpisah dari tanah besar Bali. Satu-persatu tempat tinggal kami survey harga dan akhirnya kami memilih sebuah tempat tinggal tak bernama kerana harga yang ditawarnya paling murah. Rp100,000 semalam. Lodge ini baru dibina rasanya kerana terdapat buruh-buruh yang sedang menyiapkan hiasan kolam renang dan restorannya masih belum dibuka sepenuhnya. Signboard nama pun takde lagi.
Setelah meletakkan barangan di bilik, kami berjalan kaki untuk bersiar-siar di tepi pantai sambil mengusha tempat-tempat menarik di sini. Kami juga merancang untuk menyewa sepeda motor esok hari untuk merayau lebih jauh lagi. Sedang hari menjelang petang, kami memikirkan apa aktiviti yang boleh dibuat hari ini.
Kau nak try surfing Haeri bersuara sebaik kami melabuhkan punggung di atas sampan yang terlingkup di tepi pantai.
Nak try tapi tu la lutut aku ni masalah sikit nak main mende-mende yang perlukan kestabilan kaki. Tapi kalau kau nak try, kau try je la. Aku mungkin main surfboard yang ada dayung tu, aku membalas sambil tangan aku menunjukkan seorang minah saleh yang bermain surfboard dengan pendayung.
Kalau macam tu, aku try surfing, kau try main mende tu. OK Haeri memberi cadangan.
OK jugak tu. Jom! lalu tempat menyewa surfboard kami tuju. Bayaran yang dikenakan adalah Rp70,000 sejam untuk standup paddleboarding manakala Rp150,000 untuk surfboard. Haeri yang nak surfing bertukar fikiran kerana terasa agak mahal. Maka kami menyewa standup paddleboard untuk dua jam. Barulah aku tahu apa jadah menatang ni dipanggil.
Board yang kami sewa diusung ke pantai. Agak berat juga. Sebaik mencecah air, kami berlagak seperti seorang surfer dengan berbaring di atas papan tersebut dan menolak air dengan tangan untuk ke depan. Dayungnya diapit di celah ketiak masing-masing. Sudah ke tengah sedikit, kami berdua cuba berdiri di atas papan tersebut memandangkan airnya yang tenang. Tiba-tiba terdapat ombak kecil melanggar papan kami dan tidak sampai 10 saat berdiri kami sudah terjatuh ke dalam air. Ombak kecil saja sudah menjatuhkan kami, inikan pula ombak besar. Entah macam manalah nasib. Namun apa-apa pun kena cuba juga surfing satu hari nanti. Hidup memang menuntut kita mengatasi ketakutan.
Dengan Standup paddleboard itu aku menyusuri pantai dari timur ke barat dan sebaliknya. Walaupun namanya Standup paddleboard, aku main macam kayak. Aku tak berdiri kerana kesukaran lutut aku untuk stabilkan diri. Haeri sekali-sekala berdiri dan adakala berbaring. Sambil-sambil itu juga dia merakam sesuatu dengan henfonnya yang dipasang underwater case. Aku terasa penat dan penatnya memang rasa seperti berkayak. Kerana kepenatan, aku melepet di atas board.
Rasa ingin mencuba masih menebal di dalam hati. Aku sekali lagi cuba berdiri mengimbangkan diri di atas papan tersebut. Masuk saat kelima sekali lagi terjatuh ke dalam air laut. Agak dalam sedikit. Aku cuba berenang menuju ke board namun rasa tersangkut. Tali yang mengikat kaki kanan aku kepada board sedang tersangkut di celah rumpai laut yang berada di dasar. Aku tenangkan diri walaupun sebenarnya dah panik. Tali itu aku tarik-tarik dan berjaya melepaskan diri. Dah panik sikit, tersedut pulak air laut. Cepat-cepat aku timbulkan diri. Tiba-tiba board aku ditolak dan kepala aku terhantuk di board tersebut. Haeri menolak papan itu mendekati aku untuk membantu. Aku segera menaiki board dan melepet. Tergelak Haeri melihat aku yang sudah lega daripada panik. Perasaan lega dari panik ini juga membuatkan aku tergelak.
Selepas dua jam dan hari sudah mahu senja, kami memulangkan kembali board. Berjalan kembali menuju ke tempat tinggal kami, sempat juga bertanya mengenai sewa motor. Bayaran sewa berjumlah Rp50,000 sehari. Bahagi dua jadi Rp25,000. Dengan ini kami memutuskan untuk menyewanya mengelilingi pulau esok hari.