Semuanya bermula kira-kira enam tahun lalu apabila puas aku berfikir di mana mahu melepak malam-malam. Kadang-kadang, aku pening juga hendak cari port untuk minum teh di tepi jalan. Aku bertuah mempunyai seorang sahabat satu sekolah bernama Azry. Dulu, dia ketua pengawas di sekolah, akupun tak sangka apabila sudah besar dia memilih untuk menjadi seorang chef. Kami berjumpa semula di Kuala Lumpur dan kebetulan pada waktu itu Azry sedang mencari peluang buat bisnes. Aku terus mengajak beliau untuk bersama-sama membangunkan Tudia! Char Kuey Teow. Beliau bertanggungjawab penuh untuk menjaga dan mengawal selia di dalam bahagian operasi. Aku pula mesti membangunkan jenama ini agar dikenali dan mengembangkan bisnes ini ke banyak lokasi.
Aku takkan buat sesuatu bisnes tanpa rancangan jangka panjang. Aku tak perlukan orang yang rajin dan pandai cakap. Cukuplah ada seorang dua yang faham cara kerja aku, amanah dan jujur dalam setiap tindakan. Aku bukan mahu kaya seorang, aku mahu buat bisnes dan kaya bersama-sama. Kalau diikutkan logik akal orang ramai, berapa sangatlah pendapatan yang kami dapat daripada bisnes di tepi jalan begini. Tetapi duit bukan matlamat aku, ia lebih jauh berbanding itu. Aku mahu membuktikan kepada diri sendiri bahawa perniagaan makanan di tepi jalan juga boleh menyumbang kepada pendapatan harian yang baik. Bisnes begini memberi aliran tunai harian.
Maka, selepas beberapa hari perancangan, wujudlah sebuah warung bahagia yang terletak di tepi jalan berhampiran Stesen Minyak Petron, Putra Heights Subang Jaya. Lokasi ini masih wujud beroperasi dari awal sehingga kini. Pada fasa awal perniagaan, aku sendiri banyak menghabiskan masa di warung. Isteri aku pula sibuk ke pasar hampir setiap hari untuk membuat belian barangan keperluan warung. Aku sendiri yang menggoreng char kuey teow pada awal-awal bisnes dulu woi. Sebelum aku serahkan senduk hikmat itu kepada pekerja, aku mesti mahir dahulu. Begitu juga dengan Azry, beliau orang yang paling sibuk menurunkan ilmu kepada pekerja kami dan menguruskan bisnes ini setiap hari. Aku cakap pada Azry, ini bisnes kau juga bukan bisnes aku seorang.
Perkara paling mencabar dalam perniagaan warung begini ialah bahagian operasi. Hendak mencari budak kerja dan menguruskan budak-budak bekerja juga bukanlah perkara senang. Kau faham-faham sajalah kalau ambil budak Melayu bekerja, maaf cakap. Pemalas ini Tuhan saja yang tahu, mereka cuma rajin masa awal-awal sahaja. Tetapi, aku tak kisah sangat pun, itulah cabaran yang aku harus tempuh untuk membangunkan anak bangsa. Sampai sekarang aku masih memilih orang kita untuk bekerja walaupun mereka datang dan pergi macam chipsmore. Bukan setakat gaji, malah kau kena belai mereka ini setiap hari. Aku serahkan semua tugas ini kepada Azry, dia memang pandai bab mengurus manusia.
Di dalam tahun pertama pembukaan warung Tudia! Char Kuey Teow, aku amat bersyukur apabila kami berjaya menarik perhatian begitu ramai pengunjung ke warung. Bukan itu sahaja, malah ada ramai juga blogger yang menjadikan lokasi ini sebagai lokasi berhimpun dan buat program. Aku menjadikan platform tajaan sebagai salah satu cabang pemasaran. Kami menaja menu makanan untuk beberapa program besar demi meluaskan jenama. Apabila orang makan sedap dan tanya di mana mahu dapat lagi Kami akan memberitahu mereka lokasi warung. Mula-mula kau makan percuma, bila sedap kau akan cari lagi, kan Masa kau makan seterusnya itu barulah aku buat untung.
Pernah juga beberapa kali dalam setahun aku buat makan-makan percuma. Aku jemput semua rakan facebook untuk datang ke warung makan free. Huru-hara jugalah jadinya keadaan di warung kami. Aku suka apabila melihat semua orang makan sampai licin pinggan, yang menambah tak usah cakaplah. Aku gabungkan semua pengalaman berkuli bersama Abang Lan sewaktu zaman sekolah dulu dan Kak Nor Bihun Sup untuk perniagaan ini.
Hari ini, Tudia! Char Kuey Teow berkembang ke banyak lokasi di seluruh Malaysia. Dari Alor Setar sampailah ke Sabah dan Sarawak. Terbaru, kami akan buka cawangan di Tamparuli, Sabah dan Labuan. Kami juga mendapat liputan TV Al Hijrah, Astro dan TV Selangor. Kau boleh google Tudia Char Kuey Teow untuk melihat review pelanggan dan mendapat lebih banyak info mengenai kami. Seperti yang aku cakap tadi, aku tidak akan membangunkan bisnes untuk jangka masa pendek. Aku akan melihat sebuah start-up itu mampu berkembang lebih jauh dengan pelbagai cara. Sekarang, aku dan Chef Azry gigih membangunkan seberapa ramai usahawan yang mahu berniaga char kuey teow bersama kami. Dengan modal permulaan yang minimum, sesiapapun boleh berniaga warung begini tanpa pening kepala.
Untuk perancangan jangka masa panjang, kami dalam proses membuka kilang pemprosesan kecil untuk menyiapkan kicap char kuey teow untuk edaran di seluruh Malaysia. Siapa cakap berniaga di tepi jalan tak boleh bagi kebahagiaan Daripada kau melebur berpuluh ribu ringgit untuk bisnes yang entah apa-apa, baik kaubuka warung. Puas hati!