Gadis Kebaya Merah - 23
BAB 23

KUDIN sudah kembali ke Kuala Lumpur semula. Dia perlu bekerjasama dengan Ana Dahlia mencari Senah dan Anum yang sudah hilang hampir dua minggu. Sebaik menerima panggilan dari Ana Dahlia, Kudin terus ke tempat yang dijanjikan. Dia tahu ada sesuatu yang penting gadis itu ingin sampaikan.

Sebaik tiba di sebuah restoran, Kudin meninjau sekitar restoran. Ana Dahlia sudah tersenyum kepadanya dari sebuah meja di sudut hujung restoran itu. Dia mengatur langkah laju ke tempat Ana Dahlia.

"Maaf, saya terlambat sikit." Kudin melabuhkan punggung di kerusi. Helmet diletakkan atas meja. Dengan keadaan jalan yang sesak begitu, dia lebih suka menunggang motorsikal.

"Tak apa..minum dulu." Ana Dahlia menyua segelas jus oren kepada Kudin.

Kudin senyum. Nampaknya gadis itu sudah tahu minuman kegemarannya. Dia meneguk jus oren seketika.

"Hmm..ada hal penting apa awak nak jumpa ni Nak balas cinta saya ke" Kudin senyum nakal. Sengaja dia buat lawak tapi dalam hati hanya tuhan yang tahu betapa dia inginkan jawapan 'ya' dari gadis itu.

"Awak ni..bukan hal tu la. Kawan saya dah hilang ni. Dah tiga hari." Ana Dahlia mula berterus terang.

"Siapa" Kudin cuba kawal diri. Dia sudah tahu siapa yang dimaksudkan oleh Ana Dahlia tadi.

"Dia kawan polis saya. Awak boleh tolong saya tak" Ana Dahlia mula rasa serba salah. Dia tidak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan Kudin tentang kerjayanya.

"Tolong macam mana"

"Kawan saya tu sepatutnya ada operasi esok. Sekarang ni dia pula hilang. Saya rasa awak kenal dia..sebab dia sekampung dengan awak.." Ana Dahlia berkata berhati-hati.

"Hmm..ramai yang sekampung dengan saya.." Kudin senyum. Jus oren diteguk lagi.

"Nama dia Jailani..awak kenal kan" Ana Dahlia pandang Kudin.

Kudin tersedak. Dia cepat-cepat sapu mulutnya dengan sapu tangan yang diambil dari poket seluar.

"Oh Jai..." Kudin cuba mengawal riak. Dia senyum lagi. Bermakna Jai adalah seorang pegawai polis. Begitu cekap Jai menyimpan rahsia selama ni. Bila ditanya, Jai hanya menjawab kerja sebagai kuli.

Wajah Ana Dahlia ditatap seketika. Jelas di wajah gadis itu ada riak gelisah. Mungkin risau dan bimbang tentang kehilangan lelaki idamannya. Macam mana gadis itu kenal Jai Sehingga hari ini, dia sendiri tidak tahu ke mana Jai menghilang selepas dia, Jai dan Jo berada di tebing sungai dulu. Tiba-tiba saja Jai dan Jo lenyap.

"Awak tahu dia ke mana" Ana Dahlia mula teruja.

"Sebenarnya...saya pun tak tahu dia hilang ke mana. Tiga hari lepas, kami ke satu tempat mencari Senah dan Anum. Kawasan tu dekat dengan sebatang sungai. Jo yang tunjuk kawasan tu. Entah kenapa, tiba-tiba Jo dan Jai hilang. Saya rasa mereka mungkin sudah masuk ke alam lain.." Kudin cuba meneka.

"Alam lain Maksud awak" Ana Dahlia sudah tercengang.

"Alam bunian. Mereka hilang tiba-tiba." Kudin mula pandang Ana Dahlia yang sudah membuntang memandangnya dari tadi.

"Jadi..Senah dan Anum tu juga masuk ke alam bunian" Ana Dahlia menelan liur. Wajahnya sudah pucat.

Kudin mengangguk perlahan.

"Habis tu macam mana ni" Ana Dahlia sudah menggelabah. Apa yang dia perlu beritahu kepada Detektif Razif nanti Takkan lelaki itu percaya dengan perkara macam tu

"Sekarang ni kita kena usahakan mereka tu dapat keluar dari alam tu. Macam mana, saya pun tak tahu. Mereka tidak boleh dibiarkan berada di situ. Alam kita dengan alam bunian lain." Kudin menghela nafas seketika.

Ana Dahlia terdiam. Dalam benaknya penuh dengan persoalan. Tentang operasi esoknya, tentang Senah dan Jailani lagi yang kini sudah sama-sama berada di alam bunian.

"Kita kena cepat." Kudin bersuara lagi setelah melihat Ana Dahlia diam dari tadi. Mungkin gadis itu cemburu bila Jai dan Senah bersama-sama berada di alam bunian itu.

"Hmm..baiklah. Bila kita nak cari Nak minta bantuan siapa" Ana Dahlia pandang Kudin yang asyik memandangnya dari tadi.

"Saya kenal seseorang yang arif tentang alam bunian ni. Petang ni kita jumpa orang tu." Kudin mengusul cadangan.

"Okey!"

Kudin dan Ana Dahlia mula menikmati makanan bersama. Kudin pula masih menunggu jawapan dari gadis itu. Perbualan mereka lebih berkisar hal kerja dan kehilangan Senah dan Anum. Kudin tidak berani bertanya lebih soal hati dan perasaan ketika ini.

PULANG dari restoran berjumpa Kudin tadi, Ana Dahlia segera ke balai polis. Dia perlu maklumkan pada Detektif Razif tentang kehilangan Detektif Jailani. Berita yang diterima dari Kudin tadi cukup membuatnya merasa gundah. Segala persoalan bermain di benaknya. Detektif Jailani hilang ke alam bunian dan yang lebih tidak sangka, Senah juga ada sekali di alam itu. Apa yang menjadi masalah padanya adalah, apakah yang harus diberitahu pada Detektif Razif jika lelaki itu bertanyakan hal detektif muda itu nanti. Apa alasan yang harus diberikan

"Hmm..termenung panjang nampak Sampai saya dah tercongok kat depan ni awak tak sedar" Detektif Razif senyum melihat Ana Dahlia dari tadi menopang dagu sambil mata menatap skrin komputer. Entah apa yang ditenung pada skrin kosong itu.

"Oh tuan!" Pantas saja Ana Dahlia bingkas bangun dan memberi tabik hormat.

"Ada masalah ke" Sekali lagi Detektif Razif bertanya.

"Err...jadi ke operasi esok" Ana Dahlia mengalih topik.

"Kalau cukup team, kita boleh mula esok."

"Maksud tuan..Detektif Jailani kena ada sekali" Ana Dahlia sudah menggelabah.

"Ya! Dia akan mengetuai operasi ini. Saya akan ikut sekali. Kenapa"

Ana Dahlia semakin resah. Detektif Jailani masih tidak ditemui dan kalau benar lelaki itu hilang di perkampungan orang bunian, bermakna operasi yang akan bermula esok mungkin diteruskan tanpa lelaki itu.

"Ehem!"

Ana Dahlia mendongak. Rupanya dia sempat mengelamun sebentar tadi. Detektif Razif dilihat sudah tersengih di depannya. Dia cuba beriak selamba.

"Awak ni..macam ada masalah. Ada yang tak kena ke Atau awak belum bersedia memikul tanggungjawab ni" Detektif Razif pandang Ana Dahlia yang sudah kelihatan gelisah.

"Bukan macam tu tuan tapi kalau tanpa Detektif Jailani, kita pun boleh teruskan operasi ni kan" Ana Dahlia cuba mencari alasan yang logik pada fikiran akalnya agar tidak ketara pada pandangan Detektif Razif.

"Boleh tu memanglah boleh tapi saya sudah arahkan Detektif Jailani untuk menilai awak semasa operasi itu nanti. Hanya dia saja yang layak untuk tugas itu. Sambil tu operasi itu tetap akan diteruskan." Jelas Detektif Razif. Muka Ana Dahlia dilihat sudah berkerut.

"Err...sebenarnya..Detektif Jailani sudah tiga hari hilang tuan. Saya pun tidak tahu dia pergi ke mana. Saya sudah tanya kawan-kawan dia dan juga keluarga dia tapi mereka pun kata tidak tahu." Ana Dahlia terpaksa juga berterus terang.

"Hilang" Kali ini Detektif Razif pula tercengang.

"Ya tuan!"

"Macam mana boleh hilang Takkan dia MIA Dia bukan tak tahu, esok adalah operasi penting. Sindiket haram yang diketuai Taiko Chong itu adalah dikira agak besar. Pihak Bukit Aman juga sudah maklumkan hal ini pada saya. Apa dia ingat benda ni main-main" Suara Detektif Razif sudah tinggi.

Ana Dahlia menelan liur. Begitu tegas Detektif Razif berkata-kata. Dia sendiri tidak berani menjawab sembarangan. Wajah lelaki itu dilihat sudah berubah riak. Serius!

"Dia bukan sengaja tuan! Sebelum dia hilang, dia sudah maklumkan pada saya dan mengingatkan saya tentang hal ni. Jadi, tidak masuk akal kalau dia sengaja mengelak dari operasi ni. Saya rasa dia dalam kesusahan." Ana Dahlia cuba pertahankan Detektif Jailani.

Detektif Razif diam seketika. Dia mengusap dagu. Sesekali dia melihat riak Ana Dahlia yang masih berdiri di depannya.

"Hmm...kesusahan macam mana maksud awak"

"Kudin yang beritahu saya tiga hari lepas, dia dan Detektif Jailani pergi ke sebuah hutan kecil berdekatan sebatang sungai mencari Senah dan Anum yang dilaporkan hilang dulu dan dipercayai mereka melarikan diri dari tempat kurungan itu." Jelas Ana Dahlia setelah melihat Detektif Razif sudah mula bertanya tentang hal itu.

"Macam mana dia tahu Senah dan Anum tu berada di situ" Detektif Razif merenung tajam ke arah Ana Dahlia.

"Saya pun tidak pasti tuan. Itu yang diberitahu Kudin pada saya tadi. Dia rasa Detektif Jailani sudah masuk ke alam bunian." Terpaksa juga Ana Dahlia bercerita hal mistik itu.

"Apa Alam bunian Mengarut!!" Detektif Razif sedikit tergelak.

Ana Dahlia terdiam. Dia sudah mengagak yang Detektif Razif tidak akan percaya pada benda itu semua. Sia-sia saja dia beritahu hal itu tadi.

"Tak apa. Kita tunggu sampai esok. Kalau Detektif Jailani tidak muncul juga, kita teruskan operasi ni. Saya akan mengetuai operasi ni nanti." Detektif Razif mula berlalun pergi dengan senyuman sinis.

Ana Dahlia menghela nafas lega. Riak Detektif Razif tadi seperti menyindirnya tentang hal mistik itu.Ah! Dia belum lagi jumpa dan lihat dengan mata kepalanya sendiri. Memanglah tak akan percaya semua ni! Hati Ana Dahlia membentak. Dia kembali duduk semula. Petang nanti, dia akan berjumpa Kudin sekali lagi. Dia jeling telefon bimbitnya yang sudah berdering. Nama Kudin di skrin telefon bimbitnya. Dia senyum. Panjang umur lelaki itu. Lantas dia menjawab panggilan itu. Sesekali dia berkerut kening. Talian diputuskan.

"Hmm...orang yang boleh membantu tu tak dapat datang pulak. Takkan nak tunggu esok" Ana Dahlia garu kepala yang tidak gatal.

KUDIN sandar di kerusi empuknya. Rancangannya untuk ke tempat sungai itu semula terpaksa dibatalkan. Tok Imam Ngah tidak dapat hadir. Ada kenduri tahlil di kampung. Kebetulan ada kematian semalam. Tok Imam Ngah hanya dapat datang esok saja. Dia memandang siling pejabatnya sekali lagi. Otaknya ligat berfikir tentang kehilangan sahabat sekampungnya ke alam bunian itu.

"Hmm...sudah tiga hari Jo dan Jai berada di sana. Mungkin mereka sudah jumpa Anum dan Senah." Teka Kudin sendiri. Mungkin mereka berempat itu sedang berusaha mencari jalan keluar.

"Jangan mereka terpikat dengan puteri bunian sudahlah!" Kudin sengih. Dia banyak dengar cerita yang manusia berkahwin dengan orang bunian dan tidak pulang semula ke alam nyata. Malah sudah beranak pinak di alam sana. Tidak mustahil semua itu boleh berlaku.

"Takkan Senah dan Anum terpikat dengan jejaka bunian jugak" Kudin mula teringat kehilangan Senah dan Anum yang sudah masuk dua minggu di alam itu.

Telefonnya berdering kuat. Kudin jenguk skrin. Panggilan dari Karim dijawab seketika. Habis saja berbual, dia segera capai kunci kereta dan tergesa-gesa keluar dari pejabat. Sempat dia berpesan pada Sofea tentang apa-apa hal di pejabatnya dan semua mesyuarat untuk hari itu dibatalkan. Kudin bergegas ke tempat letak kereta.

Keretanya dipecut laju menuju ke rumah yang dimaksudkan oleh Karim.

Sebaik tiba di laman rumah setelah hampir setengah jam memandu, Kudin keluar dari perut kereta. Dari situ, dia melihat Karim sedang tercegat di muka pintu rumah itu dengan wajah pucat dan cemas.

"Kudin! Cepat!" Laung Karim mengarahkan Kudin segera masuk ke dalam rumah.

Kudin terus melangkah laju ke rumah itu. Itulah pertama kali dia menjejakkan kaki ke rumah itu yang agak jauh dari rumah penduduk yang lain. Sekitar laman pula agak menyeramkan dengan rumput dan lalang tinggi dan pokok menjalar sudah memanjat dinding rumah yang berlumut. Dia mengekori Karim yang sudah masuk ke satu bilik. Rumah setingkat itu mempunyai dua bilik saja.

"Ada apa Karim" Kudin tolak daun pintu yang tertutup tadi. Sebaik menjenguk ke bilik itu, terbeliak dia melihat Chad terlentang berlumuran darah. Muka Chad sudah pucat, bagai tiada lagi darah merah mengalir dalam tubuhnya.

"Chad! Tadi aku ke rumah ni." Karim mendekati Chad yang masih terlentang di situ.

Kudin turut menghampiri Chad dan meletakkan jari telunjuknya di hidung Chad. "Dia masih hidup! Cepat kita bawa dia ke hospital!"

Kudin dan Karim mula mengusung tubuh Chad yang sudah lembik itu memasuki kereta Kudin dan menderum laju menuju ke hospital berdekata. Sebaik tiba di hospital di bahagian kecemasan, Chad segera diberikan bantuan kecemasan dan disorong masuk ke bilik kecemasan dan Chad diberi bantuan oksigen. Kudin dan Karim hanya menunggu di luar.

"Macam mana dia boleh jadi macam tu" Kudin mula bertanya Karim. Tadi dia tidak sempat bertanya apa-apa pada lelaki itu.

"Entah...mungkin dia cuba bunuh diri." Karim teragak-agak menjawab. Dia tahu Chad mungkin bertarung dengan seseorang semasa memuja foto Puan Karina di bilik itu. Masa dia mula masuk ke bilik itu tadi, jelas dia melihat foto Puan Karina dan patung diletakkan dalam bekas kemenyan yang telah diasapkan.

"Tak mungkin. Aku kenal Chad. Dia bukan lelaki macam tu. Tentu ada sesuatu yang tidak kena. Tadi aku perasan, ada bekas kemenyan, seolah tempat pemujaan..patung kecil tu.." Kudin pandang Karim tidak berkelip. Dia syak, Karim menyembunyikan sesuatu darinya. Karim mungkin mengetahui sesuatu tentang Chad yang tidak diketahuinya selama ini.

Karim terpaksa membongkar rahsia Chad walaupun dia pernah cuba beritahu Kudin tentang siapa Chad sebenarnya. Segala apa yang berlaku bermula dari foto Puan Karina yang dicuri Chad sehinggalah pada malam Chad memuja dan membaca jampi mentera di bilik itu. Masih segar di ingatannya, kerana terlalu ingin tahu, dia mengekori Chad ke rumah itu dan sanggup bersengkang mata semata-mata untuk melihat sendiri apa yang Chad cuba lakukan dengan foto Puan Karina itu. Ternyata apa yang dilihatnya pada malam itu sungguh menakutkan dan lebih mengerikan, Chad menikam dadanya sendiri dengan sebilah keris lama yang telah diasapkan dan dibaca mentera. Dari celah tingkap yang pecah sedikit, jelas dia melihat Chad berlawan dengan sesuatu sehingga terpelanting beberapa kali ke dinding. Namun ilmu Chad sungguh kuat, dia dapat menepis pihak lawan dengan hanya menyembur abu dari satu bekas yang pernah diberitahu oleh Chad dulu, abu itu adalah abu dari babi hutan yang disembelih dan darah babi itu dikeringkan dan disapu pada patung.

"Ya Allah..sampai begitu sekali Chad buat kerja syirik tu" Kudin mengucap beberapa kali. Beristighfar berkali-kali.

Karim mengangguk. " Ya..dan selepas aku melihat ada jelmaan perempuan yang pakai baju kebaya merah muncul di situ, aku terus terdiam. Terkencing aku di situ. Apa lagi bila aku tengok Chad capai keris dan menikam dadanya sendiri selepas itu. Aku apa lagi, aku terus cabut dari situ! Tak sangka, Chad dah rebah dan pengsan macam ni. Tadi, aku tergerak hati nak jenguk Chad kat rumah tu."

"Maksud kau..gadis kebaya merah" Kudin membuntang.

"Ya..kenapa" Karim pula tercengang melihat Kudin sudah terkejut begitu.

"Jadi...jelmaan itu sudah membalas perbuatan Chad padanya..." Kudin berkata perlahan.

"Dia dibunuh dengan kejam dengan cara sihir. Badannya ditoreh-toreh dan dicakar sehingga berdarah dan mayatnya dihumban ke dalam kolam kumbahan di kampung Pinang Patah." Kudin menjelas perkara sebenar.

Karim tunduk. Ya..betul. Aku tak sangka Chad berkeras nak teruskan semua ni."

Kudin turut mengangguk.

"Aku tak salahkan Chad dalam hal ni. Dia hanya nak balas dendam atas apa yang mereka telah buat pada mak Chad. Kalau aku berada di tempat Chad pun, aku akan marah. Kau bayangkan, mak Chad diberi suntikan dadah yang boleh merosakkan otak dan saraf. Sebab itulah mak Chad jadi gila. Ubat tu disuntik setiap hari. Macam penagih dadah tu! Dan Chad juga cerita kat aku yang Hanimlah yang buat kerja tu semua atas arahan Puan Karina. Hanim dan Puan Karina, dua-dua gila duit! Memang patut mereka jadi mangsa dendam Chad. Sekarang ni aku tak tahu nasib Puan Karina. Malam tu Chad puja foto Puan Karina." Jelas Karim lagi.

Kudin terdiam. Bermakna malam Puan Karina dirasuk itu adalah semuanya kerja Chad! Dan segala apa yang diceritakan oleh Karim tadi ke atas Hanim, perkara sama juga berlaku pada Puan Karina. Dari apa yang diperhatikan pada malam itu, Tok Imam Ngah berpeluh-peluh melawan ilmu orang yang cuba menyihir Puan Karina. Bermakna ilmu Chad juga adalah tinggi dalam sihir ini.

"Tak sangka kau Chad. Kenapa kau pilih jalan hitam macam ni" Kudin meraup muka. Kini dia mula sedar betapa dendam kesumat boleh membawa kepada perlakuan syirik jika tidak kuat iman. Apa yang berlaku pada Chad juga adalah disebabkan Chad sendiri sejak dulu kurang didikan agama. Mak dan ayah Chad bercerai ketika Chad berusia sepuluh tahun. Selepas tamat SPM, Chad melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti di ibu kota. Selepas Chad mendapat kerja, Chad bawa ibunya sekali ke sana. Apa yang paling dia tidak sangka, ibu Chad bertemu jodoh dengan arwah ayah, tengku Muzafar.

"Maaf..siapa Kudin"

Kudin dan Karim serentak berpaling. Seorang jururawat sudah tercegat di depan mereka dengan uniform putih.

"Saya. Kenapa nurse" Kudin bingkas bangun.

"Pesakit yang Encik Kudin bawa tadi kekurangan banyak darah. Kebetulan darahnya jenis darah A. Bekalan darah di hospital ni sudah habis, jenis O dan A. Kalau encik boleh membantu, kami boleh check jenis darah encik berdua. Kalau tidak ditambah darah, kawan encik mungkin tidak dapat hidup lama kerana dia sudah banyak kehilangan darah yang banyak." Terang jururawat itu.

"Oh..darah saya jenis O. Bolehkan saya menderma" Kudin pandang jururawat itu tidak berkelip.

"Boleh..ikut saya." Jururawat itu mengajak Kudin ke satu bilik.

Di situ, darah Kudin dipindahkan ke badan Chad. Karim pula hanya melihat kerana darahnya adalah dari jenis B. Dia tidak boleh menderma. Selesai menderma, Kudin dan Karim mula beredar dari hospital. Esok, dia perlu melawat Chad. Dia perlu tahu dari mulut Chad sendiri tentang apa yang telah berlaku.