PERSEPSI TERBIAR SEPI - 23
WAHAI insan istimewa pilihan Allah yakni insan yang sedang diuji. Pujuklah hatimu andai dugaan yang mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak menyeksamu.

Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doadoamu, bukan Dia tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu. Sangat menyayangimu.

Masakan tidak, daripada berbilion manusia di muka bumi ini, engkau pilihan-Nya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali kepada-Nya.

Mungkin selama ini, kau lalai daripada mengingatiNya dengan sebenar-benarnya. Mungkin selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan kepadamu.

Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambah dengan keluhan.

Maka, muhasabahlah.

Wahai calon penghuni syurga,

Maha Suci Allah yang menguasai segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.

(QS al-Mulk 67:1-2)

Pujuklah hatimu andai dugaan yang datang itu seakan bertubi-tubi bagimu.

Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan ujian daripada-Nya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau lebih banyak ingat Dia.

Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa memerhatimu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik untuk kehidupanmu.

Perancangan-Nya sungguh berseni dan sungguh sempurna.

Dia tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah sebaik-baik perancang.

Wahai sekalian sahabatku yang sedang memperbaiki diri dan memperbaiki iman. Hidup ini dilingkari seluruhnya dengan limpahan kasih sayang Allah.

Dia beri kau nikmat sepasang mata, kerana kau pilihan-Nya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai selepas ini Dia mengambil nikmat itu

Dia beri kau nikmat sepasang kaki, kerana kau pilihan-Nya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai kakimu patah atau kau disahkan tidak boleh berjalan lagi

Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir berapa ramai manusia yang sakit di hospital amat menginginkan untuk kembali sihat

Bahkan, Dia juga beri kau nikmat duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi.

Tapi sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat qanaah yakni merasa cukup dengan pemberianNya.

Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi di kemudian hari iaitu di akhirat sana.

Percayalah, jalan yang Allah beri tidak akan mengecewakan kita.

Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepadamu dari jalan yang kau tidak sangka-sangka, cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah tidak akan memungkiri janji.

Allah tidak akan mensia-siakan orang yang melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan setiap dugaan daripadaNya.

Jika bukan di dunia, mungkin ganjaranmu di syurga sana. Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakanmu kerana Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi.

Tidak dapat dinafikan ada ketika kau bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sangat sakit. Apatah lagi pada masa itu orang di sekelilingmu seakan tidak memahamimu.

Tidak mengapa duhai hati, sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang sabar.

(QS al-Baqarah 2:153)

Tidakkah ayat daripada-Nya itu menggugah jiwamu Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari

Lihatlah kehidupan ini dengan teliti, Allah mahu kita belajar.

Pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan profesional serta cubalah belajar dari setiap yang kau perhati. Mungkin dari situ kau dapat mengingati Dia.

Ingin saya membawa diri saya dan pembaca semua kepada satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.

Kita bayangkan sebuah rumah. Pembinaan rumah mengambil masa untuk siap. Perlu ada peruntukan kewangan untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya.

Prosesnya juga banyak dan pelbagai. Susun batu bata, mengecat, pasang mozek, dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar.

Dan mungkin ada ketika tukang itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit dan bermacam-macam lagi.

Lihat. Untuk membuat rumah sahaja, mengambil masa dan ada proses-prosesnya yang harus dilalui. Tersalah sedikit, akan memberi kesan kepada rumah kita, bukan

Begitu juga kita dalam kehidupan ini. Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning point untuk kita agar kembali kepada-Nya.

Allah beri tempoh tertentu untuk kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa. Ingat, Allah akan uji kita dengan macam-macam cara, macam-macam keadaan, macam-macam ragam orang. Orang yang berjaya adalah orang yang tetap teguh dengan solat, mereka yang tetap teguh dengan sabar.

Mungkin ada masa kau terduduk seketika, mencari ketenangan daripada-Nya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit dari rasa keputus-asaanmu.

Ada masa kau mampu bertahan, namun ada masa kau rebah, tidak tertahan dan air matamu pun tumpah membasahi pipi. Kau menangis semahumu, kau berdialog semahumu.

Dan Dia adalah saksi segala saksi atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas di dalam hatimu semasa mendepani ujian-Nya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan berlalu pergi.

Dan ada ujian yang lain menanti pula.

Beruntunglah orang yang mendapat ujian daripada Allah.

Amat beruntunglah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan, dia semakin dekat dengan Pencipta, dia semakin ingat Dia dan sekali gus berazam untuk kembali kepada-Nya.

Amat rugilah seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih di takuk yang sama. Mengeluh tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini. Merungut tak henti-henti. Mengadu domba pada dunia seisinya.

Ujian berbentuk kesenangan atau kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan.

Allah menguji setiap hamba-Nya dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa yang tepat.

Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan yang datang. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama ini kita selalu memungkiri perintah-Nya ke atas kita

Amat baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat untuk mendepani hari-hari yang mendatang.

Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah, Dia uji kita bersebab.

Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala kepada kita.

Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diuji-Nya.

Wahai manusia yang mendambakan kebahagiaan di dunia dan di akhirat,

Andai dugaan itu menjengukmu, yakinilah mahu atau tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milik-Nya, maka mohon kekuatan dari-Nya, mengadu segalanya kepada Dia. Bukan kerana kita kena rapat asbab Allah itu Tuhan kita semata-mata, tapi kena rapat dengan Allah, kerana hidup ini sememangnya untuk dekatkan diri dengan Rabb.

Usahakan untuk perbaiki iman. Solat jangan tinggal dan usahakan solat pada awal waktu. Lazimi juga diri dengan istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat atau tak biasa buat seperti solat tahajud, qiamullail, solat Dhuha, sehari selembar al-Quran dan sebagainya.

Dari situ, insya-Allah kau akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha dengan apapun yang terjadi dalam kehidupanmu. Dari situ kau akan rasa, betapa nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam ketaatan untuk beribadah kepada-Nya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang baik. Bukan beratnya ujian yang membuat kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita seakan tidak dapat menanggungnya.

Kita sering tersalah faham. Masalahnya bukan pada ujian itu. Masalah yang sebenar ialah sama ada kita diberi kekuatan dan kemudahan untuk menempuh ujian-Nya. Adakah kita punya cukup makanan dan minuman saat kemarau atau ribut banjir datang kepada kita Jika ada, kita tidak akan tergugat. Kita akan susah jika tidak mempunyai simpanan makanan saat ribut melanda. Tetapi sekiranya Allah membantu kita, semuanya akan menjadi mudah.

Sesungguhnya Allah s.w.t hantarkan kepada kita ujian dan dugaan semata-mata mahu kita kembali dekat dan dekat dengan-Nya. Semua ini semata-mata mahu menyucikan, menguatkan, dan memalingkan seluruh hati kita menghadap-Nya. Yakinlah bahawa Allah tidak akan main-main ketika mahu bersama-sama hambaNya. Cuba telusuri kisah Nabi Adam a.s.

Nabi Allah ini diturunkan ke bumi selepas apa yang dia lakukan. Semua ujian dan dugaan di bumi perlu ditempuhi, tetapi Allah juga sudah berjanji kepadanya,

Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) kamilah yang akan memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

(QS Taha 20:132)

Sebenarnya, doa yang sering saya lantunkan dan yang saya gemari ialah doa yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w ketika Baginda berada di Taif. Ketika tubuhnya bermandi darah dan kulitnya tersiat-siat luka, baginda hanya memohon kepada Allah s.w.t.

Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi seluruh kegelapan dan akan memberikan kebaikan untuk segala urusan dunia dan akhiratku.

Tidak ada langsung ujian yang dihadapi oleh kita semua ini senang untuk ditempuh. Tidak ada langsung! Melainkan Allah memberikan kesenangan kepada kita untuk menempuhinya.

Perlu diingat, ada kalanya akan ada ujian yang memang selalu akan bersama dengan kita tidak kira apa jua jenis ujian itu. Kerana alasannya hanya satu. Agar kita merasa kerdilnya diri, dan perlunya kita bersandar teguh pada Allah semata-mata. Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah bukan

Bersyukurlah kita kerana kita tidak perlu menghadapi ujian getir seperti Nabi Ibrahim a.s yang dicampakkan ke dalam api. Tetapi yang pasti, selalunya kita tidak akan dapat lari dari api yang lain. Api emosi membuta-tuli mahupun orang sekeliling yang mengapi-apikan amarah dan kesabaran kita. Makanya, jangan sesekali kita fikir yang api kita ini tidak boleh disejukkan oleh Allah s.w.t. Renungkanlah, Asiah juga diseksa dengan sekejam-kejamnya tetapi Allah izinkan dia melihat tempatnya di Jannah. Maka dengan itu, terukir senyum di bibirnya.

Sememangnya mata kasar manusia tidak mampu melihat tempat sendiri di Jannah-Nya. Tetapi seandainya Allah berkehendakkan, mata hati kita akan melihat diri kita di samping-Nya. Lantas, semua kesusahan dan kepayahan yang kita tempuh akan menjadi mudah serta-merta. Tidak mustahil untuk kita tersenyum tatkala melalui dugaan dan ujian daripada-Nya.

Bukankah dalam gelapnya malam akan hadirnya bulan yang sudi meminjamkan cahaya Berbahagialah dalam mencintai-Nya.