KEMBARA PENIAGA JALANAN - 23
SEORANG kawan yang aku kenal di China pernah berkata, Ikram, kalau Tuhan menjadikan semua benda di atas muka bumi ini. Tuhan itu mesti ada di China!Aku harap kau cepat tangkap falsafah ini. Memang benar hari ini China mengeluarkan hampir semua barang pengguna dan keperluan di dunia. Hampir apa sahaja benda di rumah kita, di pejabat, di pasar raya, di tepi jalan dan di dalam kereta yang sedang kita pandu, diperbuat di China. Jika dahulu, barang Made in China berada di dalam kelas murah dan tidak berkualiti, sekarang tidak lagi. Cuba kaubuka telefon yang kau sekarang, tengok tertulis Made in China atau tidak

Aku tak mahu cerita tentang fakta nombor lagi, cukuplah kau tahu satu perkara ini. China merupakan antara negara terbesar di dunia serta mempunyai penduduk paling ramai di muka bumi. Ekonomi di China subur dengan jual beli di dalam negara sahaja pun, cukuplah. Mereka sebenarnya tidak perlu mengharapkan belian daripada kita, orang luar. Jika kau pernah ke China, kau lihatlah sendiri bagaimana lautan manusia di sana memenuhi setiap kedai makan, kedai baju, kedai aksesori telefon, kedai basikal dan segala macam kedai yang ada. Dengan populasi yang begitu banyak, kerajaan China juga pernah mengeluarkan perintah larangan kepada pasangan yang berkahwin untuk memiliki lebih daripada seorang anak. Sekiranya kau beranak lebih daripada seorang, kau kena denda yang amat berat. Gila, bukan

Pada hari ini, China menjadi pelopor kepada pertumbuhan besar ekonomi dunia melalui sektor pengeluaran dan pembuatan dalam pelbagai bidang. Daripada lidi pencungkil gigi sampailah kepada komponen pesawat terbang. Semuanya ada dibuat di China. Setakat stoking yang kau pakai dan tak berbasuh seminggu, tak usah cakaplah! Sebagai orang bisnes, kau mesti bijak melihat peluang bisnes yang ada di hadapan mata. Kau tak boleh lagi menjadi orang yang takut dengan momokan seram yang sering kedengaran. Jika dahulu orang berkata: Tak usah pergi China, di sana susah nak berkomunikasi.

Susah di China, nak jumpa makanan halal pun payah.

Pada aku, ini semua penipuan jelas semata-mata. Mungkin kata-kata ini terkeluar daripada mulut orang yang tidak pernah pun ke China ataupun mereka memang tak mahu kau ke China. Faham maksud aku Sekarang kau kena fokus dan fahamkan cerita aku ini betul-betul. Ketika aku mula-mula ke China dulu, aku mengupah jurubahasa di sana untuk menjadi pemudah cara. Satu hari bayarannya, USD100. Aku peduli apa, aku bayar saja untuk kemudahan. Lokasi pertama yang aku masuk dulu ialah Guangzhou. Aku rasa semua orang bisnes kenal Guangzhou dulu barulah ke tempat lain. Walaupun aku pernah ke Hong Kong, Taiwan dan Shensen sebelumnya, Guangzhou tetap lokasi paling baik untuk orang teroka bisnes. Di Guangzhou sahaja terdapat begitu banyak lokasi yang menyajikan pelbagai jenis produk untuk kau beli dan jual semula. Ini juga seni perniagaan jenis trading.

Aku bagi contoh, jika kau minat menjual barangan kulit dan beg tangan. Kau boleh terus saja menuju ke Baiyun Internationa Leather Market. Di sana ada pelbagai barangan berjenama dan tidak berjenama untuk dibeli. Kau pilih sahaja mahu yang mana. Jika kita mahu cari aksesori telefon dan gajet, kita boleh terus menuju ke New Asia Electronic Market. Di sini kau boleh tengok manusia dari pelbagai negara sibuk dengan urusan masing-masing. Kau hendak apa semua ada. Power bank, kad memori, kabel dan segala macam alat ganti telefon ada dijual di sini. Jika kau suka untuk melihat pelbagai jenis kain, kau boleh terus ke Zhongda Textile Market. Di sini sahaja kau boleh muntah hijau kerana pening selepas melihat lautan kain. Apa lagi yang kau mau

Masalah utama orang bisnes yang sampai ke China ini cuma satu sahaja. Bingung! Ya mereka jadi bingung selepas melihat bermacam-macam benda yang boleh dijual terhidang di hadapan mata. Pada asalnya, mungkin mereka merancang untuk membeli aksesori telefon, sampai di China semuanya boleh berubah selepas melihat barangan lain yang banyak dijual di sana. Nasihat aku begini: pertama kali kau ke China, kau niat untuk teroka dahulu. Bawa duit belanja sudahlah, kau pergi ke semua tempat. Duduk lama sikit di Guangzhou, barulah kau tahu banyak perkara. Mana mungkin kau ikut rombongan empat hari tiga malam sudah pandai semua perkara. Paling aku tak faham, kau baru pergi sekali ke Guangzhou selama tiga hari, balik Malaysia terus kau anjurkan seminar untuk mengajar orang memborong di Guangzhou. Kau dah kenapa

Sebelum kau mulakan apa-apa urus niaga, kau buat dahulu kajian melalui proses validasi di Facebook atau paling tidak pun buka mulut bertanya kepada kawan-kawan. Daripada proses ini, kau akan lebih faham tentang apa yang orang mahu beli, barulah kaucuba bawa masuk sedikit demi sedikit. Kau akan buat silap apabila kau keluarkan modal yang banyak memborong produk yang kau sendiri rasa boleh jual.

Kemudian kau hadapi masalah apabila tidak ada orang yang mahu beli. Apa akan jadi dengan stok yang berlambak itu tadi Pergi naik ke China beberapa kali, cuba fahamkan betul-betul suasana kerja dan budaya mereka. Kaji pasaran dan potensi produk-produk baru untuk dijual. Di China, setiap tahun ada berlangsung Canton Fair. Biasanya ia diadakan pada bulan April dan bulan Oktober di Guangzhou. Ini adalah event besar yang sudah dianjurkan berpuluh-puluh tahun. Pada waktu ini, ramai orang bisnes dari seluruh dunia akan datang untuk melihat peluang.

Aku sendiri pun masih banyak belajar mengenai China. Hampir setiap bulan juga aku akan ke China untuk eksplorasi dan menguruskan hal tempahan pelanggan kami. Selain membawa masuk barangan dari China ke Malaysia, aku juga membawa terus barangan dari China ke negara lain. Pada masa sama, aku juga membawa masuk barangan berasaskan makanan dan minuman yang ada di Malaysia untuk masuk ke pasaran China. Ini semua bukan kerja satu malam, ini kerja bertahun-tahun dan memerlukan kesungguhan tinggi.

Kalau kau harap keluar modal hari ini dan berharap untuk jadi kaya esok, lebih baik kau sambung tengok drama TV3. Ingat, China terus laju memacu pengeluaran dan teknologi pembuatan setiap hari. Kita pula mesti selalu mengejar setiap benda-benda baru. Sebab itu aku cakap, apabila kau kenal China, kau sebenarnya sedang mengenal pasar dunia.