RETRO BOLA SEPAK - 23
6 Februari 1958, hampir enam dekad yang lalu, telah berlakunya tragedi menyayat hati dalam sejarah bola sepak, Nahas Udara Munich (Munich Air Disaster). Pesawat tersebut gagal berlepas dengan baik lalu terhempas.

Sebuah pesawat yang membawa penumpang terdiri daripada para pemain dan jurulatih Manchester United terhempas di Munich, mengorbankan 23 orang.

Ia melibatkan 8 orang pemain, 3 staf kejurulatihan, 2 kru pesawat dan 8 orang wartawan.

Ia meragut nyawa sebahagian besar potensi skuad kendalian Matt Busby, yang digelar Busby Babes.

Skuad Manchester United dalam perjalanan pulang selepas seri 3-3 dengan RedStar Belgrade dalam saingan Piala Eropah. Pesawat berhenti di

Lapangan Terbang Munich, Jerman Barat untuk mengisi minyak. Pesawat cuba berlepas, tapi terpaksa diberhentikan sebanyak dua kali gara-gara masalah enjin. Kru pesawat cuba memperbaiki masalah enjin tersebut.

Di luar, salji tebal meliputi kawasan. Angin juga

kuat. Di percubaan ketiga untuk berlepas, pesawat gagal terbang, seterusnya gagal diberhentikan. Di penghujung landasan ia terhempas, lalu merempuh pokok dan rumah di pinggir landasan Munich.

Tumpahan minyak berlaku lalu berlaku letupan meranapkan pesawat, mengorbankan 23 orang serta merta. Kapten Manchester United, James Thain dan penjaga gol Harry Gregg antara yang terselamat berusaha menyelamatkan rakan-rakan lain termasuk lah Bobby Charlton dan Dennis Viollet yang tersepit di tempat duduk.

Seorang wartawan bernama Frank Swift meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Pembantu juruterbang, Kenneth Rayment pula menghembuskan nafas terakhir setelah tiga minggu koma bertarung nyawa. Pemain sayap Duncan Edwards yang sebelum itu mendapat tempat ketiga anugerah Pemain Terbaik Eropah 1957, meninggal dunia selepas 15 hari di hospital.

Jurulatih Manchester United sendiri, Matt Busby mengalami kecederaan parah, namun terselamat selepas diberikan rawatan susulan.

Matt Busby hampir berputus asa untuk meneruskan kerjaya sebagai pengurus Manchester United. Tabah menghadapi dugaan, beliau membina semula skuadnya, generasi kedua Busby Babes. Penjaga gol Les olives bersara serta merta kemudiannya menjadi setiausaha kelab, dan seorang lagi penjaga gol Jack Crompton mengambil tugas membantu Busby melatih skuad Manchester United. Beberapa pemain baharu dibeli dari kelab lain, bakat-bakat muda mula dibentuk. Muncul lah pemain seperti George Best dan Denis Law.

Dan 10 tahun pasca kejadian tersebut, Manchester United memenangi kejuaraan Eropah, di mana antara anggota skuad juara itu adalah mereka yang terselamat dari tragedi Munich 1958 iaitu Bobby Charlton dan Bill Foulkes. Memorial peringatan dibina di Old Trafford, Munich dan Belgrade bagi memperingati nahas tersebut.

Nahas udara Munich hampir sama dengan satu lagi nahas yang berlaku lebih kurang sedekad sebelum itu, iaitu Tragedi Udara Superga yang berlaku pada tahun 1949 ke atas skuad Torino Football Club. Bezanya cuma Tragedi Udara Superga 1949 melumpuhkan sama sekali skuad Torino FC, kerana hampir kesemua anggota skuad termasuk jurulatih terkorban.

Nahas Munich, Manchester

United bangkit bertatih membina skuad. Saat sukar ditempuh, dan legasinya seperti mana yang ada sekarang pada si Syaitan Merah.