ESOKNYA, Kudin kembali ke hospital. Chad sudah ditempatkan di wad di tingkat dua. Kudin melihat Chad masih lemah di atas katil tetapi keadaan Chad sudah ada sedikit perubahan berbanding dengan semalam. Tangan Chad disentuh seketika. Chad dilihat masih lena. Kudin duduk di kerusi yang disediakan untuk pelawat. Dia masih memerhati ke arah Chad yang kelihatan berbalut di bahagian dadanya. Menurut doktor yang merawat Chad semalam, luka akibat tikaman itu hampir-hampir mengenai jantung Chad sendiri.
"Bila aku boleh bercakap dengan Chad ni" Kudin masih pandang Chad yang mula menggerak-gerakkan jemarinya.
"Chad..Chad..aku ni Kudin. Alhamdulillah kau dah sedar.." Kudin pegang tangan Chad. Pipi Chad ditepuk sikit.
Perlahan Chad buka mata. Pandangannya masih kabur. Apa yang dilihat di sekitar masih samar. Matanya beralih pada satu susuk tubuh di sebelah katilnya. Lama dia melihat susuk tubuh itu.
"Aarrghh..." Chad cuba bangun tapi kesakitan di bahagian dadanya masih terasa. Pantas saja tangannya menekan dada yang sudah berbalut.
"Chad..kau kena berehat." Kudin tolak badan Chad supaya Chad baring semula.
"Aku..aku kat mana ni" Chad pegang pula kepalanya.
"Kau kat hospital." Kudin cuba menenangkan Chad yang masih terpinga-pinga. Chad dilihat seperti ingin menepis sesuatu.
"Pergi kau!!" Jerit Chad dengan tidak semena-mena.
Kudin cuba menenangkan Chad yang mula meracau. Dia capai gelas di atas meja di sebelah katil Chad dan dituang air kosong. Air itu dibaca al fatihah dan surah Al Ikhlas sebanyak tiga kali. Air yang sudah dibaca itu kemudian disapu pada dahi dan ubun-ubun Chad.
Seketika itu juga, Chad meraung menggelupur. Keadaan menjadi kecoh seketika. Jururawat yang bertugas segera mendapatkan Chad dan cuba menenangkan Chad yang masih meraung dan menjerit-jerit. Kudin tidak hiraukan raungan Chad, air itu terus disapu dan direnjis seluruh muka Chad dan juga di kaki. Kali ini Chad mula lemah.
"Nurse, tak apa. Dia bukan meraung sakit dada. Biar saya yang handle. Tengok tu, dia dah tenang." Kudin senyum melihat jururawat itu sudah panik tadi. Sempat jururawat itu memanggil dua orang lagi rakannya untuk mententeramkan Chad.
"Oh..terkejut saya tadi. Pesakit ni macam dirasuk. Awak ni pandai juga merawat ya Awak ni pengamal perubatan tradisional ke"
Jururawat itu senyum melihat Kudin yang bertindak merenjis air ke muka pesakit tadi.
"Tak adalah..saya biasa je. Itu yang saya sempat belajar dari tok guru.." Kudin sengih. Jururawat itu dilihat tersenyum-senyum. Dia melihat sekilas nama yang tertera di tag nama di poket baju putih yang dipakai jururawat itu, Aishah.
"Tapi hebat. Saya ingat pesakit ni dah tak boleh dikawal. Maklumlah sebelum ni, ada juga kes macam ni. Macam kena rasuk..alih-alih..pihak hospital terpaksa panggil ustaz. Hmm..awak ni muda-muda lagi dah jadi perawat." Jururawat Aishah itu memuji Kudin.
Kudin hanya melemparkan senyuman kelat. Jururawat itu dilihat sudah beredar dari situ setelah menyelimutkan pesakit tadi. Dia pandang pula Chad yang sudah baring semula.
"Chad..kau kena berubat ni." Kudin pandang Chad yang masih diam. Mata Chad masih memandang ke arah siling.
Chad mengalihkan pandangannya kepada Kudin. Wajah bersih kawan sekampungnya itu ditatap seketika. Dia mula melemparkan senyuman.
"Kudin, terima kasih kerana hantar aku ke hospital tapi macam mana kau tahu rumah aku" Chad bersusah payah menutur kata.
"Karim yang hubungi aku. Dia yang jumpa kau terbaring berdarah di dalam bilik. Aku dan Karim segera bawa kau ke hospital. Kau kehilangan banyak darah." Kudin senyum.
"Oh...begitu rupanya." Chad kembali menatap siling. Fikirannya melayang pada kejadian malam itu. Roh gadis kebaya merah itu masih jelas di matanya. Gadis itu ternyata ingin membalas dendam padanya.
"Chad..aku nak tanya kau sikit. Betul ke kau amalkan ilmu hitam tu" Kudin beranikan diri bertanya. Kalau Chad bertindak, dia sudah bersedia dengan ilmu yang ada walaupun masih terbatas. Dulu masa dia bekerja sebagai pengawal peribadi, sempat dia belajar dari seorang guru pondok yang kebetulan mempunyai seorang anak yang berjaya dan berpangkat Datuk. Sebagai pengawal peribadi, dia sering berjumpa ayah kepada Datuk itu. Dari situlah dia sempat menuntut sedikit ilmu pendinding diri dan juga ilmu kebal. Sampai hari ini, ilmu kebal tidak pernah digunakan. Bimbang jika ia disalahgunakan akan bertukar menjadi riak.
Chad diam seketika. Dia masih memandang siling. Kemudian dia berpaling ke arah Kudin. Mukanya berkerut. "Kenapa"
"Aku dengar kau ada menuntut ilmu hitam tu..dan..jelmaan gadis kebaya merah yang kita nampak di kampung dulu tu..kau yang bunuh dan sihirkan dia kan" Kudin cuba mendapat kepastian dari mulut Chad sendiri.
"Ya..aku mengaku. Aku tak dapat menahan perasaan marah aku atas apa yang dia orang telah buat pada mak aku. Mak aku jadi gila. Mak aku menderita seorang diri. Puan Karina patut terima balasannya." Chad bersuara agak keras sambil menahan sakit akibat luka tikaman itu. Roh gadis itu telah merasuk ke tubuhnya malam itu dan sengaja menggunakan keris itu untuk menikam dada.
"Chad..aku faham perasaan kau tapi bukan ini caranya. Kita ada agama dan agama kita melarang kita dari membalas dendam apa lagi dengan cara yang jelas salah dan terpesong ni. Bertaubatlah Chad. Ada masa lagi untuk kau kembali ke jalan yang benar." Pujuk Kudin berhati-hati. Dia tahu dari riak Chad, lelaki itu masih menyimpan dendam pada musuhnya.
"Puan Karina sudah terima balasannya. Dia sekarang sedang sakit. Aku pasti itu kerja kau kan" Kudin menambah.
Chad ketawa. Dia kemudian pandang Kudin yang masih memadang ke arahnya. Ketawanya masih panjang.
"Sakit Aku ingat sudah mampus!" Chad ketawa lagi.
Kudin menggeleng. Begitu keras hati Chad. Langsung tidak menunjukkan tanda-tanda hendak berubah. Dalam keadaan sakit macam itu pun, Chad masih keras dengan sikapnya.
"Chad..kau kena ingat. Semua manusia akan mati termasuk kau. Dan kematian itu membawa kita ke arah yang berbeza destinasi yang sememangnya ada yang bahagia dan ada yang derita. Cukuplah kau menderita di dunia ni, jangan kau tambah derita kau di sana nanti. Allah maha pengampun. Belum terlambat untuk kau kembali padaNya dengan putihkan kembali jalan hidup kau yang hitam tu Chad." Kudin berkata sugul. Sejak sekolah rendah, dia dan Chad bersahabat. Tidak sanggup dia membiarkan Chad sesat selamanya.
Chad diam saja. Dia melepaskan keluhan kecil. Nafasnya ditarik perlahan dan dihembus perlahan juga. Dia pandang lagi Kudin.
"Kudin..aku begitu kagum dengan kau. Kau masih sabahat aku. Biarpun aku sudah banyak buat dosa dan tersasar dari landasan tapi kau tetap nak bawa aku ke landasan lurus sedangkan kau tahu landasan aku selama ini bengkang bengkok. Apa kau tak jemu" Chad cuba mencari reaksi sahabat sekampungnya yang kelihatan sugul.
"Tak..aku tak akan pernah jemu sehingga aku dapat membawa kau ke jalan yang benar walaupun aku tahu aku juga bukanlah seorang yang alim tapi menjadi tanggungjawab aku untuk membawa kau kembali kepada Allah." Kudin berkata dengan yakin. Chad dilihat sudah sugul. Ada titis jernih mengalir di tepi kelopak mata lelaki itu.
"Aku sendiri yang pilih jalan ni. Bukan salah kau, bukan salah sesiapa. Untuk aku berubah mungkin payah. Aku telah sebati dengan semua kerja hitam ni. Tok guru aku pernah beritahu aku dulu, jika aku ingin berpatah balik dari ilmu yang aku pelajari ni, aku kena berkorban banyak benda." Chad mengeluh.
"Maksud kau" Kudin berkerut kening.
"Kau tak akan faham Kudin." Chad berkata lemah.
"Chad..kau kena ingat. Itu adalah perjanjian syaitan. Itu syarat-syarat yang syaitan nak. Ilmu Allah mengatasi segalanya. Allah maha berkuasa. Syaitan juga hamba Allah yang telah berpaling tadah semata-mata kerana tidak mahu tunduk pada Adam. Itu menunjukkan Adam atau manusia ini adalah lebih tinggi ilmunya dari syaitan dan Allah muliakan manusia. Syaitan sebenarnya takut dengan manusia bukan sebaliknya. Kau kena sedar hakikat itu Chad! Kau kena lawan! jangan terpedaya dengan tipu daya syaitan lagi.
Syaitan yang takutkan manusia yang dimuliakan Allah dan syaitan juga berjanji sejak dia dihumban dari syurga lagi. Syaitan akan menyesatkan keturunan Adam dan mengheret sama masuk ke dalam neraka. Kau nak biarkan syaitan menang" Kudin mula meninggikan suara.
Chad terdiam. Suara tinggi dari Kudin tadi memecah kuat ke gegendang telinganya. Dia mula bangun dari baringnya dengan susah payah. Tubuh Kudin dipeluk seketika. Kali ini dia tidak dapat menahan sebak. Kata-kata Kudin tadi telah menyedarkannnya yang selama ini dia memang mengikut telunjuk syaitan dan memberi kemenangan kepada syaitan.
Kudin kaget bila tiba-tiba dipeluk Chad. Terasa panas bahunya dengan air mata yang menitis. Dia biarkan saja Chad melepaskan perasaannya.
"Chad..alhamdulillah. Kau telah sedar.." Kudin turut menyapu air matanya.
"Kudin...bantu aku. Aku sedia tinggalkan semua tu dan kembali pada Allah. Adakah Allah masih terima manusia jahat dan jauh terpesong ini" Chad mula tergaka-agak.
"Bertaubat nasuha. Keampunan itu hanya Allah yang tahu. Apa yang penting sekarang ni, kau jangan ulangi lagi semua kerja gila tu. Bertaubat bersungguh-sungguh." Kudin menepuk bahu Chad.
Chad angguk.
"Untuk perubahan pertama, aku nak dengar kau mengucap." Kudin pandang Chad dengan senyuman gembira.
Chad mula mengucapkan dua kalimah syahadah itu dengan juraian air mata. Ternyata dia masih mampu mengunngkap kalimah mulia itu dengan baik.
"Alhamdulillah..sekarang aku nak kau baca al fatihah dan istighfar sebanyak mungkin. Lepas kau sembuh nanti, aku nak kau tinggal dengan aku." Kudin mula merasa lega. Chad dilihat sudah ingin berubah.
Tanpa sedar air matanya turut menitis sebaik mendengar Chad mengalunkan ayat-ayat Allah itu dan beristighfar. Mereka berdua berpelukan seketika. Kudin mula minta diri untuk pulang.
KUDIN pulang ke rumah dengan hati yang sungguh lega. Chad sudah mula berubah dan ingin kembali ke pangkal jalan. Dia berharap Chad akan benar-benar berubah dan tidak lagi mengulangi kerja syaitan itu. Bila memikirkan tentang Chad, dia mula teringat Puan Karina, Kuyah dan Kusha di rumah nenek. Mungkin mereka sedang menjalani kehidupan yang baik-baik belaka. Semalam, dia terima panggilan dari Kusha mengatakan Puan Karina sudah semakin sembuh tetapi masih perlukan perhatian dan rawatan. Nampaknya keadaan Puan Karina tidak begitu teruk kerana Chad tidak sempat menghantar sihir yang lebih kuat. Tiba-tiba jelmaan gadis kebaya merah itu mengganggu pemujaan Chad.
"Aku harap Chad tabah menempuh dugaan dan Puan Karina juga tabah menghadapi penyakitnya." Kudin senyum lega.
Dia melangkah malas ke tingkat atas di rumah yang diwarisi dari wasiat arwah ayahnya itu. Rumah itu hanya dihuni olehnya seorang saja. Mungkin selepas Chad sihat nanti, dia akan tinggal bersama Chad di rumah dua tingkat itu. Kudin menapak perlahan ke biliknya dan mula membersihkan diri. Usai solat asar, dia mula menatap skrin komputer riba. Kerja pejabat terpaksa dibawa pulang ke rumah. Esok ada mesyuarat penting. Segala dokumen perlu diperiksa dan dikemaskini.
Kudin senyum melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya yang mula berdering. Panggilan dari Ana Dahlia memang sentiasa dinantikan olehnya. Walau dia tahu, gadis itu seperti hambar dengannya setiap kali menyentuh soal hati. Panggilan dari gadis itu dijawab dengan penuh ceria.
"Ada masalah apa dia nak jumpa" Kudin pandang jam di atas meja. Jam lapan setengah malam nanti, Ana Dahlia ingin berjumpanya.
Dia segera menyiapkan kerja pejabat yang semakin menimbun. Panggilan dari Ana Dahlia tadi, jelas gadis itu risaukan kehilangan Jai.
"Hmm...nampak sangat dia suka pada Jai." Kudin melepaskan keluhan.
JAM LAPAN malam, Kudin sudah bergegas menaiki motorsikal Kawasaki dengan memakai jaket hitam. Motorsikalnya dipecut laju ke sebuah restoran di KL Sentral. Sebaik tiba di situ, dia segera menapak ke sebuah restoran. Dari jauh dia melihat Ana Dahlia sudah menunggunya di situ. Gadis itu kelihatan resah. Kudin terus melabuhkan punggung di kerusi.
"Ada apa awak nak jumpa ni Rindukan saya ke" Kudin mengusik.
"Tak ada maknanya nak rindu awak." Ana Dahlia senyum.
Kudin hanya membalas dengan senyuman hambar. Dia sudah tahu, itu yang akan dijawab gadis itu setiap kali soalan itu diajukan.
Helmetnya diletakkan atas kerusi sebelah bila pelayan restoran membawa makanan yang sudah siap dipesan oleh Ana Dahlia.
"Wah! Cepatnya makanan sampai. Belum panas lagi punggung saya ni duduk." Kudin melihat nasi ayam yang terhidang bersama dengan pencuci mulut sekali.
"Saya belanja. " Ana Dahlia sengih.
"Hmm...kita ni asyik dating je kan Bila nak serius" Usik Kudin lagi. Muka Ana Dahlia sudah merona merah.
"Makanlah..sambil tu kita sembang." Ana Dahlia mula menyuap nasi ke mulut.
Kudin turut menikmati nasi ayam di depan matanya. Sesekali dia pandang Ana Dahlia yang begitu berselera makan di depannya, tidak pandang sedikit pun padanya. Macam sehari tak makan!
"Kan dah tercekik" Kudin hulur segelas jus bila melihat Ana Dahlia terbatuk-batuk.
"Hmm..dah lega sayang" Kudin mengusik lagi.
Ana Dahlia sedikit tergamam tetapi cepat-cepat dia bersikap selamba.
"So, apa hal penting nak bincang" Kudin mula kembali pada topik yang dibualkan di telefon siang tadi.
"Saya sudah beritahu kawan Jai tentang kehilangan Jai tapi dia gelakkan saya bila saya kata Jai disorok orang bunian. Jadi, sekarang ni dia ingat saya ni yang reka cerita. Macam mana nak cari Jai Awak dah contact orang yang pandai hal alam bunian ni" Ana Dahlia mula bertanya Kudin tentang hal semalam.
"Ada masalah sikit. Tok Imam Ngah tu sibuk pulak sekarang ni. Jadi, nak tak nak, kita sendiri kena cari jalan lain macam mana nak ke sana. Saya ada seorang lagi kenalan yang juga pandai dalam hal ni tapi dah lama lost contact. Dia seorang tok guru pondok." Kudin teringat tok guru pondok, ayah kepada seorang Datuk yang dia bekerja dulu.
Ana Dahlia mengangguk-angguk. Dia menghabiskan nasi di dalam pinggan. Jus tembikai diteguk perlahan. Dia kemudian pandang pada Kudin yang masih menikmati makanan.
"Tok guru pondok tu tinggal kat mana" Ana Dahlia mula berminat dengan cerita Kudin.
"Dulu dia kat Pasir Tumboh Kelantan. Sekolah pondok kat sana. Sekarang ni entahlah dia masih kat situ lagi ke tak.."Kudin menegsat mulutnya dengan tisu.
"Hmm..jauh tu. Mana sempat kita nak cari Jai tu." Ana Dahlia sudah mula gelisah. Kalau Jai tidak ditemui sampai esok pagi, bermakna operasi itu akan diteruskan tanpa Detektif Jailani. Bermakna juga dia akan dinilai oleh Detektif Razif sendiri yang sememangnya tegas dan garang. Kecut perut kalau lelaki itu menjerit marah.
"Hmm..awak nampak gelisah Ada masalah ke kalau Jai tak ditemui" Kudin mula menjerat soalan. Dia lihat riak Ana Dahlia sudah lain.
"Err...tak..." Teragak-agak Ana Dahlia menjawab.
"Awak kerja apa ek" Kudin mula mengorek rahsia Ana Dahlia.
"Kenapa Kan dulu saya dah beritahu awak, saya jadi kerani di sebuah syarikat terkemuka selepas saya berhenti
kerja di TM Holdings dulu tu." Ana Dahlia pandang Kudin yang sudah berubah riak.
"Betul" Kudin menjeling seketika. Keningnya terangkat sedikit.
"Betullah! Kenapa awak tanya macam menyiasat je ni" Ana Dahlia cuba bersikap selamba.
"Saja nak tahu.." Kudin sengih tapi dalam hati dia masih sangsi dengan gadis itu yang dirasakan ada sesuatu yang disembunyikan. Gadis itu sering bertanyakan Jai dan cuba mengelak bila dia ingin menghantar sampai ke rumah. Malah semasa di balai polis dulu pun, Ana Dahlia dilihat agak mesra dengan pegawai polis lain.
"So, back to rancangan kita, bila kita nak cari mereka yang sudah hilang tu" Sekali lagi Ana Dahlia bertanya. Dia ingin sangat Detektif Jailani dijumpai semula.
"Awak rindukan Jai ke" Kudin cuba meneka hati gadis itu.
"Mana ada..." Ana Dahlia cuba mengelak.
"Habis tu, beria awak nak Jai ditemui"
"Habis, awak tak nak mereka ditemui semula Anum dan Senah pun hilang kat sana jugak kan" Ana Dahlia pulangkan semula soalan yang sama pada Kudin.
Kudin diam seketika. Tidak mungkin Ana Dahlia cemburu.
"Saya dengar awak suka pada Anum tu" Kali ini giliran Ana Dahlia pula mengorek rahsia hati Kudin.
"Itu cerita lama. Sekarang saya sudah buka cerita baharu yang tak ada kesudahan. Tak ada penamat." Kudin menjawab lemah. Dia mula menikmati pencuci mulut pula, puding karamel yang ditambah coklat cair di atasnya.
Ana Dahlia terdiam. Dia faham kata-kata Kudin tadi. Kudin mungkin kecewa dengannya yang masih tidak memberi jawapan untuk soalan yang diajukan dahulu.
"Bila kita boleh cari mereka tu" Ana Dahlia cepat-cepat ubah topik perbualan.
"Lusa pun boleh. Kalau awak nak join, saya akan ambil awak kat rumah. Saya akan cuba tanya Tok Imam Ngah sekali lagi. Kalau dia kata boleh, esok saya balik kampung dan bawa dia ke sini. Macam mana" Kudin pandang Ana Dahlia yang sudah kelihatan resah.
Err...lusa" Ana Dahlia sudah gelisah. Esok dia ada operasi bersama Detektif Razif.
"Kenapa"
"Err...lusa saya ada hal penting." Ana Dahlia cuba berdalih.
"Hal apa" Kudin pandang tepat ke mata Ana Dahlia.
"Err..."
Telefon bimbit Ana Dahlia mula berdering. Ana Dahlia mula minta diri menjawab panggilan jauh dari Kudin.
Kudin hanya memerhati dari situ. Sikap dan tingkah Ana Dahlia dirasakan ada sesuatu yang cuba disorokkan darinya.
"Ok boleh!" Ana Dahlia kembali ke meja. Senyumannya sudah lebar.
"Tadi kata tak boleh" Kudin berkerut kening.
"Tadi..kawan saya call. Dia kata hal tu ditunda ke minggu depan." Ana Dahlia terpaksa berbohong. Tadi panggilan dari Detektif Razif. Operasi membenteras sindiket haram itu ditunda ke minggu depan. Lelaki itu tidak pula menyatakan sebab kenapa dibatalkan dan dia pula tidak bertanya banyak.
"Oh..ok. Kalau macam tu, lusa kita mulakan pencarian kita." Kudin senyum. Ana Dahlia dilihat sudah berubah riak. Ada riak ceria di wajah gadis itu. Mungkin tidak sabar untuk berjumpa dengan Jai.
Mereka menghabiskan jus masing-masing dan mula beredar dari situ. Seperti biasa, Ana Dahlia menolak pelawaan Kudin untuk menghantarnya ke rumah. Dia lebih suka menaiki LRT saja.