Siapa mungkin yang dapat melupakan perangai entah hapahapa Mat Sentul yang muncul memberikan permainan kepada kanak-kanak yang konon-konon sedang kebosanan. Dan secara automatik kesemua kanak-kanak tadi akan bertukar menjadi ceria dan berperangai bukan-bukan sambil terhegeh-hegeh bermain permainan.
Rata-rata permainan yang ditunjukkan di dalam iklan tidaklah tepat seperti yang terdapat di dalam kotak yang dijual. Paling malang jika mendapat permainan keluaran lepas yang belum habis stoknya tetapi masih dijual. Sesetengah permainan sengaja diperhebatkan dan dalam masa yang sama menggunakan teknik penipuan yang sangat lemah.
Contohnya permainan helikopter yang sedang terbang nampak diikat dengan benang dalam iklan yang ditayangkan.
Antara makanan dan permainan di dalam kotak yang popular adalah:
Ding Dang
Ding Dang adalah di antara makanan dan permainan
dalam kotak yang terawal sekali dikeluarkan.
Kotaknya berwarna biru dengan gambar seekor kucing menyerupai Doraemon tak jadi yang sedang berdiri di atas biskut coklat. Mempunyai biskut disaluti coklat yang berbentuk bebola. Mempunyai ejaan Din Dang dalam tulisan jawi pada kotaknya.
Mempunyai permainan yang agak kurang menarik.
Dijual pada harga 50 sen.
Tora
Tora adalah versi lain kepada Ding Dang.
Kotaknya lebih besar daripada Ding Dang, berwarna putih dengan gambar sebuah makhluk aneh dalam bentuk pensel warna beroda, mempunyai mata dan sedang menimbang biskut coklat pada hidungnya.
Mempunyai biskut disaluti coklat yang berbentuk bebola yang lebih banyak.
Mempunyai ejaan Tora dalam tulisan jawi pada kotaknya. Permainan yang diberikan adalah lebih menarik jika hendak dibandingkan dengan Ding Dang.
Pekikan suara Mat Sentul di dalam iklannya dengan ayat keramat, Tora datang lagi dengan permainan... bla... bla... bla... sememangnya mendatangkan keterujaan pada setiap kanak-kanak dan keresahan pada ibu bapa yang mendengar.
Dijual pada harga RM1 sekotak.
Jo Jo
Jo Jo adalah versi lain kepada Tora.
Kotaknya lebih 1 kali ganda besar dari kotak Tora, berwarna ungu dengan gambar seekor zirafah, seekor badak air hijau (!) dan seekor burung.
Turut disertakan permainan yang lebih menarik dan bersaiz besar di dalam setiap kotak. Permainan di dalam Jo Jo adalah jarang menghampakan dan nampak mahal. Walaupun mempunyai permainan yang menarik, amatlah sukar untuk membeli Jo Jo pada ketika itu berikutan harganya yang mahal. Dan seperti biasa, hanya anak-anak cikgu sahaja yang mampu membelinya.
Mempunyai ejaan Jo Jo dalam tulisan jawi pada kotaknya.
Dijual pada harga RM2.