SANG PENGUASA - 24
Saya tidak boleh mengabaikan perkara penting ini, iaitu kesalahan yang amat sukar dihindari oleh penguasa sekiranya dia tidak berhati-hati. Hal ini berkait dengan para pengampu yang memenuhi istana. Manusia sering memanjakan diri dalam urusan mereka. Mereka menipu diri sendiri dengan mengatakan mereka sukar untuk meninggalkan perbuatan tersebut. Sekiranya mereka berhasrat untuk meninggalkannya, mereka menemui bahaya dan kehinaan. Tiada jalan lain untuk melindungi diri daripada pengampu melainkan memberi kefahaman kepada mereka bahawa memberitahu hal yang sebenar tidak akan menyinggung Tuan. Tetapi pada waktu semua orang mungkin memberitahu hal yang sebenar tentang sesuatu perkara, penghormatan mereka terhadap Tuan akan jatuh.

Oleh itu, penguasa yang bijak akan memilih menteri yang bijak untuk negaranya. Memberikan mereka kebebasan berbicara perkara yang benar kepadanya, iaitu perkara-perkara yang perlu dia ketahui, bukan selainnya. Penguasa seharusnya menyoal mereka dalam segala perkara dan mendengar pendapat mereka. Kemudian, buat kesimpulan daripada perbincangan dua hala tersebut.

Penguasa juga harus menunjukkan kepada para penasihat bahawa semakin bebas mereka bersuara, maka itu lebih baik. Dalam hal ini, penguasa tidak seharusnya mendengar kata-kata daripada sesiapa pun melainkan daripada orang yang Tuan bicarakan. Teruskan sehinggalah sampai pada penyelesaian. Penguasa yang melakukan sebaliknya daripada pendekatan ini akan dikuasai oleh pengampu ataupun jatuh ke dalam kerancuan kepelbagaian pendapat yang akan menjatuhkan reputasinya.

Saya bawakan contoh zaman moden iaitu Fra Luca, pengikut Maximilian, maharaja kini. Fra Luca menyatakan bahawa Maximilian tidak pernah berbincang atau meminta nasihat dengan sesiapa pun tetapi tidak pernah mempunyai jalannya sendiri dalam melakukan apa-apa perkara. Hal ini kerana dia telah melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang kita bicarakan di atas kerana mahajara tersebut seorang yang suka berahsia. Dia tidak pernah mendedahkan apa-apa rancangannya kepada sesiapa, atau menerima apa-apa pendapat berkenaan hal itu.

Akhirnya, segala apa yang dirahsiakan, terdedah jua pada saat rancangan itu dilaksanakan. Rancangan tersebut mendapat halangan dan tentangan. Kerana dia itu mudah terpengaruh, semua rancangannya akhirnya terpesong daripada rancangan asal. Oleh itu, apa yang diarahkannya untuk dilakukan pada hari ini, dibatalkan pula pada hari esoknya. Tiada siapa yang faham apakah niat dan hasratnya. Tiada siapa juga mahu berharap pada pendekatannya.

Maka, penguasa harus meminta dan menerima nasihat, tetapi hanya apabila dia yang menginginkannya, bukan apabila orang lain yang menyuruhnya. Malah, dia harus menolak sesiapa yang mahu memberikannya nasihat atau pandangan melainkan dia memintanya. Rajinkan bertanya pada orang di sekeliling. Dia harus marah kepada orang yang dia dapati tidak memberitahu perkara sebenar.

Terdapat aturan mutlak bahawa penguasa yang menunjukkan kebijaksanaannya bukan melalui dirinya sendiri, tetapi melalui penasihat di sekelilingnya, tidak dinafikan dia sedang ditipu. Melainkan, dia menyerahkan urusannya kepada seseorang yang benar-benar bijaksana. Dalam hal ini, penguasa mungkin dapat mentadbir dengan baik, tetapi bukan untuk tempoh masa yang lama kerana seseorang tersebut akan cuba merampas negara daripada penguasa.

Sekiranya seorang penguasa yang tidak berpengalaman memerlukan penasihat yang ramai, dia pasti akan mendapati nasihat yang diterimanya itu pelbagai dan bertentangan. Malah, dia juga tidak akan tahu bagaimana untuk menyatukan para penasihat tersebut. Setiap penasihat tersebut akan mempunyai kepentingan sendiri, dan penguasa tidak akan tahu bagaimana untuk mengawal ataupun mengetahui matlamat mereka. Oleh itu, penasihat atau menteri yang bagus datang daripada kebijaksanaan penguasa. Bukan penguasa yang bagus datang daripada kebijaksanaan penasihatnya.