Seni mendeklamasikan puisi adalah cara penyampaian puisi ke tengah-tengah khalayak yang menitikberatkan kepada suara, penghayatan kepada isi puisi dan pergerakan atau tingkah laku yang diperagakan oleh deklamator puisi. Bagi peserta- peserta yang berpengalaman, lontaran suara tinggi rendah, nada yang bersemangat atau terharu atau mendayu serta gerakan tubuh serta gesture yang terkawal tentunya tidak jadi masalah. Namun sebagai garis panduan yang boleh dijadikan asas bilamana peserta- peserta ingin menyampaikan puisi bolehlah melihat kepada format pemarkahan yang sudah disepakati dan yang dikira lebih detail dan terarah.
Pemakaian format lama yang dibahagi kepada empat perkara pokok iaitu Teknik, Gaya, Nada dan Suara dirasakan tidak banyak membantu menyelesaikan masalah yang seharusnya diambil
kira seperti penggunaan Teknik yang bukan hanya gerakan kreatif saja tetapi boleh diertikan cara bergerak, cara mengolah vokal dan seumpamanya. Sementara dalam masalah suara memang secara automatik mencakup tentang nada suara tinggi rendah gelombang suara, artikulasi yang benar dan sekaliannya itu punya teknik-teknik yang tertentu.
Jadi untuk memberi kefahaman kepada peserta-peserta apalagi para juri yang akan menilai penampilan yang dipersembahkan, maka di bawah ini diperturunkan format baru bagi menggantikan format lama yang menekankan soal-soal suara yang di dalamnya termasuk Vokal, Intonasi, Nada, Kelancaran / Artikulasi. Kemudian gerakan pula adalah hal-hal yang bersangkut dengan Mimik Muka, Penghayatan, Bahasa Tubuh / Gesture dan Penampilan.
Huraian Tentang Konsep - Istilah bagi maksud penghakiman adalah seperti berikut:
1. Vokal
Suara: Bagi deklamasi puisi kemerdekaan, suara memainkan peranan yang penting. Ini adalah untuk menaikkan semangat patriotik dalam kalangan audiens. Calon mesti memastikan mempunyai suara yang besar, lantang, parau. Keseluruhan markah ditentukan oleh kesesuaian suara bagi puisi jenis ini.
2. Intonasi
Turun naik suara peserta dapat mengawal tinggi rendah / panjang pendek suara berdasarkan maksud puisi. Kebolehan dan kecerdikan peserta mengawal intonasi menentukan markah baik atau sebaliknya. Kebolehan menggunakan jeda, patahpatah kata, hentian yang betul diambil kira.
3. Nada
Bunyi suara atau melahirkan atau membayangkan sesuatu perasaan, sikap, aliran atau rentak puisi. Nada dalam deklamasi mengikut mood sesebuah puisi. Peserta yang dapat mengikut mood dan nada bagi setiap baris, bait atau rangkap mampu memperolehi markah yang tinggi.