KEMBARA PENIAGA JALANAN - 24
KISAH menyantuni Mr Yoon dari Korea Selatan ini meninggalkan banyak kesan dan memori manis. Aku tidak pernah terhenti setakat itu sahaja, semangat waja aku semakin membara untuk buat lebih banyak sales. Aku mula membayar untuk mendapatkan ruang iklan khas di beberapa laman web dan forum jual beli antarabangsa.

Aku hanya menjual gambar dan memberi ayat-ayat manis untuk membuat promosi bagi menarik minat bakal pelanggan di seluruh dunia. Malaysia merupakan antara negara pengeksport makanan laut yang paling digemari selepas Thailand, Indonesia, Vietnam dan China.

Apabila kita menceburkan diri dalam bidang trading, kita mesti kena faham apakah permintaan bagi sesuatu lokasi. Kau mesti kena buat sedikit kajian dan faham benar apa yang mereka mahu. Sebagai contoh, Jepun sehingga kini masih mengimport bertan-tan ikan tuna setiap hari bagi kegunaan di dalam negara. Semua transaksi ini dilakukan secara tunai harian dengan aktiviti lelongan di pasar tuna seluruh negara. Sebagai seorang trader,

mungkin ikan tuna dan produk berkaitan juga salah satu benda yang boleh kita cuba untuk eksport.

Lain pula ceritanya di Filipina, kebanyakan penduduknya menggemari sejenis ikan yang dikenali sebagai ikan baulu (Milk Fish) atau nama saitifiknya Chanos Chanos. Pinoy turut memanggil ikan ini dengan nama Bangus. Aku pernah makan ikan ini di Sabah, di Tawau penduduk setempat memanggilnya sebagai ikan baulu. Sedap digoreng kunyit begitu saja atau dibuat sup. Isinya manis seperti ikan terubuk dan ikan kelah. Selepas mencuba, aku tak nafikan kesedapan ikan baulu ini. Cuma yang tak bestnya, ikan ini ada banyak tulang.

Boleh ikut setakat ini Aku kena tulis macam ini supaya kau jelas dan dapat ikut semua ceritanya nanti. Kalau boleh ikut, baguslah. Apabila aku faham semua ini, aku mula sasarkan iklan aku khusus ke negara-negara Arab. Lebih spesifik, negara itu ialah United Arab Emirates (UAE). UAE sebuah negara Arab yang masyhur dan kaya dengan pertumbuhan ekonomi pesat setiap tahun. Uniknya, UAE adalah sebuah negara yang menggabungkan tujuh daerah pada tahun 1970-an. Daerah itu ialah Abu Dhabi, Ajman, Dubai, Ras Al Khaimah, Fujairah, Sharjah dan Umm Al Quwaim. Aku bukan mahu cerita pasal UAE sangat, cuma aku hendak fahamkan mengapa UAE adalah lubuk besar bagi sektor trading.

Ya, semua trader dalam apa jua sektor pun kalau boleh hendak masuk berniaga di UAE. Pertamanya, kerajaan UAE menyediakan pakej khas untuk orang luar menubuhkan syarikat dan berniaga di sana. Terkini, mereka berikan sehingga tiga visa penduduk tetap bagi sebuah syarikat yang berdaftar mengikut pakej tertentu. Status penduduk tetap ini paling mahal, boleh beli hartanah, kenderaan dan melakukan apa sahaja urusan perbankan di seluruh UAE. Itu belum cukup best lagi, yang paling menarik ialah di UAE tidak ada cukai. Kau berniagalah macam mana sekalipun, tidak ada cukai pendapatan atau cukai perniagaan. Cuma aku dengar, pada tahun 2018 akan ada ura-ura Value Added Tax (VAT) akan diperkenal nanti.

Bagaimana langkah kanan aku mengembangkan bisnes ke UAE bermula Semuanya terjadi selepas aku berusaha memasarkan ikan baulu kepada pasaran negara Arab. Pelik, kan Mengapa aku pilih ikan baulu untuk negara Arab Pak Arab makan ikan baulu Bukan! Aku bukan mahu jual kepada penduduk tempat. Di UAE misalnya, keseluruhan populasi ialah sepuluh juta orang. Daripada jumlah besar ini, hanya dua juta merupakan penduduk tempatan yang dikenali sebagai Emirati. Selebih lapan juta lagi ialah orang luar yang tinggal di UAE untuk berniaga dan bekerja. Daripada jumlah lapan juta ini, hampir satu juta atau lebih merupakan orang Filipina. Ada laporan yang mencatatkan, setiap tahun hampir satu bilion US Dollar dikirim pulang oleh pekerja Filipina yang tinggal di UAE ke negara mereka.

Masih ingat lagi aku ceritakan pada awal tadi Orang Pinoy suka makan ikan apa Disebabkan itulah aku mencari jalan bagaimana untuk menjual ke sana. Akhirnya, selepas beberapa minggu aku agresif dalam iklan atas talian, aku mendapat dua tiga orang prospek dari UAE yang bertanya mengenai ikan baulu. Seorang daripadanya sangat serius dan datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa aku dan berbincang mengenai pembeliannya. Mereka merupakan sebuah syarikat yang mengimport masuk pelbagai jenis makanan laut dari seluruh dunia dan bekalkan semula ke dalam UAE. Untuk ikan baulu, mereka akan bekalkan kepada asrama Pinoy dan pasar raya yang berada di dalam kawasan perumahan pekerja Pinoy di UAE.

Akhirnya, aku berjaya menjual sebanyak tiga kontena ikan baulu ke UAE. Pada waktu itu, 1 USD bersamaan dengan RM3.30. Urus niaga ini berterusan sehingga ke hari ini apabila ada permintaan. Sebab itu sehingga ke hari ini, aku masih lagi ke Dubai sepanjang tahun. Kan aku pernah tulis, kita orang bisnes tidak travel saja-saja. Kita travel untuk buat lebih banyak duit.