Perkongsian ini dipetik daripada tazkirah seorang ustaz, dalam kuliah di sebuah masjid:
Sabar ni ada dua kategori. Pertama, sabar yang macam biasa kita selalu buat. Macam, menahan perit suatu dugaan, sabar tahan marah, pendam perasaan, pendam rasa sakit. Itu sabar yang biasa.
Tapi sabar yang kedua ni ialah sabar dengan sabar yang indah. Orang yang dalam jenis ini, dia terima sesuatu musibah dengan rasa gembira. Macam dapat gula-gula atau lebih lagi daripada itu, dan dia menganggap, jika dia bersabar, Allah akan angkat darjat dia.
Kemudian ustaz tersebut menceritakan kisah Umar Abdul Aziz. Seorang tabiin. Ketika itu anak Umar bin Abdul Aziz sedang nazak. Kemudian ketika anaknya menghampiri matinya, Umar berkata kepada anaknya, Aku lebih gembira dengan keadaan aku yang sekarang ini berbanding di dalam keadaan yang kamu (anaknya) sedang alami.
Dialog tersebut sebenarnya tidak bermaksud Umar suka anaknya mati. Tetapi sebab terlalu perit sakitnya, sebab itu dia cakap macam tu. Dia menahan dan bersabar dengan sabar yang indah. Sebab apa Sebab dia melihat ujian dengan hikmah.
Umar menganggap bahawa jika dia bersabar, Allah akan angkat darjat dia.
Kemudian Umar memandang ke langit dan senyum. Kenapa dia senyum
Sebab dia tahu syaitan suka akan manusia yang sedih tatkala menghadapi musibah. Jadi, Umar pun senyum sebab tak nak bagi syaitan gembira atas musibah yang menimpanya.
Kemudian, anak Umar yang sedang nazak itu pula membalas kata-kata ayahnya,
Jika engkau lebih gembira dengan keadaanku sekarang, itu lebih baik...
Okey, dialog anak Umar ini pula menunjukkan bahawa dia ini anak yang soleh, sebab walaupun sudah nazak, nafas pun sudah berada di penghujung, dia masih mahu menggembirakan bapanya.
Perumpamaannya mudah saja sebenarnya. Hidup ini ibarat ujian dan sabar tu kunci. Ujian tu umpama kita sedang mendaki, air minuman bekalan kita sepanjang ujian itu, kena ada, kena bawa. Air itu umpama sabar.
Barulah boleh bertenang. Senyum, tarik nafas.
Kekuatan itu tidak hadir melainkan dengan izin yang Esa. Dari satu fasa ke satu fasa lain, tak mudah tapi tak susah. Terpulang mahu pilih yang mana. Kesedihan, kesakitan, kekecewaan, kepayahan, dan setiap perkara yang kita anggap buruk, yang berlaku kepada kita sebenarnya punyai tujuan yang pelbagai. Pada waktuwaktu gelap inilah kita akan dibentuk. Kita akan lebih kuat dan matang.
Pada waktu-waktu ini, kita akan sedar tempat sebenarnya kita berada dan kondisi hati kita. Ia juga secara langsung bertindak sebagai penawar kepada hubungan kita dengan Allah s.w.t.
Kita diuji. Seluruh diri kita diuji. Keimanan, ketahanan dan kekuatan kita diuji saat melalui waktuwaktu getir ini. Pada waktu ini, kita akan dapat lihat keimanan sebenar kita terzahir. Kepayahan dan kekecewaan akan mengoyak topeng yang kita pakai dan menampakkan wajah sebenar kita. Ujian-ujian inilah yang memisahkan mereka yang mempunyai iman yang besar ataupun yang sebaliknya.
Kesusahan dan kepayahan yang Allah s.w.t berikan kepada kita memang tidak mudah untuk ditempuhi. Ini ujian Tuhan. Tetapi dengan ujian ini juga kita dapat tahu bahawa Allah s.w.t sebenarnya sayang pada kita.
Rasulullah s.a.w bersabda,
Apabila Allah mahukan yang terbaik untuk hamba-Nya, Dia akan mengujinya dengan kesusahan.
(HR Bukhari)
Sungguh! Ramai antara kita tidak sedar bahawa kesusahan yang Allah s.w.t turunkan kepada kita itu hanyalah untuk kebaikan kita. Kerana kita tidak terfikir apakah hikmah di sebaliknya. Yang kita tahu hanya bising, bebel dan menyalahkan takdir semata. Cuba fikir sejenak, apa akan jadi kepada seseorang yang bongkak dan angkuh apabila dia tiba-tiba diletakkan pada posisi yang tidak punya apa-apa kuasa dan tidak mampu berbuat apa-apa
Apa akan jadi kepada seseorang yang hanyut terkapai-kapai di tengah laut seorang diri mendepani ribut petir sabung-menyabung Apa yang telah jadi kepada kapal yang katanya tidak mampu ditenggelamkan dan mencabar keperkasaan Tuhan itu Titanic namanya. Bertahun terdiam kaku di dasar laut utara Atlantik sejak 14 April 1912.
Seseorang yang melalui sesebuah musibah itu diajar untuk merendah diri dan tunduk kepada apa yang telah Allah s.w.t takdirkan kepadanya. Impaknya bagai beduk yang diketuk. Ini bukan hanya akan memberi kesan kepada individu tersebut malah kepada orang-orang sekelilingnya.
Kita akan menjitukan seluruh fokus kita yang selama ini terumbang-ambing. Lalu berserah kepada Yang Maha Satu. Secara tidak langsung, apabila kita sedar bahawa kita ini lemah dan tidak punya daya, kita akan meyakini bahawa hanya Allah s.w.t yang Maha Agung lagi Maha Perkasa.
Inilah sebenarnya yang Allah s.w.t ingin ajarkan kepada kita semua tentang kehidupan. Kehidupan yang kita lalui sehari-hari ini memang jelas terasa kewujudannya. Sangat benar dan terlalu nyata. Adakala kita rasa takut dan sedih hingga bertitisan air mata. Ada waktu kita rasa sangat bahagia, ringan bagai layanglayang yang terbang jauh daripada bumi yang dipijak. Tetapi, realitinya itu sangat sementara. Bukan sebenarbenar kehidupan.
Ianya persis latihan kebakaran yang bertujuan untuk melatih kita dan menguji kita. Untuk apa Ya, untuk sesuatu yang lebih nyata, lebih besar dan semestinya lebih benar! Kehidupan ini hanyalah sebagai latihan yang perlu kita hadapi sebelum menginjak ke alam akhirat. Secara langsung, ia juga melatih kita untuk berdepan dengan realiti dan mengajar kita untuk kenal apa sebabnya loceng itu dibunyikan.
Bayangkan pula, situasi bila mana latihan kebakaran ini bukanlah satu kejutan. Kita sudah sedia maklum mengenai kedatangannya. Mungkin cikgu sekolah kita menampal notis di papan kenyataan atau rakanrakan kita telah memberitahu kepada kita bahawa pihak bomba akan melakukan latihan ini pada masa dan tarikh sekian-sekian. Sudah pasti kita akan lebih bersedia bukan Namun, bagaimana pula dengan latihan kebakaran yang mana kita tidak tahu akan waktunya
Itu baru latihan kebakaran di dunia. Bagaimana pula kita dapat menyelamatkan diri kita untuk akhirat esok Adakah kita akan membiarkan jasad tubuh dibakar sehangus-hangusnya walhal kita tahu sejak di dunia ini lagi bahawa Allah akan membakar mereka yang ingkar. Tapi kita masih memilih untuk ingkar. Mungkin saja sudah rela dibakar barangkali.
Sebab itu, pandanglah semua percaturan Rabb dengan penuh hikmah. Kerana ia seolah-olah menjadikan kau lebih mencintai Islam buat kali yang kedua tetapi sebenarnya jatuh cinta pandang pertama.