JAGUH DEKLAMASI - 25
Saban takwim di perteduhan 16 Mei kita renung ke langit ingatan mengimbau bintang kerdip gemilang mengimbau bulan cahaya cemerlang lilin seorang guru bercerlang kukuh di sanggar ilmu.

Manifestasi perjuangan merintis denai ketamadunan

manifestasi sumbangan menyusur akar

kepayahan

menggegar getar laman pendidikan guru berkualiti pemangkin kegemilangan.

Di rakit diam, di laut ketidakmahuan

dengan visi murni, guru berkualiti menyahut demi

meredah samudera ombak menguji memegang janji amanat mengibar bendera mandat mendidik anak bangsa supaya jadi insan berguna

bukan jadi penderhaka petualang murka menyanggah agama sampah melukut di nyiru bangsa

jadi pengemis di dada negara jadi penyonglap di kaki lima senja jadi penagih di laman kota.

Menjunjung aspirasi sendi bangsa mendukung dasar pendidikan negara mengelek khazanah ilmu diperkasa guru cemerlang penggilap mutiara.

Menggenggam harap, di nazam wawasan anggun sebatang lilin terus mencahaya laman keilmuan, laman pendidikan mengikis walang, memugal iltizam menabur baja perjuangan seorang pendidik, melebar sayap-sayap kesungguhan

terbang ke cakerawala, planet kejayaan.

Ke mimbar katarsis cekal beriltizam, di kebun pendidikan guru bervisi guru cemerlang guru berkualiti pemangkin kegemilangan.

Segar bakti guru di lorong cahaya guru berkualiti pemangkin kegemilangan baginya harta paling bermakna cukuplah dengan melihat anak didiknya berjaya berkolek di laut tribulasi bersampan di samudera globalisasi menapak ke pulau universiti

menjadi bangsa pemikir berkualiti membangun sumbang untuk ibu pertiwi.

Nimoiz T.Y

Gual Ipoh, Tanah Merah

Pelita Bahasa, Mei 2008