TRAVELOG FAGHUZI - 25
Nusa Lembungan, Bali, Indonesia

We shall test you with something of fear, hunger, loss of wealth, lives and fruits, but give glad tidings to As-Sabirun (the patient).

- Al-Baqarah, 1:155

Hari ini dah bangun lewat. Masing-masing dengan muka tak sihat bersarapan jaffle. Cuaca hari ini agak baik. Tiada tanda-tanda nak hujan. Tapi seperti sepanjang pengembaraan kami di sini, cuaca sukar diramal. Adakala cerah, adakala hujan. Usai bersarapan, aku membelekbelek sekeping nota berlipat kemas di dalam kocek yang diberikan Natalie kepada aku. Disuruhnya baca ketika hari terakhir aku di Indonesia. Rasanya dia sudah bertolak meninggalkan pulau ini. Hmmm...

Lambat kau balik semalam. Gi mana Haeri bertanya.

Lepak-lepak je kat bar lain, aku membalas ringkas. Ye ke Haeri kemusykilan. Aku angguk kepala je.

Hehe... leher kau tu kenapa Gigitan cinta Haha! Hah Hahahaha! aku pun tak perasan apa jadi kat leher aku sendiri. Tadi bangun tidur, mandi tak tengok cermin.

Hmm... cash kau skang ada berapa banyak lagi tanya Haeri lagi.

Hmmm... ada Rp150,000 skang ni. Kau secara tak sedar, duit cash sudah susut dalam dompet.

Lebih kurang. Rp150,000. Kena gi cucuk duit ni, terang Haeri lagi. Jumlah terkumpul kini tinggal Rp300,000 saja.

Ni dalam map ada tunjuk ATM, tapi satu je la. Peta Nusa Lembungan dikeluarkan dan diserah kepada Haeri.

Jom gi kuar duit! ajak Haeri seusai menghabiskan sisa-sisa kopi pagi yang dah masuk tengahari.

Lalu kami melangkah menuju ke mesin ATM yang ditunjuk dalam peta. Satu-satunya mesin ATM di pulau ini terletak berhampiran dengan sebuah kuil. Kuilnya cukup bersih dan mesin ATM berada betul-betul di pintu masuk kuil tersebut. Untuk masuk ke kuil, perlu buka kasut atau selipar. Mereka benar-benar menjaga kebersihan kuil mereka seperti orang Islam menjaga kebersihan masjid. Namun, kami tidak pergi ke kuil, cuma mahu mengeluarkan wang. Tak perlulah buka selipar. Kelihatan di mesin ATM ini tiada logo PLUS yang membolehkan urusan pengeluaran wang antarabangsa. Haeri tetap mencuba dan ternyata tidak boleh. Bertanya kepada penduduk tempatan di mana lagi ada mesin ATM, mereka berkata tiada. Cuma satu ini saja. Kami buntu. Hanya tinggal Rp300,000 di tangan kami berdua. Bayar tempat penginapan pun belum lagi ni.

Kami kembali berjalan menuju ke tempat

penginapan. Sempat juga kami bertanya tiket bot ke Gili Trawangan, Lombok. Tambangnya berjumlah Rp600,000 seorang. Pening kepala lagi. Duduk termenung di depan sambil melihat pekerja-pekerja buruh bertungkus-lumus menyiapkan hiasan kolam renang dan bar di laman tempat penginapan kami. Kami berdua membuat muka cuba bertenang walaupun sebenarnya serabut. Kemudian kami dihampiri seorang warga Indonesia yang bekerja di sini sambil memperkenalkan dirinya sebagai Mogli. Waduh, mengapa kalian ini kusut aja mukanya tanyanya.

Punya dikit masalah mas, ujar Haeri ringkas sambil menyalakan rokok kreteknya.

Masalah apa ya Bilang aja mana tau saya bisa membantu. Jangan segan, terang Mas Mogli.

Kami sudah kekurangan uang. Mesin ATM di sini pula enggak bisa mengeluarkan wang kami. Kami perlu ke tanah besar untuk keluarkan uang. Tambang ke Lombok pula mahal sekali. Uang untuk penginapan juga masih belum dibayar, terang Haeri.

Waduh, memang masalah untuk turis mengeluarkan uang di sini. Mesin ATM di sini untuk lokal sahaja. Enggak apa, kalian jangan kusut. Saya bertanya kepada temanteman yang lain dulu bagaimana mau menolong kalian ya. Tiket speedboat ke Lombok memang mahal, Mas Mogli bersuara sambil menggaru ketiak kiri.

Buat masa ini, kami punya Rp300,000 aja, terang Haeri lagi.

Enggak apa, kalian tenang aja, ujar Mas Mogli sebelum berlalu pergi.

Hajat untuk melihat tebing yang dipanggil Devils Tear masih mahu diteruskan oleh Haeri hari ini. Mungkin hanya berjalan kaki sahaja memandangkan duit yang sudah tidak seberapa. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk ke Devils Tear. Ini termasuk naik turun di kawasan berbukit-bukau.

Pemandangan di Devils Tear sungguh mengagumkan. Tebing-tebing batunya sungguh ganas kelihatan dan tajam-tajam belaka. Kalau terjatuh memang luka-luka badan ini. Tapak kaki berselipar yang memijaknya pun masih terasa ketajamannya. Apa yang menarik Devils Tear ini adalah ombak yang memukul tebing ini akan melalui sebuah gua bawah tebing. Ombak dari bahagian lain akan bertembung sesama ombak di dalam lubang gua di bawah tebing menghasilkan satu bunyi yang menyeramkan. Lagi seram kalau dengar pada waktu malam sunyi. Mungkin kerana bunyi yang terhasil ini menyebabkan ia dipanggil tangisan syaitan. Sekali-sekala kami terkena tempias air laut yang menghempas tebing. Kami basah kuyup walaupun tidak mandi di sini. Kami melihat panorama ini untuk menenangkan hati kusut kerana duit yang susut.

Malam menjelang, aku dan Haeri bersiap di dalam bilik sebelum keluar untuk makan malam. Makan malam hari ini dirancang untuk berkongsi saja kerana memikirkan kondisi duit. Sebaik pintu bilik dikunci, kami dihampiri Mas Mogli.

Mau ke mana Udah makan tanyanya.

Mau pergi makan, terang kami.

Kalau begitu, ayo, ikutin saya, Mas Mogli mengajak kami mengikutnya. Terfikir juga apa motifnya. Kami mengekori Mas Mogli dari belakang melalui loronglorong gelap yang sedikit becak menuju ke sebuah rumah kongsi. Timbul rasa curiga di dalam hati ini. Apa dia nak buat. Adakah dia dan rakan di rumah kongsinya akan pau saki-baki duit kami yang tinggal atau ambil barang berharga kami.

Kalian makan di sini. Biar saya masakkan, ujar Mas Mogli.

Enggak mengapa mas, biar kami ke restoran aja di depan sana, balas kami. Namun, Mas Mogli tetap bertegas mahu masak untuk kami. Kami terus ditolak masuk ke dalam rumah kongsinya. Rumah kongsi ini kecil sahaja, masuk saja pintu sudah nampak dapur. Lantainya cuma tanah. Didirikan dari papan-papan kayu beratapkan zink. Di sebalik dapur pula menempatkan bilik Mas Mogli di mana tempat tidurnya cuma papan kayu. Itu sahaja keadaan rumah kongsinya dengan seorang rakan berasal dari Madura.

Masakan yang dimasak cuma mi goreng segera. Hidangan yang mudah tapi besar maknanya buat kami yang kesempitan wang. Pemikiran negatif yang bersarang di kalbu sedikit demi sedikit mula hilang. Terasa bodoh dengan syak wasangka sebelum ini. Orang cuba berbuat baik, kita fikir yang jahat pula. Mi segera kami habiskan.

Tak bersisa. Macam orang kebulur berhari-hari. Kita sesama manusia harus saling bantu-membantu tanpa mengira darjat, ujarnya sambil menuangkan kopi panas kepada kami. Selain itu, Mas Mogli juga mengeluarkan stok rokok kretek dan mempelawa kami untuk menikmatinya. Ada satu jenama kretek yang tidak pernah aku dengar iaitu Tali Jagat. Melihatkan kami tidak pernah melihat jenama itu, dia memberikan kami seorang sekotak secara percuma.

Ambil aja. Hadiah buat teman. Gratis! kata Mas Mogli lagi. Baik hati. Katanya, tidak kira hidup sesusah mana jangan pernah kedekut untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan. Memang benar katanya. Bila kita susah, kita lupa bahawa ada yang lebih susah dari kita. Lebih menyentuh hati bila kita yang lebih senang dibantu oleh mereka yang lebih susah daripada kita. Saya enggak punya banyak uang, tapi tidak guna punya banyak uang tapi sombong sama orang yang susah! terangnya. Ayah saya seorang buruh di Malaysia. Bilangnya orang Malaysia melayannya dengan baik malah membantunya ketika susah. Ayah mas masih ada di sana tanya Haeri.

Udah pulang ke Surabaya, jawabnya. Selepas itu, Mas Mogli menceritakan tentang cita-citanya dulu mahu menjadi pendakwah Islam namun tidak kesampaian kerana korupsi yang melanda Indonesia. Ujarnya lagi, adakala yang mendukung ajaran Islam itu sendiri tidak betul dan memburukkan nama Islam. Mereka ini pentingkan diri sendiri, menggunakan agama untuk kepentingan diri. Memandangkan pilihan raya Indonesia semakin hampir pada waktu ini, Haeri bertanya mengenai pandangan politiknya.

Kalau di Indonesia ini, menyertai mana-mana partai, bermakna kalian udah mendukung korupsi! tegas dia bersuara. Lagak seorang pejuang rakyat. Itu yang pasti. Korupsi di Indonesia udah makin teruk. Menyokong dan menyertai mana-mana partai bermakna kalian mendukung korupsi. Saya udah enggak percaya sama mereka! Yang kaya makin kaya, yang miskin semakin miskin! Pembangunannya tidak sekata di semua tempat! tegasnya lagi.

Itu Tommy, anak Suharto udah ke penjara kerana salah guna kuasa. Korupsi! Membunuh Hakim Agung Indonesia, kepemilikan senjata api dan pelbagai lagi kriminal dilakukannya! Udah dibicarakan. Khabarnya ketika di penjara, dia masih bisa berlibur di Bali! Apa itu! Di mana keadilan! Waduh, brengsek! Kalau rakyat biasa seperti kami ini ke penjara, tidak bisa berlibur sepertinya! semakin marah nadanya memikirkan kesan korupsi di negara sendiri. Indonesia jauh lebih luas dari Malaysia dan kadar korupsinya lebih teruk berbanding di Malaysia. Namun, itu tidak boleh membuatkan kita bersenang-lenang kerana kadar korupsi belum menjadi teruk seperti di Indonesia. Ianya perlu dicegah sebelum parah. Para politikus dan pengikut jangan asyik nak bergaduh perkara remeh je. Isu kangkung, isu toron bontot, isu entah apa-apa yang lebih mendapat tumpuan utama.

Saya ini orang Islam. Percaya dosa dan pahala. Dulu saya ada membuat perusahaan kedai minuman. Ada dijual bir dan arak-arak yang lain. Bertapa berdosanya saya kepada Tuhan! Tapi sekarang saya sudah berhenti. Saya bertaubat. Dosa saya dengan Tuhan bisa diampun Tuhan! Dosa menjual dan meminum arak itu antara saya dan Tuhan! Tapi, kalau menjadi pemimpin yang bergelumang dengan korupsi, mereka bukan saja udah berdosa sama Tuhan, tapi juga kepada rakyat! Sesama manusia, berlaku kejam kepada mereka yang lain. Dosa terhadap manusia yang lain perlu mendapat keampuan daripada mereka! Dosa pemimpin itu besar sekali. Tidak cukup hanya bertaubat dengan Tuhan sahaja. Kerana itu, saya enggak mau mendukung korupsi! Tidak mau mendapat dosa berkesepakatan! tegas Mas Mogli panjang lebar kali ini. Kami hanya mengangguk mendengar penjelasannya yang penuh semangat.

Setelah berborak panjang, kami pun meminta diri untuk pulang ke bilik. Kami bersalaman dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Mas Mogli. Kami mahu menghulurkan sedikit wang namun tidak kesampaian. Duit ada cuma berapa je waktu ini. Lagipun Mas Mogli memang menganggap kami tetamunya yang perlu dilayan sebaik mungkin. Kami terharu dengan perilakunya. Kehidupannya boleh dikatakan kerja seharian hanya untuk cukup-cukup makan saja, namun tetap mahu menolong kami yang sememangnya hidup lebih senang darinya.