Mencari Kiblat Cinta - 26
Danira terdiam. Sememangnya dia juga berfikiran begitu. Permintaan Kamila juga adalah harapannya selama ini. Dia benar-benar mahu melupakan sejarah silam. Dia mahu membina hidupnya semula. Lagipun jika orang tahu siapa dia, pasti yang susah Kamila juga. Jika mereka semua tahu dia bekas banduan yang baru bebas dari penjara, pasti ramai ibubapa takkan sudi menghantar anak-anak mereka ke taska Kamila. Apatah lagi kesalahan yang dilakukannya adalah kerana membunuh!

NIRA, kami semua nak balik ni. Selalunya Kak Siti orang yang paling lambat balik. Tapi hari ni Kak Siti kena balik awal sikit sebab mak Kak Siti tengah sakit. Boleh tak Nira tolong temankan anak-anak kat sini sampai mak ayah diaorang datang ambil Pinta Siti hari itu. Jarum jam sudah menginjak pukul 4.30 petang. Dia harus berkejar ke hospital pula selepas ini.

Mak Kak Siti sakit apa Tanya Danira. Sengaja dia mahu memancing perbualannya dengan Siti yang tidak sempat habis kelmarin.

Ala sakit biasa je, sakit orang tua. Darah tinggi, buah pinggang, semua ada. Kita ni pun kalau dah tua nanti, macam nilah juga agaknya. Jawab Siti tersengih.

Tak apalah, Kak Siti baliklah. Nira boleh tunggu anak-anak ni. Lagipun Nira pun tak ke mana, kat sini aje. Balas Danira. Bulat matanya memerhatikan Siti yang bergegas pergi sebaik dijemput suaminya dengan Perodua Kancil berwarna merah hati.

Nira, kami balik dulu ya. Laung Umaira pula seraya melambai-lambaikan tangan ke arahnya. Hanya Lynn yang masih berat mahu menyedekahkan senyuman untuknya. Namun dia tidak kisah. Sedikit pun tidak!

Sesekali dia menoleh ke arah beberapa orang kanak-kanak yang masih tinggal. Yang lain-lain sudah dijemput ahli keluarga masing-masing. Sambil menunggu, Nira rajin mengajak anak-anak kecil itu berbual. Pelbagai pertanyaan dilemparkan dan mulut-mulut mungil itu keletah menjawab. Kadangkala sehingga berebut-rebut mahu menjawab, sehingga dia ketawa sendiri. Sedikit sebanyak hatinya tercuit dengan telatah si kecil di hadapannya.

Di kalangan kanak-kanak itu, mata Danira selalu mencuri pandang ke arah seorang anak kecil yang berwajah muram. Jika kanak-kanak lain riang melayannya, berbeza pula dengan si comel yang seakan tidak ambil pusing. Mata anak kecil itu asyik menatap ke luar pagar, bagaikan menanti seseorang.

Tunggu siapa Tegur Danira seraya duduk di sisi si kecil itu. Wajah itu mendongak memandangnya. Danira tersenyum.

Kakak tanya ni, adik tunggu siapa Soal Danira lagi. Kasihan pula dia melihat anak itu tinggal berseorangan setelah teman-temannya telah pun dijemput ibubapa masing-masing.

Tunggu papa. Jawab bibir mungil itu.

Nama siapa

Melia Alina.

Hmm Melia Alina, cantiknya nama. Kakak panggil Lia ya. Danira tiba-tiba teringat pada ibunya Zahlia yang juga dipanggil Lia.

Papa selalu panggil Melly aje. Jawab Melia pantas.

Danira terkedu. Melly Dia tersengih sendiri. Macam nama penyanyi Melly Goeslow pula. Agaknya ayahnya peminat setia penyanyi dari seberang itu, detik hati kecil Danira.

Selalu ke papa datang lewat macam ni Tanya Danira sekadar ingin berbual. Wajah itu mengangguk muram. Danira tersenyum. Kasihan pula dia melihat wajah comel itu diliputi mendung. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dia bergegas ke arah dapur lalu membuka peti ais. Sekotak aiskrim dibawa keluar bersama dua mangkuk kecil.

Melly nak aiskrim tak Sebelum papa datang, kita makan aiskrim dulu mahu Dia mengumpan kanak-kanak itu dengan aiskrim di tangannya. Wajah si kecil itu terkelip-kelip memandangnya. Danira tersenyum. Umpan yang dipasang mengena. Melia menganggukkan kepala.

Sambil menikmati aiskrim, dia asyik bercerita dengan Melia. Kanak-kanak itu sudah mahu tertawa bila dia bercerita pelbagai kisah kisah lucu.

Umur Melly berapa tahun

Lima tahun. Jawab anak itu.

Suka tak aiskrim ni

Suka. Jawab Melia sambil tersenyum.

Lain kali kalau papa Melly datang lambat lagi. Melly cari kakak saja, nanti kita sama-sama habiskan aiskrim ni. Setuju

Melia mengangguk seraya tertawa girang.

Seorang lelaki baru saja melangkah keluar dari keretanya yang diparkir di hadapan pintu pagar taska itu. Mendengar suara hilai tawa datangnya dari dalam rumah, dahinya segera berkerut. Apatah lagi suara itu seakan dikenalinya. Dia segera menolak pintu pagar, lalu melangkah perlahan ke arah rumah dua tingkat di taman perumahan itu.

Baru sahaja bibirnya hendak melafaz salam, dia terpandang kelibat Melia sedang duduk bersama seorang perempuan tidak dikenali dari celah muka pintu yang sedikit renggang. Melihat Melia ketawa terkeheh-keheh seperti ada sesuatu yang mengusik hatinya, wajahnya tambah berkerut.

Pandangannya beralih ke arah perempuan bertudung di samping Melia yang asyik mengusap-usap kepala Melia yang sedang enak menikmati aiskrim. Wajah itu tidak jelas, tapi dia pasti perempuan itu bukan Umaira atau Lynn yang memang sudah dikenalinya. Bukan juga Kak Siti atau Kamila sendiri.

bersambung

Bab akan datang :

Siapakah papa kepada Melia