Saya membuat perumpaan takdir tersebut dengan sungai-sungai yang deras mengalir. Apabila berlakunya banjir, sungai tersebut akan melimpah ke dataran. Seterusnya memusnahkan pokok-pokok dan bangunan, membantai tanah dari satu tempat ke tempat yang lain. Segalanya melayang dan tumbang oleh keganasannya tanpa dapat bertahan dengan cara apa pun. Namun, apabila sungai itu tenang, manusia mampu mengawalnya dengan membina tembok. Apabila air sungai itu meningkat, ia dapat dikawal dengan saluran longkang. Begitulah sifat takdir yang menunjukkan kekuasaannya pada manusia yang tidak bersedia untuk menghadapinya.
Itali telah menampakkan pelbagai perubahan ini dan kita akan melihat Itali sebagai sebagai negara tanpa pagar penghalang dan pertahanan. Sekiranya Itali dipertahankan oleh pertahanan yang betul seperti Jerman, Sepanyol dan Perancis, mana-mana perubahan besar yang pernah berlaku ke atas Itali kerana penaklukan, tidak akan berlaku ataupun Itali itu sendiri tidak akan ditakluk.
Secara lebih spesifik, mungkin penguasa berada dalam keadaan beruntung pada hari ini dan berada dalam keadaan rugi pada esoknya tanpa menunjukkan sebarang perubahan. Saya percaya hal ini berlaku, pertamanya kerana faktor yang telah dibicarakan panjang sebelum ini, iaitu penguasa yang bergantung sepenuhnya pada keuntungan atau takdir akan tewas apabila berlaku perubahan. Saya juga percaya, penguasa akan berjaya sekiranya dia mengambil tindakan mengikut keperluan. Jika sebaliknya, dia tidak akan berjaya. Manusia telah melihat dalam sejarah bagaimana pengakhiran manusia sebelum mereka yang mempunyai nama, keagungan dan kekayaan.
Manusia juga telah melihat pelbagai cara untuk mencapai ke tahap tersebut. Ada yang berhati-hati, ada yang terburu-buru. Ada yang menggunakan kekerasan, ada yang menggunakan kecerdikan. Ada yang bersabar, ada yang mahu segera. Setiap daripada mereka berjaya mencapai matlamat dengan cara yang berbeza-beza.
Machiavelli Niccolo
Seseorang juga boleh melihat bagaimana dua individu yang berhatihati, seorang berjaya, seorang lagi gagal. Sama juga, dua orang yang ambil pendekatan berbeza, tetapi kedua-duanya berjaya. Semua ini adalah kerana faktor pendekatan yang diambil mengikut keperluan.
Perubahan pada negara juga berpunca daripada faktor yang sama. Sekiranya penguasa memerintah dengan penuh berhatihati dan sabar pada masa yang sesuai dengan keperluan urusan, pemerintahannya akan berjaya dan dia akan beruntung. Sekiranya pada masa dan keperluan urusan berubah, dia akan hancur sekiranya dia tidak mengubah pendekatannya. Tetapi manusia selalunya tidak cukup bersedia untuk beradaptasi dengan perubahan. Pertamanya, kerana dia tidak mampu mengubah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan. Kedua, dia sudah terbiasa bertindak menggunakan satu cara sahaja dan tidak yakin dengan cara-cara yang lain. Maka, apabila tiba waktunya untuk dia mengambil risiko dan melakukan perubahan, dia tidak tahu pula bagaimana untuk melaksanakannya. Seterusnya membawa dirinya menuju kehancuran. Sekiranya dia melakukan perubahan sesuai dengan masa dan keperluan, kejayaan akan datang kepadanya.
Paus Julius II selalu melaksanakan urusannya dengan terburu-buru dan tanpa berfikir panjang dahulu. Walaupun begitu, ia adalah tepat pada waktu dan keperluannya yang seterusnya sering membawa kejayaan kepadanya. Lihatlah ekspedisinya ke atas Bologna pada waktu Giovanni Bentivogli masih hidup. Bangsa Venetia tidak senang dengan tindakannya. Begitu juga dengan Raja Sepanyol. Raja Perancis masih berbincang dengan Julius II mengenai hal itu. Walau bagaimanapun, Perancis tetap mengikuti ekspedisi tersebut yang membuatkan Sepanyol dan Venetia berada dalam keadaan ragu-ragu dan pasif. Venetia berada dalam ketakutan dan Sepanyol mahu kembalikan semula Kerajaan Naples.
Di sisi lain, Julius II mendorong Raja Perancis untuk mengikutinya kerana raja tersebut mahu menjalinkan hubungan dengan Paus untuk menjatuhkan Venetia. Julius II mendapati sukar untuk menolak tawaran tersebut tanpa menyinggungnya. Oleh itu, Julius II telah bertindak secara drastik dan seterusnya mencapai kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh Paus-Paus sebelumnya. Sekiranya dia menunggu sehingga segala rancangan dan tentera tersusun atur dahulu sebelum meninggalkan Rom seperti yang pernah dilakukan oleh Paus sebelumnya, sudah tentu dia tidak akan berjaya.
Saya akan mengabaikan tindakannya yang lain memandangkan semuanya lebih kurang sama sahaja dan semuanya berakhir dengan kejayaan. Julius II pun hidup terlalu singkat untuk menghadapi kekalahan. Namun, sekiranya terdapat situasi yang memerlukan dia untuk mengambil tindakan secara berhati-hati, sudah tentu dia akan hancur kerana dia tidak mampu mengubah cara yang telah menjadi kebiasaannya, iaitu bertindak terburu-buru.
Saya simpulkan, takdir sentiasa berubah-ubah dan manusia sentiasa teguh di jalan-jalan takdir. Selagi mana manusia dan takdir saling sehaluan antara satu sama lain, manusia akan berjaya. Sebaliknya, manusia akan tumbang. Bagi saya, lebih baik bertindak pantas daripada berhati-hati kerana takdir itu ibarat wanita. Sekiranya Tuan mahu memeliharanya, kekuatan diperlukan. Kelihatannya takdir membenarkan dirinya dikuasai oleh mereka yang bergerak pantas. Maka, ia sememangnya seperti wanita yang mencintai lelaki muda kerana lelaki muda kurang berhati-hati, lebih sengit dan lebih berani.