PERSEPSI TERBIAR SEPI - 26
BUKAN semua perasaan yang kita rasa boleh digambar dengan kata-kata. Bayangkan sekiranya sepanjang hidup, sedari detik kita menginjak bumi ini, kita tinggal di dalam gua yang kelam. Yang ada hanyalah kelawar dan serpih pecah cahaya yang menyapa singgah di mata. Kemudian, kita melangkah keluar darinya buat pertama kali dalam lipatan waktu hidup seorang kita. Menatap indahnya langit dihias awan. Menikmati pepohon rendang yang hijaunya tenang dan mendamaikan. Mengagumi bebasnya burung-burung terbang dan gagahnya matahari yang benderang.

Buat pertama kali kita sedar, yang selama ini kita hanya berada di dalam dunia yang palsu semata-mata. Julung-julung kali juga, kita sedar bahawa wujudnya sesuatu yang lebih besar dan ternyata lebih indah.

Renungkan sejenak rasa itu. Rasa yang tidak mampu dibendung dan keterujaan yang membakar segenap sel yang ada di dalam tubuh kita. Bingkas, tiada satu apa pun memori lalu yang anda kenangkan. Gua yang gelap kelam itu bagai tidak pernah wujud di horizon pemikiran kita. Kita rasa berupaya, kita rasa kuat, rasa hidup semula walaupun belum mati! Kita rasa inilah dia kehidupan sebenar. Kita terus bertekad untuk hidup sepuas-puasnya, menikmati setiap detik dan nafas yang masih berbaki. Buat pertama kali juga, kita rasa inilah dia apa yang kita dambakan dan mahukan selama ini. Sungguh tidak ada kata-kata yang mampu kita tamsilkan perkara ini. Inilah satu kesedaran yang hadir bersama usai kebenaran itu kita temui.

Inilah realiti sebuah kebangkitan! Kebangkitan setelah segala persepsi dibiarkan sepi.

Rasa ini sangat dekat dengan orang yang baru kembali kepada Islam. Dia akan kenal benar perasaan ini. Seseorang yang sudahpun mengalir di dalam jasadnya darah seorang Muslim sejak dilahirkan, namun tidak benar-benar membumikan cara hidup Islam. Kemudian pulang ke jalan-Nya selepas bertahun lama bergelap, hanya mereka yang merasai akan faham perasaan ini.

Ketahuilah, sesiapapun yang sebelum ini kehidupannya sangat jauh dari Tuhan, namun dia berubah dan memilih untuk menghadapkan seluruh jiwa raganya kepada Allah s.w.t, semestinya pernah mengalami rasa sebegini. Allah s.w.t Maha Berkuasa atas setiap perkara yang ada di langit dan di bumi. Dia, Allah s.w.t memudahkan kita untuk menyembah-Nya.

Jika difahami dengan teliti, di dalam situasi sebegini apabila seseorang yang melalui pengalaman ini, mereka umpama baru sahaja mendapat suntikan vitamin spiritual. Ini semuanya daripada Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah yang memberikan bantuan agar terus tunduk patuh kepada-Nya.

Mungkin ada yang berpendapat bahawa perubahan yang mendadak dalam diri seseorang itu usai dia kembali kepada Islam, adalah sesuatu yang tidak begitu elok. Pada saya tidak menjadi masalah andai seseorang itu berubah mendadak atau dengan cepat, tetapi keangkuhan yang ada pada seseorang itulah menjadi satu masalah yang perlu dibendung. Sama juga dengan perasaan mahu mengalah. Sedarlah bahawa, apa jua kekuatan yang ada pada anda, datangnya hanyalah daripada Allah s.w.t. Dia beri anda kekuatan, maka manfaatkanlah dengan sebaiknya. Perasaan itu akan membuatkan anda kenyang dan rasa puas. Tetapi sentiasalah beringat, perasaan itu akan pergi. Keterujaan itu lambat laun akan berkurangan. Kawal diri anda. Jangan biarkan diri anda jatuh dan jatuh lagi. Melakukan kesilapan itu bukanlah satu kesilapan, tetapi mengulangi kesilapan yang sama itulah sebenarnya kesilapan yang besar.

Apabila seseorang itu bersemangat tinggi dan berkobar-kobar jati keimanannya, dia akan dimanipulasikan oleh syaitan dengan cara yang benarbenar licik. Syaitan akan cuba sedaya upaya untuk mencucuk jarum manipulasi yang paling halus hingga kita tidak sedar sebenarnya kita dimanipulasi olehnya. Syaitan akan berusaha semampunya untuk menghasut kita agar memandang rendah kepada orang lain, orang yang tampaknya tidak sebaik seperti kita. Bahkan kita akan merasakan diri kita cukup bagus, sudah baik dan cukup sempurna.

Syaitan akan membuatkan kita menjadi individu yang mudah menghakimi orang lain. Kita mula membanding-bandingkan kesalahan diri dengan kesalahan si fulan. Kebaikan diri dengan kebaikan si fulan, jenis kejayaan diri dan kejayaan si fulan dan sebagainya. Berhati-hatilah. Sungguh Allah s.w.t Maha Adil dalam menilai segala apa yang kita lakukan.

Berbeza pula dengan seseorang yang paras keimanannya begitu tipis dan rendah. Syaitan dengan liciknya akan membisikkan kepada kita lintasanlintasan yang membuatkan kita mudah mengalah dan putus asa. Syaitan akan mula meracuni fikiran kita dengan mengatakan bahawa kita tidak bernilai dan tidak punya sebarang makna! Syaitan akan cuba buat kita merasa gagal di dunia ini dan memanipulasi minda kita agar terpanggil untuk kembali seperti kita yang dahulu. Kita anggap diri kita sebagai orang yang paling lemah dan orang yang paling hina sehingga Allah s.w.t tidak layak mengampunkan kita.

Lalu kita sedar yang diri kita saban hari semakin jauh daripada-Nya, makin jatuh dan jatuh sehingga lemas di dasar emosi. Mungkin, suatu masa dahulu semangat dan jati keimanan kita berada di takah paling tinggi. Waktu itu kita merasakan yang diri kita ini sempurna hingga tidak boleh menerima kesalahan orang lain. Hal ini secara langsung akan memakan diri kita sendiri kerana kini, kita pula tidak boleh memaafkan diri sendiri.

Sekiranya seseorang itu istiqamah atau konsisten dalam melakukan amalan-amalan yang signifikan, walaupun bilangannya sedikit di kala mereka rasa lemah dan tidak bersemangat, anda pasti akan mendaki semua tangga keimanan perlahan-lahan. Satu demi satu anak tangga hingga dapat benar-benar bangkit dan kembali merasa manisnya bercinta dengan-Nya. Insya-Allah.

Jalan menuju Allah ini bukanlah jalan yang cukup mudah. Bukan lebuh raya lurus dan tidak ada langsung lompong lohong persis jalan-jalan tidak berturap di kampung-kampung. Ada bonggol dan kerikil tajam menghiasi setiap inci jalan ini. Ingatlah, keimanan kita ada masa akan naik dan ada masa akan turun. Samalah juga dengan darjah penyembahan seorang anda terhadap-Nya, juga akan naik dan turun. Hidup ini penuh dengan jatuh bangun bukan

Sentiasalah bersabar, kekal istiqamah dan juga konsisten. Sebagai hamba-Nya yang beriman, jangan sesekali berputus asa dan sentiasalah meminta pertolongan kepada-Nya. Jangan menjadi hamba yang sombong, angkuh dan egois kepada Rabb. Kononnya bersifat tinggi seperti langit. Lupakah di atas langit ada langit Allah Yang Maha Besar, bukan kita. Segalanya yang ada di dunia ini, semuanya pasti akan sampai ke penghujungnya. Ingatlah, apa yang di akhir sana akan memberi nilai dan makna atas segala usaha, rasa penat, rasa letih, rasa tak berdaya selama di pentas dunia ini. Semuanya pasti dibalas dengan sesuatu yang lebih punya makna. Tetapkan keyakinan!

Maka ingin saya bawakan segala kisah di hujung segala persepsi. Wallahi, persepsi itu cinta. Jika kalian menelusuri satu per satu kisah yang saya bawakan dari awal cerita hingga saat ini di hujung persepsi, kalian akan faham apa makna tersurat dan tersirat dalam segala mesej yang cuba ingin disampaikan. Bermula dengan persepsi ahli keluarga, rakan-rakan, sahabat baik, orang sekeliling kemudian di penghujungnya seperti mereka tidak pernah bermusuh dalam diam. Seperti mereka tidak pernah menikam dari belakang.

Manisnya terlalu manis, nikmatnya terlalu nikmat, indahnya terlalu indah. Rupa-rupanya satu masa dulu, apabila saya diuji dengan santau oleh orang yang dengki, ramai yang menangis mendoakan saya. Ramai yang mengambil berat, ramai yang risau, ramai yang punya rasa bersalah yang tinggi, ramai yang mendekati dan berusaha cuba memberi kekuatan motivasi kepada saya.

Tiada kata yang mampu diungkap lagi. Maha Suci Allah. Tuhan sebaik-baik pengatur kehidupan manusia. Kita selalu terlupa dan fikir tak sudah-sudah bahawasanya ujian dan dugaan yang Allah s.w.t berikan kepada manusia hanyalah merupakan kesakitan terhadap jiwa-jiwa kita yang ingin bebas. Semuanya kita rasa mendukacitakan dan menyakitkan hati.

Tapi Allah s.w.t Maha Tahu. Sebab itulah Dia menguji kita dengan nikmat-Nya, dengan kesenangan dan kebahagiaan, dengan kesakitan dan kesengsaraan dan banyak lagi. Seringkali, ujian sebeginilah yang mengesankan kita. Sesungguhnya ujian yang pernah ditempuh Nabi Yunus a.s perlu kita bumikan dalam fikiran kita. Bayangkan, di saat dia terperangkap di dalam perut ikan paus, hanya ada satu jalan keluar. Jalan itulah yang dia pilih. Apa dia

Iaitu dengan berpaling kepada Allah s.w.t dan meletakkan sepenuh harapan hanya pada-Nya, juga meyakini dan menyedari keesaan Allah s.w.t serta membandingkan keupayaannya sebagai manusia lemah dengan kekuasaan Dia Yang Maha Berkuasa. Doa yang telah ditembak oleh nabi Allah ini, saat berada di dalam perut ikan paus itu adalah manifestasi keyakinan yang sungguh luhur.

Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.

(QS al Anbiya 21:87)

Ketahuilah ramai antara kita sebenarnya terperangkap di dalam perut ikan paus kita sendiri. Di dalam penjara yang tercipta dek kerana kita hambakan diri kita kepada nafsu sendiri. Maka kita dibelenggu dan digari oleh mahu-mahu ini dan itu juga, disebabkan daripada perbuatan kita meletakkan sesuatu itu sama tarafnya dengan Tuhan. Sesungguhnya, hanya Tuhanlah yang sepatutnya kita tempatkan di dalam hati kita, bukan orang lain dan bukan siapa-siapa.

Oleh kerana kita terlanjur meletakkan semua yang ada selain-Nya untuk mengisi hati kita ini, kita cipta satu seksaan yang tidak dapat dielak oleh diri kita. Penjara dunia ini sesungguhnya hanya akan membelenggu kita daripada segala apa yang tidak sempurna, tapi penjara hati akan memisahkan kita dengan apa yang tidak akan habis, dan yang paling sempurna itu adalah hubungan kita dengan Allah s.w.t. Beringat-ingat dan berwaspadalah agar diri kita tidak akan dibelenggu oleh kepalsuan dunia.

Rasulullah s.a.w faham benar dengan kebenaran yang zahir pada dunia ini. Baginda telah melalui dunia ini tanpa berada di dalamnya. Baginda juga faham tentang bagaimana untuk hanya terapung di lautan dunia tanpa perlu lemas di dalamnya. Kita perlulah mengangkat layar dan menjadi nakhoda kapal yang kenal asalnya dan juga ke mana akan dituju.

Laut ini adalah laut yang serupa yang telah dan pernah dilalui oleh Rasulullah s.a.w. Yang beza cuma, Baginda kenal sungguh dengan asal dan akarnya, dan nampak jelas ke mana destinasinya. Kapal Baginda juga kering, tidak ternoda walaupun dengan sedikit air. Bayang pancaran mentari yang menari-nari di permukaan lautan ini akan jadi saksi kepada berjayanya pelajaran kita semua ketika harungi roda kehidupan ini. Tidak mustahil juga ia mejadi saksi kepada karamnya hati dan diri kita. Moga Allah sentiasa melindungi.

Izinkan saya membawa kalian lagi untuk membayangkan satu situasi. Bayangkan satu kehidupan ini sebagai satu pelayaran di laut. Jika kita biarkan kapal kita dimasuki air, tidak lama selepas itu lautanlah yang akan mengawal dan mengambil alih kapal kita. Makin kita tenggelam, makin kita dekat dengan dasar laut, usai kaki memijak pasir, terasa bagai kita berada di takat yang paling rendah, paling menyedihkan dan paling menakutkan. Dicengkam sekuatnya oleh dosadosa dan cinta-cinta kepada dunia, hanya remuk-redam yang akan dirasa, berbalut kegelapan pekat. Apa yang lebih menggerunkan, segaris pancar cahaya pun tidak mungkin akan mampu ada di sana.

Tapi, apa yang indah mengenai realiti ini ialah, kegelapan bukanlah garisan penamat. Cuba fikirkan, bukankah pekat malam kelam itu perlu ditempuh dahulu sebelum subuh kunjung tiba Selagi jantung kita berdegup, selagi nyawa masih ada, selagi roh dan jasad masih bersatu, selagi itulah kita masih ada masa.

Its never too late to start something great, right

Ya, benar tatkala berada di dasar laut tanpa sebarang cahaya itu sangat menakutkan, tetapi tidak semestinya anda membiarkan diri anda terus berada di situ. Mungkin ia hanya salah satu daripada hentian yang perlu anda lalui di dalam perjalanan merentas lautan kehidupan ini. Sewaktu itulah, anda dibentangkan dengan dua pilihan. Sama ada kekal berada di dalam dingin air laut yang melemaskan itu atau mengutip mutiara-mutiara bernilai dan kemudiannya berusaha berenang ke permukaan. Dalam kuakan itu, anda jadi kuat. Usai naik ke permukaan, anda juga akan jadi lebih kaya hasil mengutip mutiara-mutiara itu.

Begitu jualah dengan situasi ujian demi ujian, dan persepsi demi persepsi yang akhirnya membawa seorang Hassanah saat ini. Namun, pastilah proses belajar itu takkan pernah berhenti selagi diri tidak mati. Ketahuilah, jika kamu berpaling kepada Allah s.w.t, Dia akan menukarkan gelap kelam hitam laut kepada terang benderang cahaya mentari-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t mampu menukarkan segenap dan seluruh kelemahan anda menjadi punca kepada kematangan, penyucian dan juga pengampunan yang tidak berbelah bahagi.

Kadangkala, perlu untuk seseorang itu jatuh terlebih dulu sebelum dia berupaya bangun dan berdiri kembali lalu meneruskan perjuangan yang bersisa. Sesungguhnya, kerendahan diri amat jarang dijumpai oleh mana-mana manusia hari ini. Kutiplah nilai-nilai itu, pelajarilah, kemudian bersihkan lutut yang berdebu dan tangan yang mungkin tercalarbalar, terus bangun dan sambung berlari!

Larian itu nanti akan jadi saksi seorang anda yang lebih kuat, lebih matang dan juga lebih punya keyakinan tinggi bahawa Allah s.w.t itu Maha Agung. Jika anda fikir anda sudah kenal dengan realiti kehidupan yang tidaklah sebegitu indah, maka ketahuilah bahawa kepayahan dan kesusahan yang anda tempuh ini semuanya disebabkan oleh diri anda sendiri, bukan Dia. Rugilah bagi mereka yang tidak pernah melalui masa sempit dan keterdesakan hidup tanpa-Nya. Sedarlah, perbuatan anda mengharapkan diri sendiri juga satu bentuk manifestasi kebergantungan pada Allah s.w.t. Kerana apa Kerana jasad, roh malah seluruh anda yang wujud itu, semua ciptaan-Nya.

Usahlah khuatir, kembalilah, carilah Dia. Allah bukan sahaja mampu mengangkat dan memartabatkan kita untuk berdiri semula, bahkan Dia juga akan baiki kapal kita agar selepas ini kita akan mudah untuk terus belayar. Kita mungkin fikir mana mungkin kita mampu diselamatkan akibat remuk-redam, lalu akan dicantumkan semula menjadi jiwa yang hidup kerana-Nya. Percayalah. Hanya Dia sahaja yang mampu melakukan semua itu. Masakan kita masih ragu

Jika direnung, di hujung segala persepsi manusia terhadap saya, seringkali saya mendapat pelbagai kebaikan yang berterusan. Maha Baiknya Allah yang sudi memberi nikmat sebanyak itu. Antaranya ialah, semua yang mengata di belakang kini sudah berada di sisi saya menyokong perjuangan ini. Meskipun ahli keluarga saya masih belum Islam seluruhnya, doa yang dipohon setiap kali sujud pasti akan diteruskan tanpa putus asa. Benar, seringkali juga saya menangis ketika berdoa memohon agar Allah bukakan pintu hati mereka kesemuanya dan memberikan hidayah seperti saya menerima hidayah-Nya, malah mungkin lebih baik, namun saya yakin pasti ada sesuatu yang mahu Tuhan ajarkan. Tidak mengapa, kerana saya masih setia mendoakan.

Pelajaran juga semakin cemerlang setelah hijrah. Kejayaan demi kejayaan Allah datangkan buat saya sama ada kejayaan kecil mahupun besar. Saya juga dianugerahkan nikmat pelajar STPM terbaik peringkat negeri. Bahkan saya dapat ditawarkan memasuki universiti yang saya idam-idamkan sejak di bangku sekolah menengah lagi. Kerana universiti itu telah melahirkan seorang guru inspirasi saya yang bernama Puan Siti Laila Jabin. Kenapa dia guru inspirasi

Kerana hadirnya dia satu dalam seribu. Tanyalah pada mereka yang mengenali beliau. Dialah guru, dialah mak, dialah mentor, dialah sahabat, dialah teman, dialah yang satu masa dulu pernah mengasah bakat menulis ini sehingga ke peringkat kebangsaan dua tahun berturut-turut sewaktu berada di Tingkatan 4 dan 5. Semoga Allah melindungi beliau tidak kira di mana jua beliau berada sekarang ini. Pengalaman paling manis, saat nama diumumkan pemidato terbaik peringkat kebangsaan, walhal dia yang terbaik itu bermula dengan kosong. Kosong di sini bukanlah saya ertikan tidak tahu apa-apa, tapi kosong yang saya maksudkan ialah selalu tewas. Segala puji bagi Allah.

Menyingkap segala manisnya selepas segala persepsi yang dilontarkan, teringat ketika diri ini sudah menempah tiket kapal terbang untuk meneruskan kembara mencari ilmu dan cinta Allah nun di sana. Hampir semua mak cik pak cik datang ke rumah memberikan kata motivasi, kata sokongan, nasihat agar menjaga maruah di tempat orang sebagai seorang wanita Islam, juga tidak mencemarkan nama baik mama dan ayah.

Saat tiba untuk terbang, ada yang menangis, ada yang tersenyum melihat langkah perjuangan saya. Mak cik yang dahulu pernah menghina, sekarang dialah yang paling menjaga saya, paling mengambil berat dan selalu menelefon saat saya berada di kampus bertanya khabar. Sepupu-sepupu yang dulu mengata, sekarang semuanya pernah meluahkan rasa ingin terbang juga seperti saya. Masya-Allah.

Paling tak dapat lupa, semua adik-beradik ayah dan mama ketika bersalaman dengan saya kali terakhir sebelum naik ke kapal terbang memberi saya wang ringgit. Saya bukanlah seorang manusia yang memandang wang sebagai segala-galanya.

Tapi saya adalah seorang manusia yang memandang wang itu daripada siapa kemudian itulah yang akan menjadikan nilai hadiah itu adalah segala-galanya. Mereka kata, mereka lakukan sebegitu kerana mereka menghargai semangat belajar saya. Subhanallah!

Bayangkan saja, mereka kebanyakannya bukanlah punya pekerjaan yang bagus. Kebanyakannya petani dan berniaga sendiri, tapi mereka tidak kedekut dan bakhil untuk menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan, masa, dan tenaga apabila ada anak-anak muda dalam kalangan ahli keluarga yang meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Sumpah, menangis sepanjang dalam perjalanan menaiki pesawat teringat segala kisah yang berakhir dengan rasa cinta.

Ditambah pula, apabila sudah bermusafir di tempat orang. Setiap hari akan ada insan-insan yang mendatangi saya kerana Allah. Saya cuba memandang semua itu dengan penuh ibrah. Kerana saya seorang Muslimah yang cintakan ibrah-Nya. Sehingga satu saat saya ditakdirkan mengenali seorang Mai Izyani.

Apa yang saya ingat, sebelum mengenali dia lebih dekat, kami memang pernah bermesej di ruangan FB messenger bagi tujuan-tujuan ilmu, dakwah, pandangan, pendapat, nasihat dan sebagainya. Tapi yang saya ingat, ada satu ketika niat dia mungkin memang hendak menegur satu status saya yang bercanggah dengan pemikiran dia. Tapi caranya saya kurang suka. Ops maaf sayang, haha. Benar, dia menggunakan bahasa yang cukup halus tapi halusnya lain dari yang lain, sampaikan saya berteka-teki, dia nak betulkan aku ke nak tunjuk pandai Hahaha. Sebab itulah, respon degil saya keluar ketika itu. Yalah, tak kenal maka tak cinta.

Persepsi demi persepsi, saya diamkan sahaja. Sejujurnya, tidak semuanya yang ditulis oleh beliau, saya setuju. Sama ada dalam status Facebook ataupun dalam karya yang dibukukan. Sebagai contoh dalam buku ASAH, pada muka surat 96. Beliau mengatakan bahawa beliau kurang bersetuju dengan orang yang cuba mematikan perdebatan dengan memetik ayat Imam as-Syafie iaitu,

Aku mampu berhujah dengan 10 orang yang berilmu tetapi aku pasti kalah dengan seorang yang jahil, kerana orang yang jahil itu tidak pernah faham landasan ilmu.

Alasan beliau ialah, cukup ayat tersebut istimewa diungkap oleh Imam as-Syafie sahaja. Orang muda atau sesiapa sahaja yang sedar dirinya dalam fasa pencarian itu adalah lebih baik dari melabel lawannya seorang yang jahil. Ukur semula, jauh mana taraf ilmu kita dengan Imam as-Syafie.

Selepas khatam buku ASAH, antara semua aksara bicara, yang bahagian itu jugalah saya asyik fikir siang malam sampai tiga hari, tahu Haha. Jika kita nak ukur ilmu kita yang tak seberapa dengan Imam as-Syafie, sudah pasti amat mustahil. Bukan Maka bagi saya, ayat ini bukanlah untuk diungkap oleh insan yang sehebat Imam as-Syafie sahaja. Bahkan orang yang faham dan hadam liku-liku agama itu sendiri juga boleh dan sesuai untuk menggunakan hujah ini. Bukan kerana mereka ingin mematikan hujah pihak lawan. No. Tetapi kerana sememangnya, orang yang alim itu lebih kenal orang jahil kerana mereka pernah jahil. Tapi orang jahil tidak kenal orang alim sebab mereka tidak pernah alim. Sebab itulah semakin jahil, semakin banyak merapu isinya yang tiada kesudahan sesuailah dengah hujah Imam as-Syafie tadi.

Bila cerita bab perdebatan, saya teringat ketika saya di zaman SPM, saya merupakan seorang ahli debat yang sangat suka untuk mematikan hujah pihak lawan. Kebetulan pada hari pertandingan peringkat negeri, seorang ustaz yang mengajar subjek Tasawur Islam menghadiri majlis itu sebagai tetamu jemputan. Ketika itu kami dinobatkan sebagai juara. Kemudian minggu depannya sesi penyampaian hadiah ketika sesi perhimpunan diadakan di hadapan pengetua sekolah, guru-guru dan semua pelajar sekolah. Rutin bagi pihak sekolah, apabila ada saja pertandingan yang dianjurkan semasa peringkat negeri atau kebangsaan, hadiah akan diserahkan ketika waktu perhimpunan. Dan sebab itulah mungkin, ramai yang berhati dengki dalam diam.

Seperti biasa, selesai saja acara rasmi perhimpunan. Maka akan dijemput mana-mana guru untuk menyampaikan sebarang maklumat atau pesanan ringkas. Maka berdirilah ustaz ketika itu. Cuba memberi salam dan menegur sedikit kehadiran pelajar yang tercorot kerana beliau merupakan guru bertugas minggu lalu. Setelah itu, dia cuba menyentuh bab debat.

Antara yang saya masih ingat kata-katanya,

Pelajar perempuan yang Muslim kalau boleh, ustaz nak nasihat sikit, tak paksa. Ustaz tak sarankan kalian mengikuti aktiviti-aktiviti yang melibatkan suara terdedah kepada lelaki Muslimin. Tak kiralah, suara lemah lembut ke, kasar ke, garau ke, bermelodi ke, kalau boleh elakkan maka elakkan. Nasyid bagai, debat bagai. Paling-paling kalian akan menang sorak yeahh horey dapat piala lepas itu begitulah seterusnya. Walhal wanita yang terbaik di sisi agama itu sendiri adalah wanita yang lebih banyak diam dan berzikir.

Wallahulam. Menusuk tertusuk ditusuk. Pedas bak hang!

Namun terpulanglah pada kalian untuk membuat penilaian, dan hati saya lebih tenang untuk meninggalkan semua itu. Jika jiwa kalian tenang ke arah itu, silakan. Tiada halangan.

Dari segi penampilan diri di khalayak ramai pula. Saya dan Mai Izyani juga tidak sependapat atau sefikrah namun tidak bermakna saya betul mahupun Mai betul.

Kedua-duanya ada sebab yang tersendiri. Macam kalianlah, kalian lebih suka pakai telefon sambung, tapi kawan sebelah lebih suka pakai telefon bimbit. Ikutlah, selagi ia digunakan untuk kebaikan terserah mahu pilih yang mana.

Macam Mai, beliau tidak kisah, wajah terpapar di laman sosial, asalkan masih menutup aurat dan bersederhana. Namun saya pula, saya kurang selesa menampilkan wajah pada khalayak. Dia ada prinsip, saya ada prinsip. Maka saya tidak mengganggu prinsip dia, dia juga tak ganggu prinsip saya. Tapi dalam masa yang sama, masih menegur antara satu sama lain. Menerima kekurangan bukan bermaksud menerima perbuatan yang menyalahi syarak, menerima kekurangan bermaksud menerima kekurangan yang lain sebagai satu keistimewaan yang perlu dibaik pulih bersama lalu membetulkan segala kesilapan yang menyalahi syarak.

Untuk hal yang lainnya, saya cukup terpesona dengan gaya bahasa yang digunakan seorang Mai Izyani dalam mengolah sesuatu ayat. Butir bicaranya amat kritis, berpandangan luas, bahkan terlalu berkias. Namun kiasan yang digunakan juga terpulang pada siapa yang membacanya. Jika dia sukakan sastera, mungkin lebih cepat memahaminya, jika sebaliknya mungkin dia juga memahaminya tetapi mengambil tempoh masa yang agak panjang. Bukankah murajaah itu indah

Saat mengenali beliau, kali pertama ketika di KTM UKM. Wajah yang persis dengan sahabat pemidato saya, Rini Zarina Jakrin. Berjalan, bertukar cerita, berjaulah, mengatur perjalanan di sekian-sekian tempat, akhirnya dalam satu hari sahaja, bayangkan kami boleh pula bercerita sambil bertepuk tampar seolah sahabat yang sudah lebih lima tahun berukhuwah. Hahaha. Sampaikan kami sama-sama bertanya, Eh kita macam kenal lama kan

Walaupun tidak semua pendapat kami sama, tapi kami melihat bahawa semua itu hanyalah rahmat. Meraikan pendapat juga amat dianjurkan oleh ulama muktabar sekalipun. Maka siapa kita hendak berkata dia betul, dia salah Selagi kedua-duanya membawa manfaat, raikanlah. Kenapa tidak

Kami pernah saling meluahkan kisah silam, sama-sama menangis. Sama-sama memberi motivasi. Sampai saat ini, kami masih dengan prinsip samasama membetulkan. Dia sahabat, dia kakak, dia teman, dia penasihat, dia Mai Izyani si perempuan yang mudah menangis tapi juga mudah bangkit! Yang pasti kami sedang cuba memujuk kalian di luar sana, yang dilabel, terlabel, dan melabel diri sendiri bahawa tidak ada harapan untuk move on, ketahuilah, rahmat Allah itu melebihi segala kemurkaan-Nya. Biarkanlah persepsi itu terbiar sepi, mari terbangkan doa-doa kita. Bukankah langit itu luas Semoga Allah meredhai usaha kami, Allahumma amin.