Im not vicious really. I consider myself to be kindhearted. I love my mom.
- Sid Vicious
Pagi ini kami bangun lebih awal. Tu pun terjaga sebab henfon aku berbunyi memainkan lagu Aaina Kamelia daripada Always Last. Toleh tepi, tiada Haeri. Aku keluar bilik, juga tiada kelibat dia. Aku lantas ke pesisir pantai. Haeri sedang duduk bertinggung di atas sampan yang diterbalikkan. Mungkin dia melihat matahari terbit. Aku dengan sebungkus roti krim dan air tin Nescafe menghampirinya. Pagi ini kami lepak di depan ini saja tidak jauh dari tempat penginapan yang masih tak tahu namanya. Sudah ramai peluncur berduyun-duyun dengan surfboard masing-masing menuju ke laut. Suasana yang tidak asing di provinsi Bali. Gadis-gadis Sepanyol bersama David dan isterinya kelihatan menaiki bot pergi entah ke mana. Mungkin ke Gili, mungkin kembali ke tanah besar Bali, yang pasti kami tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Mungkin akan bertemu lagi, siapa tahu permainan takdir.
Beberapa ketika, kelihatan kelibat Mas Mogli yang memulakan tugasannya di sini. Dia berasal dari Surabaya, bekerja di sini. Selesai kerja-kerjanya di sini, dia akan pulang ke Pulau Jawa. Ucapan selamat siang kedengaran di kalangan mereka kepada kami. Layanan mereka sangat baik kepada kami. Kemudian, satu susuk menghampiri kami. Mas Komang, bekerja menolong bapanya mengusahakan tempat penginapan ini. Dia yang selalu menyediakan sarapan pagi kami.
Udah bersarapan tanyanya. Aku mengangguk sambil menunjukkan bungkusan roti krim. Manakala Haeri menggeleng saja.
Ayo, mari sarapan. Sarapan untuk kalian udah disediakan. Gratis aja buat hari ini! terang Mas Komang mengatakan kami boleh bersarapan percuma hari ini. Tersenyum lebar kami secara tiba-tiba. Murah rezeki. Sarapannya biasa saja tapi cukuplah daripada takde langsung. Teralas juga perut untuk memulakan hari ini. Usai bersarapan kami tolong Mas Komang mengemas dapur. Dah bagi makan free rajin-rajinlah menabur bakti kembali. Itupun mereka seperti menghalang kami untuk membantu.
Beberapa detik kemudian, kelibat seorang pak cik kelihatan di muka pintu. Muka seakan aku cam tapi tak ingat di mana. Kembar ke apa tak dapat aku pastikan. Dia tersenyum kepada kami berdua.
Kalian enggak cukup uang ya tanya pak cik tersebut.
Err... aku tergamam. Bagaimana dia boleh tahu situasi kewangan kami. Mungkin Mas Mogli yang memberitahu mereka. Mungkin juga Mas Komang. Takkan cerita ini tersebar ke seluruh pulau Kami cuma mengangguk saja. Sebenarnya ada cara lain untuk keluarkan duit iaitu naik public boat ke Pantai Sanur. Tambang cuma Rp10,000. Tapi perlu tunggu bot penuh baru boleh jalan.
Di sini ada sejumlah uang Rp1,500,000 buat kalian. Ikhlas dari semua penduduk kampung di sini. Tiket speedboat ke Gili Trawangan juga ada untuk kalian. Buat kalian hanya perlu membayar Rp350,000 sahaja.
Gili Trawangan
Terang pakcik tersebut kepada kami. Kami ternganga mulut mendengar penerangannya. Biar betul pakcik ni. Dia ni sedara jauh aku ke
Waduh, kalian enggak ingat sama saya kami menggelengkan kepala menjawab soalannya.
Saya ini yang kalian tolong di Jakarta tempoh hari. Saya bersama anak perempuan saya merempat di jalanan. Kalian datang menghulurkan sejumlah uang buat saya dan anak saya. Sekarang ini saya mau menolong kalian pula. Hahaha! terang pakcik itu. Serta-merta kami teringat memori di Jakarta. Pakcik yang kami bantu ketika dalam perjalanan ke stesen keretapi Gambir. Terharu kami dengan kebaikannya. Bila kau menolong orang dengan ikhlas, kebaikan akan tetap dibalas sebagaimana kejahatan dibalas. Masa akan menentukan. Mungkin kerja Tuhan juga menentukan bila untuk terima balasan. Ini contoh perbuatan bermoral. Tapi moraliti tanpa keikhlasan adalah hipokrasi tahap tinggi.
Terima kasih banyak pak! Jumlahnya terlalu banyak ni, aku membalas.
Enggak apa. Kalian memerlukannya.Sewaktu kalian berdua memberikan saya uang, jumlahnya banyak juga buat saya. Namun, kalian tetap menghulurkannya kepada saya. Saya sebagai manusia mau menolong kalian juga. Saya berugama Hindu. Kami diajar untuk berbuat baik. Setiap ugama juga mengajak pengikutnya berbuat baik sesama manusia. Ijinkan saya membantu kalian berdua. Terang pakcik itu panjang lebar sambil anak perempuannya berlari keluar mendapatkannya. Selamat siang! ucap anak perempuannya kepada kami. Kami membalas ucapan selamat paginya. Anak perempuannya memberikan lipatan origami berbentuk musang kepada kami sebagai tanda memento. Tertunduk malu, dia berlari kembali memeluk bapanya dari belakang. Sebentar lagi kalian akan dijemput untuk ke sana menaiki bot ke Gili Trawangan. Bisa kemas barangan kalian, tambah pakcik itu lagi tersenyum. Terharu sungguh rasanya dengan kebaikan hati mereka. Terasa seperti dunia yang lain di Nusa Lembungan. Di bawah provinsi yang sama iaitu provinsi Bali namun suasana yang jauh berbeza. Duit yang dikumpulkan oleh orang kampung diberikan kepada kami. Duit ini bolehlah kami gunakan untuk membayar penginapan kami. Sampai saja di Gili Trawangan kami akan terus keluarkan duit dari ATM. Selesai bersiap dan bersedia untuk check out, kami duduk di restoran yang masih dalam pembinaan ini. Pakcik yang baik hati ini namanya Pak Made. Mas Komang dan Mas Mogli turut melepak bersama kami untuk menghisap rokok. Kerana merekalah kami mendapat pertolongan daripada mereka yang lain. Pak Made merupakan bapa saudara kepada Mas Komang dan Pak Made memang aslinya dari sini. Baik sungguh hati mereka, terasa seperti mahu terus tinggal di sini. Tiada unsur hasad dengki di kalangan mereka. Namun pengembaraan harus diteruskan. Bot akan tiba beberapa minit lagi dan kami akan meninggalkan Nusa Lembungan yang begitu menyentuh hati kami.