BANDUAN AKHIR - 26
KAJANG: Setiap banduan akhir akan dimaklumkan sehari lebih awal oleh Jabatan Penjara Malaysia masa hukuman gantung yang bakal dijalankan ke atasnya. Mereka juga diberi kebenaran berjumpa keluarga buat kali terakhir sehari sebelum menjalani hukuman serta berpeluang membuat apa juga permintaan terakhir, asalkan tidak menyalahi undang-undang negara dan peraturan negara.

Pegawai Bahagian Keselamatan Jabatan Penjara Malaysia, Timbalan Penguasa Mohd Sabri Ismail, berkata sehari sebelum hukuman, banduan akhir ini akan diisytiharkan oleh jabatan mengenai hukuman mereka dan dipindahkan ke bilik menanti dekat bilik gantung. Beliau berkata, biasanya perintah hukuman mati akan dibacakan Pengarah dalam biliknya sehari sebelum hari hukuman mati.

Ketika itulah banduan akhir boleh mengemukakan permintaan terakhirnya. Jelasnya, hukuman gantung juga biasanya dijalankan pada waktu Subuh selepas pegawai agama melaksanakan upacara keagamaan. Metro Ahad difahamkan, kebiasaannya bermula dari saat banduan akhir keluar dari bilik menanti hinggalah hukuman dijalankan akan mengambil masa pantas, iaitu beberapa saat saja.

Pada waktu hukuman dijalankan, selain pegawai pelaksana hukuman gantung atau tukang gantung, yang dibenarkan ada di bilik gantung ialah Pengarah Penjara, doktor dan juga majistret. Menurut Mohd Sabri, dari segi pemilihan pegawai pelaksana pula, jabatan itu memberikan beberapa kriteria melantik seseorang. Kriteria itu adalah dari segi tahap kesihatan, fizikal dan mental anggota berkenaan. Ini penting bagi memastikan mereka dapat melaksanakan tugas dengan cekap serta komited terhadap tanggungjawab.

Berdasarkan pengalaman, kadangkala lebih sukar mententeramkan ahli keluarga banduan berbanding diri banduan itu sendiri.

"Ada antara kami dimaki serta dituduh kejam dan macam-macam lagi sewaktu mengiringi banduan dalam pertemuan akhir bersama keluarga, katanya.

Semua itu kami terima dengan hati terbuka dan cuba memahami perasaan mereka. Cuma apa yang kami buat adalah cuba terangkan sebaik mungkin dan nasihatkan mereka supaya dapat menerima kenyataan, katanya.

Mohd Sabri berkata, sebelum digantung, banduan diberi pilihan membuat permintaan terakhir seperti makan, tetapi ia tertakluk kepada peruntukan kerajaan sebanyak RM7.50 serta apa-apa yang tidak menyalahi undang-undang.

Katanya, apa yang menyentuh perasaan pegawai penjara apabila ada anak banduan dalam pertemuan akhir berkata: Minggu depan kita jumpa lagi, bapak.

Menurutnya, antara kesalahan yang boleh menyebabkan dikenakan hukuman gantung adalah kerana kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (Dadah), Menculik, Seksyen 3 Akta Senjata Api dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Senarai penjenayah dihukum gantung

Botak Chin atau Wong Swee Chin - digantung pada 11 Jun 1981 kerana memiliki senjata api dan peluru secara haram mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri 1990. Ketika itu dia berusia 28 tahun. Botak Chin ditahan selepas terbabit dalam kejadian tembak-menembak dengan polis pada 16 Februari 1976. Sewaktu menunggu hukuman di penjara, dia menyerang pegawai penjara dua kali menggunakan senjata tajam.

Isa Abidin atau Garuda digantung pada 25 Mei 1984. Dia dijatuhkan hukuman gantung pada 14 Jun 1982 kerana dua tuduhan memiliki senjata api. Nama gelaran Garuda kerana tatu seekor burung pada dadanya. Dia didakwa menembak mati seorang akauntan dan isterinya.

Mokhtar Mansor atau juga dikenli sebagai Mokhtar Komando berusia 36 tahun dan dihukum gantung kerana memiliki senjata api. Digantung di Penjara Pudu pada 3 Julai 1987.

Chua Chap Seng atau Jimmy Chua warganegara Singapura yang dihukum gantung kerana memiliki senjata api secara haram mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia digantung pada 10 Oktober 1989.

John Kevin Barlow dan Brian Geoffrey Chambers dua warga Australia ini menjadi penjenayah bukan Asia pertama menjalani hukuman gantung mengikut undang-undang dadah

Malaysia. Barlow, 28, seorang tukang pateri dari Perth dan Chambers, 29, seorang kontraktor binaan, didapati bersalah membawa 180 gram dadah jenis heroin di Lapangan Terbang Pulau Pinang pada 9 November 1983. Mereka digantung di Penjara Pudu pada 7 Julai 1986.

Maznah Ismail atau Mona Fandey bersama suaminya, Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka, Mohd Juraimi Husin digantung pada waktu Subuh 3 November 2001 di Penjara Kajang. Ketiga-tiga mereka dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Temerloh selepas tujuh juri mencapai keputusan sebulat suara mereka bersalah membunuh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Datuk Mazlan Idris dengan niat bersama. Mayat beliau ditemui dalam keadaan dikerat 18 pada 1993.

Senarai penjara menjalankan hukuman gantung:

Penjara Kajang (Selangor)

Penjara Sungai Buloh (Selangor)

Penjara Taiping (Perak)

Penjara Pengkalan Chepa (Kelantan)

Penjara Kota Kinabalu (Sabah)

Penjara Kuching (Sarawak)

Berita Harian 27/04/2003