M. BUTTERFLY - 27
Sel M.Gallimard. Paris. 1988

GALLIMARD: Macam dalam wayang, tiap-tiap malam aku akan putar balik semua kejadian dalam hidup aku dalam kepala aku ni, mencari babak-babak yang paling sesuai untuk aku padankan dengan pengakhiran cerita dimana aku akhirnya akan keluar dari penjara ni dan kembali hidup dengan Butterfly aku selama-lamanya.

Malam ni baru aku tersedar yang aku dah pun sampai ke penghujung pencarian aku tu. Baru aku tersedar yang selama ni semua jalan cerita yang aku cipta untuk babak akhir aku ni semuanya salah belaka. Dan aku rasa dah sampai masanya untuk aku akan buktikan pada awak semua yang kisah cinta aku ni bukanlah satu fantasi semata-mata. Dan untuk itu aku taka da jalan lain melainkan balik ke babak dimana aku mula-mula berjumpa dengan dia. (Gallimard mengambil kimono. Penari masuk) Aku nak mempersembahkan kepada awak semua rupa permata timur yang aku bayangkan perempuan lampai berbaju ceong sam atau kimono yang sanggup berkorban apa saja untuk kekasih orang putihnya yang tak berguna. Perempuan yang dilahirkan untuk diasuh jadi perempuan sempurna. Perempuan yang bukan saja sanggup menerima apa saja bebanan malah mampu bertahan dengan deritanya disebabkan cinta yang tak berbelah bahagi kepada kita. Perempuan yang selama ini jadi kekuatan untuk aku terus hidup. (Penari membantu menyolek muka Gallimard)Di depan masyarakat aku tetap tak mau menerima hakikat yang Song liling tu adalah seorang lelaki. Itu membuatkan aku jadi tajuk utama dalam suratkhabar, yang menjadikan aku ni aib besar untuk kawan-kawan aku di Perancis ni sampaikan ada diantara kawan-kawan aku tu boleh termuntah lah kalau dengar perkataan masakan Cina. Tapi diaorang tak tau, bila aku berseorangan, aku dah lama menerima hakikat kebenarannya dalam hati aku ni.

Tapi untuk menerima kebenaran tu, kita perlu berkorban. Apalagi kalau kebenaran tu berhubungkait dengan kesilapan yang kita buat dalam hidup kita. Silap aku satu je lelaki yang aku cinta tu tak berguna. Dia tu sepatutnya diterajang je tapi aku memeluk dia dengan cinta.

Ya, cinta. Mengaku je lah, kan Itu lah kesilapan aku, ye tak Membiarkan cinta mempengaruhi keputusan-keputusan dalam hidup aku, membutakan pandangan aku, mengubah rupa aku sampai ke tahap bila aku tengok ke dalam cermin, aku dah tak nampak apa-apa melainkan..dia. (Penari membantu memakaikan rambut palsu Butterfly di kepala Gallimard) Ini yang aku bayangkan. Tentang ketimuran. Tentang aslinya keperempuanan yang masih wujud dibalik lirikan mata yang panjang tu. perempuan yang sanggup berkorban demi cintanya untuk seorang lelaki. Walaupun lelaki tu tak berbaloi pun untuk dicintai. (Penari membantu memakaikan Gallimard kimono. Dan kemudian mereka memberikan Gallimard sebilah pisau). Mati yang bermaruah adalah jauh lebih baik dari hidup.. hidup yang tak punya harga diri. (Gallimard duduk di tengah-tengah pentas dalam posisi seppuku). Cinta Butterfly boleh menghadapi apa saja halangan yang ada ketidak kesetiaan, kehilangan, sakitnya ditinggalkan. Tapi boleh tak dia menghadapi satu-satunya hakikat yang dah mengubah segala-segala yang ada dalam hidupnya Hakikat bahawa di balik semua pengorbanan yang di buat, orang yang dicintainya itu tak lain dan tak bukan, hanyalah seorang lelaki. (Gallimard meletakkan hujung pisau ke badannya) 1988. Aku berjumpa juga dengannya. Di dalam penjara di luar daerah Paris. Nama aku Rene Gallimard- dan akulah Madame Butterfly. (Gallimard membelakangkan audiens dan menikam pisau ke badannya. Lagu the love Duet berkumandang.Gallimard terkulai di lengan salah seorang penari yang kemudiannya membaringkannya di atas lantai. Seketika kemudian lampu padam. Kemudian lampu terang sela disalah satu sudut pentas di mana Song, yang kini adalah seorang lelaki, merenung gallimard. Dia menghisap rokok dan menghembuskan asap rokoknya ke arah lampu. Dua perkataan keluar dari bibirnya)

SONG: Butterfly Butterfly (Asap rokok hilang dan lampu perlahan-lahan padam)

TAMAT