CIK OOO... CIK, tegur pemandu teksi sambil mengoyang-goyang perlahan bahu Qamra
Ain.
Dia terjaga dan serta-merta membuka kelopak mata. Pandangannya melilau tak tentu hala akibat dikejut tiba-tiba.
Kita dah sampai mana ni, bang Tanya Qamra Ain dengan mata yang terpisat-pisat.
Tanah Rata. Cik terlepas perhentian ke Tak tak, bang. Memang betul dah jalan ni. Terima kasih sebab kejutkan saya, letih sangat sampai tak perasan tadi dah sampai Tanah Rata. Maaf ye, bang, ujar Qamra Ain sambil mengesat matanya.
Qamra Ain meluaskan penglihatan ke luar tingkap kereta. Empat tahun dia tak menjejak kaki ke sini. Hanya suara Babah yang berkumandang di BB Z10 yang menjadi platform perantaraan antara mereka berdua.
Cik nak ke mana ya
Saya nak ke Kampung Raja.
Pemandu teksi itu mengangguk setuju. Di dalam teksi, hanya kedengaran suara DJ Era di corong radio memenuhi segenap ruang teksi. Sekali lagi Qamra Ain memandang ke arah tingkap luar. Sekejap lagi fajar mula menyinsing. Di kejauhan, sayup mata memandang kehijauan ladang teh yang sudah lama ditinggalkan. Dia masih ingat lagi di kala waktu kecil membantu Babah memetik daun-daun muda di tengah-tengah ladang itu. Itulah detik terindah yang sempat dia ada bersama Babah sebelum mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di A-AH.
Semalam, dia mendapat panggilan dari jiran mengatakan Babah tergelincir jatuh dan kepalanya pula terhantuk ke batu. Mujurlah, Babah tak mengalami kecederaan yang serius. Namun kata jirannya lagi, dia perlu pulang segera kerana Babah hendak sangat menemuinya. Demi permintaan itu, dia rela melepaskan peperiksaan terakhir yang sepatut diduduki hari ini. Biarlah, untuk apa dia menduduki kertas ujian jika hati dihimpit rasa gundah gulana.
Kalau dulu setiap kali peperiksaan tiba, Tunku Hardie pencetus semangat padanya. Segala-galanya berubah sejak lelaki itu bertugas di hospital. Tiada lagi kata-kata semangat malahan bertanya khabar pun jarang sekali. Rupa-rupanya, Tunku Hardie punyai teman pengganti. Dia tak kisah jika pengganti itu adalah orang yang dia tak kenali. Ini tak, seorang yang dianggap teman baik sendiri yang menjadi galang ganti keistimewaannya di hati lelaki itu.
Qamra Ain akui masih lagi ada sisa-sisa cinta pada Tunku Hardie walaupun lelaki itu sedang berasmaradana dengan Maria di sana. Namun, tiada gunanya lagi untuk dia menanti Tunku Hardie datang memujuk hatinya yang semakin menjeruk. Sudah tiba masa untuk dia melepaskan Tunku Hardie pergi jauh dari hidupnya.
Cahaya mentari yang mencarak naik ke langit terus menusuk masuk ke dalam teksi. Qamra Ain tersentak dari lamunan yang panjang selepas merasa pedih dalam mata. Berjam lamanya perjalanan, akhirnya sampai juga dia ke kampung halaman. Usai membayar tambang, Qamra Ain turun dari teksi dan terus mengalas beg ke belakang.
Dari kejauhan dia tergamam melihat ramai orang sedang berkumpul di halaman rumah. Berpakaian serba-serbi putih. Dadanya mula berdegup kencang. Pelbagai andaian mula menerjah di dalam minda. Tanpa berlengah, dia berlari sekuat hati hingga sampai di depan pintu pagar.
Babah Babah kenapa, pakcik Tanya Qamra Ain pada seorang lelaki yang duduk di pangkin depan dengan suara yang bergetar-getar.
Babah kamu baru saja meninggal, Ain. Jawab lelaki tadi perlahan dan sayu kedengaran.
Terpaku Qamra Ain tanpa kata. Air jernih perlahanperlahan terbit di birai mata dan berderai jatuh ke pipi. Dia terasa seperti di awang-awangan. Kenangan bersama Babah bermain di layar mata satu per satu.
Babah, nantikan bila Ain berjaya dapat ijazah, Ain nak Babah tengok Ain pakai whitecoat tau. Ain dapat kerja di hospital nanti Ain sendiri yang rawat penyakit Babah.
Moga tercapai cita-cita kamu, Ain. Babah doakan dan jika umur Babah tak panjang, kamu rawatlah mereka yang sama dengan penyakit seperti Babah, janji ya
Pergilah nak, tengok Babah kamu di dalam pujuk Pak Mael, selaku bilal menguruskan jenazah di masjid berdekatan.
Qamra Ain melangkah longlai hingga ke muka pintu. Beg galas terlepas dari pegangan. Halaan mata tepat ke arah sebujur tubuh kaku yang diletakkan mengadap kiblat. Bacaan Surah Yassin kedengaran syahdu di telinga. Dia tak dapat bendungkan kesedihannya. Insan ini yang banyak berkorban demi membesarkan dan mendidiknya. Insan ini juga yang membiayai pengajiannya di A-AH.
Mereka bukanlah dilahirkan dari golongan yang berkepul-kepul duit di dalam bank. Apalah sangat dengan gaji bekerja di ladang teh itu namun dia berasa bersyukur kerana insan ini tak membuang dirinya seperti ibunya yang membuang mereka dulu. Disebabkan Babah, dia nekad untuk berada di dalam bidang perubatan kerana mahu merawat sendiri penyakit yang dihidapi oleh Babahnya.
Impiannya tak tercapai. Dan, kini dia bersendirian. Tiada lagi sesiapa yang tinggal untuknya. Dia hilang sang kekasih hati, hilang kedudukan sebagai siswa perubatan dan hari ini, dia kehilangan insan yang paling disayangi.
Terasa lemah seluruh anggota badan. Tak terdaya lagi untuk berdiri. Dia terjelopok duduk bersebelahan jenazah. Kain batik lepas yang menutupi Babah ditarik. Wajah suci itu ditenung. Semakin deras air mata mengalir bila melihat kepala yang masih lagi berbalut.
Kenapa Babah tinggalkan Ain Babah dah janjikan, nak tengok Ain pakai whitecoat, nak Ain jadi doktor yang rawat Babah Mana janji Babah pada Ain Sampai hati Babah tinggalkan Ain. Ain tiada sesiapa lagi di dunia ni, melainkan Babah aje, adu Qamra Ain dalam menahan sebak.
Jiran-jiran yang mendengar turut merasa hiba. Kasihan dan pilu mengenangkan nasib yang menimpa gadis itu sejak ibunya pergi tinggalkan mereka berdua dek tak sanggup hidup dihimpit kemiskinan. Ibunya meminta cerai, mengejar lelaki kaya dan meninggalkannya yang ketika itu berusia 7 tahun.
Apalah yang Qamra Ain mengerti di kala usia itu. Jiran tetangga terdekat hanya sekadar menyaksikan betapa gadis ini meronta-ronta tak mahu melepaskan ibunya. Namun wanita yang disayangi itu lebih rela menolak kuat anaknya hingga tertiarap di atas pasir. Lantas wanita itu pergi tanpa berpaling lagi hinggalah ke hari ini. Tiada siapa yang tahu apa yang berlaku padanya hingga kini.
Sabarlah, Qamra. Akukan ada. Jangan meratap tangis dengan orang yang telah pergi tak baik, pujuk Reza Rizman yang baru beberapa minit tiba. Nasib baik tergerak hatinya mahu mencari Qamra Ain di kampung halaman di Tanah Rata. Ternyata gerak hatinya tepat. Setibanya tadi, terkejut juga bila melihat jiran tetangga berkumpul di depan halaman rumah. Sangkanya ada kenduri menyambut kepulangan Qamra Ain, namun sebaliknya. Perpisahan yang meruntun jiwa seorang anak yatim setabah Qamra Ain.
Dia menutup semula wajah tenang Babahnya dengan kain batik lepas. Kemudian, mengesot sedikit ke belakang untuk duduk sebaris dengan jiran tetangga yang tak putus-putus membaca Surah Yassin sejak tibanya tadi. Begitu juga dengan Reza Rizman. Dia mengambil tempat duduk sebaris dengan pakcikpakcik yang duduk di hujung kaki jenazah Pak Qaseem.
Sebelum Babah kamu menghembuskan nafas yang terakhir di pangkuan pakcik, dia ada berpesan supaya kamu capai cita-cita kamu deminya, sayup satu suara menegur Qamra Ain dari belakang.
Dia hanya mendengar tanpa menoleh. Tak mampu menahan rasa sebak dan seribu kekesalan dalam hati. Sekian lama, dia tak pulang menemui Babah dek kekangan waktu pengajian di A-AH. Kepulangannya hari ini disambut dengan jenazah Babahnya.
Babah kamu ada pesan lagi yang kata lelaki tadi terhenti.
Qamra Ain menyeka air mata yang galak merembes keluar dan sekilas dia menoleh ke arah Pak Shuib, sahabat baik Babahnya yang sama-sama bekerja di ladang teh.
Pesan apa tu, pakcik Soal Qamra Ain. Terangkatangkat bahunya menahan tangisan.
Pak Shuib menghulurkan sesuatu ke tangan Qamra Ain sambil diperhati oleh Reza Rizman. Teragak-agak dia mengambil. Berjujuran air matanya sekali lagi.
Babah panggil perlahan seraya menoleh semula ke arah sebujur mayat yang tak mampu lagi memanggil lagi namanya selepas ini.
Q
AMRA AIN duduk melengung di buaian yang tergantung di pokok rambutan. Kaki kanannya menghayun buaian perlahan-lahan. Sementara menanti bilal menyelesaikan urusan memandikan jenazah, biarlah dia duduk mangu di sini. Buku Amanah Simpanan Berhad (ASB) yang diberi oleh Pak Shuib semasa di dalam rumah tadi, diselak satu persatu helaiannya. Setiap kali helaian cetakan berkomputer itu dibaca, setiap kali itulah hati mengundang sebak.
Reza Rizman turut merasa hiba. Lahir rasa simpati dan kasihan terhadap Qamra Ain. Lepas satu, satu musibah yang menimpa diri gadis itu. Sudahlah Tunku Hardie khianati cintanya dan ditambah pula kehilangan insan yang teramat disayangi.
Qamra
Kan kau ada final paper hari ni Soal Qamra Ain tanpa berkalih wajah.
Aku dah maklum kat A-AH yang aku ada di sini. Oh ya aku ada juga minta pihak akademi adakan special sitting untuk kau bila balik ke KL. Selepas urusan kau selesai di sini.
Aku tak pernah tau yang Babah menyimpan duit sebanyak ni demi cita-cita aku, Reza, ujar Qamra Ain perlahan sesudah sebak di dalam dada mulai reda.
Reza Rizman yang lenguh berdiri berlabuh duduk di atas pangkin berdekatan dengan tempat Qamra Ain berbuai.
Selama ini, dia tak menahu tentang 35,000 Ringgit Malaysia yang disimpan oleh allahyarham Pak Qaseem yang didaftar atas namanya di dalam buku simpanan lain. Yang dia tahu hanyalah wang belanjanya sentiasa ada di dalam bank setiap bulan untuk perbelanjaan hariannya. Walaupun telah dimaklumkan Tunku Hazreen sudi membiayai pengajiannya, Babah tetap memasukkan duit ke dalam akaunnya.
Qamra Ain bingkas dari buaian lalu berjalan beberapa tapak ke depan. Diperhatikan beberapa ekor arnab belaan yang sedang bermain sesama sendiri. Dia terkenangkan Turbo, arnab jantan yang pernah dihadiahkan pada Tunku Hardie.
Aku takkan kembali ke A-AH, Reza. Buat apa lagi untuk aku teruskan Babah aku dah tak ada. Jadi, aku nak tinggal di sini bersama kenangan aku yang ada.
What! Please dont, Qamra! Kau nak lepaskan impian kau begitu aje Kau hanya ada setapak lagi untuk capai impian kau! Jangan sia-siakan amanat arwah Babah kau!
Kau baliklah, Reza. Tak payah nak pujuk aku lagi. Aku tetap dengan keputusan aku, ujar Qamra Ain serius. Keputusannya muktamad.
Reza Rizman bangkit dari pangkin lalu melangkah mendekati gadis yang sedang merenung jauh. Satu keluhan dalam dilepaskan. Sungguh dia menyayangi Qamra Ain sejak awal perkenalan mereka lagi.
Qamra, bagi aku peluang untuk aku menyayangi kau. Aku sedia untuk kau dan aku perlahan-lahan tangannya mendarat di atas tangan gadis itu. Baru saja menyentuh sedikit, Qamra Ain mengalih tangan ke belakang.
Cukup, Reza! Jangan kau fikir cinta aku boleh dijual beli dan dipermainkan oleh kaum sejenis kau! Kalau kau mahu aku hormati kau sebagai sahabat pada jantan tak guna tu, baik kau jangan ungkit lagi pasal cinta! Aku jijik, faham! Jijik aku mendengarnya! Qamra Ain naik berang bila Reza Rizman meluahkan rasa cinta di waktu dia sedang berperang dengan pelbagai rencah perasaan.
Okey... okey, maafkan aku. Sebenarnya aku ke sini nak bagitau sesuatu pada kau yang Hardie belum pun Reza Rizman sempat menghabiskan ayat, jelingan tajam penuh benci Qamra Ain menyinggah di raut wajahnya apatah lagi nama Tunku Hardie.
Sudahh!! Aku tak nak dengar! Pergi kau dari sini! Pergi!! Semakin nyaring suara Qamra Ain sambil menekup kedua-dua belah telinga dengan telapak tangan. Perit dan pedih di jiwa setiap kali teringat keintiman Tunku Hardie bersama Maria bermain di layar mata.
Hati Reza Rizman tersentak. Kesal disebabkan nalurinya yang meronta-ronta untuk menjadi teman pengganti Qamra Ain berakhir di luar jangkaan. Cintanya ditolak terus oleh gadis itu tanpa memberi ruang langsung cintanya singgah di hati gadis itu. Menjeruk terus hatinya. Ternyata, cinta Qamra Ain itu bukan mudah untuk digalang ganti.
Ini kad aku jika kau perlukan apa-apa. Jaga diri kau sebaik mungkin. Aku pergi dulu, Reza Rizman menghulurkan sekeping kad berwarna emas namun Qamra Ain tak menyambut. Dengan perasaan hampa, dia meletakkan kad tadi di atas pangkin.
Satu lagi jika kau dah bersedia, carilah aku. Aku tetap tunggu kau.
Tiada sebarang reaksi. Reza Rizman melepaskan keluhan sekali lagi. Dia melangkah longlai menuju ke kereta Porsche Cayenne. Dia menarik pintu kereta dan sebelum melangkah masuk ke dalam, sekilas pandangan dihalakan ke arah Qamra Ain untuk kali terakhir yang sedang berborak dengan Pak Mael.
Di kejauhan, diperhati langkah Qamra Ain mengekori belakang Pak Mael dan ketika melewati pangkin, sempat dia mencapai sekeping kad yang ditinggalkan tadi. Sambil dia membaca, sekilas Qamra Ain berbalas pandang dengan Reza Rizman kemudian berlalu pergi menyertai mereka di dalam rumah.
Ya ALLAH, jagakan Qamra Ain untuk aku, doa Reza Rizman perlahan dan kemudian masuk ke dalam kereta. Enjin dihidupkan. Sela beberapa minit, dia menekan pedal minyak dan keretanya menderum laju meninggalkan perkarangan rumah.
Aku yakin satu hari nanti kau datang dan temui aku, Qamra Ain
J
ENAZAH Pak Qaseem sudah pun selesai dimandi dan dikafankan oleh bilal Pak Mael. Diletakkan semula jenazah itu di ruang tengah untuk memberi ruang pada mereka yang berhajat memberi penghormatan terakhir.
Bau kapur barus yang semerbak harum memenuhi segenap ruang tamu. Qamra Ain tersedu-sedan di tepi dinding. Habis lencun wajahnya dibasahi air jernih hiba hinggakan bengkak kedua-dua belah mata.
Sebentar lagi kita akan adakan solat jenazah. Jadi sesiapa ahli keluarga terdekat yang nak cium sebelum saya menutupi semula wajah allahyarham, bolehlah dibuat sekarang.
Sa saya Pak Mael beritahu Qamra Ain dengan suara tersekat-sekat.
Kesat air mata jangan menitis setitis pun diatas jenazah ya, Ain Pak Mael mengingatkan.
Dia mengangguk faham. Qamra Ain mengesat air mata yang jatuh deras ke pipi dengan hujung lengan baju kurung. Sesudah kering, dia melangkah lemah menuju ke arah jenazah yang terbujur kaku itu.
Babah, tidur dengan tenang ya. Walaupun Babah tiada di sisi, Babah tetap ada di hati Ain sampai bilabila, ucapnya dan kemudian mencium kedua-dua belah pipi dan dahi Pak Qaseem. Dia menahan sebaik mungkin daripada air matanya menitis jatuh di atas wajah pucat jenazah itu.
Sabarlah, Ain. Redhakan permergian arwah. Jangan meratap begini terseksa Babah kamu nanti, pujuk Mak Piah, jiran sebelah rumah. Mak Piah membantu Qamra Ain bangun bila melihat Qamra Ain tak terdaya untuk bangun sendiri.
Kalau tiada siapa lagi, saya nak sempurnakan jenazah. Tak elok dibiarkan lama, pesan Pak Mael.
Ya Tuhan, sejahterakan dia Tenanglah bersemadi Babah. Moga roh Babah dicucuri rahmat-Nya...
Pak Mael menyempurnakan jenazah Pak Qaseem buat kali terakhir. Usai sudah, dia memanggil beberapa orang untuk membantu mengangkat jenazah masuk ke dalam keranda kayu untuk dibawa terus ke masjid berdekatan.
Qamra Ain yang berada di dalam pelukan Mak Piah tak dapat menahan lagi sebak di dada. Sepanjang 4 tahun, hanya suara yang menjadi pengubat rindu dan selepas ini tiada lagi suara itu memanggil sayup namanya di corong telefon.
Anak Babah dah makan
Anak Babah sihat tak
Anak Babah jaga diri, jaga solat tau! Ain, carilah dia jumpa jawapannya. Ingat pesan Babah ya.
Tiada lagi cinta. Tiada lagi rindu. Tiada lagi impian. Semua dilepaskan pergi. Hanya kenangan Pak Qaseem tersemat kemas di dalam hati. Selepas ini, pandaipandailah dia mengharungi kehidupan sendiri dengan duit yang ditinggalkan oleh arwah Babah untuknya.
Ain, kamu nak ikut makcik atau van jenazah tegur Mak Piah mematikan terus lamunan yang jauh melayang tanpa perhentian.
Saya ikut van jenazah, makcik.
Pergilah Ain, Pak Mael tunggu kamu tu pergilah, nak, pujuk Mak Piah dan sempat wanita berusia itu mengusap tudung Qamra Ain sebelum melangkah pergi menghampiri van jenazah.
Apalah nasib anak arwah Qaseem lepas ni. Kasihan sungguh tengok keadaannya tu. Dahlah ibunya hilang tanpa khabar. Ini giliran Babahnya pula rintih Mak Piah perlahan. Dia melangkah pergi ke kereta yang dipandu oleh suami menuju ke tanah perkuburan.