Dan bacaan Ayat Kursi, boleh membuatkan seluruh tubuh Anom dijilat api dari bawah ke atas. Zack tak sanggup. Dia tak sampai hati.
Zack pernah membawa masalah itu kepada seorang pakar ilmu agama. Mengadu tentang dirinya yang diganggu sepanjang masa. Sehingga mungkir amal ibadatnya. Dan perhubungannya dengan manusia terbatas. Lebih kronik lagi, perhubungannya dengan Tuhan juga dikekang. Semua kerana Anom.
"Syaitan tidak akan boleh mengekang amal ibadat seorang insan, melainkan insan itu yang membenarkan dirinya untuk ditawan."
"Jadi apa yang harus saya buat"
"Awak kena lawan. Teruskan buat amal ibadat. Solat, zikir dan berdoa. Kalau sudah tahu dengan amal ibadat dapat menghapuskannya, membuatkan tubuhnya terbakar, kenapa awak tak buat"
"Sebab saya kesian dekat dia. Saya tak mau dia sakit..."
"Siapa"
"Anom..."
"Siapa Anom"
"Seorang gadis yang memerlukan pertolongan saya."
"Mana awak tau itu Anom"
"Saya tak boleh terangkan. Saya cuma tau..."
"Tapi awak juga tau, yang syaitan dan jin punya kebolehan untuk merubah rupa kan Untuk menyesatkan manusia. Jadi kenapa awak begitu yakin bahawa dia adalah Anom dan bukan makhluk jahat yang ingin merosakkan awak dengan menghasut awak untuk meninggalkan solat dan melakukan perkara-perkara jahat yang lain"
"Apa maksud ustaz... perkara-perkara jahat yang lain"
"Saya cuma meneka. Sebab sejujurnya, kalau solat seseorang itu goyah, selalunya dia tidak akan terhindar dari melakukan kemungkaran. Malah terdorong. Sebab solat itu adalah tiang agama. Dan doa itu adalah benteng. Kalau awak tidak melakukan semua itu, maka pertahanan awak terhadap benda-benda jahat rapuh."
Selepas perbualan itu, memang Zack mendapat satu kekuatan baru untuk menentang kejahatan dalam dirinya. Sampai ke satu tahap, Zack sanggup mengelar pergelangan tangannya sendiri. Dia ingin memutuskan kehidupannya yang penuh dosa. Agar dia tidak boleh menyakiti siapa-siapa lagi. Agar dia tidak perlu membunuh siapa-siapa lagi.
Tapi malang untuk dirinya, menentang kejahatan juga bermaksud menentang Anom. Dan Zack tahu, Anom tidak jahat. Memilih untuk mati juga bermaksud memilih untuk meninggalkan Anom. Zack tak sanggup. Tidak selagi roh Anom belum tenang. Justeru dia terperangkap sekali lagi. Tersepit di antara pergelutannya dengan sifat-sifat hitam, dan desakkan hatinya untuk membela Anom.
Zack menyidai semula kain sejadah itu. Dengan harapan dia dapat menggunakannya semula suatu hari nanti.
Zack keluar ke beranda untuk bersama Anom, yang masih merintih. Dengan suaranya yang begitu membuatkan hati Zack runtuh.
"Anom jangan menangis.... Tinggal seorang saja lagi. Yang empat saya dah bunuh dah..."
Anom terus mengilai. Dari suaranya Zack dapat merasa, bahawa Anom sedang terseksa. Walaupun wajahnya kosong. Walaupun Zack tak dapat melihat matanya menangis dan mulutnya meraung. Tapi Zack faham.
"Anom... kenapa Anom tak nak nampakkan wajah Anom pada saya Dan kenapa Anom tutup juga wajah-wajah lelaki yang saya bunuh tu dari pandangan saya Malah ramai orang lain, semuanya saya tak dapat tengok wajah mereka. Kenapa Anom buat macam tu Siapa dia orang tu semua" soal Zack bertalu.
Seperti biasa, Anom hanya menjawab dengan deraman suaranya yang dalam. Suara yang walaupun tak berkata, tapi penuh dengan kebencian.
Anom mencapai wajah Zack dengan tangannya. Mengelus pipi Zack dengan kukunya yang panjang. Lalu serta-merta, mata Zack terpejam dan pelbagai imej menyerang bayangan optiknya. Suatu siaran cerita. Bagaikan wayang yang menerangi kepala Zack. Sekaligus membuatkan Zack faham dan maklum akan jawapan yang dia cari-cari. Itulah cara Anom berkomunikasi dengannya.
"Jadi lima orang lelaki yang Anom suruh saya bunuh tu, adalah lelaki-lelaki yang bertanggungjawab di atas kematian Anom"
Anom menjawab dengan hembusan angin yang lembut pada tengkuk Zack.
Zack juga faham kini, kenapa keempat-empat lelaki yang dia sudah bunuh setakat ini, semuanya tidak berwajah, sekurang-kurangnya pada pandangan matanya. Sebab Anom hendak memudahkan kerjanya untuk membunuh mereka. Lebih senang untuk membunuh sesuatu yang tak punya identiti. Tak punya reaksi. Tak punya emosi. Supaya Zack tidak rasa bersalah. Dan tidak menyesali tindakannya selepas itu. Supaya Zack boleh meneruskan kehidupannya dengan aman. Sebab dia tak pernah melihat wajah mangsa-mangsa yang dibunuhnya.
Tapi Zack masih tidak tahu, kenapa ramai orang lain yang juga dia lihat tidak berwajah. Sampai sudah penuh buku notanya dengan catitan apabila setiap kali Zack ternampak seseorang yang tak mempunyai wajah. Setakat ini sudah hampir seratus orang semuanya. Takkan mereka semua juga Zack kena bunuh selepas ini Sedangkan dendam Anom terhadap lima orang sahaja. Iaitu lelaki-lelaki yang telah menghancurkan hidupnya. Jadi siapa orang lain yang Zack lihat dimerata-rata tempat itu Apa perkaitan yang ada di antara mereka
bersambung
Bab akan datang:
Adakah setiap persoalan di dalam minda Zack akan terjawab