Keluar pejabat, jalan kaki pergi Menara 2, lintas jalan depan Maxis sambil maki teksi yang memandu tak reti nak perlahan, masuk terowong, jalan kaki sampai ke kaunter LRT KLCC, beli tiket pergi Pasar Seni, turun eskalator, belok kanan lalu meluru ke pintu LRT yang ternganga menelan makwe-makwe cun dan jantan-jantan metroseksual untuk dibawa pulang.
Macam itu lah hari-hari suram yang aku lalui setiap kali jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Kecuali Sabtu dan Ahad. Sasaran aku, naik bas pukul 6 di Perhentian Bas Klang Raja Tun Uda.
Destinasi aku ke Pasar Seni cuma melintasi tiga stesen. Kampung Baru, Dang Wangi dan Masjid Jamek sebelum LRT berhenti di stesen yang aku hormati, Pasar Seni. Perjalanan dari KLCC ke Pasar Seni hanya mengambil masa 8 minit kalau menggunakan LRT. Manakala kalau menggunakan kaki tak tahulah sebab aku sendiri belum pernah cuba.
Selebihnya untuk sampai ke Tanjung Malim, nasib aku akan ditentukan oleh tiket bas yang boleh tak semena-mena habis, bas mengalami pecah tayar, bas lambat sampai yang memang haram jadah punya lambat, bas ada sisa muntah, bas tak pasang radio, dan paling teruk sekali bas yang aircond barai. Untuk pengetahuan semua, bas aircond barai merupakan kecelakaan yang sukar digambarkan dalam bentuk penulisan.
Kebanyakan penumpang adalah pekerja yang membanting tulang seharian di pejabat, di tapak pembinaan, di pusat latihan dan tidak kurang juga yang membanting tulang di Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman. Semua penumpang bas ini bukannya bekerja di sebelah Perhentian Bas Klang atau di bawah stesen LRT Pasar Seni. Sama sekali tidak. Ada yang bekerja di Wangsa Maju, di Gombak, di Bukit Jalil, di bangunan ING, di IJN, di Menara Maybank, di bangunan KWSP dan di ibu pejabat Utusan Malaysia yang letaknya di Jalan Chan Sow Lin. Bayangkan kepayahan, selok belok, peluh yang memercik, suka duka yang perlu mereka tempuhi untuk sampai ke pusat perkumpulan bas di Perhentian Bas Klang sebelum pukul 6 petang.
Berbalik pada perjalanan aku yang dah makan umur 5 tahun. Suatu hari, entah apa hal kelmarin aku terlambat turun dari pejabat. Timing lari. Aku berlari laju dari terowong sampai ke kaunter. Jam di tangan makwe yang beratur sebelah aku menunjukkan pukul 5.55 petang. Aku menjerit dalam hati tanda protes pada masa.
Pasar Seni! Tiket dan duit RM 1.60 bertukar tangan.
Aku rampas tiket lalu berlari ke pagar bermesin macam orang gila. Bunyi deruman kereta api 4 gerabak jelas kedengaran. Di eskalator, orang ramai berpusu-pusu. Beratur di eskalator belakang orang hanya melambatkan masa!
Tiada pilihan. Aku terpaksa ikut tangga. Aku meluru lompat 3-4 anak tangga sekaligus. Laju sikit sampai ke bawah. Kereta api yang baru tiba tadi dah mula nak tutup pintu. Dia silap! Nampaknya aku lagi pantas menyerbu masuk. Yes, selamat!
Keh keh keh keh! Aku ketawa dalam hati tanda puas.
Pulang
Belum sampai 2 minit aku melepas lelah dan berasa gembira, operator kereta api memberi info,
Stesen berikutnya, Ampang Park. Next station, Ampang Park.
Aku geleng kepala. Bodoh punya train! Bodoh!