SANG PENGUASA - 27
Setelah saya renungkan kembali semua perkara yang telah dibicarakan di atas, dan memikirkan persoalan seperti: Adakah zaman ini menguntungkan buat penguasa baru Apakah terdapat sebarang elemen yang akan memberikan peluang kepada penguasa yang bijak dan berkemampuan untuk memperkenalkan aturan baru yang akan memberikan kemuliaan kepadanya dan kebaikan kepada rakyatnya Bagi saya, banyak perkara yang menguntungkan penguasa baru ada pada masa ini sehinggakan saya merasakan ini adalah masa yang paling sesuai untuk seorang penguasa baru.

Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, bangsa Israel perlu jadi tawanan untuk menunjukkan kemampuan Musa. Bangsa Parsi patut ditindas oleh Kerajaan Medes untuk menemui keagungan Cyrus. Bangsa Athen perlu berpecah belah untuk melihat kemampuan Theseus. Pada masa kini, untuk menemui kekuatan sejati Itali, maka perlulah ia ditekan secara ekstrim seperti yang dihadapinya sekarang; Itali perlu lebih diperhambakan berbanding bangsa Israel, lebih ditindas berbanding bangsa Parsi, lebih berpecah belah berbanding bangsa Athen. Tanpa ketua, tanpa aturan, ditewaskan, dikoyakkan dan dihancurkan.

Baru-baru ini telah muncul sinar harapan daripada seseorang yang membuatkan kita berfikir dia adalah hantaran daripada Tuhan untuk penebusan dosa-dosa kita. Namun, pada kemuncak kerjayanya, malang menimpanya. Meninggalkan Itali dalam keadaan mati menunggu seseorang untuk menyembuhkannya. Mengakhiri kerosakan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Lombard. Mengakhiri penipuan dan cukai yang dilakukan oleh Kerajaan Naples dan Tuscany. Membersihkan Itali daripada penderitaan tersebut yang telah lama ditanggung. Lihatlah bagaimana Itali memohon kepada Tuhan agar mengirimkan seseorang untuk menyelamatkan negara itu daripada kekejaman dan kesalahan bangsa Barbar ini. Itali juga telah bersedia untuk mengikuti sesiapa yang mengangkat panji untuk bangkit melawan kezaliman ini.

Tiada siapa pun yang dapat Itali harapkan untuk menyelamatkannya selain daripada keluarga Tuan (Giuliano de Medici yang baru sahaja dilantik menjadi Kardinal oleh Leo X. Pada tahun 1523 Giuliano dilantik menjadi Paus dan menggunakan gelaran Clement VII) yang mempunyai kekuatan dan keuntungan yang diagungkan. Tuan juga mempunyai pertolongan daripada Tuhan dan Gereja. Hal ini tidak begitu sulit sekiranya Tuan ulangkaji balik tindakan dan riwayat hidup tokoh-tokoh yang saya pernah sebutkan. Walaupun mereka luar biasa, mereka masih lagi manusia. Setiap daripada mereka juga mempunyai peluang yang sama seperti apa yang terbentang sekarang. Setiap tindakan mereka tiada yang lebih mudah ataupun adil daripada Tuan. Dan, tidak juga Tuhan lebih menyayangi mereka berbanding sayangnya Tuhan kepada Tuan.

Kebenaran yang besar terletak pada ayat ini, Peperangan itu adalah keperluan. Pasukan tenteranya suci dan ada harapan. Di sinilah

Machiavelli Niccolo

adanya kesanggupan yang padu, iaitu kesanggupan yang dapat memadamkan kesukaran. Tuan dapat bangkit dengan kesempatan tersebut sekiranya mengikuti apa yang telah saya bimbing. Jalanjalan Tuhan yang luar biasa telah dimanifestasi dalam kehidupan Musa. Laut dibelah, awan menunjukkan jalan dan memberikan sumber makanan. Segalanya telah mendorong ke arah lahirnya seorang perwira agung, Tuan hanya perlu berusaha untuk melaksanakan yang selebihnya. Tuhan tidak akan melakukan segalanya, lalu mengakibatkan kita, manusia, tidak lagi mempunyai pilihan sendiri.

Tidak perlu dihairankan apabila tiada nama orang Itali yang disebutkan yang mampu mencapai sesuatu yang diharapkan daripada keluarga Tuan. Banyak revolusi dan kempen yang telah dijalankan tetapi kekuatan tentera seolah-olah telah mati. Hal ini berlaku kerana aturan lama tidak boleh diguna pakai lagi dan tiada dalam kalangan kita yang dapat membangunkan aturan yang baru. Tiada yang dapat memberikan kemuliaan kepada manusia selain membangunkan undang-undang dan peraturan baru pada waktu dia baru bangkit. Apabila aturan tersebut dibina atas landasan yang kukuh dan bermaruah, dia akan dihormati dan disanjung. Di Itali, kesempatan seperti ini tidak mempunyai ruang untuk muncul.

Perhatikan pertarungan antara dua pahlawan. Lihatlah betapa unggulnya pahlawan Itali dari segi kekuatan, ketangkasan dan kecerdasan. Tetapi apabila dilihat pada pasukan tentera, ia tidak layak dibandingkan. Puncanya adalah dari para pemimpin yang tidak berkemampuan. Yang berkemampuan pula jenis yang degil dan tidak taat. Sehingga kini masih tiada seorang pun yang mampu menonjol sama ada dari segi keberanian mahupun takdir yang baik. Oleh itu, sepanjang perang selama dua puluh tahun ini, pasukan tentera Itali sangat mengecewakan. Dapat disaksikan perkara ini ketika pertempuran di Taro, Alexandria, Capua, Genoa, Vaila, Bologna dan Mestr.

Sekiranya keluarga Tuan berhasrat untuk mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh terkenal yang telah disebutkan, Tuan perlu membina landasan untuk setiap tindakan menggunakan kekuatan pasukan tentera Tuan sendiri. Walaupun mereka bagus secara individu, tetapi secara berkumpulan adalah lebih baik apabila dipandu, dihormati dan dijaga kebajikannya oleh penguasa. Oleh itu, pasukan tentera sebegitu perlu disediakan supaya Tuan dapat mempertahankan oleh kuasa asing.

Walaupun infantri Swiss dan Sepanyol dianggap menggerunkan, namun mereka masih mempunyai kecacatan. Wujudnya suatu aturan ketiga bukan sahaja dapat menentang, malah menghancurkan mereka. Sepanyol tidak mampu menentang unit kavalri dan Swiss tidak mampu menentang infantri apabila bertempur dalam jarak dekat. Sepanyol tidak mampu berlawan dengan kavalri Perancis. Swiss pula dikalahkan oleh pasukan infantri Sepanyol. Kelemahan Swiss dapat dibuktikan ketika pertempuran di Ravenna. Tentera Sepanyol berhadapan dengan pasukan Jerman yang mengikuti taktik Swiss. Pasukan Jerman tewas dan tidak dapat melindungi diri mereka. Sekiranya tiada unit kavalri yang menyelamatkan mereka, sudah tentu mereka akan dihancurkan.

Maka, setelah mengetahui dua jenis kecacatan pasukan infantri, dapatlah pasukan infantri baru dibentuk yang dapat berlawan dengan kavalri dan infantri sekaligus. Pembentukan ini tidak memerlukan aturan ketenteraan yang baru, hanya perlu divariasikan pasukan tentera yang lama. Perkembangan ini dapat memberikan reputasi dan kuasa kepada penguasa baru.

Machiavelli Niccolo

Peluang ini harus diambil supaya Itali akhirnya menemui wira pembebasannya. Saya tidak dapat bayangkan rasa terima kasih dan sayang yang bakal diterimanya dari pelbagai wilayah yang sedang menderita akibat kuasa asing. Pintu rumah mana yang tidak akan dibuka Penduduk mana yang tidak akan tunduk taat kepadanya Hasad dengki siapa lagi yang mampu menentangnya Orang Itali mana lagi yang mampu menolak kesetiaan kepadanya Pada kita semua, dominasi barbar ini adalah jijik. Semoga keluarga Tuan dapat memikul tugas ini dengan berani dan harapan yang terinspirasi. Semoga di bawah panjinya, tanah air kita mampu menjadi hebat.

Petrarch pernah berkata,

Virtu contro al Furore

Prendera larme, e fia il combatter corto

Che lantico valore

Negli Italici cuor non e ancor morto

TAMAT