No family is perfect...
We argue, we fight.
We even stop talking to each other at times. But in the end, family is family, the love will always be there.
- Anonymous
Tidak jauh mana Gili Trawangan dengan Gili Air. Naik bot kecil tak sampai 10 minit. Senja menjelang tiba. Kami menuruni bot dan berjalan mencari tempat untuk bermalam. Berdasarkan penyelidikan yang dibuat serba sedikit, di sini tempat penginapannya agak mahal berbanding Gili yang lain. Ditambah pula waktu ini peak season. Kami tetap berusaha untuk cari yang murah. Kalau tiada di bawah harga yang kami tetapkan mungkin merempat saja.
Di kala ini kami mencari tempat murah. Langit sudah berubah kelam. Bintang-bintang akan kelihatan sebentar lagi. Memang kebanyakan tempat penginapan di sini agak mahal. Kesemua reka bentuknya pula kelihatan mewah. Mujur ada seorang minah saleh dari Australia yang membuka salah satu chalet di tempat ini memberitahu kami terdapat hostel berharga di bawah kemampuan kami.
Kami menuju ke hostel yang dinyatakan. Namanya 7 Seas Backpacker and Cottages. Bilik termurah adalah
Terus Menerawang
dorm. Berjumlah Rp80,000 seorang untuk semalam. Kami bersetuju. Dorm yang dimaksudkan ini bukanlah seperti dorm asrama atau hostel. Ia tetap kelihatan seperti bilik kerana hanya mampu memuatkan dua hingga tiga orang. Tapi tak mustahil juga kalau nak seludup sampai jadi lima orang sebilik. Ada katil dua tingkat dan ada satu tilam diletakkan di tingkat atas seakan beranda. Kami perlu memanjat tangga untuk ke atas. Terdapat kipas, meja tulis dan loker di dalamnya. Cukuplah untuk buat bermalam. Tandas dan bilik mandi ada di luar.
Memandangkan hari sudah malam, maka kami merayau di sekitar pulau untuk meninjau keadaan sekeliling. Tiada apa yang kelihatan. Cuma bunyi ombak menghempas pantai dan sebuah kelab memasang lagu clubbing berulang kali. Bintang-bintang sudah mula kelihatan di langit. Kami membeli mi segera di sebuah gerai. Tiada lagi nafsu untuk makan besar malam-malam. Kesihatan kami masih belum di tahap memuaskan sebenarnya. Haeri mahu pulang ke bilik. Aku pula meminta kunci bilik kerana mahu melepak di tepi pantai. Mana tau jumpa makwe lagi ke. Haeri menyerahkan kunci bilik. Mungkin rancangan bersiar-siar di pulau ini akan dilakukan awal pagi esok sebelum bertolak ke tanah besar, Lombok.
Premis hiburan aku lalui. Kelihatan beberapa kelibat manusia sedang berparti. Tidak ramai. Aku yang membeli air oren botol Fanta melabuhkan punggung di sebuah tebing yang mengadap pantai. Bermonolog lagi gamaknya aku. Sebatang rokok dicucuh seraya aku menghembuskan asap sambil berharap segala rasa fucked up berlalu bersama angin.
Kemudian, telefon bimbit aku keluarkan dari kocek kanan seluar. Paparan skrin dibuka dan aku melihat senarai nombor yang ada. Terhenti di nombor emakku. Aku langsung tak call famili aku sejak datang sini. Apa jadahnya aku beli nombor lokal ni! aku bermonolog lalu membuat panggilan kepada emak aku. Mahal pun mahallah, bukan aku pernah guna pun kredit ni sejak beli. Dengan mak sendiri pun nak berkira ke
Bunyi talian kedengaran di corong speaker. Beberapa minit kemudian dijawab.
Hello, Assalamualaikum mak! Uzi ni. aku memulakan bicara.
Waalaikumusalam! Uzi! Apa khabar anak emak
Sihat ke Dah makan Uzi kat mana dah Dah solat Seperti perangai kebiasaan emak-emak, bertubi-tubi dia bertanya. Tak sempat nak jawab serta-merta semua soalan. Aku tersengih saja.
Hehe. Sihat je. Mak sihat Abah Yang lain kat rumah semua OK ke aku bertanya.
Semua sihat je. Abah kau je still kena jaga makan lagi. Tak boleh nak melantak suka hati. Terang emakku. Ooo... abah darah tinggi, kenala jaga makan. Hmmm... Uzi sekarang ni kat Lombok dah. Lagi beberapa hari nak balik. Ni saja je call. Rasa lama plak tak call kang mak abah risau pulak. Padahal tak pernah call sejak kat sini. Hmm... iyelah. Ni, nak kabo, abah kau tu nampak je buat bodoh ngan kau, tapi selalu jugak sibuk tanya pasal khabar kau. Haha. Emak aku berseloroh. Mungkin betul juga kot. Walaupun selalu punya konflik dengannya, di dalam perbezaan itu, hubungan anak-beranak tak dapat diputuskan.
Uzi terima tak duit yang mak masukkan dalam akaun Uzi tu tiba-tiba mak aku bersuara tentang duit. Terdiam aku seketika.
Ada! Oh, mak ke yang bank-in Susah-susah je. Anyway, thanks mak! Love ya! aku membalas sambil puntung rokok dicucuhkan. Terungkai sudah misteri duit dalam bank aku bertambah.
Abah kau yang suruh masukkan. Katanya pakai kalau emergency ke, terdesak ke apa ke. Eh kau ni, dah masuk duit seminggu lepas dah, baru hari ini kau tanya Hampeh! Mendengarkan kata-kata itu membuatkan aku
Terus Menerawang
sambung terdiam.
Eh kau ni kenapa senyap je. OK ke tak Uzi Ke sembelit kedengaran lagi suara emak aku di corong speaker. OK je mak. Terima kasih banyak ye mak. Kirim salam kat abah, kat semua.
OK lah Uzi. Jaga diri tau. Jangan buat benda tak senonoh! Jangan tiba-tiba kau kahwin dengan orang Lombok pulak! Dah! Mak nak tidurlah, ngantuk. Insya-Allah mak sampaikan salam kau tu. Assalamualaikum! bebel emakku lagi.
Waalaikumussalam. panggilan terputus. Aku
tersengih. Sebatang rokok dikeluarkan lagi untuk aku hisap. Mungkin benar bahawa naluri ibu bapa itu kuat. Sejauh mana anaknya pergi, mereka dapat rasakan kesusahannya. Terasa sebak pula. Takpe. Fat Mike bassist band NOFX pun sebak masa mak bapak dia meninggal.
Berselisih pendapat sudah menjadi lumrah antara aku dengan mak abah. Ia seakan rutin sejak usia remaja sehingga sekarang. Tapi tak bermakna aku tak sayangkan mereka. Aku mahu buat mereka bangga dengan cara aku sendiri. Namun perkara itu masih belum terlaksana buat masa ini. Aku berharap mempunyai masa dan masa yang akan menentukannya. Di kala mereka menentang rancangan aku mengembara ini, tetap juga mereka cuba membantu dari jauh. Asap rokok dihembus ke udara. Langit kelam di kala malam aku tatap. Bintang-bintang memenuhi segenap ruang di dada langit. Bercahaya, bersinar-sinar, seakan ada yang memerhatikan aku dari jauh. Kebesaran Tuhan ini aku tatap. Cahaya bintang yang menyinari malam adalah hasil pantulan cahaya matahari yang mengenai bintang. Di kala malam, matahari masih cuba berbakti kepada hidupan di bumi dengan memberikan cahaya menyinari suasana kelam. Jauh namun masih mampu berbakti. Begitulah aku umpamakan dengan mak abah. Harapnya masih punya kesempatan untuk menggembirakan hati mereka suatu hari nanti. Selagi jasad masih diizinkan bernyawa.