RETRO BOLA SEPAK - 28
Lama sebelum Leicester City Football Club mencipta kejutan menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini tanpa disangka dan dijangka oleh kebanyakan orang, ada satu kelab picisan yang pernah berbuat perkara yang sama.

Nun di Semenanjung

Italia, dalam kempen Serie A. Kelab tersebut adalah Hellas Verona FC. Tarikh 12 Mei 1985, diingati sebagai detik indah buat penyokong Hellas Verona FC, apabila buat ke sekian kalinya, dan satu-satunya setakat ini, kelab yang berpengkalan di Verona itu, menjuarai Seria A musim 1984/1985. Ia diraih selepas seri 1-1 menentang Atalanta Bergamasca

Calcio.

Kejuaraan Scudetto Hellas

Verona, menyisihkan saingan daripada kelab-kelab kuat dalam liga Itali ketika itu seperti Juventus, SSC Napoli, A.C.

Milan, F.C. Internazionale Milano, AS Roma, ACF Fiorentina, U.C. Sampdoria dan Torino Football Club.

Akhir musim, dari 16 pasukan bertanding, Hellas Verona meraih 15 kemenangan, 13 seri dan sekadar 2 kekalahan untuk mengumpul 43 mata (menggunakan sistem 2 mata untuk kemenangan), disusuli Torino di tangga kedua, seterusnya Inter Milan, Sampdoria, AC Milan dan Juventus.

Hellas Verona, banyak meraih kemenangan dan keputusan membanggakan

kelab-kelab bereputasi besar. Antaranya termasuk kemenangan 3-1 ke atas Napoli, perlawanan di mana Diego Maradona membuat penampilan pertama untuk kelab Neapolitan itu.

Skuad kendalian Osvaldo Bagnoli ini diperkuat beberapa tenaga tempatan, seperti Pietro Fanna, Giuseppe Galderisi, Antonio Di Gennaro, dan Roberto Tricella. Mereka ini, meskipun disaingi oleh pemain-pemain ternama dari lain-lain kelab, sempat juga lah merasa menyarung jersi kebangsaan Itali, hasil daripada aksi bagus mereka bersama Hellas Verona.

Adapun skuad yang diberi jolokan Gialloblu ini turut diperkuat dengan dua tenaga import.

Di bahagian pertahanan ditunjangi oleh Orang Besi Jerman Barat, iaitu Hans-Peter Briegel. Lagenda FC Kaiserslautern dan tonggak Jerman Barat di tahun 80an itu berhijrah ke Itali, memandangkan era itu, liga tersebut disertai oleh begitu ramai bintang dunia. Aksi memberangsangkan Hans-Peter Briegel musim itu bersama Hellas Verona, membolehkan beliau dinobatkan sebagai Fuballer des Jahres, atau Pemain Tahunan Terbaik Jerman Barat, yang menyaksikan beliau pemain pertama yang bermain di luar Jerman yang meraih anugerah tersebut.

Seorang lagi tonggak import Hellas Verona adalah penyerang berasal dari Denmark bernama Preben Elkjr Larsen. Beliau menyumbat 11 gol untuk Hellas Verona musim itu. Lantaran itu, dalam anugerah Ballon dOr 1985, Preben Elkjr Larsen meraih tempat kedua di belakang Michel Platini. Justeru, boleh lah digambarkan betapa besar impak Preben Elkjr Larsen bersama skuad Hellas Verona.

Ada satu detik, dalam perlawanan antara Hellas Verona dengan Juventus di laman sendiri. Larian solo Preben Elkjr Larsen gagal dikekang oleh pertahanan Juventus yang semua sedia maklum akan reputasinya. Dalam masa yang sama, kasut but di kaki kanan beliau telah tertanggal, meski pun begitu, Preben Elkjr Larsen terus melakukan larian, membawa bola, dan merembat menggunakan kaki kanan yang hanya berstoking, lalu menjaringkan salah satu gol kemenangan Hellas Verona.

Hingga kini, Preben Elkjr Larsen dan Hans-Peter Briegel kekal sebagai lagenda sepanjang zaman Hellas Verona.

Kejuaraan Serie A 1985 oleh Hellas Verona dipandang sinis sebilangan peminat bola sepak di Itali. Banyak spekulasi yang timbul. Ada yang kata ia dah diatur oleh FIGC untuk membersihkan imej bola sepak Itali yang terpalit skandal rasuah di awal 1980an. Musim itu juga, buat kali pertama, para pengadil dan pegawai perlawanan diberi tugasan secara rawak, berbanding kaedah sebelum itu yang sudah siap disusun jadualnya. FIGC beranggapan cara itu lebih efektif, untuk elak sebarang unsur-unsur mengatur perlawanan ini kerana para pengadil dan pegawai tidak tahu dalam perlawanan apa mereka ditugaskan. Ia juga menyukarkan tugas para bookie merencana kegiatan. Semusim sahaja kaedah itu diperkenal, sebelum kembali kepada cara lama di musim berikutnya.

Seminggu dua lepas, Hellas Verona, sekadar menamatkan kedudukan di tangga ke-19 Serie A dan tersingkir ke Serie B. Kelab tersebut, seperti mana kelab-kelab yo-yo lain, sekadar turun naik antara aras liga. Verona sendiri pernah suatu masa, terperosok bermain di Liga Serie C1, aras keempat hierarki bola sepak Itali.