Gadis Kebaya Merah - 29
BAB 29

SAMPAI di KL sudah hampir waktu maghrib. Kudin segera menunaikan solat maghrib sebelum keluar semula. Dia perlu tahu apa yang telah berlaku pada Jo. Keretanya dipandu laju menuju ke satu tempat yang agak terpencil. Dari bandar KL, dia menuju ke hulu langat ke arah Kajang. Melalui lebuh raya LEKAS, dia membelok pula ke arah Mantin dan tembus ke Beranang. Jalan itulah yang dimaksudkan oleh Jo tadi.

"Hmm..betul ke ni" Kudin jenguk keluar tingkap kereta. Dia melihat papan tanda. Kawasan perindustrian Beranang.

Keretanya membelok pula ke kiri. Di kiri kanan jalan hanya ada hutan dan juga kilang. Dia memandu terus jauh ke dalam. Kali ini dia tidak nampak gudang yang dimaksudkan oleh Jo. Melilau dia melihat keadaan di sekitar kawasan itu.

"Takkan nak kena masuk belukar tebal tu Dah la malam-malam macam ni." Kudin garu kepala.

Dia berhentikan kereta di tepi jalan. Lampu jalan pula agak jauh jaraknya antara satu sama lain. Kudin mundar mandir di situ. Dia mula serba salah. Jelas dia mendengar suara Jo di talian tadi seperti cemas dan panik.

"Apa sebenarnya yang sudah berlaku" Kudin sandar pula di tepi keretanya. Lama dia berfikir di situ. Sesekali dia melihat jam. Hampir sepuluh malam.

Kudin cuba menghubungi Jo tetapi talian tidak menembusi kawasan belukar itu. Dia mundar mandir lagi di tepi kereta. Masih memikirkan apa yang perlu dilakukan.

DI GUDANG, di dalam sebuah bilik kecil, kelihatan Taiko Chong merenung tajam ke arah Jo yang sudah diikat kedua tangannya di belakang kerusi. Bibir Jo sudah berdarah. Pipi pula sudah lebam dan bengkak.

"Lu mana mau lari hah" Tengking Taiko Chong.

Jo diam. Celaka punya Karim! Dia perangkap aku rupanya! Pagi tadi, Karim menghubunginya dan beria menyuruhnya datang ke sebuah restoran di pekan Beranang. Katanya ada masalah besar. Sebaik tiba di situ, Karim mengajaknya pula ke sebuah gudang lama.

"Gua tanya! Mana itu pelempuan!!" Taiko Chong cengkam kedua pipi Jo dengan kuat.

Jo diam lagi. Dia tidak perlu menjawab soalan lelaki gemuk itu. Buruk sungguh melihat bentuk badan lelaki itu yang berperut buncit dan berkepala botak.

Satu tumbukan padu singgah di pipi kanan Jo. Terteleng Jo ke arah kiri. Darah memercik dari mulutnya.

"Mana itu pelempuan!!" Sekali lagi Taiko Chong menengking.

"Gua sudah jual sama itu Taiko Yashimoto!" Jo berbohong.

"Hah Lu sudah jual Lu ingat ini bisnes bapak Lu punya ka" Taiko Chong tumbuk lagi muka Jo. Kali ini tergolek Jo bersama kerusi ke lantai.

Pembantu Taiko Chong segera mengangkat semula.

Jo ketawa terbahak-bahak. Puas melihat bisnes Taiko Chong lingkup! Sejak dulu dia tidak suka pada Taiko Chong yang selalu mengugutnya dengan budinya yang menyelamatkannya dari dipukul sekumpulan penjahat itu. Jika dia malas hendak memenuhi permintaan Taiko Chong, alasan itulah yang selalu digunakan.

"Sikalang..beritahu Gua. Berapa Lu jual sama itu olang Jepun Mana itu wang" Taiko Chong cengkam pula rambut Jo sehingga terdongak Jo.

Jo melihat muka bengis Taiko Chong yang semakin menyinga. Dia tahu, lelaki berkepala botak itu tidak akan bertolak ansur dalam hal itu. Pernah dia melihat lelaki itu dengan selamba menembak orangnya sendiri yang membuat kesalahan.

"Gua tak ada wang tu!" Jo meludah ke muka Taiko Chong.

Taiko Chong menyapu perlahan. Dia senyum. Nampaknya lelaki yang pernah diselamatkannya dulu itu mahu berpaling tadah. Dia pandang Jo seketika. Kemudian dia memberi isyarat pada pengawalnya supaya mengambil sesuatu. Pengawal itu kembali dengan pemotong besi yang agak besar.

"Sikalang...beritahu Gua sekali lagi. Mana itu wang" Taiko Chong letak pemotong besi itu di jari Jo yang sudah terikat ke belakang.

Jo menelan liur. Dia tahu Taiko Chong tidak akan teragak-agak memotong jarinya nanti jika dia tidak beri jawapan yang memuaskan hati lelaki gila itu.

"Gua sudah kasi sama itu Karim. Dia sorokkan di satu tempat. Kalau Lu mahu tahu, tanya Karim." Jo berbohong. Biar Karim tahu siapa yang lebih bijak.

"Lu ingat Gua percaya sama Lu" Taiko Chong ketawa berdekah-dekah.

"Betul! Gua cakap benar! Tanya Karim!" Jo meninggikan suara. Benci sungguh mendengar suara ketawa mengada-ngada Taiko Chong itu.

"Karim sudah mampus! Dia lagi talak guna punya olang!" Taiko Chong ketawa lagi.

Jo sekali lagi menelan liur. Kali ini dia melihat Taiko Chong sudah berhenti ketawa. Dia dapat rasa jarinya sudah dikepit sesuatu.

"Aaarrgghh!!!" Jo meraung kesakitan. Terasa jarinya sudah hampir putus.

KUDIN yang masih melilau di sekitar itu terhenti melangkah. Suara jeritan yang sungguh kuat itu jelas di telinganya. Sekali lagi dia memasang telinga. Suara jeritan itu sekali lagi bergema kuat. Sekarang dia pasti, suara itu datangnya dari gudang lama di sebelah kirinya itu. Dia melangkah berhati-hati ke arah gudang itu. Semak kecil itu dipijak berhati-hati, takut terpijak ranting kayu. Sudah tentu bunyi derapan ranting dipijak akan didengari pengawal di luar gudang itu nanti.

Kudin mengendap perlahan melalui lubang dinding kayu yang berlubang. Dia terbeliak. Apa yang dilihat tadi sungguh tidak berperikemanusiaan langsung!

DI DALAM bilik kecil, Jo sudah pengsan. Taiko Chong mengambil sebaldi air dan mencurah ke muka Jo. Jo tersedar semula. Matanya sudah tidak mampu dibuka. Pandangannya sudah berpinar-pinar. Wajah Taiko Chong dilihat semakin kabur. Seperti orang mabuk, lelaki bertubuh gempal dan berkepala botak itu dilihat sudah semakin dekat dengannya. Rambutnya yang sudah basah kuyup direntap kuat.

"Lu dengar sini! Kali ini, Gua mahu Lu tunjuk mana itu wang disembunyikan. Kalau tidak, Lu punya adik, Gua kasi sama itu Taiko Botak Chin. Sikalang Lu pilih." Taiko Chong ketawa terbahak-bahak.

Mendengarkan kata-kata Taiko Chong itu, Jo cuba buka mata seluasnya. Dia gagahkan diri dan pandang pada Taiko Chong yang tidak berhati perut itu. Wajah ketawa lelaki botak itu dilihat penuh benci.

"Lu jangan kacau adik Gua!!!" Jo menjerit sekuat hati. Tidak sangka, sejauh itu Taiko Chong mengugutnya. Adik perempuannya yang tinggal bersama ibu yang sudah bercerai dengan ayah tiri, dapat dijejaki oleh lelaki laknat itu.

"Hahahaha!!!" ketawa Taiko Chong semakin kuat.

"Bukan Gua yang cari adik Lu tapi itu bapak tiri Lu yang jual itu pelempuan pada Gua! Bapak Lu pun sama talak guna punya olang!" Ketawa Taiko Chong semakin menjadi-jadi.

Jo mengetap bibir dengan kuat. Tak guna punya bapak tiri! Dia meludah ke lantai. Memang sejak dulu dia tidak rapat dengan adik perempuannya setelah ibu bercerai tetapi Johana tetap adiknya.

"Mana adik Gua" Jo pandang Taiko Chong dengan riak meluat.

Taiko Chong petik jari memberi isyarat kepada orangnya yang berdiri di situ sejak tadi. Lelaki itu keluar dan seketika kemudian masuk semula bersama seorang gadis. Jo pula pandang pada gadis itu yang kelihatan kusut masai rambutnya. Memang sah itu adiknya, Johana!

"Abang..." Johana berkata sayu, sayu melihat abangnya diseksa teruk oleh Taiko Chong. Jelas dia melihat jari abangnya dipotong. Darah masih galak menitik.

"Lu jangan apa-apakan adik Gua. Gua akan beritahu di mana wang itu disimpan." Jo terpaksa mengaku kalah walau sebenarnya dia juga tidak tahu bagaimana nak mencari wang yang sememangnya tidak pernah wujud itu.

"Bagus! Sekalang, beritahu mana itu wang" Taiko Chong mengarahkan orangnya membawa adik Jo keluar dari situ.

"Sebelum tu, lepaskan adik Gua dulu." Jo inginkan keselamatan adiknya terjamin dahulu.

"Mana itu wang Baru Gua lepaskan adik Lu!" Ugut Taiko Chong, Jo diberi pilihan lagi.

"Baiklah! Wang tu ada berdekatan sebuah rumah tempat kurungan nombor empat. Ada sebatang sungai di situ. Lu kena ikut hutan kecil dan lalu ikut arus sungai. Lu akan nampak pokok yang ada bunga putih. Wang itu ditanam di bawah pokok itu." Jo senyum sinis.

"Hoi! Lu ingat ni mau cari jalan ka Lu sendiri tunjuk itu tempat!!" Taiko Chong rentap lagi rambut Jo.

DI LUAR, Kudin masih memerhati dan mendengar perbualan mereka. Dia senyum sendiri. Jawapan Jo tadi sengaja untuk memerangkap penjahat itu masuk ke alam bunian.

"Jadi..selama ni Jo ada adik perempuan" Kudin berkerut kening.

Ini tak boleh jadi. Dia mesti selamatkan Jo dan adik perempuan Jo walau apa sekali pun. Sekali lagi dia memasang telinga.

"Huh! Biar dia orang tercampak ke alam bunian tu. Baru tahu langit tinggi rendah. Maunya dihukum sula nanti oleh orang bunian.." Kudin berkata dalam hati.

Kudin berpaling ke belakang. Dia terdengar ada sesuatu di belakangnya. Dia cuba mencari arah derapan kaki tadi. Lantas, Kudin sembunyikan diri di sebalik pokok yang agak rendang yang boleh menyembunyikan tubuhnya. Jelas dia melihat pengawal tadi sedang memerhati sesuatu. Matanya melilau melihat kelibat yang tiba-tiba berlari pantas dekat dengan pintu gudang. Susuk tubuh itu dilihat memakai pakaian serba hitam.

"Ah..takkan orang sindiket tu. Tadi dia berkawal di muka pintu." Kudin masih sembunyi di situ. Dari tadi dia berfikir cara untuk menolong Jo dan melepaskan adik Jo.

Kudin terkejut. Tiba-tiba pengawal yang berjaga di muka pintu itu rebah. Pistol di tangan lelaki itu terlepas ke tanah. Liar Kudin melihat sekitar. Mana tahu ada kumpulan penjahat yang lain menyerbu kawasan itu dan bergaduh dengan kumpulan penjahat yang ada di dalam gudang itu.

"Hmm..nampaknya ada penembak senyap di sini.." Kudin memerhati tajam ke arah datangnya kelibat hitam tadi.

Sekali lagi dia terkejut, seorang lagi pengawal rebah ke bumi. Kes yang sama, menjadi mangsa penembak senyap. Dia sudah pucat.

Mana tahu tiba-tiba tubuhnya pula menjadi mangsa penembak senyap itu. Dahlah dia belum nikah lagi ni.. Kudin mengesat peluh yang sudah menitik laju di dahinya. Dia mendiamkan diri di situ. Setelah keadaan kembali reda, dia menyusup masuk ke dalam gudang melalui pintu kecil yang sedikit terbuka di bahagian kiri gudang itu.

KUDIN sembunyi di belakang pintu kecil yang menghubungkan tempat itu dengan bilik kecil, tempat Jo ditahan. Dari celah pintu, dia dapat melihat ada lebih kurang sepuluh orang termasuk Jo di dalam bilik kecil itu. Dua orang berkawal di muka pintu di bahagian dalam, lima orang lagi berkawal di setiap tingkap dan bakinya pula, bersama lelaki gemuk dan berkepala botak yang sedang menyeksa Jo di sebuah meja kecil. Hanya sebiji lampu yang tergantung menerangi bilik kecil itu. Agak samar melihat rupa sebenar penyangak itu semua. Langkah Kudin diatur perlahan mendekati bilik kecil yang terbuka luas pintunya. Dia jeling lubang dinding yang diintainya dari luar tadi. Lubang itu memang tepat ke arah Jo duduk.

"Aku kena hati-hati. Nampaknya orang-orang kat dalam sini tidak tahu yang rakan mereka di luar sudah ditembak." Kudin menghentikan langkahnya sebaik dia sudah berada di tepi daun pintu. Sekali lagi dia memasang telinga perbualan lelaki perut buncit itu dengan Jo.

"Gua sudah kasi tahu sama Lu. Itu wang sudah ditanam dekat dengan pokok bunga putih tu!" Jo mengetap bibir. Darah yang masih mengalir dari bibir dan jarinya yang sudah dipotong sudah tidak terasa apa-apa. Sudah kebal!

"Pokok apa" Pembantu Taiko Chong pula bertanya bila melihat lelaki cina itu sudah kebingungan.

"Pokok senduduk putih!"Jo sengih.

Lelaki itu berbisik ke telinga Taiko Chong. Taiko Chong angguk-angguk tanda faham. Dia kemudian pandang pada Jo yang masih terikat di kerusi dengan wajah lebam dan berdarah.

"Okey, kalau Lu tipu sama Gua, semua jari Lu, Gua kasi potong!" Taiko Chong ketawa lagi.

Dia segera mengarahkan orangnya ke tempat yang dinyatakan oleh Jo tadi. Dia tahu di mana tempat kurungan ke empat itu terletak. Tiga orang suruhan Taiko Chong mula bergegas ke sana.

"Sikalang, Lu tunggu sampai dia olang sampai sini dengan itu wang. Kalau tak ada itu wang, bukan jari Lu yang Gua potong, kepala Lu jadi ganti! Faham!!" Ugut Taiko Chong.

Jo hanya diam. Mampuslah nak jumpa wang yang tak pernah wujud tu. Aku harap mereka semua itu tercampak ke alam bunian dan dihukum sula oleh pengawal berkuda putih itu nanti!

Duuummmm!!!

"Apa bunyi tu" Taiko Chong jenguk ke luar bilik kecil itu.

Kuncu-kuncunya segera keluar melihat apa yang berlaku setelah diarahkan oleh Taiko Chong. Taiko Chong pula sudah bersiap sedia dengan mesingan AK-47. Menunggu masa untuk menembak mangsa. Dia melangkah berhati-hati ke arah luar bilik kecil menuju ke ruang legar di gudang besar itu. Pintu utama gudang itu dilihat sudah terbuka luas.

"Mana semua olang pergi" Taiko Chong masih memerhati ke arah luar gudang. Dia perhati pula ke sekitar gudang. Tiada sesiapa.

Dia kembali masuk ke dalam gudang dan mengarahkan orangnya yang masih berbaki tiga orang itu berkawal dan bersiap sedia.

Semua mata tertumpu ke arah pintu. Kelihatan lima orang berpakaian serba hitam lengkap bersenjata menyerbu masuk ke gudang itu.

"Letak senjata! Gudang ini telah dikepung!" Arah salah seorang lelaki yang berpakaian ala komando itu.

Taiko Chong tergamam. Dia beri isyarat pada orangnya. Pantas saja orang suruhannya melepaskan tembakan ke arah lima orang yang menyerbu masuk itu. Serentak itu juga tubuh orang suruhan Taiko Chong rebah ke lantai. Peluru bertubi-tubi mengenai tubuh mereka.

"Aku kata letak senjata!" Sekali lagi amaran diberi.

"Lu siapa" Taiko Chong tak mahu mengalah.

"Kami polis! Letak senjata dan menyerah diri!" Kali ini Detektif Jailani pula memberi amaran.

Orang-orang suruhan Taiko Chong tidak hiraukan arahan dan amaran polis, mereka terus saja melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah pasukan polis itu. Suasana tegang, pihak polis dan kumpulan sindiket berbalas tembakan. Sekelip mata, seorang demi seorang menyembah bumi.

"Sekarang, letak senjata kamu!" Suara Detektif Jailani semakin kuat dan keras. Matanya bulat memandang Taiko Chong. Hatinya membara dan bagai disiat-siat bila mengingatkan lelaki itu menculik dan cuba menjual Senah dan Anum.

Ana Dahlia hanya memandang tingkah Taiko Chong yang kelihatan begitu degil dan dilihat seperti ingin menembak ke arah Detektif Jailani. Dia akan bersedia bila-bila masa jika apa-apa berlaku nanti. Belum sempat Taiko Chong mencekah laras mesingan AK-47 di tangannya, Detektif Ana Dahlia pantas sahaja menarik picu dan melepaskan ledakan peluru tepat mengena paha Taiko Chong. Taiko Chong sudah rebah menahan sakit. Detektif Jailani mengarahkan yang lain menggeledah setiap ruang.

SEMENTARA ITU, di dalam bililk kecil yang sudah tiada seorang pun orang-orang Taiko Chong berada di situ, Kudin segera mendapatkan Jo dan buka ikatan. Jo yang kelihatan sudah tidak bermaya itu dipapah keluar dari bilik kecil itu dengan berhati-hati.

"Kudin...adik...adik aku.." Jo begitu payah menutur.

"Aku dah bawa dia keluar tadi. Aku nampak dia dikurung di bilik sebelah." Kudin cuba dengan sedaya upaya memapah Jo keluar dari situ melalui pintu kecil yang dia masuk tadi.

"Tunggu!"

Kudin dan Jo berpaling. Keduanya sudah menduga tentu mereka akan ditembak oleh orang suruhan Taiko Chong nanti. Bunyi tembakan di ruang legar gudang tadi jelas di telinganya.

"Kudin" Detektif Jailani terkejut.

Kudin dan Jo turut terkejut. bertambah terkejut bila melihat Ana Dahlia pula muncul di sebelah Jai. Kudin memandang gadis itu dengan riak keliru.

"Kau tak boleh bawa Jo keluar dari sini. Jo adalah tahanan kami." Detektif Jailani terpaksa berkata begitu.

Jo pandang Kudin, lalu dia menyuruh Kudin melepaskannya dan dia bersusah payah berjalan terhincut-hincut dengan jarinya yang cedera parah dan kakinya yang sudah terasa lemah menuju ke arah Ana Dahlia dan Jai untuk menyerah diri kepada pihak polis. Kudin tergamam di situ. Dia masih tidak mengerti apa yang berlaku.

"Aku akan menyerah diri. Kudin hanya nak menolong aku tadi." Jo berterus terang. Dia hulur kedua tangannya kepada Ana Dahlia, bersedia untuk digari.

Ana Dahlia terdiam dan tergamam. Tak sangka, selama ini Jo adalah sebahagian dari anggota sindiket haram itu. Dia pandang pula jari Jo yang sudah putus. Jari tengah dan jari kelingking sudah tinggal separuh. Darah masih galak mengalir.

"Kenapa jari awak" Ana Dahlia sudah sebak.

"Sudah nasib aku..gari saja. Jangan ada rasa kasihan.." Jo masih menghulurkan kedua tangannya untuk digari.

Kudin baru perasan jari Jo sudah putus. Dia segera mengutip baki jari Jo dan hulur kepada Jai. Jai pula tergamam melihat semua itu. Jari Jo dimasukkan ke dalam beg plastik.

"Aku rasa..jari ni masih boleh disambung lagi tapi kena cepat. Aku harap kau benarkan Jo dirawat di hospital buat sementara." Kudin berkata sugul.

Kudin pandang pula Ana Dahlia di sebelah Jai, gadis itu dilihat kemas dan elegan dengan suit hitam ala komando dengan senapang canggih, Tech Force Contender 89, senjata penembak hendap yang amat berkuasa dan memberi tembakan yang tepat setiap kali peluru dilepaskan. Senjata itu pernah dilihatnya dulu semasa dia menjadi pengawal peribadi kepada salah seorang mafia di China.

Jadi, penembak senyap tadi mungkin Ana Dahlia.

"Kau jangan bimbang, aku akan hantar Jo ke hospital. Lepas tu dia perlu menjalani hukuman jika didapati bersalah." Detektif Jailani faham dengan riak Kudin.

Mereka segera keluar dari situ. Kudin pula terpaksa menghantar adik Jo ke rumahnya semula.