Hasya menepuk-nepuk badan Keris; mengajaknya masuk ke kamar beradunya. Walau bukan selalu Keris tidur dengannya, namun di saat-saat hatinya merindu pada ibu, Kerislah yang setia berbaring di sisinya sepanjang malam; menjadi saksi airmatanya yang mengalir deras membanjiri bantal tidurnya. Memang tak terjangkau dek akal andai diberitahu Hasya tidak pernah dicakar Keris sehingga tercalar kulitnya. Namun berbeza dengan cakaran harimau, hati yang tercalar dek perbuatan manusia, lebih merana jawabnya akibat parut di hati yang terpahat tinggal selamanya.
Hasya menepuk-nepuk katilnya sebagai isyarat agar Keris naik ke pangkuannya yang sudahpun sedia di pembaringan. Keris akur. Dilihatnya Hasya membetulkan posisi mengadapnya, dia turut sama merebahkan tubuh perkasanya itu yang lantas dipeluk tuannya. Hasya kemudiannya merapatkan pula wajahnya ke muka harimau kesayangan. Dijilat-jilatnya wajah itu membuatkan Hasya geli-geleman sambil menahan ketawa. Mampukah dia melelap mata malam ini andai setiap detik setiap saat yang berlalu tak ternilai harganya; yang tidak mungkin akan berulang kembali
Keris tidak pernah menyusahkannya. Makanan rujinya yang berupa tiga kilogram daging diselang-seli dengan dua ekor ayam sehari tidak pernah menjadi beban buat Hasya selama dua tahun di bawah pemeliharaannya. Pendapatannya sebagai P.I sudah lebih daripada cukup untuk menampung kehidupan di mana bayaran bagi perkhidmatannya yang mencecah RM1,000 hingga RM1,500 sehari mudah saja diperolehi dengan pengalaman serta reputasinya yang digeruni. Itu belum termasuk elaun bulanan yang diterima Hasya sebagai pengarah syarikat bagi Jones & Associates lagi!
Ibunya di penjara seringkali menasihati agar berhatihati, Harimau tetap harimau, katanya. Tapi bagi Hasya, tiada apa yang harus ditakuti. Harimau hanya makan sekali sehari; selagi perutnya kenyang terisi, sama sekali ia tidak akan membaham manusia. Kerana itulah, Hasya tidak akan senang duduk andai tidak dapat pulang tepat jam lima petang setiap hari, demi memenuhi tuntutan waktu makan Keris demi kasih sayangnya kepada Keris.
Aktiviti apa yang harus dijadikan galang-ganti pada tepat jam lima selepas ini, apabila Keris sudah pergi Mampukah dia mendepani situasi yang baru itu nanti
Dalam dakapan harimau, Hasya menangis lagi lagu I Dont Want To Miss A Thing nyanyian Aerosmith yang menjadi lagu tema filem Armageddon bermain-main di telinganya. Lagu itu, suara hatinya tatkala menatap wajah
Keris yang kini sudahpun lena dibuai mimpi