TORA DATANG LAGI - 30
Oleh kerana kertas sangat sukar diperolehi ketika itu, kebanyakan permainan ini dimainkan di dalam buku tulis sekolah. Selain faktor mudah diperolehi, ianya juga adalah kerana faktor mempunyai garisan. Selain buku tulis dengan garis melintang, buku tulis matematik dengan garis kotak-kotak kecil juga turut diperlukan untuk sesetengah permainan bergantung kepada cara permainan.

Kertas akan diambil dari tengah-tengah buku tulis kerana lebih mudah tertanggal dan kertas tidak terkoyak. Mengambil kertas pada muka surat pertama akan menyebabkan kertas pada muka surat terakhir turut terkoyak.

Kebanyakan kertas tidak akan diambil dari buku yang sama bagi mengelakkan dari diketahui cikgu dan ibu bapa. Buku tulis yang nipis akan dapat dirasa walaupun sekadar dipegang tanpa perlu dihitung jumlah halamannya. Perkara enteng seperti ini jika tidak pantas dielakkan sememangnya mengundang roti panjang.

Antara permainan menggunakan buku tulis yang popular adalah:

Perang

Permainan yang memerlukan sehelai kertas yang wajib boleh dilipat dua. Kertas pada bahagian tengah muka surat adalah digalakkan. Lipatan ini akan digunakan ketika hendak menyerang askar lawan.

Hanya memerlukan 2 orang pemain sahaja.

Boleh dimainkan di atas kertas tulis bergaris atau petak. Pemain akan mengambil seorang sebelah bahagian kertas dan saling menghadap.

Pemain akan menetapkan jumlah, saiz, kedudukan askar pada bahagiannya. Tiada jumlah askar yang tetap cuma ianya perlu sama banyak untuk kedua-dua pemain. Askar dengan bentuk orang lidi akan dilukis pada kertas. Saiz setiap askar haruslah sama.

Selesai melukiskan ke semua askar, permainan akan diundi untuk mengetahui giliran.

Permainan dimainkan dengan pemain hendaklah membunuh kesemua askar pihak lawan. Cara untuk membunuh askar pihak lawan adalah dengan menghitamkan satu titik kecil pada bahagian kertasnya. Selepas itu, pemain akan melipat mengikut lipatan kertas itu dan menghitamkan pula pada bahagian belakang kertas pada kedudukan titik hitamnya tadi. Titik hitam yang terkena pada askar pihak lawan akan dikira telah berjaya membunuh askar tersebut.

Pemain perlu mengagak kedudukan askar lawan pada bahagian kertasnya sahaja. Pemain tidak boleh mengukur pada kertas pihak lawan.

Seorang pemain hanya mendapat satu giliran dan perlu bergilir-gilir.

Permainan akan dikira tamat apabila salah seorang berjaya membunuh kesemua askar lawan.

SOS

Sejenis permainan yang diasaskan daripada Tic Tac Toe.

Hanya memerlukan 2 orang pemain sahaja.

Memerlukan buku tulis dengan garis kotak kecil. Setiap pemain hendak lah menggunakan pen yang berlainan warna.

Permainan dimulakan dengan pemain pertama menanda huruf S pada mana-mana petak.

Pemain kedua akan menanda sama ada huruf O atau S.

Pemain yang dapat melengkapkan perkataan SOS dari mana-mana sudut sama ada melintang, menegak atau menyerong perlu menggaris perkataan tersebut. Pemain yang dapat menggaris paling banyak perkataan SOS

akan dikira sebagai pemenang.

Lingo

Sejenis permainan yang diasaskan seakan-akan permainan Lingo yang

sebenar.

Boleh dimainkan lebih dari 2

orang pemain. Memerlukan buku tulis matematik dengan garis kotak kecil.

Setiap pemain hendaklah mengisi nombor 1 sehingga 25 secara rawak di dalam kotak yang berukuran 5 kotak buku latihan x 5 kotak buku latihan. Di atas kotak besar tadi akan ditulis dengan huruf L I N G O. Satu huruf untuk setiap satu kotak nombor.

Setiap pemain akan bergilir memilih dan menyebut nombor dari 1 hingga 25. Nombor yang dipilih akan dihitamkan. Jika lengkap 5 nombor yang dihitamkan tidak kira sama ada melintang, menegak atau mendatar, satu huruf dari perkataan L I N G O akan dihitamkan.

Pemain yang dapat menghitamkan ke lima-lima huruf L I N G O akan dikira sebagai pemenang.

Teka huruf

Jumlah pemain adalah tidak terhad. Cara bermain yang sangat mudah dan dalam masa yang sama dapat menambahkan prosa perkataan di dalam otak.

Kesemua pemain akan duduk menghadap satu sama lain.

Kertas akan dibahagikan kepada beberapa bahagian dengan melukiskan kotak dengan beberapa garisan yang memisahkan. Setiap bahagian akan mewakili setiap kategori masing-masing. Antara kategori yang kerap dipilih adalah nama orang, negeri/negara, kartun, buahan dan sayuran. Pada hujung kotak, dilukis satu garisan untuk kotak Markah.

Setiap pemain akan bergilir-gilir memilih huruf dari A hingga Z. Apabila contohnya huruf M dipilih seorang pemain, maka setiap pemain hendaklah mengisi setiap ruangan nama, negeri/negara, kartun, buahan dan sayuran yang bermula dengan huruf M.

Setiap pemain hendaklah tidak mendedahkan dan merahsiakan jawapannya dari pemain lain.

Selesai mengisi, ke semua pemain akan menyebut satusatu jawapan yang ditulis dan akan diadili oleh pemainpemain lain sama ada diterima atau tidak. Jawapan yang sama dibenarkan. Setiap jawapan betul yang berbeza akan memperolehi 100 mata, jawapan yang sama 50 mata dan 0 mata untuk jawapan yang salah atau tidak dijawab. Jika kesemua lima-lima kategori dapat dijawab, pemain akan menulis jumlah keseluruhan mata di bahagian hujung.

Permainan akan diteruskan sehinggalah ditetapkan semua untuk tamat. Kesemua jumlah tadi akan dihitung dan ditambah keseluruhannya. Pemain yang mendapat jumlah tertinggi akan dikira sebagai pemenang.

Main titik/ Empire

Sejenis permainan yang juga diasaskan daripada Tic Tac Toe.

Hanya memerlukan 2 orang pemain sahaja.

Memerlukan buku tulis matematik dengan garis kotak kecil.

Setiap pemain hendaklah menggunakan pen yang berlainan warna.

Pemain 1 akan menandakan 1 titik pada mana-mana pertembungan garis di atas kertas.

Pemain 2 akan turut melakukan perkara yang sama. Kedua-dua pemain hendaklah membuat titik-titik tadi supaya dapat menyambung antara satu sama lain membentuk 1 ikatan. Titik yang berbeza warna yang berada di dalam ikatan yang berjaya disambung akan mati dan tidak boleh disambung lagi.

Permainan akan ditentukan kemenangan mengikut warna ikatan yang paling ketara banyaknya di atas kertas.

Origami

Sejenis permainan yang berasaskan kertas semata-mata. Mudah dimainkan dan memerlukan imaginasi yang tinggi. Kertas akan dilipat mengikut lipatan dan turutan bagi menghasilkan sesuatu objek.

Antara origami yang popular dilipat adalah kapal terbang, sampan, topeng muka, katak, topi, kapal layar dan jet pejuang.

Sesetengah origami akan dilukis, diconteng atau diwarnakan bagi memberikan lebih feel sewaktu bermain.

MENYANYI DI HADAPAN KIPAS

Antara perkara pelik yang sering dilakukan kanak-kanak apabila berjumpa dengan kipas jenis berdiri atau duduk adalah menyanyikan lagu di hadapan kipas. Ini kerana suara yang terhasil apabila menyanyi di hadapan kipas kedengaran sedap dan lebih dewasa.

Selain menyanyi, sesetengah kanak-kanak akan bercakap di hadapan kipas bagi menghasilkan suara Optimus Prime.

Belum pernah mana-mana kanak-kanak cuba menyanyi di hadapan kipas siling setakat ini. Mungkin ada yang pernah cuba senyap-senyap tapi jadi malu sendiri lalu merahsiakannya.