RETRO BOLA SEPAK - 30
Dari seorang pemaju hartanah kemudian menjadi jutawan media dan terus mendaki tangga politik sehingga menjawat jawatan tertinggi di negara Itali, lelaki ini, suka atau tidak, Silvio Berlusconi lah individu penting yang menyelamatkan A.C. Milan dari bankrap sama sekali pada pertengahan tahun 1980an dahulu.

Berlusconi, menyuntik dana dan melunaskan hutang-hutang AC Milan, melantik pengendali baru Arrigo Sacchi, memperkenalkan sistem pengurusan kelab lebih efisen, diperkenalkan aspek sains sukan termasuk diet pemakanan, fisioterapi dan latihan, membawa masuk tiga tonggak Belanda dan diadun dengan anak tempatan Itali, dan tak sampai lima tahun, AC Milan sudah bergelar juara Eropah dan juara antara benua!

Sebelum Sheikh-Sheikh Arab dan jutawan-jutawan dunia melabur wang di kelab-kelab di Eropah terutamanya di Liga Perdana Inggeris, Berlusconi dah laksanakan lebih awal.

Seorang peniaga mahukan pulangan. Untuk dapatkan pulangan dan keuntungan haruslah melabur dan sanggup menanggung risiko. Dan AC Milan lah

pelaburan Berlusconi, terutamanya dalam mendaki tangga politik di Itali.

Bola sepak, medium yang sama pernah dieksploitasi oleh sesetengah ahli politik negara ini untuk meraih laba untung dan kesinambungan karier politik, pasal rakyat rata-ratanya memang minati sukan bola sepak.

Penguasaan dinasti-dinasti tertentu atau keluarga tertentu di kelab-kelab bola sepak Itali bukan benda baharu. Tahun 60an sudah wujud, bilamana timbul perseteruan antara dinasti keluarga, Umberto Agnelli di Juventus dan Angelo Moratti di F.C. Internazionale Milano. Kedua-dua mereka asalnya dari golongan saudagar. Umberto Agnelli adalah jutawan automobil sementara Angelo Moratti seorang jutawan minyak.

Berlusconi, jutawan media juga mahu kuasai AC Milan, sepertimana keluarga Moratti di Inter dan Agnelli di Juventus. Pembaharuan yang beliau bawa memang menakjubkan.

Rujuk peti kaca Dewan Kamasyhuran AC Milan, boleh bilang berapa banyak trofi kejuaraan yang AC Milan rangkul sedari saat Berlusconi mengambil alih kelab tersebut.

Tahun 2009, saat menjawat jawatan selaku Perdana Menteri Itali, Berlusconi dipilih oleh majalah Forbes sebagai individu ke-12 dalam senarai Manusia Paling Berkuasa Di Dunia.

Meski dipalit pelbagai skandal seperti rasuah, penggubahan wang haram, skandal sulitnya dengan pelacur kelas atasan, perceraian dengan isterinya, didakwa di mahkamah atas pelbagai hukuman dan dijatuhi hukuman penjara, pengaruh Berlusconi ke atas AC Milan tak pernah luntur.

Beliau umpama Presiden seumur hidup AC Milan. Berlusconi begitu bijak dan telah meletak anak perempuan beliau Barbara Berlusconi menganggotai Ahli Lembaga Pengarah kelab AC Milan. Barbara yang pernah digosipkan dengan bintang muda AC Milan, Alexandre Pato tidak lama dahulu, kini menjawat posisi selaku Timbalan Ketua Eksekutif kelab.