WALAUPUN satu meter, Afiqa tidak berani bergerak. Tubuhnya masih kaku di birai katil, merenung seisi ruang kamar. Sekejap-sekejap kepalanya terteleng ke arah pintu gelongsor di sudut kanannya, dan sesekali matanya terarah pada pintu tandas. Jiwa Afiqa terdera dengan perasaan sebegini. Seluruh ruangan gelap di rumahnya disimbahi dengan cahaya demi cahaya. Malangnya, perbuatan itu langsung tidak membantunya untuk mengusir sebarang anasir yang menggangu.
Berada keseorangan di dalam kamar yang sempit begini membuatkan Afiqa lelah. Penuh dengan bunyi yang pelik menyapa telinganya. Meskipun dia sedar timbulnya bunyi itu daripada cicak, namun tetap menambah perisa ketakutan yang dialaminya. Ingin turun dari katil pun dia berfikir dua tiga kali. Bimbang jika dia turun dari katil ada tangan pula yang menariknya memasuki bawah katil itu.
Bagaimana jika dia ingin melangkah turun nanti, tiba-tiba, ada mayat pula yang bergolek dari bawah katil itu Kepalanya langsung tidak didongak, bimbang jika tiba-tiba ada kepala yang melekat di siling dengan lidah terjelir pula. Ah! Fikirannya semakin kusut apabila babakbabak dalam filem seram bermain di mindanya kembali. Sungguh menyakitkan hati!
Jam di dinding dikerling sekilas. Sudah mahu menginjak ke arah jam lapan. Afiqa terfikir sesuatu. Lantas, telefon bimbitnya dicari di celah-celah gebar. Segera punat unlock ditekan, ada beberapa keping mesej menyapa di muka hadapan. Namun tidak dihiraukan Afiqa sebaliknya matanya terus mencari-cari di mana kelibatnya perkataan My Music itu.
Hati Afiqa sedikit mengeluh lega. Suara itu dikuatkan lagi volumenya. Bergema kini seluruh bilik Afiqa dengan bacaan ayat suci al-Quran. Terasa dirinya bagaikan dapat memperolehi kekuatan sedikit. Lalu, dengan kekuatan yang ada digagahkan dirinya menuju ke arah bilik air.
Afiqa segera mengambil wuduk dan kemudiannya menunaikan solat maghrib. Sementara menunggu isyak, dia sempat membaca al-Quran dan berzikir memuji kepada Ilahi. Hatinya terasa sedikit tenang dan lapang selepas mendekatkan dirinya pada Yang Maha Esa. Jiwa yang terasa dihantui dengan bayangan-bayangan yang menakutkan mula pudar. Perlahan-lahan, kain telekung yang membaluti tubuhnya ditanggalkan sebelum disidai kemas pada rak penyidai.
Pang!
Afiqa terkejut. Terasa bagaikan waktu berhenti sahaja saat deraian suara itu bergema. Kuat sehingga dia yang berada di kamar dapat mendengarnya dengan jelas. Bunyi kaca pecah di dalam rumahnya sedikit sebanyak menggusarkan hati. Afiqa menelan liurnya.
Gadis itu cemas. Jika diikutkan kehendak dirinya, mahu sahaja dia berselubung di dalam gebar. Namun, dia perlu menyiasat apakah punca bunyi yang didengarinya itu. Lalu, Afiqa melangkah. Setapak demi setapak dilangkah dan disusun dengan penuh hati-hati.
Afiqa nekad untuk turun ke bawah. Meskipun hati dan fikirannya bersuara enggan, namun kakinya tetap berdegil. Ringan langkahnya menuju ke dapur. Matanya melilau mencari dari mana datangnya bunyi itu. Penuh berhati-hati matanya memerhati. Gadis itu bersedia dengan apa-apa yang akan berlaku. Tibanya dirinya di ambang dapur tika itu terus secara automatik, tubuh Afiqa mengeras.
Tingkap dapur sudah berderai. Udara sejuk yang menyerbu masuk mengocakkan terus debaran di dada Afiqa. Terkebil-kebil matanya terpandangkan sejambak mawar putih yang terselit antara ruang celah-celah pagar pada tingkap tersebut. Afiqa buntu. Terketar-ketar tangannya mahu mencapai sejambak bunga tersebut.
Akhirnya, sejambak mawar putih berada kemas dalam tangannya. Cantik! Desis Afiqa sendiri. Diciumnya perlahan kelompak putih itu, ingin menghirup segala haruman yang datang dari bunga tersebut. Namun terasa hidungnya terpalit cecair yang membasah. Dahi Afiqa berkerut seribu. Tanpa banyak soal, tangannya mengelus hidung. Apabila jarinya dihalakan tepat pada matanya, jantung Afiqa berdegup kencang. Pembuluh darahnya hampir pecah!
Apa ini
Berbalam-balam pandangan Afiqa terhala pada cecair merah di jarinya. Degupan jantungnya semakin menggila. Badanya berpeluh-peluh. Hatinya benar-benar takut, kakinya mengeras tanpa dipinta. Darah apakah ini Bulu romanya menegak apabila dirinya terasa seperti ada yang sedang memerhatikannya.
Tatkala kakinya mahu membuka langkah, dia tersepak sesuatu yang tersadai di lantai. Lalu, kepalanya menunduk. Wajah Afiqa pucat tidak berdarah. Bungkusan lagi. Warna yang sama cuma bungkusan kali ini lebih kecil. Cukup untuk menembusi ruang pagar itu. Afiqa dilanda perasaan gundah. Namun laju sahaja tangannya mencapai dan membuka bungkusan tersebut.
Mata Afiqa membulat. Hampir terkeluar biji matanya. Di dalam kotak itu terkandung fotonya yang telah diubahsuai. Sebilah pisau kecil terhunus pada foto itu, tepat di kepalanya. Kaki Afiqa terasa lembik. Dia tidak kuat. Dia tidak kuat!
Ting tong!
Afiqa memusingkan wajahnya ke belakang. Loceng yang berbunyi-bunyi tanpa henti memaksanya untuk membuka pintu.
Afiqa bimbang. Jika yang datang itu adalah orang yang menghantar bungkusan itu bagaimana Dia takut.
Pergi, Fiqa! Pergi! Pergi buka pintu. Cuba! Mana tahu yang datang tu untuk selamatkan kau
Afiqa mengangguk. Bersetuju dengan kata hati sendiri. Tanpa berlengah, kaki melangkah lambat-lambat menuju ke arah muka pintu sambil tangannya sempat mencapai pisau. Pintu dibuka sambil pisau di tangannya dihunuskan ke depan.
Fiqa! Apa ni
Matanya melekat lama pada wajah Katrina di luar pintu. Hatinya mengeluh lega. Pisau di tangannya terlepas, berdenting bunyinya mencecah lantai.
Rina....
Afiqa terus membenamkan tubuhnya ke dalam pelukan Katrina. Gadis itu jelas bingung dengan perlakuan kembarnya itu. Belakang Afiqa diusap Katrina penuh lembut, ingin menyalurkan kekuatan pada gadis itu. Esakan kecil Afiqa sangat membimbangkannya.
Tidak lama kemudian, tangisan Afiqa mula kedengaran surut. Pelukan yang mengikat mereka dileraikan. Tubuh Afiqa menegak memandang tepat pada anak mata Katrina.
Sayu sekali mata Afiqa. Pelbagai persoalan muncul di dalam benak Katrina tika ini. Lalu, Afiqa dibawa menuju ke ruang tamu. Ingin memberi pengudaran sedikit buat gadis agar dia dapat bertenang. Tubuh Afiqa didudukkan.
Kenapa ni soal Katrina lembut.
Aku takut, Rina..., ujar Afiqa lambat-lambat.
Kau takut apa
Afiqa meluruskan pandangannya pada kaki meja kopi di situ. Katrina yang tidak tahu apa-apa, turut memandang ke arah yang sama.
Ah! tempik Katrina kuat. Bergema rumah itu dengan suaranya. Mulut Katrina ditekup, bimbang dirinya bakal menjerit lagi. Rasa terkejutnya masih belum hilang.
Kenapa bunuh tikus tak buang, Fiqa marah Katrina.
Tanpa bertangguh, Afiqa terus menceritakan segalagalanya. Bermula dari kejadian litar pintas tempoh hari. Segalanya. Tak satu pun yang tertinggal. Katrina hanya ternganga usai Afiqa bercerita.
Kenapa tak call aku Kenapa biarkan Kau kena report polis ni!
Jangan! kepala Afiqa digeleng laju.
Apa kau ni Kau nak biar perkara ni melarat ke
Jangan, Rina. Bahaya kita nanti.
Spontan kepala Katrina diangkat. Tidak mengerti dengan kata-kata Afiqa. Matanya terarah pada mata Afiqa, menginginkan penjelasan lanjut. Jambangan bunga yang dihulurkan Afiqa begitu menarik perhatian Katrina. Pantas, tanpa membuang masa bunga tersebut diambil Katrina. Bunga tersebut dibelek. Jarinya naik pada kelopak bunga mawar tersebut lantas cecair merah yang terpalit di kelopak bunga tersebut dicalit sedikit.
Darah tikus barangkali. Tangannya ingin membuang terus jambangan bunga itu tapi matanya seperti perasankan sesuatu. Matanya terhenti pada sekeping kad yang terselit di antara celah-celah bunga di situ. Mata Afiqa dan Katrina bersabung, saling memanah tepat sesama sendiri. Katrina mengambilnya laju, bunga diletakkan.
Saat kad itu dibukanya, dada Afiqa dan Katrina berdegup kencang. Mata mereka masih lagi tertacap pada tulisan di situ.
Aku malaikat mautmu! Kau ingat tu, Fiqa! Kau ada dua pilihan. Mati atau tinggalkan Airish!
Wajah Afiqa pucat lesi. Liur yang ditelan terasa seperti tersekat di kerongkongnya sendiri. Kata-kata berbaur ugutan itu sungguh berbekas dalam dadanya. Bulu romanya menegak tanpa dipinta. Tubuhnya terasa seperti ingin melorot jatuh namun nasib baik sempat Katrina memaut lengannya.
Aku takut, Rina..., Afiqa menunduk, merenung lantai. Esakannya ditahan sekuat dayanya dari terdengar bunyiannya.
Dah! Jom ikut aku balik!