SAMPAI di KL, Kudin menghantar Puan Karina dan Kusha ke rumah mereka. Kuyah juga ingin bermalam di rumah Kusha. Selepas berehat dan menikmati juadah petang, Kudin mula pulang ke rumah bujangnya semula. Hari sudah beransur malam. Kudin bergegas masuk ke dalam rumah dan mandi. Usai solat maghrib, dia terus menghubungi Jai. Jam sembilan nanti, dia sudah berjanji akan berjumpa Jai di tempat biasa. Sementara menunggu solat Isyak, Kudin membaca beberapa halaman al Quran dari surah al Baqarah.
Dia terus menunaikan solat Isyak sebaik azan Isyak selesai berkumandang.
Terkocoh-kocoh Kudin melangkah menuju ke motorsikalnya. Dia lebih senang menunggang motorsikal jika berada di dalam bandar KL ini. Jaket hitam yang dipakainya dizip kemas sehingga ke paras leher. Helmet disarung ke kepala. Motorsikalnya menderum laju meninggalkan kawasan rumah menuju ke destinasi.
Tiba di tempat yang dijanjikan, Kudin segera mencari meja kosong. Dia menggaru kepala. Tiada satu pun meja kosong di situ.
Restoran itu dilihat begitu penuh dengan pelanggan. Siap dengan skrin putih besar yang dipasang di luar restoran itu, dekat dengan tempat parkir.
"Ada apa sebenarnya ni" Kudin melangkah juga ke situ. Dia sudah berjanji dengan Jai.
Seketika kemudian, skrin itu sudah dipasang dengan projektor, menayangkan perlawanan bolasepak Piala Dunia. Kudin sengih. Patulah penuh restoran malam tu! Bahkan ada pelanggan yang menyarung jersi negara kegemaran masing-masing.
"Laa..aku lupa pulak sekarang tengah demam World Cup ni.." Kudin sengih lagi.
Dia hanya berdiri di situ. Masih lagi mencari meja kosong, kalau-kalau ada lagi. Nasibnya baik. Ada sebuah meja kosong yang baharu saja dilap oleh pekerja restoran. Dia segera menapak ke situ. Bunyi bising jelas di telinganya. Masing-masing bersembang tentang bola.
"Jus oren satu!" Kudin terpaksa melaung untuk memesan minuman. Suasana yang agak bising itu sudah tentunya tenggelam suaranya nanti kalau berkata perlahan.
Pelayan restoran itu mengangguk.
Kudin masih memerhati sekitar restoran. Semakin ramai yang datang memenuhi restoran itu semata-mata ingin menonton perlawanan bola sepak itu. Dia hanya senyum. Silapnya juga berjanji dengan Jai di kedai mamak macam tu.
"Kudin!"
Kudin menoleh. Jai sudah melambai-lambai ke arahnya.
Jai melangkah laju ke arah Kudin. Dia segera melabuhkan punggung di situ. Jai turut melihat keadaan di restroran itu yang meriah dengan pelanggan yang berkumpul untuk sama-sama menonton perlawanan pada malam itu.
"Kau dah lama sampai" Jai sandar di kerusi. Matanya beralih pada Kudin.
"Baru je..tapi macam mana kita nak bincang Kau tengok tu" Kudin muncungkan mulutnya ke arah pelanggan yang sudah berkumpul di depan skrin besar itu.
"Tu la..aku lupa yang malam ni ada perlawanan live!" Jai juga turut sengih.
"Tak apa. Dah kita datang kat sini. Kita tengok dulu bola tu, habis perlawanan, baru kita bincang." Kudin memberi saranan.
Jai mengangguk setuju. Mereka berdua mula memesan makanan dan menikmati bersama sambil menonton perlawanan bola sepak.
Hampir dua jam lebih mereka berada di situ. Perlawanan bola pun sudah tamat tadi. Ramai pelanggan yang sudah beransur pulang. Hanya tinggal beberapa orang saja yang masih tinggal di situ sambil menikmati minuman. Bergelas-gelas di atas meja, suasana yang biasa dilihat setiap kali ada perlawanan secara langsung.
"Hmm..apa cerita kau" Jai mulakan tajuk asal.
"Aku ada masalah ni." Kudin mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya.
"Apa ni" Jai melihat kain kuning yang membalut sesuatu dari tangan Kudin.
"Itu barang kepunyaan orang bunian yang Senah ambil atau mungkin terambil." Kudin pandang Jai yang mula membuka bungkusan kuning itu.
"Oh..ini.." Jai senyum.
"Kenapa kau senyum" Kudin pula terpinga-pinga dengan riak Jai.
"Nasib baik kau balut dengan kain kuning. Benda ni kena jaga betul-betul kerana menurut penghulu kampung bunian tu, benda ni boleh hidup dan membiak." Terang Jai pada Kudin.
"Aku tak faham. Maksudnya, penghulu bunian tu beri pada Senah" Kudin menelan liur.
"Ya..ini sebagai mas kahwin pernikahan aku dengan Senah di alam sana. Aku sudah diakadnikahkan dengan Senah di sana dan ini mahar yang diberi oleh penghulu bunian tu kepada aku untuk aku beri pula pada Senah. Lucukan" Jai senyum sinis. Namun jauh di sudut hati, dia mengharapkan semua itu berlaku di dunia nyata ini. Bukan di dunia ghaib macam tu!
"Jadi...maknanya..benda ni mas kahwin kau la." Kudin pandang Jai yang masih menatap sanggul bunian emas itu di atas kain kuning.
"Alah..benda ni hanya berlaku di alam sana je. Kau tak payah risau. Kau dan Senah boleh bernikah bila-bila masa. Aku juga nak ucapkan selamat berbahagia in advance pada kau." Jai bungkus semula sanggul bunian emas itu dan hulur kepada Kudin.
"Kau simpanlah. Mana tahu satu hari nanti, kau nak beri semula pada bakal isteri kau tu." Kudin turut senyum.
Jai tergamam mendengar kata-kata Kudin. Dia mengamati wajah Kudin yang tidak beriak. Apakah Kudin sudah tahu rasa hatinya pada Senah
"Aku rasa jodoh kau dengan Senah. Bukan setakat di alam bunian tetapi di alam nyata ni. Aku dapat rasa kau kecewa bila aku kata aku nak meminang Senah dulu. Aku sudah masak dengan sikap kau Jai." Kudin senyum lagi. Kali ini dia pasrah.
"Kau jangan nak patahkan hati Senah, Kudin. Senah tu sejak dulu lagi suka dan cintakan kau. Kau tak sepatutnya kecewakan Senah.
Soal hati aku, aku dapat terima semua ni tetapi perempuan susah untuk terima jika cinta mereka ditolak." Jai berkata serius.
"Oh..jadi kau sanggup lihat Ana Dahlia kecewa" Kudin pula bertanya pada Jai.
"Maksud kau" Jai sudah berkerut kening.
"Ana Dahlia..dia cintakan kau dan kau cintakan Senah. Jadi, apa yang kau nak buat sekarang ni Apa yang kau beritahu aku tadi, tidak pada Ana Dahlia. Aku pasti Ana Dahlia kecewa bila dia dapat tahu kau cintakan Senah." Kudin pula keluarkan hujahnya.
Jai diam seketika. Dia juga sudah buntu.
"Aku harap kau balas cinta Ana Dahlia tu. Aku juga tidak sanggup melihat dia kecewa. Samalah halnya dengan kau yang tak sanggup melihat Senah kecewa." Kudin pandang Jai tidak berkelip.
"Kau cintakan Ana Dahlia" Jai cuba korek rahsia hati Kudin.
"Aku juga seperti kau. Aku lelaki. Rasa kecewa itu ada tetapi aku boleh menghadapinya." Kudin mula berterus terang.
"Kudin..aku tak nak kau menikahi Senah atas dasar kasihan." Jai merenung tajam ke arah mata Kudin.
"Samalah juga dengan kau. Aku juga tak nak kau nikah dengan Ana Dahlia tu atas dasar kasihan." Kudin pulangkan semula pernyataan itu pada Jai.
Kali ini masiing-masing diam dan melayan perasaan sendiri. Rumitnya bila ada perasaan cinta yang tidak berbalas.
KUDIN pandang Jai yang masih melayan perasaannya tadi. Memang rumit bila menyentuh soal hati.
"Sudahlah..kita dah berusaha. Jodoh itu hanya Allah yang tahu. Bukan kita nak nikah dalam waktu terdekat ni pun. Banyak lagi masa nak fikir semua tu. Sekarang ni, kita kena selamatkan Chad dan rawat Senah." Kudin mula kembali ke perbincangan asal.
"Rawat Senah Kenapa dengan dia" Jai terkejut.
Kudin tepuk dahi. Asyik bercerita soal hati dan bola tadi, dia terlupa tujuannya ke situ juga untuk berbincang hal Senah yang dirasuk.
"Semalam, masa keluarga aku pergi meminang Senah, masa mama aku nak sarung cincin ke jari Senah, Senah menjerit dan meracau." Kudin mula menjelaskan perkara sebenar kepada Jai.
Jai terkaku seketika. Terkejut mendengar berita peminangan Kudin itu dan juga kerasukan Senah. Dia cuba mengawal diri agar riaknya tidak ketara di mata Kudin.
"Macam mana boleh jadi macam tu" Jai tanya lagi.
"Entahlah. Aku dah panggil Tok Imam Ngah. Tok cakap, Senah dirasuk kerana sudah terambil barang milik puteri bunian, rambut tu la." Kudin tunjuk pada bungkusan kain kuning di atas meja.
"Tapi..ini pemberian penghulu sana. Bukan Senah curi atau sengaja ambil. Mustahil dia dirasuk puteri bunian tu." Jai masih tidak mengerti. Tidak logik pada akal fikirannya.
"Itulah juga yang aku fikir. Aku rasa bukan sebab tu. Aku dapat rasa Senah dirasuk kerana baju kebaya merah yang pernah dipakai dulu. Aku rasa baju tu milik Hanim, perempuan yang dibunuh tu." Kudin berhati-hati berkata. Dia tahu bukan Hetty yang membunuh Hanim tetapi Chad. Jai seorang pegawai polis, jadi dia kena berhati-hati menyimpan rahsia itu. Tambah lagi ia ada kaitan dengan ilmu sihir. Tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan Chad sebagai pembunuh dalam hal ini.
"Baju kebaya merah" Jai terkejut.
Kudin mengangguk. "Senah pernah pakai baju kebaya merah tu masa dia datang rumah aku dulu."
"Mana Senah dapat baju kebaya merah tu"
"Aku rasa, Mak Jemah tu yang beri pada Senah dan aku dapat rasa baju kebaya merah tu sudah dibaca sesuatu. Yalah..itukan baju milik Hanim. Hanim pakai baju tu la masa dia dibunuh dulu." Kudin berkata penuh yakin.
"Hmm...habis tu, macam mana kita nak handle benda ni" Jai mula gelisah. Tidak sanggup dia melihat Senah menderita dan yang lebih parah bimbang roh Mak Jemah akan merasuk Senah nanti.
"Kita kena cari baju kebaya merah tu. Aku dah suruh Pak Said cari baju tu sampai dapat dan kita kena buat sesuatu kat baju tu."
"Buat apa" Jai garu kepala.
Kudin jongket bahu. Dia pun tidak tahu apa yang harus dilakukan pada baju kebaya merah itu. Kalau terpaksa pulangkan semula pada waris Hanim, terpaksalah juga mereka buat dan cari waris Hanim.
"Senah sekarang dah okey sikit. Buat masa sekarang ni, kita kena masuk semula ke alam bunian tu. Rambut ni kena pulangkan semula dan kita kena pujuk Chad balik ke dunia kita. Mana tahu Chad boleh tolong Senah tu." Kudin mula menaruh harapan.
"Chad tolong Senah Chad tahu ke cara merawat orang kena rasuk ni" Jai sudah keliru dengan kata-kata Kudin.
Kudin terdiam. Dia sudah terlepas cakap.
"Err..maksud aku, Chad kan pandai juga benda-benda macam ni. Sambil tu, kita minta tolong juga dengan Tok Imam Ngah tu."
"Okey...bila nak pergi" Jai masih ragu-ragu.
"Lusa. Tok Imam Ngah akan sampai esok. Macam biasa, kita kena pergi ke tempat sempadan tu, dekat dengan pokok senduduk putih tu." Kudin mengingatkan Jai tempat itu semula.
Jai angguk-angguk.