Gadis Kebaya Merah - 33
BAB 33

TIBA hari yang dijanjikan. Semalam lagi Tok Imam Ngah sudah berada di KL. Kudin sudah mengambilnya di stesen bas pudu. Hari ini, tepat jam lapan pagi, Kudin memandu keretanya ke destinasi yang dijanjikan. Sepanjang perjalanan, Tok Imam Ngah banyak memberi pesanan dan tips bila masuk ke alam bunian. Kali ini lebih dari dulu.

Kereta Kudin diparkir di tepi jalan, jalan yang menuju masuk ke hutan kecil itu. Mereka bertiga berjalan meredah belukar seperti dulu tapi kali ini jalan yang mereka lalui sudah agak senang sedikit. Seperti terdapat laluan menuju ke arah sungai itu. Mungkin kesan dari redahan mereka dulu. Kudin dan Jai berhati-hati berjalan di belakang Tok Imam Ngah yang selalu mendahului langkahnya.

Sampai di tebing sungai, mereka berhenti seketika. Tok Imam Ngah cuba mengamati tempat itu sekali lagi. Kali ini pokok senduduk itu didapati sudah banyak yang kena tebang. Dia sedikit terkejut. Hanya tinggal beberapa pokok saja yang ada di situ. Malah bunga senduduk putih juga tidak banyak yang berkembang.

"Tengok tu, agaknya siapa yang punya angkara Habis pokok senduduk itu ditebang." Tok Imam Ngah menuding ke arah sekumpulan pokok senduduk putih yang sudah menyembah bumi.

"Ya la tok. Tanah di situ pun seperti dikorek." Kudin mencelah. Pokok senduduk itu diperhatikan seketika.

"Tok rasa, ada orang yang cuba menceroboh tempat ini tapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang ada di tempat ini." Tok Imam Ngah mengusap dagu.

"Hmm..dari rupa tanah tu dikorek, seperti ada sesuatu yang mereka cari..mungkin harta atau apa saja yang berharga." Jai juga turut menyampuk.

"Apa pun, nampaknya mereka salah tempat. Tempat itu adalah sempadan ke perkampungan bunian itu. Jika benar mereka buat semua tu, mereka mungkin sudah tercampak ke alam bunian tu." Tok Imam Ngah pula bersuara.

"Hmm..mungkin juga." Kudin mengiakan. Ketika ini, dia teringat kata-kata Jo semasa Jo ditahan di gudang itu dulu. Dia ada terdengar Jo menyatakan wang yang disorok itu disimpan dekat pokok itu.

"Sekarang mari kita mulakan. Fokus pada deruan air sungai dan pejam mata seketika. Baca bismillah dan mulakan dengan langkah kanan dan kemudian langkah kiri. Kita lakukan serentak." Tok Imam Ngah berpesan lagi.

Kudin dan Jai mengangguk tanda faham. Mereka bertiga mula bertindak. Tidak semena-mena mereka bertiga sudah berada di alam bunian. Jalan yang mereka lalu tadi, tiada lagi. Yang ada di depan mata sekarang ini adalah laluan pengawal berkuda putih. Dari jauh, Tok Imam Ngah melihat pengawal berkuda putih itu sedang meronda di sekitar situ.

"Mari cepat! Sebelum pengawal itu nampak kita. Nanti dia akan tanya macam-macam nanti." Tok Imam Ngah segera mengajak Kudin dan Jai meninggalkan kawasan itu.

Langkah mereka semakin laju tetapi masih berhati-hati. Kali ini Jai pula mendahului perjalanan mereka. Hanya Jai yang tahu di mana rumah penghulu bunian itu. Sanggul bunian emas itu perlu dipulangkan semula walaupun telah diberi sebagai hadiah kepadanya.

Mereka mengatur langkah menuju ke arah taman bunga mawar putih dan bunga melati, tempat di mana mereka berkumpul dahulu.

"Jai, kamu pasti ini rumah penghulu bunian itu " Tok Imam Ngah pandang ke arah Jai yang masih memandang ke arah sebuah rumah yang terletak tidak jauh dari taman itu dan menghadap ke arah sebuah tasik dan kebun buah. Rumah penduduk di situ kelihatan sama dari segi bentuk dan hiasan lamannya.

"Ya! Saya pasti tok. Saya cam tasik dan kebun buah tu!" Jai tuding ke arah tasik dan kebun buah.

"Kalau begitu, mari kita ke rumah itu. Ingat, kita datang dengan niat yang baik dan nak pulangkan sanggul bunian emas tu." Tok Imam Ngah menyuruh Jai berjalan dahulu. Dia dan Kudin menyusul di belakang.

Jai melangkah berhati-hati ke arah rumah penghulu. Ketika itu, suasana semakin lewat malam. Tadi, sewaktu mereka berada di tebing sungai, waktu itu masih di awal pagi. Kini, bila berada di perkampungan bunian ini, waktu sudah berubah malam. Kelihatan semua rumah sudah diterangi lampu. Walaupun hampir lewat malam di situ, keadaan sekitar kampung itu sentiasa kelihatan terang.

"Ni rumah penghulu, tok." Sampai di tepi tangga rumah penghulu, Jai pandang pada Tok Imam Ngah.

"Hmm...mana penghulu" Tok Imam Ngah menjenguk ke arah tingkap rumah. Memang rumah dahulu kala.

"Waktu begini selalunya dia sudah berada di rumah...nanti kejap." Jai beranikan diri menaiki anak tangga rumah penghulu dan dia kini berada di hadapan pintu rumah Penghulu.

"Ya, mahu apa saudara sekalian datang ke rumah ayahanda"

Tiga kepala berpusing ke arah suara yang menegur tadi. Penghulu bunian sudah tercongok di laman. Di tangannya ada secekak sayur di tangan kiri dan di tangan kanan pula, ada seikat buah rambutan. Kudin memandang tepat ke arah buah rambutan di tangan penghulu itu. Buah itu tidak seperti rambutan di dunia nyata.

"Oh ayahanda, kami datang untuk bertanya khabar dan ada hajat sekali." Jai turun semula dari anak tangga dan mula mendekati penghulu bunian itu.

"Hajat apa wahai anakanda" Penghulu pandang Jai dengan sebuah senyuman. Dia kenal siapa Jai.

"Saudara kami sudah tersesat di kampung ini dan kami tidak tahu ke mana dia pergi. Sudah puas kami mencari tetapi masih belum bertemu wahai ayahanda." Jai berbahasa.

Kudin dan Tok Imam Ngah hanya mendengar perbualan Jai dan Penghulu itu. Kudin terutamanya, hairan melihat penghulu itu yang menggelarkan dirinya sebagai ayahanda, sama seperti Sheikh Kahzam dulu, sedangkan wajah mereka tidak pernah tua.

"Oh, siapa gerangan saudara anakanda itu" Penghulu masih bertanya. Matanya beralih pula pada Tok Imam Ngah dan Kudin.

"Dia seorang lelaki muda dan di dadanya ada balutan." Kudin pula mencelah. Dia tahu, Jai sukar untuk memperincikan siapa Chad.

"Oh, kalau begitu, silalah masuk ke rumah ayahanda dulu." penghulu bunian itu mula melangkah masuk ke dalam rumah.

Kudin, Jai dan Tok Imam Ngah turut membuntuti penghulu bunian itu masuk ke dalam rumah. Sebaik kaki melangkah ke ruang tamu, terpegun mereka melihat keindahah rumah milik penghulu itu. Dengan perabot rotan dan ukiran pada almari kayu cukup menarik.

Kudin pula terlopong melihat semua itu. teringat kembali masa dia pergi ke Melaka dahulu. Ukiran pada tiang seri dan juga dinding rumah itu tidak ubah seperti di rumah Melaka di perkampungan rumah Malaysia yang pernah dilawati dulu.

"Duduklah dulu.." Penghulu bunian itu mempelawa tetamu berehat seketika di ruang tamu yang hanya ada tikar mengkuang yang dianyam sungguh cantik. Kudin pandang pada tikar mengkuang itu pula. Rasanya lebih cantik dari tikar mengkuang yang dianyam oleh neneknya. Dia cukup kagum.

Penghulu bunian turut duduk di sebelah Jai. Dia pandang seorang demi seorang dan matanya akhirnya jatuh pada wajah Jai.

"Apa kbahar isteri anakanda" Penghulu bunian itu mula bertanyakan hal Senah.

Jai hampir tersedak. Dia terbatuk-batuk kecil. Perlahan dia pandang penghulu bunian itu dan mula menjawab. "Dia baik saja ayahanda."

"Ayahanda tahu siapa gerangan lelaki muda yang dimaksudkan oleh anakanda tadi. Lelaki muda itu kini sudah pergi dari sini. Dia banyak membantu ayahanda mengerjakan kebun buah itu dan juga kebun sayur." Tutur penghulu bunian.

Kudin dan Jai sudah tercengang mendengar kata-kata penghulu bunian itu.

"Err..maksud ayahanda, saudara kami itu sudah kembali ke alam dunia" Jai menelan liur.

"Ya, dia juga yang menumpaskan sekumpulan manusia lain yang menceroboh kampung kami ini dan manusia itu cuba mengapa-apakan perempuan di sini. Mereka semua sudah dihukum." Terang penghulu bunian itu lagi.

"Siapakah mereka itu wahai ayahanda" Kudin pula bertanya. Tok Imam Ngah dijeling seketika. Dari tadi orang tua itu hanya jadi pendengar setia.

"Mereka adalah manusia jahat yang cuba mengugut kami tentang harta karun dan wang. Menurut mereka, wang yang dicari itu ada disimpan di sini." Penghulu bunian itu bercerita lagi.

Kudin terdiam. Memang benar telahan Jo, kuncu-kuncu Taiko Chong sudah masuk ke alam bunian bila mereka mencari wang yang disorokkan itu di tempat pokok senduduk putih itu tanpa mereka sedari bahawa tempat itu adalah laluan masuk ke alam bunian itu. Padan muka!

"Err..ayahanda, memandangkan saudara kami juga sudah pergi dari sini, kami ingin minta diri dulu dan anakanda ingin pulangkan ini kepada ayahanda." Jai menghulurkan sanggul bunian emas itu kepada penghulu bunian.

"Kenapa pulangkan" Penghulu bunian itu pandang Jai dengan riak tidak senang.

"Anakanda tidak mampu menjaga pemberian ayahanda itu. Biarlah ianya berada di sini dalam simpanan ayahanda." Terang Jai dengan senyuman. Lenggok tuturnya dilembutkan sehabis mungkin, bimbang penghulu bunian itu terasa hati.

"Oh, ayahanda mengerti." Sanggul bunian emas itu disimpan.

"Rasanya apa yang kami hajatkan sudah pun terlaksana. Saudara kami juga sudah pulang ke alam dunia dan sanggul itu juga sudah dipulangkan semula. Kami minta izin untuk pulang ke dunia kami. Sudilah kiranya, kami ditunjukkan jalan keluar dari sini wahai ayahanda." Jai berbahasa lagi.

"Boleh saja wahai anakanda. Dari rumah ini, anakanda kena lalu jalan kecil dari arah masjid itu dan jika bertemu pengawal berkuda putih itu, sila beritahu tujuan anakanda ke sana."Penghulu itu senyum.

Jai mula minta diri. Kudin dan Tok Imam Ngah juga turut minta izin untuk memulakan perjalanan pulang. Sudah hampir satu jam mereka di kampung itu.

DERUAN air sungai jelas kedengaran di gegendang telinga. Kudin melihat sekitar kawasan itu. Memang sah mereka sudah berada di alam nyata. Tok Imam Ngah dan Jai juga turut berada di sebelahnya. Alhamdulillah, mereka telah selamat kembali ke dunia nyata. Bergegas mereka meninggalkan kawasan itu dan meredah belukar semula menuju ke arah kereta yang diparkir di tepi jalan luar.

Kudin menapak laju ke arah keretanya yang masih elok berada di situ. Dia mula menghidupkan enjin. Jam di dashboard menunjukkan pukul lima petang. Bermakna mereka telah berada di perkampungan bunian itu hampir setengah hari. Jai dan Tok Imam Ngah turut masuk ke dalam kereta. Kereta dipandu perlahan meninggalkan kawasan hutan itu.

Tiba di bandar KL semula, mereka singgah di rumah Kudin terlebih dahulu untuk membersihkan diri. Itu arahan Tok Imam Ngah sendiri. Selepas menunaikan solat Asar dan qadha solat Zuhur, mereka bertiga mula menikmati makanan yang sempat dibeli di warung tadi. Selepas kenyang mengisi perut, mereka bertiga mula berehat di ruang tamu.

"Nampaknya, semuanya sudah selesai. Sekarang, kita perlu cari Chad dan juga tolong Senah." Kudin mula bersuara setelah masing-masing diam. Yalah, sudah kenyang tadi, mata juga turut layu.

"Pelik juga. Bila Chad keluar dari kampung bunian tu" Jai pula rasa hairan.

"Tok tak rasa itu sesuatu yang pelik. Chad ada ilmu, macam yang tok pernah kata dulu, Chad masuk ke alam sana bukan dengan tangan kosong. Jadi, dia boleh bertahan di situ dan boleh keluar dengan mudah dari situ." Tok Imam Ngah mencelah.

"Hmm..mana dia pergi ek" Kudin pula menggaru kepala. Teringat kata-kata Puan Karina yang ingin bertemu Chad dan ibu Chad, Zaidah untuk meminta maaf. Sekarang

ini, dia tidak tahu ke mana Chad menghilang tetapi yang pasti bukan di perkampungan bunian itu lagi.

"Sekarang ni, kita kena tolong Senah dulu. Baju kebaya merah itu mesti ditemui." Jai mengingatkan Kudin.

Kudin turut mengangguk.

"Esok, tok nak pulang ke kampung. Bimbang kalau jadi apa-apa pada Senah." Tok Imam Ngah menyatakan niatnya pada Kudin.

"Boleh tok, saya pun nak balik juga. Kau macam mana Jai" Kudin pandang Jai, dia tahu lelaki itu sibuk dengan kerjanya di Bukit Aman.

"Hmm..boleh ke aku ikut Aku nak tidur kat mana Kat kampung tu, aku dah tak ada sesiapa lagi. Mak dan ayah aku sudah meninggal. Aku pulak anak tunggal." Jai senyum hambar. Dulu, dia pulang ke kampung kerana rindukan suasana kampung tempat kelahirannya dan dia menumpang di rumah saudara sebelah ibu.

"Kau ni. Rumah nenek aku kan ada!" Kudin senyum.

"Segan la. Kan ada adik dan mak tiri kau ada sekali." Jai sengih.

"Mereka dah datang KL la. Kuyah sudah tinggal di rumah Kusha." Kudin sengih lagi.

"Oh..kalau macam tu, okey la. Lagipun, aku sedang habiskan cuti aku ni. Ada tiga hari lagi. Selepas operasi tu berjaya, aku dibenarkan mengambil cuti." Jai sengih lagi.

"Okey, esok kita sama-sama balik." Kudin turut senyum. Dia hulur cawan kopi panas kepada Jai dan Tok Imam Ngah.

"Oh ya, kes Jo macam mana" Kudin baru teringat hal Jo.

"Sekarang ni sedang dalam perbicaraan. Nampaknya Jo terpaksa jalani hukuman juga tapi tak lama kerana dia banyak memberi maklumat pada pihak polis sebelum diberkas. Keputusan mahkamah mungkin esok atau lusa. Taiko Chong dan mana yang menjadi tahanan tu, dijatuhkan hukuman setimpal. Taiko Chong dihukum 20 tahun penjara mengikut Seksyen 2, Akta Anti Pemerdagangan orang dan Akta Penyeludupan Migran 2007. Kes sindiket ni sudah lama di Malaysia ni. Malah ianya menjadi satu jenayah tertua di dunia. Di mana-mana negara ada isu ni. Isu pemerdagangan orang ni wujudnya eksploitasi dan paksaan terhadap mangsa." Jai menerangkan serba sedikit tentang kes itu.

Kudin menganguk-angguk.

"Okey lah. Aku minta diri dulu.." Jai mula bangun dan minta diri untuk pulang ke rumah bujangnya.

Dia bersalam dengan Kudin dan Tok Imam Ngah. Sempat Kudin berbisik kepada Jai tentang Ana Dahlia. Jai hanya senyum hambar