bersalaman tadi, aku terus minta diri ke dapur untuk mengambil minuman. Sebenarnya sebagai taktik untuk mengurangkan rasa gementar.
Mujur Datin Natasha tidak menghalang. Kak Zila pula sudah naik ke tingkat atas. Sengaja memberi kami ruang untuk berbicara lebih privasi.
Erm, sedap. Datin Natasha memuji. Gelas yang berbaki separuh diletakkan ke atas meja semula.
Aku pamer senyuman manis yang rasanya seperti kurang gula.
You mesti terkejut saya datang ni, kan
Haruslah aku terkejut, tapi tak kan nak cakap pula.
Erm, tak adalah macam tu. Cuma, maaf sebab saya tak prepare apa-apa pun. Aku tergelak kecil.
Nampak sangat tidak ikhlas.
Datin Natasha ketawa pendek.
Nak prepare apa pula Bukannya saya datang nak meminang. Cuma nak kenal. Kata-kata Datin Natasha buat aku terkedu. Makin tidak keruan dibuatnya. Saya tak ingat you sangat, tapi kita pernah jumpa ke Datin Natasha menyoal dalam nada yang sedikit berlagak kukira.
Aku berfikir dalam lima saat sama ada hendak jujur atau tidak, Pernah Datin. Jujur yang kupilih.
Datin Natasha kerutkan dahinya. Lama wajah aku ditelitinya. Bagai sedang cuba mengingat pertemuan kami. Kemudian tangannya disilang ke dada.
Kita jumpa dekat mall. Masa tu saya dengan Niel dan dua orang housemates saya pun ada sekali. Akhirnya aku mengalah. Tidak rela berada dalam keadaan kekok ini lebih lama. Pastinya aku akan sentiasa ingat pertemuan pertama kami. Ketika itu Niel nampak terganggu setelah terserempak dengan ibu tirinya.
Erm, you mesti tahu Niel tak suka saya, kan
Soalan apakah ini Jawapan apakah yang harus kuberi
Bukan tak suka Datin, cuma mungkin dia belum Aku termati kata. Tak tahu ayat apa yang sesuai digunakan.
Belum terima saya sebagai sebahagian keluarganya Dah lima tahun saya kahwin dengan daddy dia. Berapa lama baru dia nak terima saya Bukan saya tak usaha. Macam-macam dah saya buat. Letih pun ada. Terkejut aku mendengar luahan Datin Natasha. Nampak ada riak kesal di wajahnya. Dia tunduk, matanya merenung tepat pada gelas jus oren. Aku cuba mencari maksud di sebalik wajahnya itu. Apa pula tujuan dia mencariku di sini Makin berselirat wayar dalam kepalaku ini.
Maaf, saya teremosi pula. Entahlah tiba-tiba rasa nak luahkan. Tak ada niat pun saya nak burukkan anak tiri sendiri. Lain pula yang keluar.
Dahiku mula berkerut. Jantung mula berdegup kencang. Akankah sesuatu yang buruk bakal disampaikan oleh Datin Natasha
You mesti ingat saya ni perempuan gedik yang seksi dan juga pisau cukur. Seronok habiskan harta suami yang kaya. Kahwin sebab harta sematamata. Wah, banyaknya panggilan negatif yang terkeluar dari bibir Datin Natasha. Tidak berkelip aku memandangnya.
Tak, Datin. Saya tak pernah anggap macam tu. Niel pun tak pernah cakap benda buruk macam tu pasal Datin. Aku menidakkan. Perlu juga menjaga hati wanita ini. Tetapi seingatku Niel memang tak pernah burukkan dia. Niel hanya luahkan rasa tidak puas hati pada ibu tirinya ini. Tak pernah pula dia mengumpat atau mengata Datin Natasha.
Tapi, aku adalah juga bersangka macam tu. Banyak sangat drama kisah mak tiri jahat nak kikis harta suami yang kaya dan berusia. Sempat pula aku menyambung dalam hati. Ah, jahatnya aku!
Memang saya suka berbelanja mahal. Tapi, sebab abang mampu. Dia beri saya duit belanja dan kad kredit. Bukan saya yang minta. Datin Natasha menyambung luahannya.
Aku agak abang ialah Datuk Darius.
Saya ni berasal dari keluarga yang susah. Jadi bila diberi peluang untuk hidup senang, saya terus ambil peluang tu. Lamaran abang terus saya terima. Mulanya memang saya gembira sebab dapat anak tiri. Masa tu Niel di tingkatan 3. Kali pertama saya jumpa dia, saya ingat lagi dia terus jerit dekat muka saya yang dia tak suka saya. Kemudian dia lari dan menangis. Sampai ke hari ni, tak pernah sekali pun kami dapat berbual dengan baik. Saya tahu dia tak suka cara saya. Seksi, gedik, boros. Tapi, macam mana saya nak ubah semua tu Ini diri saya sendiri. Makin panjang luahan hatinya.
Aku mendengar dengan teliti. Cuba memahami dari sudut seorang wanita. Memang ada salah dalam cara Datin Natasha, tapi niatnya untuk menjalin hubungan baik dengan Niel tak boleh kusangkal.
You mesti pelik kenapa saya luahkan semua ni. Macam tak ada kaitan. Saya cuma tak nak you salah faham dengan saya. Saya nak Niel bahagia. Dan saya tahu bahagia Niel disebabkan you.
Lama aku merenung wajah Datin Natasha saat itu semua terluah di bibirnya. Entah kenapa aku dapat lihat keikhlasan di sebalik raut wajah jelitanya. Dia tersenyum nipis ke arahku.
Sebenarnya saya tak tahu sangat kisah you dan Niel. Tapi, abang ceritakan pada saya. Mungkin abang memang nak luahkan pada seseorang. Dia rasa ini semua satu masalah. Dia takut you
Perempuan yang hanya mahukan harta keluarga Niel Aku terus memotong ayatnya.
Saya minta maaf bagi pihak abang. Lembut sekali suara Datin Natasha.
Datin tak salah apa-apa. Tak salah pun apa yang Datuk buat. Dia cuma nak lindungi Niel. Suaraku mendatar. Kedengaran sedikit kesal.
Saya janji saya akan tolong you. Saya cuba pujuk abang ya Tanganku tiba-tiba diraihnya. Kemudian diusapnya pula.
Aku pamer senyuman nipis sebelum membalas.
Tak perlu Datin. Jangan susahkan diri. Andai sudah tertulis jodoh untuk kami, Allah pasti lembutkan hati Datuk. Lagipun, antara saya dan Niel masih terlalu awal. Bukan ada hubungan serius. Cukup sekadar kenalan yang ada talian perasaan. Keluarga saya sendiri masih belum tahu tentang ini. Jujurnya kami bukan pasangan kekasih dan saya memang tak mahu ada status itu, begitu juga Niel. Aku makin selesa untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.
Memang kalau dah jodoh tak ke mana. Tapi, kita perlu juga usaha, kan Soalan Datin Natasha kubalas dengan senyuman sahaja. Tak tahu hendak kata apa.
Mula-mula saya macam serba-salah nak jumpa you. Tapi, bila dah jumpa you ni, saya lega. Niel buat pilihan yang tepat. Cantik orangnya dan baik, puji Datin Natasha tiba-tiba. Sudah gaya mak-mak orang pula caranya.
Saya tak layak untuk dapat pujian tu, sangkalku sambil menggeleng perlahan.
Dan juga humble. Pipiku pula yang dicuit.
Terima kasih Datin sebab sudi datang jumpa saya. Saya betul-betul tak sangka dengan pertemuan ni. Datin rupa-rupanya seorang yang baik. Alamak, usai diluahkan baru aku sedar mulutku yang terlepas brek. Wajahku sedikit berkerut. Bimbang Datin Natasha salah faham.
Dont judge a book by its cover. Orang cepat sangat menghukum seseorang. Saya tak maksudkan you. Tapi, orang lain. Ramai dah yang mengata, mengutuk saya. Tapi, saya malas nak layan. Datin Natasha jongketkan bahunya. Aku jadi lega sedikit melihat riak wajahnya yang masih selamba.
Yang penting hati kan Datin. Saya akan cuba yang termampu untuk buat Niel terima Datin, tawarku.
Saya tak minta you balas pertolongan saya. Tak apa, tentang saya dan Niel itu cerita lain. Yang penting sekarang cerita you, Niel dan abang. Lagi satu, tak perlulah panggil saya Datin. Natasha lebih selesa. Atau Tasha lebih pendek. Datin Natasha tergelak kecil di hujung ayatnya.
Boleh ke Aku kerutkan kening.
Kenapa tak boleh Saya pun manusia biasa juga.
Saya panggil Kak Tasha, boleh Aku lebih selesa memanggilnya kakak. Memang dari dulu sudah menjadi kebiasaanku untuk memanggil seseorang itu kakak walaupun hanya tua setahun dariku.
No, you cant. Kata-kata Datin Natasha buat dahiku berkerut sejuta.
Silapkah apa yang aku cakap Atau dia tak suka orang memanggilnya kakak. Terasa macam tua barangkali.
Sebab umur kita sama, sambung Datin Natasha dan aku pula dari berkerut dahi jadi ternganga luas.
PINTU pagar kutolak. Namun belum sempat kaki melangkah keluar, mataku menangkap sebuah kotak kecil di atas cermin kereta. Berkerut dahiku sambil melilau ke sekeliling. Gagal mencari jawapan jadi aku melangkah perlahan ke Irizku.
Kotak kecil hijau kucapai. Dengan teragak-agak aku tarik penutupnya. Tapi, belum sempat penutupnya kubuka aku menggeleng laju. Entah-entah ada benda tak elok dalam ni. Ish, mengarut sungguh kotak 4cm x 4cm ini mengandungi sesuatu yang tidak elok.
Galaxy A tiba-tiba menjerit minta diangkat. Terkejut aku dibuatnya. Tertera Daniel Izdihar di skrin. Spontan bibirku menguntum senyuman, namun tidak lama. Hati cepat kembali sedar. Jangan sibuk lalai dengan perkara sebegini.
Assalamualaikum. Selamat pagi. Skema sedikit nada suaraku kedengaran.
Walaikumussalam dan selamat pagi juga. Dah, jangan buat muka cicak panik tu. Buka aje dulu kotak tu, tengok isinya.
Terkejut aku apabila Niel terus menyuruh. Dia ada menyorok dekat-dekat sini Boleh pula tahu muka takut aku tadi. Tapi, cicak panik itu memang kelakar.
Pertama kali dengar Niel gunakan perumpamaan ini.
Apa ni Soalku sambil mata terarah pada kotak hijau semula. Malas hendak mencari Niel.
Buka dulu. Permintaan Niel kuturuti. Wah, ternganga sekejap aku saat terlihat charms Pandora berwarna hijau laut yang menjadi isinya.
Cantiknya. Terus aku memuji sambil mengeluarkan bead itu.
Mewakili bulan kelapan. Jangan lupa letak dekat kawan-kawan dia yang lain. Okeylah, saya pergi kolej dulu. Assalamualaikum. Belum lama berbual di talian, Niel sudah mahu undur diri. Jujurnya aku rasa sedikit kecewa.
Waalaikumussalam. Tetap kujawab dan talian terus Niel matikan. Lajunya letak panggilan. Mungkin bimbang terlewat ke kolej.
Kolej Oh, sebenarnya hingga ke saat ini aku masih belum tahu Niel ambil jurusan apa dan sudah semester berapa. Nantilah tanya Niel. Dari sibuk fikir tentang itu, lebih baik aku pergi kerja. Bimbang aku pula yang terlewat.
CHUPPP! Bulan depan, kan majlis kahwin anak mak cik yang rapat dengan Sha tu
Tiba-tiba Kak Zila bertanyakan majlis Inayah. Memang ada aku maklumkan tentang hal ini beberapa hari yang lepas.
Sengaja ajak teman-teman serumahku lebih awal. Bimbang mereka ada agenda lain pula nanti. Sudah sampai masanya aku kenalkan mereka dengan Mak Cik Ruqayyah.
Ya akak. Jadi tarikh tu akak book terus ya Tak sabar nak kenalkan akak dan Miza dengan Mak Cik Ruqayyah. Kad nanti dah siap cetak, Sha bagi. Bersungguh-sungguh aku mengajak. Senyuman lebar kupamer.
Wah, Sha jadi orang penting ya untuk majlis tu. Ke jadi pengapit nanti Kak Zila tersengih lebar.
Tak adalah akak. Tak mahulah jadi pengapit. Orang kata kalau jadi pengapit nanti lambat kahwin. Aku kerutkan hidung sambil menggeleng. Walhal, baru lagi aku jadi pengapit Munirah.
Ish, tengok tu mengarut aje. Jodoh tu di tangan Allah. Bukan sebab jadi pengapit atau tak jadi pengapit. Kak Zila sempat mencuit hidungku.
Alah Sha main-main ajelah kakak sayang. Okeylah nak naik tidur dah. Mengantuk. Aku buat isyarat tangan menutup mulut sebelum berdiri.
Sambil mendaki anak tangga, tanganku sempat mengusap Pandora di tangan. Pemberian Niel ini memang kujaga dengan baik dan sentiasa kupakai. Seminggu yang lepas genap ada lapan tanda kenangan kami pada Pandora.
Rasa tidak sabar pula untuk tahu apa tanda yang kesembilan. Bukanlah aku mata duitan sangat, tetapi entahlah Pandora ini bagai menjadi salah satu talian hati kami.
Losyen kusapu ke seluruh tangan. Baru sahaja hendak meletakkan losyen kembali ke atas meja, deringan Galaxy A membantutkan aktivitiku. Mata mengerling skrin dan Private Number yang tertera. Dahiku berkerut serentak dengan tangan mencapai Galaxy A. Tanpa membuang masa, terus simbol hijau kusentuh.
Hello, aku terus menyapa. Hendak bagi salam, bimbang si pemanggil bukan orang Islam.
Hello, Aliya Shaqina. Suara itu membalas. Dadaku terus berombak kencang. Bagai dipalu. Terasa ada sesuatu yang terus mengganggu ketenangan hatiku. Mataku membulat saat mendengar apa yang dibicarakan oleh si pemanggil.
SKRIN Galaxy A aku tenung sekali lagi ketika sudah berada di hadapan pintu masuk di restoran mewah ini. Tiada apa-apa pun di skrin yang hitam ini. Tapi, entah kenapa aku rasakan cara ini mampu mengurangkan sedikit gusar yang sedang mengganas dalam dada.
Miss, ada apa-apa boleh saya bantu Tegur seseorang.
Aku terus mendongak dan kelihatan seorang pelayan lelaki sedang membuka pintu. Senyuman dihadiahkan padaku. Aku balas dengan senyuman nipis yang pastinya tersangatlah tawar. Kaki kanan kuhayunkan ke dalam restoran. Nafas panjang kutarik perlahan. Mata kupejam 2 saat sebelum melangkah.
Miss cari siapa ya Pelayan tadi tergesa-gesa menyaingiku. Banyak betul protokol bagi restoran mewah seperti ini. Macamlah aku tidak boleh cari sendiri.
Nama orang yang ingin kutemui aku sebut dan pelayan itu mengangguk sambil tersenyum. Dia terus membawaku ke tempat yang sudah ditempah. Ianya sebuah bilik di dalam restoran mewah. Dadaku makin sesak saat pelayan itu mengetuk pintu beberapa kali dan kedengaran suara di dalam menyuruh masuk. Sekali lagi aku pejamkan mata menanti pintu dibuka.
Aliya Shaqina, jemput masuk. Datuk Darius terus mempelawa. Tidak tahu samada ianya ikhlas ataupun tidak. Paling tidak kusangka ialah Natasha turut berada di sebelahnya.
Adakah ini petanda baik Adakah Natasha telah berjaya memujuk Datuk Darius Jujur, aku rasa sedikit lega walau masih belum tahu tujuan pertemuan ini.
Kakiku melangkah menghampiri mereka.
Duduk. Permintaan Datuk Darius kuturuti.
Sempat aku kerling Natasha sambil tersenyum. Dibalas dengan senyuman nipis oleh Natasha.
Saya tak mahu buang masa kita. Cepat saya nyatakan tujuan saya, cepat kita boleh makan dan cepat awak boleh balik. Lagipun awak mesti dah penat dengan kerja-kerja di ofis. Laju dan padat sekali katakata Datuk Darius.
Aku hanya mampu mengangguk. Ya, memang aku agak penat kerana tamat waktu kerja tadi, aku terus bergegas ke sini. Semuanya berlaku cukup pantas kerana lewat malam tadi Datuk Darius menghubungiku dan meminta kami bertemu petang ini.
Hari ni saya nak tawarkan awak sesuatu yang awak tak jangka. Yang mungkin sangat sukar untuk awak dapat seumur hidup awak. Agak tegas suara Datuk Darius.
Mindaku mula ligat memikirkan tawarannya ini. Adakah ianya restu untuk kisahku dan Niel Jantungku mula lari marathon. Tak mampu duduk diam. Aku telan air liur dan terasa cukup kelat. Tangan di atas riba kugenggam kemas dan wajah kutundukkan sedikit.
Dari lirikan mata aku seakan dapat melihat Datuk Darius meletakkan sesuatu di atas meja. Perlahanlahan aku mendongak dan mataku mengecil saat terarah pada sesuatu yang kelihatan seperti kertas. Perlahan-lahan ianya ditolak mendekat padaku. Saat itulah aku dapat memastikan ia. Cek!
Lima ratus ribu untuk awak tinggalkan Niel. Dan, kalau awak tetap pilih nak terus dengan Niel, jangan harap Niel akan dapat satu sen pun harta saya andai awak berdua kahwin. Kata-kata Datuk Darius berserta senyuman sinis. Jantungku bagai dipantak dari dalam.
Bibirku bergetar menahan segala rasa yang membuak. Sungguh aku terkejut dengan ini semua.
Pandanganku terarah pada Datuk Darius. Sedikit tajam kali ini dan sempat aku menoleh pada Natasha. Dia sedang tunduk. Barangkali takut untuk bertentang mata denganku.
Apakah ini sebahagian rancangannya Apakah pertemuan kami di rumah sewaku hanya lakonan semata-mata. Selama ini aku dengan mudah dimainkan begitu sahaja. Terasa diri ini cukup bodoh kerana terlalu mudah percayakan orang. Mata kupejam rapat dengan kuat dan nafas panjang kutarik sebelum membalas.
Kalau ikut macam dalam drama mahu pun novel, pasti heroin akan pilih hero dan mereka hidup bersama tanpa satu sen pun harta keluarga. Tapi, saya tak mahu kisah saya dan Niel jadi macam tu. Saya tak mahu lima ratus ribu. Saya nak lebih dari apa yang Datuk tawarkan ni, luahku sambil menolak cek dekat kepada Datuk Darius semula. Suaraku sedikit bergetar dan tanganku juga jelas menggigil saat cek ditolak.
Sungguh kali ini hatiku benar-benar jadi tamakkan sesuatu. Satu senyuman nipis sempat aku lemparkan. Membulat juga mata Datuk Darius melihat reaksiku.
Aku tekad untuk meluahkan apa yang tiba-tiba terlintas di benakku. Apa nak jadi, jadilah. Aku sudah tidak mampu untuk melalui semua ini.