TRAVELOG FAGHUZI - 33
Kehidupan yang biasa kini kembali dilalui seperti biasa. Sudah seminggu menjejakkan kaki ke tanah air. Masih lagi menganggur dan masih lagi meratapi pengembaraan yang telah berakhir. Suasana cukup berbeza. Mungkin kerana ini kali pertama aku mengembara untuk tempoh yang panjang. Tidak panjang mana pun kalau sebulan sebenarnya.

Mak dan abah juga masih seperti dahulu.

Kepulanganku tetap dinanti mereka walau bagaimanapun selisih faham yang berlaku. Lepas ni akan berlaku lagi. Rakan-rakanku pula membahan aku kerana kulit sudah hitam legam. Malah ada yang bergurau dengan mengatakan aku ini pendatang tanpa izin.

Di samping itu tergeliat juga aku cuba berbahasa Malaysia kembali. Teringat ketika sampai di LCCT di mana aku bertanya sesuatu kepada pegawai imigresen wanita dalam bahasa Indonesia. Sudah terbiasa bertanya dalam bahasa Indonesia ketika mengembara sehingga terbawa-bawa ke tanah air. Terus dia menyangka aku orang Indonesia yang memegang pasport curi Malaysia. Mujur dia bergurau saja. Kalau serious, dah jadi cerita lain pula.

Haeri khabarnya kembali bekerja seperti biasa di tempatnya. Baru sehari kembali bekerja dia sudah cuti sakit keesokannya. Kerjanya berlambak di ofis. Maklumlah, dia dah meninggalkan pejabat untuk tempoh sebulan, pastilah banyak kerja-kerja tertangguh bakal menemani hari-harinya di ofis pasca pengembaraan. Katanya dia migrain dan kerana itu dia cuti sakit. Haha!

Pengembaraan ini juga membuatkan aku lebih mengenali erti sebuah kehidupan. Setiap pahit dan manis ketika mengembara aku telan dan hadam sebaik mungkin. Terlalu banyak pengajaran. Pertemuan dan perpisahan sudah menjadi adat resam kehidupan. Sesekali aku terfikir untuk menjadi seorang yang tiada perasaan. Mungkin mudah aku lalui kehidupan ini. Tapi bila kau mahukan sesuatu yang manis perlulah melalui setiap kepahitannya. Setiap keperitan yang ditempuh akan membuatkan manis itu lebih terasa malah lebih dihargai sebaik mungkin. Kehidupan mengajar kita tidak menjadi seorang yang bodoh sombong. Berbaktilah kepada masyarakat dan segala hidupan di dunia kerana bukan kita sahaja yang menumpang hidup di dunia ini. Setiap pengalaman dijadikan pembelajaran yang berguna. Ianya sebuah pembelajaran yang aku tak mungkin dapat ketika di universiti mahupun sekolah.

Jangan dibutakan hati ini dari dunia realiti. Tempuh segalanya, tidak kira pahit atau tidak realiti sesebuah kehidupan. Nescaya, pasti akan ada kemanisannya untuk dinikmati suatu hari nanti. Kejayaan pengembaraan ini hanya membuatkan keinginan aku untuk mengembara semakin membuak-buak. Aku pasti akan mahu terus menjelajahi setiap pelosok dunia jika diizinkan. Kehidupan ini adalah sebuah pengembaraan dan pembelajaran yang berterusan. Selagi bernyawa, selagi itu kita belajar. Hanya ajal yang bisa menamatkan pengembaraan dan pembelajaran kita. Jangan pernah takut untuk belajar dan meneroka dunia yang terbentang luas ini. Dunia yang luas ini sia-sia diciptakan jika kita tidak mengambil kesempatan untuk mengenalinya di kala masih bernyawa.

Pada waktu ini menghadap lautan luas di Pantai

Kelanang, Banting bersama laptop, aku bersandar di kerusi kereta. Sambil menghirup air Nescafe tin dan sebatang rokok tersepit di bibir, jari-jemariku cuba menaip susunan perkataan untuk aku siapkan sebuah buku. Buku yang entah bagus entah tidak. Mengenai pengembaraan aku ke Indonesia. Pengembaraan pertama untuk tempoh yang lama malah memang ini pasport pertama dalam hidup aku dan mungkin bakal memangkin kepada pengembaraan seterusnya. Di kala aku cuba menyiapkan manuskrip ini, perasaan malas melanda. Baru dua helai muka menaip, dah malas.

Dalam kemalasan aku bersandar ke kerusi sambil menghembus asap rokok ke udara. Terdengar juga kicauan burung yang tidak dapat dipastikan daripada spesis apa. Aku menutup laptop dan keluar dari kereta. Pintu kereta ditutup dan aku menggeliat. Angin bertiup di tepi pantai. Menoleh juga aku sekali-sekala ke kiri dan kanan. Tak ramai orang.

Ada seorang pelancong luar berjalan tidak berapa jauh dari aku. Seorang gadis. Ia seakan bercirikan seorang yang aku kenali. Seakan seorang yang memang aku rindu dan dambakan. Tiba-tiba kelihatan beg duitnya tercicir. Aku tergamam. Adakah peristiwa lama akan berulang kembali Aku terpaku memerhatikannya dari jauh. Mulut pula seakan mendesak aku meluahkan apa yang ingin diluahkan. Segera aku berlari mendapatkan beg duitnya dan mengejar.