AYAH EDY PUNYA CERITA - 34
Siapa yang tidak kenal Albert Einstein, sang genius Fizik penggagas teori relativiti. Mungkin sebahagian besar kita semua belum mengetahui seperti apa Einstein sewaktu kecil dan seperti apa ketika dia bersekolah. Semoga dengan mengetahui masa kecilnya, kita boleh mendapatkan pelajaran.

Einstein, seperti juga anak-anak lainnya adalah anak yang pada masa kecilnya biasa-biasa sahaja, bahkan cenderung sebagai anak yang bermasalah dengan sekolah. Einstein adalah anak yang suka membangkang waktu bersekolah. Dia sering tidak mengikuti perintah gurunya, melainkan hanya mahu mengerjakan apa yang dia sukai, iaitu yang berhubungan dengan muzik, membaca bukubuku sains, dan belayar.

Einstein kecil tidak mahu belajar jika dia tidak suka dengan pelajarannya. Oleh kerana itu, dia sering ponteng pada pelajaran bahasa, sastera, dan melukis. Dia ponteng untuk melakukan aktiviti yang disukainya tadi. Hingga pada akhirnya Einstein tidak berhasil lulus sekolah menengah melainkan hanya mendapat keterangan pernah bersekolah menengah dari pihak sekolahnya.

Berbekal surat keterangan tersebut dia nekad masuk ke sekolah menengah atas. Sebahagian besar sekolah yang didatanginya menolak, tetapi Einstein dan ibu bapanya tidak pernah patah semangat untuk terus mencuba hingga akhirnya ada sekolah yang menerimanya.

Ketika berada dalam sekolah menengah atas, kelakuannya masih sama sahaja, tidak pernah berubah. Dia hanya suka pelajaran Matematik dan Fizik sahaja. Jadi, Einstein masih sering ponteng pada pelajaran-pelajaran yang tidak dia sukai, sampai akhirnya dia kembali dinyatakan sebagai anak yang tidak tamat sekolah menengah atas. Untuk kedua kalinya dia dinyatakan gagal di sekolah. Namun hebatnya, ibu bapa Einstein tetap menyokong anaknya untuk terus berusaha melanjutkan sekolah, bahkan ikut membantu dengan berbagai cara agar anaknya boleh terus bersekolah.

Meskipun Einstein tahu dia tidak tamat sekolah menengah atas dan tidak pernah punya ijazah, dia tetap berani melamar ke institut pengajian tinggi. Nekad benar ya, tetapi kalau bukan nekad dan keras kepala, bukan Einstein namanya.

Tahun 1895, dia memohon masuk ke Politeknik Federal, Zurich, Switzerland. Namun sayang, dia gagal saat ujian masuk dan menurut sekolah tersebut usianya masih terlalu muda. Lalu dia diminta menamatkan pengajian di sekolah atasnya terlebih dahulu, setelah itu baru memohon lagi dan akhirnya diterima sebagai mahasiswa di Politeknik Federal, Switzerland.

Tahukah anda, setiap kali ditanya tentang ijazahnya, Einstein dengan tegas mengatakan bahawa dia tidak pernah punya ijazah, tetapi kemampuannya boleh diuji. Ya, terutama di bidang Matematik dan Fizik. Ketika itu, kedua pelajaran itu memang sangat penting.

Kemudian setelah lulus, Einstein kembali ke negara asalnya, Jerman. Dia mengkritik sistem pendidikan di Jerman yang menurutnya banyak menghambat potensi unggul seorang anak. Dia juga banyak berbeza pandangan dengan pihak berkuasa Akademik di Jerman sehingga pada akhirnya dia memilih untuk tidak menjadi warganegara Jerman. Peristiwa ini terjadi ketika Einstein berusia 20 tahun. Einstein lalu mencari negara neutral yang memberikan kebebasan warganegaranya untuk berekspresi. Akhirnya pilihannya jatuh kepada Switzerland. Namun, kerana Perang Dunia Kedua, dia berasa terancam oleh Nazi di Switzerland, lalu memohon kewarganegaraan Amerika Syarikat. Hingga akhir hayatnya dia memiliki dua kewarganegaraan, iaitu Switzerland dan Amerika Syarikat.

Kalau kita perhatikan, ciri-ciri Einstein ini mirip sekali dengan anakanak yang cenderung dominan pada otak kanannya. Pertama, dia tahu apa yang dia mahu dan dia juga tahu apa yang dia tidak mahu. Kedua, dia hanya mahu mengerjakan apa yang dia mahu dan jika dipaksa dia cenderung akan melawan atau menghindar. Ketiga, dia sangat fokus untuk mencapai apa yang dia mahu hingga akhirnya dia menjadi ilmuwan besar dunia pada abad ke-20.

Apa kira-kira hikmah dari kisah ini Mungkin ada beberapa, di antaranya adalah:

Pertama, penting bagi kita semua, ibu bapa dan guru, untuk belajar memahami potensi unggul yang dimiliki oleh setiap anak. Kedua, kita tidak boleh lagi memaksa anak untuk berjaya di semua bidang pelajaran dan melupakan kemampuan unggulnya. Selanjutnya yang ketiga, anak yang gagal dalam ujian bukan bererti dia gagal dalam kehidupan. Boleh jadi, justeru soalan-soalan ujiannyalah yang keliru untuk menilai potensi unggul anak-anak kita.

Silakan anda cari sendiri jika masih ada hikmah lain di balik kisah ini.

Anak yang gagal di ujian bukan bererti dia gagal di kehidupan. Boleh jadi justeru soalan-soalan ujiannyalah yang keliru untuk menilai potensi unggul anak-anak kita.