SUDAH dua bulan Kudin kembali ke KL. Lega bila semuanya sudah berakhir. Tiada lagi gangguan dari gadis kebaya merah. Jai sudah menghubungi waris Hanim dan menyerahkan baju kebaya merah itu kepada waris tersebut. Jai pula sibuk dengan tugasnya di Bukit Aman. Begitu juga Ana Dahlia yang turut sibuk dengan tugas yang sentiasa tidak pernah habis. Kudn melemparkan senyuman, baru semalam dia berjumpa dengan Jai dan Ana Dahlia di Restoran Cinta Sayang. Mereka hanya berbual biasa dan tidak langsung menyentuh soal hati. Bertambah akrab persahabatan mereka bertiga. Chad pula sampai sekarang tidak pernah berjumpa. Jo masih di dalam penjara. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun dan kini dia sudah merengkok dalam penjara, sudah hampir setengah tahun.
Semalam, Kudin membawa Puan Karina berjumpa mak Chad, Zaidah di hospital. Sebak melihat mak Chad yang sudah tidak normal seperti dulu. Memang patut Chad menaruh dendam pada Puan Karina namun takdir Allah mengatasi segalanya. Puan Karina sudah mengaku salah dan ingin menebus kesalahannya. Puan Karina mengupah seorang jururawat khas menjaga mak Chad di hospital itu. Dua bulan lagi, dia sekeluarga akan menunaikan umrah.
"Apa yang abang menungkan tu"Kuyah muncul di muka pintu pejabat Kudin.
"Bila Kuyah masuk Tak dengar pun pintu diketuk" Kudin betulkan duduknya. Tadi dia bersandar di kerusi sambil mata memandang siling.
"Kalau dah mengelamun macam tu, ketuk dengan batu pun tak akan dengar. Abang rindukan kak Ana ke" Usik Kuyah. Dia menapak ke meja Kudin.
"Hish..mana ada. Abang teringat kat Chad. Ke mana dia menghilang..sampai sekarang tak jumpa." Kudin sengih. Dalam hati dia sebenarnya rindu pada gadis itu.
"Abang Chad ke mana sebenarnya" Kuyah turut bingung.
"Entahlah..kasihan mama, dia nak sangat jumpa Chad sebelum dia ke Mekah." Kudin pandang Kuyah yang kelihatan cantik dengan baju kurung dan tudung shawl melilit di kepala. Sudah pandai bergaya adik aku ni. Sejak Kuyah bekerja semula di TM Holdings, Kuyah dilihat sudah pandai bregaya dan masih menutup aurat dengan sempurna.
"Kusha mana" Kudin panjangkan leher ke luar bilik pejabatnya.
"Ada dalam bilik dia la..macam biasalah..berlagak tak habis minah tu.." Kuyah sengih.
"Abang...sebelum ke Mekah ni, Kuyah ada hal penting nak beritahu. Minggu depan, ada orang nak masuk meminang." Kuyah berkata dengan malu-malu.
"Meminang Pinang siapa Nenek" Gurau Kudin. Dia ketawa mengekek. Nek Tom sudah lama berada di rumah Puan Karina. Puan Karina sendiri yang mengajak nenek tiinggal dengannya di KL. Tak sangka, nenek bersetuju.
"Ish abang ni! Pinang Kuyah la!" Kuyah turut gelak.
"Siapalah yang bertuah tu" Kudin senyum lagi. Oh..dalam diam adik aku ni sudah nak jadi isteri orang..
"Nanti abang kenal masa hari bertunang nanti." Kuyah mula bangun dan keluar dari bilik Kudin.
Kudin masih meneka siapa gerangan lelaki yang berjaya mencuri hati Kuyah. Telefonnya berdering kuat. Dia segera menjawab. Lama dia berbual di talian. Panggilan dari gadis yang dicintai itu sedikit sebanyak hilang rindunya pada gadis itu selama ini. Walaupun sekadar berkawan, dia tetap menaruh harapan agar gadis itu membalas cintanya satu hari nanti.
ANA DAHLIA letak gagang telefon. Dia menopang dagu. Perbualannya dengan Kudin diputar kembali di benaknya. Tak pernah putus asa lelaki itu mengharap cintanya. Dia pandang pula foto Jai yang sama-sama berkursus dengannya di Port Dickson dulu. Wajah Jai ditatap seketika. Sampai sekarang, Jai tidak pernah menyentuh soal hati bila mereka bersua atau kebetulan ada kursus bersama. Hanya berbicara soal kerja sahaja.
"Hmm..aku ni macam menunggu buah durian yang baru berputik. Nak kena jolok baru jatuh. Nak tunggu durian tu jatuh sendiri, lambat lagi la.." Ana Dahlia berkata sendiri.
"Hai..termenung nampak"
Ana Dahlia segera mendongak. Detektif Razif sudah tersenyum di depannya. Dia segera bangun dan memberi tabik hormat.
"Ni..saya nak ajak awak ke majlis saya nanti." Detektif Razif senyum lagi.
"Majlis apa tuan"
"Majlis pertunangan saya." Detektif Razif senyum lebar.
"Tu...tuan nak bertunang" Ana Dahlia sudah teruja.
Detektif Razif mengangguk. "Nanti saya beri alamatnya."
Ana Dahlia hanya melihat Detektif Razif berlalu pergi dengan wajah berseri-seri. "Dah nak nikah rupanya bos aku ni..."
RUMAH Puan Karina dihias indah. Dari laman masuk sehinggalah ke dalam rumah. Semuanya dihiasi dengan bunga segar. Puan Karina sibuk melayan tetamu yang diundang. Kusha pula masih di bilik Kuyah. Nek Tom seperti biasa, sibuk di dapur. Malu nak bersama-sama tetamu lain di ruang tamu. Sekejap lagi, rombongan pihak lelaki akan sampai.
"Mama, makanan ni dah nak hidang bufet ke makan berhidang" Kudin pandang pada lauk pauk di atas meja yang dimasak oleh nenek sendiri.
"Kita makan berhidang la. Lagipun, mak Tom yang nak macam tu untuk cucunya." Puan Karina senyum. Dia menghampiri Nek Tom yang tersengih di tepi singki, membasuh pinggan mangkuk. Ada beberapa orang jiran yang dijemput ke majlis itu.
"Nenek masak ke semua ni" Kudin tercengang. Dia lihat ada ayam masak merah, rendang daging, pecal, sambal belacan, ikan siakap masak tiga rasa dan ulam-ulaman. Tambah lagi ada gulai ayam kampung kegemarannya.
"Mana larat nenek nak masak sorang-sorang. Ada yang menolong, Karina, Kusha dan jiran-jiran ni haa.." Nek Tom pandang pada jiran Puan Karina yang dari pagi tadi lagi sudah menolong memasak semua tu.
"Kusha" Kudin terkejut.
"Kenapa Ingat Kusha ni pandai goreng telur je ke" Kusha muncul di muka pintu dapur.
Kudin pandang pula pada Kusha yang sudah tersengih di situ.
"Kenapa Tak percaya" Kusha bertanya lagi. Muka Kudin sudah beriak terkejut.
"Betul ke nek" Kudin pandang pula Nek Tom.
"Ya..tu, ikan siakap tiga rasa tu..Kusha yang masak. Ada 12 ekor semuanya tu." Nek Tom tunjuk pada ikan yang sudah siap dihidang dalam pinggan.
"Wah! Macam ni, hari-hari abang nak makan ikan siakap tiga rasa ni. Entah-entah bukan tiga rasa, sepuluh rasa ada dalam ni." Kudin ketawa mengekek. Dia mengaduh sakit bila dicubit Kusha.
"Dah..sekejap lagi rombongan pihak lelaki akan sampai. Semua barang hantaran dah siap" Puan Karina pandang Kusha yang sudah muncung.
"Sudah mama." Kusha berlalu pergi dari ruang dapur.
JAM DUA SETENGAH PETANG, kelihatan tiga buah kereta sudah menjalar masuk ke laman rumah Puan Karina. Puan Karina dan Nek Tom sudah bersedia menyambut rombongan pihak lelaki itu. Barang hantaran disambut satu persatu dan Puan Karina persilakan tetamu masuk ke rumah. Kudin yang turut menyambut kedatangan pihak lelaki mula terkejut melihat Ana Dahlia turut sama dalam rombongan pihak lelaki itu. Hampir-hampir dia tidak mengenali gadis itu tadi.
"Hmm..takkan abang Ana Dahlia kut.." Kudin garu kepala.
"Assalamualaikum.." Ana Dahlia beri salam sebaik ternampak Kudin di anjung rumah.
"Wa'alaikumussalam..awak..awak dari pihak lelaki ke" Kudin terus bertanya. Gadis itu sungguh ayu dengan baju kurung warna firus dan apa yang paling membuatnya terkesima, tudung yang melilit di kepala gadis itu.
"Ya.." Ana Dahlia senyum. Dia biarkan Kudin terpinga-pinga di situ. Dia terus masuk ke ruang tamu bersama rombongan pihak lelaki tadi.
Kudin turut menapak masuk.
Majlis pertunangan bermula. Perbincangan antara pihak perempuan dan pihak lelaki sudah mencapai kata sepakat. Pernikahan akan diadakan tiga bulan dari tarikh pertunangan. Majlis diserikan dengan marhaban dan berzanji. Tetamu pula kemudiannya dijamu dengan makanan yang sudah dihidangkan di ruang tamu.
Sebelum majlis bersurai, Kudin sempat berjumpa dengan Ana Dahlia sementara menunggu para tetamu bergambar dengan Kuyah. Dari tadi, matanya asyik melihat pada gadis itu.
"Awak cantik hari ni.." Puji Kudin.
"Hari ni saja ke" Ana Dahlia senyum.
"Sebelum ni pun cantik juga tapi hari ni cantiknya lebih lagi. Awak ikhlas ke pakai tudung" Kudin tanpa berselindung, bertanya pada Ana Dahlia.
"Kalau saya kata ikhlas, awak percaya ke Awak nampak" Perli Ana Dahlia. Soalan Kudin seperti menyindirnya.
"Memanglah tak boleh nampak. Itu hanya Allah yang tahu. Sama juga rasa hati." Kudin tunduk. Haih..susah betul bercakap dengan polis seperti Ana Dahlia ni.
"Anyway, sedap masakan tadi. Siapa masak Nek Tom kan" Teka Ana Dahlia. Sejak tinggal di rumah Nek Tom dulu, dia sudah mula suka pada masakan Nek Tom. Kena dengan tekaknya.
"Ya..kenapa Rindu pada masakan nenek ke Kalau nak selalu makan masakan nenek, jadilah isteri saya.." Selamba dek Kudin menutur kata.
Ana Dahlia terdiam. Dia tidak menjawab apa-apa.
"Oh, ya..siapa Razif" Kudin mula teringat pada bakal adik iparnya yang disebut masa majlis itu tadi.
"Dia bos saya.." Ana Dahlia menjawab perlahan.
"Apa Jadi..Razif tu..polis" Kudin menelan liur.
Ana Dahlia mengangguk. "Detektif Razif yang banyak pengalaman dalam dunia polis dan membanteras jenayah."
"Hmm...maknanya dia yang mengetuai serbuan di gudang pada malam tu" Kudin bertanya lagi.
"Tak..bukan dia. Dia sudah jadi pegawai tinggi dan dia hanya memberi arahan. Detektif Jailani yang mengetuai operasi pada malam tu." Terang Ana Dahlia, dia melihat Kudin sudah tercengang.
"Oh...hebat juga awak pada malam tu.." Kudin teringat seorang demi seorang pengawal di luar gudang itu rebah ke bumi bila ditembak penembak senyap.
"Biasa saja.." Ana Dahlia merendah diri.
"Hmm..awak dan Jai tu elok sangatlah ada jodoh. Macam cerita Mr and Mrs Smith tu!" Kudin sengih.
"Awak tak nak jadi Mr. Smith saya" Ana Dahlia pandang Kudin tidak berkelip.
Kudin terdiam. Kata-kata Ana Dahlia sungguh membuat hatinya kembali dahagakan kasih gadis itu. Is she really mean it
"Okeylah awak. Majlis pun dah selesai tu. Saya minta diri dulu." Ana Dahlia bingkas bangun dari kerusi di laman dan menapak ke arah rombongan lelaki tadi.
Kudin masih terkelu di situ. Dia hanya memerhati Ana Dahlia dan rombongan pihak lelaki meninggalkan kawasan laman rumah. Puan Karina dan Nek Tom dilihat melambai-lambai ke arah tetamu yang sudah mula pulang.
MALAM itu Kudin termenung di balkoni bilik di rumah Puan Karina. Sudah hampir seminggu dia bermalam di situ, menolong mana yang patut untuk majlis pertunangan Kuyah. Kudin pandang pada langit yang begitu terang dengan kerlipan bintang. Saat ini, kata-kata Ana Dahlia siang tadi masih lagi terngiang-ngiang di telinga. Mr. Smith
"Hmm...kalau dia betul-betul maksudkannya, aku ada peluang tapi macam mana dengan Senah Aku tak sampai hati nak lukakan hati Senah. Haih..." Kudin pandang lagi bintang yang berkerlipan di dada langit.
"Abang buat apa ni"
Kudin berpaling. Kuyah menapak ke arahnya. Dia hanya senyum. Kuyah juga turut melihat bintang di dada langit yang begitu cantik.
"Hmm..cantik kan bintang tu" Kuyah tunjuk ke arah salah satu bintang yang agak besar dari bintang-bintang lain.
"Cantik.." Kudin masih mendongak ke langit. Turut sama melihat kerlipan bintang. Terasa tenang melihat keindahan ciptaan Allah itu.
"Macam tulah juga cinta...cantik dan manis andainya ia disandarkan dengan rasa ikhlas dan kerana Allah." Kuyah menutur lembut. Matanya masih pada bintang-bintang di langit.
Kudin berpaling ke arah Kuyah yang sedang menopang dagu sambil mendongak ke arah langit. Dia hanya senyum melihat Kuyah yang sudah pandai berbicara ayat-ayat cinta. Yalah...orang berdarah manis, mungkin terasa semuanya manis.
"Hai..adik abang ni dah pandai bermadah pulak" Kudin turut menopang dagu dan meniru lagak Kuyah.
Kuyah pandang pada Kudin seketika dan mengalihkan matanya ke dada langit semula. Pertanyaan Kudin tadi tidak berjawab. Dia asyik memerhati bintang-bintang yang cantik berkerlipan.
"Abang...Kuyah dapat rasa yang abang masih menaruh harapan pada kak Ana." Kuyah mengalih pandang pada Kudin di sebelah kirinya.
"Ya..abang cintakan dia tapi dia cintakan Jai. Senah pula cintakan abang dan Jai pula cintakan Senah. Bunyi berbelit kan" Kudin jeling sebentar pada Kuyah dan kemudian mendongak semula melihat keindahan suasana malam.
"Memang berbelit!"
Serentak Kuyah dan Kudin menoleh. Kusha dilihat sudah tersengih di muka pintu bilik Kudin. Entah bila Kusha berada di situ sehingga boleh menyampuk perbualan tadi. Kusha turut melangkah menghampiri Kudin dan Kuyah di balkoni.
Kini ketiga-tiganya mendongak melihat bintang di langit. Masing-masing diam seketika. Melayan perasaan sendiri. Keindahan malam itu dinikmati bersama-sama. Kusha menarik nafas seketika dan menghembus lembut.
"Aku selalu melihat bintang-bintang tu berkerlip kalau aku ada masalah. Tenang melihat keindahan malam dan bintang tu." Kusha mula bersuara.
"Memang cantik.." Kuyah menambah.
"Abang, Kusha rasa elok abang, Jai, Senah dan Ana Dahlia bersemuka. Berbincang tentang hati dengan jujur dan ikhlas. Yang penting, berterus terang. Biar semua terang dan jelas. Sampai bila nak pendam macam ni. Kusha tengok, Ana tu macam suka pada Jai. Abang pula masih suka kat Ana tu. Kalau Kusha jadi abang, Kusha akan pilih Senah. Dari cerita Kuyah, Senah tu sudah lama cintakan abang. Cuba abang fikir, kalau abang nikah dengan Ana, abang tentu makan hati nanti. Yalah, Ana tu tak suka kat abang dan abang kena ingat, Ana tu polis dan dia pulak sentiasa berjumpa Jai atas urusan kerja. Abang tak cemburu" Kusha pandang Kudin dengan riak serius.
Kudin terdiam. Apa yang dikatakan oleh Kusha itu ada benarnya. Ana Dahlia dan Jai sama-sama polis dan selalu juga digandingkan bersama dalam operasi dan sering menyertai kursus bersama. Kalau sudah selalu berjumpa, takkan tak terdetik di hati masing-masing Sekarang ini pun, mereka berdua semakin rapat. Kadang-kadang dia merasa cemburu melihat Ana Dahlia bergelak ketawa dengan Jai.
"Entahlah Kusha..abang pun buntu bila fikir hal ni. Sekarang ni, abang tak nak fikir hal ni lagi. Biarlah masa yang menentukannya. Oh ya, dua minggu lagi kita akan ke tanah suci kan" Kudin teringat mereka sekeluarga kan menunaikan umrah selepas Kuyah selamat bertunang.
Kusha mengangguk. Kuyah juga turut mengangguk.
"Dah bersedia" Kudin pandang kedua adik perempuannya.
Serentak Kuyah dan Kusha mengangguk.
"Baiklah murid-murid, kalau dah bersedia, boleh cikgu nak buat ujian" Kudin cuba menduga.
"Ujian" Serentak lagi Kuyah dan Kusha bertanya.
"Ya, murid-murid kena jawab dengan betul. Kalau betul dan tepat, cikgu akan belanja makan, macam mana" Kudin kenyit mata.
"Okey!" Pantas saja Kusha menjawab.
"Baiklah! Apa rukun wajib umrah" Kudin pandang Kuyah dan Kusha silih berganti.
Kuyah cepat-cepat menjawab dan Kusha juga tidak mahu mengalah berebut menjawab. Soalan seterusnya diaju lagi oleh Kudin. Berebut-rebut Kuyah dan Kusha menjawab.
"Wah! Hebat anak murid cikgu ni! Okey, disebabkan betul dan tepat jawapan yang diberi tadi, cikgu akan belanja murid-murid sekalian makan masakan nenek esok pagi!" Kudin melangkah laju meninggalkan Kuyah dan Kusha sambil ketawa mengekek.
Kusha dan Kuyah saling berpandangan. Kena tipu!! Pantas juga mereka mengejar Kudin yang sudah turun ke ruang tamu. Kelihatan Puan Karina dan Nek Tom sedang bersembang di situ.
"Apa ni Macam budak-budak! Nak kena rotan ni!" Puan Karina betulkan pengalas sofa yang sudah senget benget tadi. Bantal kecil di atas sofa juga turut menjadi mangsa balingan ketiga-tiga mereka tadi.
Kudin sengih. Dia mula duduk di sofa. Kuyah dan Kusha yang sudah mengah itu juga turut duduk sekali. Mereka menjeling sesama sendiri.
"Dah! Semua ni dah boleh jadi mak dan bapak budak dah ni!" Nek Tom pula mencelah.
"Kamu Kudin, bila nak pinang semula Senah tu Hari tu tunda saja kan" Nek Tom mula menyentuh soal pertunangan Senah dan Kudin yang tidak jadi hari itu.
Kudin terdiam. Dia baru saja nak melupakan semua itu, alih-alih nenek ungkit semula cerita yang tergendala itu.
"Nek..Kudin rasa biarlah kita pergi umrah dulu. Lepas balik umrah nanti, kita bincang hal ni." Kudin sengih. Dia jeling Kusha dan Kuyah. Kusha beri isyarat pada Kudin.
"Kudin, kalau dah berkenan tu, elok teruskan saja. Lepas balik umrah, terus nikah." Puan Karina pula menyokong kata-kata Nek Tom.
Sekali lagi Kudin terdiam.
"Mama., abang Kudin sebenarnya tak suka kat Senah tu, dia suka pada Ana Dahlia." Kusha mencelah. Dia sengih. Puas bila dapat berkata begitu.
"Jadi, kalau kamu suka Ana tu, kenapa suruh nenek pinang Senah" Nek Tom pula berkerut kening.
"Nek..sebenarnya.."
"Sebenarnya abang Kudin ni tak nak lukakan hati Senah tu. Senah tu kan sudah lama sukakan abang Kudin ni." Kusha terus memotong cakap Kudin.
"Ish! Sibuk la kau ni! Biarlah abang Kudin yang bercakap." Kuyah cubit lengan Kusha.
"Sudah! Lepas balik umrah nanti, nenek nak jawapan. Ana atau Senah." Nek Tom bersuara tegas. Puan Karina turut mengangguk.
Kudin menelan liur. Dia sudah bingung. Kuyah dan Kusha juga turut bingung.