Gadis Kebaya Merah - 36
BAB 36

KUDIN sekeluarga sudah selamat sampai di Madinah. Selama sepuluh hari mereka berada di Madinah, bersolat di Masjid Nabawi, ziarah, dan menikmati suasana dan keindahan bumi Madinah. Kusha dan Kuyah tinggal sebilik. Puan Karina dan Nek Tom pula di bilik lain. Kudin tinggal seorang diri di sebuah bilik di hotel yang hanya berjalan kaki sahaja ke Masjid Nabawi.

Setiap masa yang ada kebanyakkannya digunakan untuk bersolat dan berzikir di Masjid Nabawi. Usai solat Isyak, Kudin mengajak keluarganya menjamu nasi mandi di sebuah restoran berdekatan dengan masjid. Begitulah setiap kali selepas solat Isyak. Siang hari pula, mereka akan mengikuti program ziarah.

"Abang, sedapnya nasi mandi ni. Tak payah makan lauk pun, sedap." Kuyah sengih. Dia begitu berselera mengunyah nasi Arab yang sememangnya sungguh sedap dan rasanya berlainan sekali dengan nasi arab di Malaysia.

"Eh.tengok tu! Mak ai! Larat ke habis makan tu" Kusha pula menuding ke arah seorang lelaki Arab yang sedang khusyuk menyental roti arab lima keping bersama kari kambing. Memang menimbun dalam pinggan.

"Hish! Memanglah dia orang boleh habiskan. Kan itu makanan dia orang." Kuyah pandang Kusha yang sudah terjengil melihat pak Arab itu menikmati roti sebesar pinggan malah roti itu dilihat sudah melebihi saiz pinggan.

"Dah! Makan! Tak elok mengata. Kita ni datang nak makan, bukan mengata. Ingat, mulut tu jangan celupar sangat. Kita ni sedang berada di bumi haram ni. Esok dah nak bertolak ke Mekah. Jaga mulut tu. Daripada duk bercakap yang bukan-bukan tu, kan elok berzikir." Kudin geleng. Kusha dan Kuyah memang tak pernah senyap. Ada saja yang dibualkan.

"Betul kata abang kamu tu. Kita datang nak beribadat. Ibadah bukan di dalam masjid saja. Di mana-mana pun boleh beribadah janji diniatkan kerana Allah." Nek Tom turut mengiakan kata-kata Kudin.

"Betul mak Tom, kat luar masjid tadi, bawah payung tu, ramai jemaah dari India, Pakistan dan Bangladesh yang hanya mengharap makanan dari sedekah jemaah lain saja. Mereka tu pun saya lihat macam tak berani nak campur dengan jemaah lain. Solat pun kat luar masjid, kaki lima sedangkan dalam masjid tu banyak lagi tempat kosong."

Puan Karina teringat keadaan itu setiap kali tiba waktu solat. Selalunya sejam sebelum waktu solat masuk, dia dan yang lain sudah bersiap sedia untuk ke masjid. Kalau lambat sikit, terpaksa solat di luar masjid. Masa itulah dia melihat jemaah dari negara itu lepak di kaki lima dan luar masjid. Ingatkan lepas azan, mereka akan beransur masuk ke dalam masjid tetapi tidak pula.

"Mama, kita akan jumpa bermacam ragam jemaah ni. Mana yang belajar dan tahu kelebihan solat di dalam masjid terutama di Raudhah tu, mereka akan berebut-rebut solat di situ. Berdoa di makam Rasulullah s.a.w dan solat sunat sebanyak mungkin. Kudin pernah sembang dengan salah seorang jemaah lelaki tadi, dia dari Pakistan, boleh cakap bahasa Inggeris. Dia datang setiap tahun buat umrah tapi dia tak pernah ada belajar secara formal tentang rukun umrah dan perkara yang dilarang semasa ihram. Dia belajar sendiri dan bertanya ustaz-ustaz saja. Tidak macam kita di Malaysia, siap ada kursus lagi. Kita bertuah sebenarnya." Kudin senyum.

Puan Karina dan Nek Tom angguk-angguk. Kuyah dan Kusha turut mengangguk.

"Patutlah masa nak solat sunat di raudhah tu, huih..berhimpit-himpit nak masuk. Sampai kena tunggu giliran. Dah tu, tak nyempat-nyempat berlari ke depan." Kuyah teringat semasa dia dengan Kusha cuba untuk menunaikan solat di depan sekali tetapi ditolak kasar oleh jemaah dari Indonesia. Nak marah tak boleh..sabar sajalah. itu juga pesan ustaz, jangan nak kejar pahala, dosa yang dapat.

"Hmm...lepas ni nak ke mana kita Kalau tak ada apa-apa, abang nak ke masjid, iktikaf di sana. Nak ikut" Kudin pandang setiap ahli keluarganya.

"Bukan kami tak nak ikut tapi bahagian solat wanita leceh la sikit. Ada pengawal kat pintu tu, handphone dan pen tak boleh bawa masuk tapi Kusha tengok, jemaah lelaki okey je" Kusha seperti tidak puas hati.

"Ya ke" Kudin berkerut kening.

"Ya bang. Beg kami diperiksa satu persatu. Kalau ada bawa handphone, kena simpan di bilik khas yang ada penjaga. Lepas solat, baru boleh ambik. Kuyah ada tanya pada seorang jemaah Malaysia yang kebetulan ada sekali masa tu, dia kata memang macam tu. Pengawal tu tak nak kita ambik gambar dalam masjid tu." Kuyah menyokong kata-kata Kusha tadi.

"Alah kamu ni, ikut sajalah peraturan tu. Memang pun, kalau dah bawa handphone masuk, kalau ada orang call, tak ke mengganggu orang lain solat" Puan Karina jeling Kusha yang tidak puas hati.

Kusha muncung. Dia beria nak rakam video di dalam kawasan masjid dan yang penting di tempat raudhah. Ada la juga kenangan dibawa pulang.

Kudin senyum. Dia melihat Kuyah dan Kusha begitu cantik mengenakan jubah hitam dan tudung hitam yang dililit ala perempuan Arab. Dengan kulit putih, makin terserlah melihatnya. Kusha pula, ramai jemaah lain yang menyangka dia adalah orang Arab. Pernah seorang lelaki

Arab menegurnya dan bertanya kepadanya tentang Kusha. Agaknya lelaki Arab itu sudah berkenan dengan Kusha.

"Hmm..dah siap makan semua, jomlah kita beransur. Dah nak sepuluh malam dah ni. Abang nak ke masjid." Kudin bingkas bangun.

"Bang, belikan Kuyah jus buah tu!" Kuyah tuding ke arah sebuah kedai menjual hanya jus buah-buahan.

"Saya pun nak jugak!" Kusha jeling Kuyah. Sengih.

"Hmm..tak kenyang-kenyang lagi ke" Kudin mengusik.

"Alah..jus je pun." Kuyah muncung.

"Baiklah. Abang beli untuk mama dan nenek sekali." Kudin mula berjalan menuju ke kedai itu. Memang jus buah di Madinah sedap dan murah. Dikisar dari buah yang segar. Harganya pun hanya lima riyal sahaja.

Usai menghantar kaum hawa ke hotel, Kudin kembali ke masjid semula.

USAI solat sunat, Kudin berzikir dan membaca al Quran. Dia cuba memahami terjemahan al Quran itu, bermacam terjemahan dalam bahasa yang berlainan. Setelah habis beberapa muka surat, dia menyandar di dinding masjid. Apa yang dibaca tadi, cuba dihayati dan difahami. Sesekali Kudin melihat sekitar masjid. Anak-anak penduduk Madinah begitu khusyuk membaca dan menghafal al Quran beramai-ramai dengan dipantau oleh seorang guru. Begitu bersungguh anak-anak sekecil tujuh tahun itu membaca dengan suara yang agak lantang. Penuh bersemangat.

"Ya Allah..subhanallah..kalaulah anak-anak kecil di Malaysia pun macam ni, alangkah indahnya." Kudin senyum lebar. Teringat kisah anak-anak Palestine yang berjuang demi agama sedangkan anak-anak di Malaysia pula sering disogok dengan nyanyian dan hiburan yang bercambah bagai cendawan.

Kudin melihat pula ke arah sekumpulan pemuda Arab yang juga sedang khusyuk mendengar tazkirah dari seorang yang berjanggut lebat, yang pada hemahnya tentu seorang guru agama yang tinggi ilmunya. Ramai juga anak muda yang mengerumuni guru itu. Teringin juga mendengar tazkirah itu sekali tetapi memandangkan dia tidak faham bahasa Arab, terpaksa dibatalkan saja niatnya tadi.

"Eh..macam kenal.." Kudin mengamati salah seorang pemuda yang memakai jubah putih dan berserban putih sedang khusyuk mendengar tazkirah guru tadi. Pemuda itu dilihat dari pandangan sisi saja, sedang bersila di sebelah guru itu.

Kudin letak Quran di rak asal dan mula mendekati sekumpulan pemuda itu. Dia memberi salam dan mula duduk bersama. Niatnya ingin melihat lebih dekat siapa gerangan lelaki yang dilihat tadi dengan lebih jelas. Dia betulkan silanya dan terjenguk-jenguk ke arah depan. Sebaik lelaki itu berpaling ke arah pemuda lain, Kudin terkesima. Dia tergamam. Sekali lagi dia menatap wajah itu dengan teliti. Mana tahu, ada pelanduk dua serupa. Digenyeh-genyeh mata, memang benar!

"Subhanallah...maha suci Allah...aku bersyukur padaMu ya Allah. Akhirnya aku berjumpa juga.." Kudin meraup muka. Air matanya mengalir perlahan tanpa disedari.

"Assalamualaikum.."

Kudin mendongak. Matanya tepat memandang orang yang menegurnya tadi. Senyuman di wajah lelaki itu cukup dikenali dan wajah itu sudah jernih dan tenang. Terdiam seketika. Tidak percaya sebenarnya.

"Wa'alaikumussalam...Chad.." Terus Kudin peluk Chad yang berjubah putih dan berserban putih itu. Air mata berjurai. Mereka berpelukan seketika.

"Alhamdulillah...kuasa Allah. Kita bertemu kembali di bumi haram ni." Chad turut mengesat air mata. Dia juga tidak menyangka akan bertemu Kudin di masjid Nabawi.

Chad mengajak Kudin ke sudut lain. Majlis tazkirah masih belum selesai. Mereka berdua beriringan ke satu tempat dan mula duduk di situ. Lama Kudin memerhati Chad yang sesungguhnya sudah jauh berubah.Memang dulu Chad sudah nyatakan keinginannya untuk berubah.

"Chad..aku benar-benar tak sangka, akan jumpa kau di sini. Kau sihat" Sekali lagi Kudin peluk Chad. Sebak.

"Alhamdulillah.." Chad melemparkan senyuman manis. Kudin juga dilihat kacak dengan jubah putih dan oupiah di kepala.

"Kau datang dengan siapa buat umrah ni" Chad terus bertanya.

"Aku dan keluarga aku. Chad, mama aku, Puan Karina ingin sangat nak jumpa kau. Dia nak minta maaf dan ampun pada kau atas apa yang telah berlaku. Tentu dia gembira bila dia tahu yang kau ada di sini juga.." Kudin terus menyatakan hasrat Puan Karina.

"Aku dah maafkan dia. Aku pun bersalah dan berdosa, malah lebih lagi. Aku telah jauh tersasar. Aku cuba sesatkan orang lain dan aku sendiri terjerumus ke dunia hitam macam kau cakap dulu." Chad tunduk. Malu pada Kudin bila Kudin mengetahui apa yang dilakukan selama ini.

"Syukurlah kau dah berubah sekarang ni. Malah aku rasa ilmu kau dalam agama ni lebih baik dari aku. Tengok kau ni, memang totally different Chad!" Kudin mula merasa bangga dengan Chad.

Chad diam seketika dan kemudian menarik nafas sebelum menghembus perlahan. Dia pandang ke arah luar masjid. Ramai jemaah sedang berjalan-jalan di bawah payung yang sudah kuncup itu. Ada yang mengambil foto dan ada juga yang berbual-bual. Chad mengajak Kudin keluar dari masjid itu dan mereka menuju ke sebuah restoran berhampiran masjid.

"Nak minum apa" Chad tanya Kudin.

"Hmm..bagi teh la. Sedap teh sini, siap ada buah pelaga dan daun pudina." Kudin sengih. Sejak dia jejak kaki ke bumi Madinah itu, itulah air yang selalu dipesan bila ke restoran. Air zamzam tak usah cerita lah, setiap hari pasti dia minum.

Chad mula memesan minuman. Kemudian mereka berdua bersembang lama. Kudin sekejap mengangguk dan sekejap menggeleng.

Cerita Chad sungguh menyayat hati dan banyak memberi pedoman hidup.

"Habis tu, macam mana kau boleh keluar dari alam bunian tu" Kudin teringat Chad yang berada seorang diri di sana.

"Aku dah tahu mana arah keluar. Aku ke situ, saja untuk aku kenal dunia mereka dan di samping tu aku diberi ilmu oleh penghulu di situ. Banyak benda yang dia beri kat aku. Aku tak menolak sebab dia beria nak beri. Aku masih simpan semua tu." Chad menjelaskan keadaan sebenar.

"Patutlah..masa aku dan Tok Imam Ngah masuk ke situ semula, kami sebenarnya nak cari kau dan ajak kau balik tapi menurut penghulu bunian tu, kau dah pergi dari kampung tu." Kudin berkerut kening.

"Kau masuk lagi" Chad agak terkejut.

"Ya, kami kena pulangkan sanggul bunian emas yang diberi penghulu tu kepada Jai sebagai mas kahwin. Senah meracau-racau..jadi aku rasa lebih baik pulangkan biarpun itu pemberian dari penghulu tu." jelas Kudin.

"Oh...macam tu." Chad angguk-angguk.

"Kau menghilang lepas tu kan Macam mana kau boleh berada di sini" Kudin pandang Chad yang masih tunduk. Teh yang sudah sampai di meja dihirup seketika.

"Lepas aku keluar dari alam bunian tu, aku seperti ada semangat baru untuk terus berubah. Kebetulan aku jumpa seorang pakcik ni..dia dari sekolah pondok. Dia ajak aku ke situ. Di situlah aku belajar agama dan aku nyatakan hasrat aku untuk belajar di sini.

Kebetulan pula dia ada anak yang sedang belajar di Madinah ni." Chad menceritakan kisahnya pula.

"Oh..jadi kau belajar kat sini" Kudin agak tercengang. Setahunya, Chad dulu masuk universiti ambil bidang perakaunan. Bukan bidang Usuluddin ke, Syariah ke.

"Ya, aku belajar macam tadi tu tapi dalam masa yang sama aku belajar juga secara tak rasmi dengan anak pakcik tu..kiranya aku ni pelajar tak bertauliah la.." Chad sengih.

Kudin turut senyum. Begitu berusaha Chad mencari ilmu agama.

"Chad..bila kau nak balik Malaysia. Mak kau asyik sebut nama kau.." Kudin teringat masa dia menemani Puan Karina menjenguk mak Chad di hospital. Mak Chad masih ingat pada Chad.

"Kau jumpa mak aku" Chad terbeliak.

"Ya...Puan Karina terasa bersalah dan berdosa, dia sering jumpa mak kau di hospital dan dia mengupah seorang jururawat khas untuk menjaga mak kau di sana. Kau tak rindukan mak kau ke Kesian aku tengok dia asyik sebut nama kau je." Kudin berkata sugul. Sayu bila mengingatkan semua itu.

"Aku bukan tak nak balik tapi aku masih belajar kat sini. Mungkin bila aku habis belajar nanti, aku akan pulang." Chad tunduk semula. Dia juga rindukan ibu.

"Chad..baliklah dulu. Jumpa mak kau. Kita tak tahu ajal maut di tangan Allah. Mana tahu kau tak sempat jumpa ke apa ke. Bukan aku doakan semua tu tapi kau masih beruntung ada mak sedangkan aku.." Kudin sebak. Dia cuba menahan air mata dari gugur.

Chad diam seketika. "Hmm..betul kata kau tu Kudin.."

"Baguslah..esok aku dah nak ke Mekah, tunaikan umrah. Kau nak ikut sekali tak" Kudin ajak Chad.

"Tengoklah....esok lepas subuh aku beritahu kau. Tak pun, kita jumpa di Bir Ali." Chad senyum.

Kudin turut senyum. Mereka menyambung menikmati teh dan mula beredar dari situ.

KUDIN meraup muka, ada titis jernih menitis di pipi. Lama Kudin menatap Baitulllah di hadapannya. Sungguh dia tidak menduga akan sampai ke sini dan melihat sendiri keagungan Allah dan tempat yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia. Tempat yang menjadi kiblat buat umat Islam. Benarlah, bila berada di sini , hati dan jiwa akan tenang. Biarpun dipenuhi beribu umat Islam dari pelusuk dunia.

"Assalamualaikum.."

Kudin menoleh. Seorang lelaki Arab menegurnya. Kudin hanya melemparkan senyuman manis. Jika lelaki itu ingin bercakap, dia hanya mampu angguk dan geleng saja. Baru semalam, dia belajar serba sedikit bahasa Arab yang mudah dari Chad. Ternyata Chad mudah belajar dan faham bahasa Arab. Siapa sangka, Chad yang sebelum ini dlihat mengamalkan ilmu hitam, kini sudah mengamalkan ilmu agama dan sudah fasih berbahasa Arab. Bahasa syurga. Terasa malu pada Chad.

"Kamu belum menjawab salam saya.." Lelaki Arab itu senyum lagi. Dia melihat lelaki yang sedang duduk antara dua sujud itu seperti mengelamun tadi. Dia duduk di sebelah Kudin.

"Oh..maaf..saya ingatkan kamu ini orang Arab. Saya tidak tahu berbahasa Arab." Kudin sengih. Dipandangnya wajah lelaki itu, memang ada rupa Arab.

"Ya..benar tetapi saya fasih berbahasa Indonesia. Saya memang orang sini tetapi saya belajar di Indonesia. Kamu" Lelaki itu menerangkan keadaan sebenar setelah melihat Kudin terpinga-pinga.

Kudin terdiam. Fikirannya kembali pada Chad. Chad adalah lelaki Melayu dan fasih bahasa Arab. Lelaki Arab ini pula fasih berbahasa Melayu walaupun dari rumpun bahasa Indonesia.

"Oh..alhamdulillah. Saya tak pandai bahasa Arab. Hanya tahu beberapa patah perkataan saja. Syukran, Na'am, Thoyib, La', itu saja yang sempat saya belajar di sini.." Kudin tunduk malu.

"Oh..tidak mengapa. Bahasa apa pun, Allah bisa memahaminya." Lelaki Arab itu senyum lagi sambil menepuk bahu Kudin.

"Oh ya, nama kamu siapa" Tanya Lelaki Arab lagi.

"Kudin."

"Saya Sheikh Saif. Maaf, saya mahu tanya, saya kira kamu ini ada seorang adik.." Sheikh Saif terhenti seketika. Dia tunduk seketika.

Kudin masih menunggu kata-kata lelaki itu yang sudah berubah rona wajahnya. Agak lama dia perhatikan lelaki Arab itu. Kini baru dia perasan, lelaki Arab itulah yang menegurnya dulu dan bertanyakan tentang Kusha.

"Oh baru saya teringat, kamu ini lelaki yang menegur saya dulu kan" Kudin mula teruja. Lelaki itulah yang ditemuinya di Madinah dulu.

"Ya.." Sheikh Saif menjawab perlahan. Ada nada lembut.

Kudin terus mengajak lelaki itu ke sebuah restoran. Sebelum itu, mereka berdua solat sunat sekali lagi dan berdoa. Di restoran, mereka mesra berbual bersama. Kudin hanya senyum mendengar setiap ayat yang keluar dari mulut Sheikh Saif itu. Sheikh Saif mula minta diri untuk ke masjid semula. Kudin pula pulang ke hotel.

SEMENTARA ITU, Kusha dan Kuyah masih di dalam Masjidilharam. Mereka sentiasa berdua ke mana saja. Itu pesan Kudin. Puan Karina dan Nek Tom pula lebih suka bersama jemaah lain yang sebaya.

"Kuyah, kau nampak selipar aku tak" Kusha melilau mencari seliparnya yang diletakkan di rak kasut yang disediakan di pintu masuk masjid.

"Kan kau letak di situ" Kuyah tuding ke arah satu tempat. Petak kasut yang berderet di sepanjang dinding sehinggalah ke pintu masuk masjid.

"Yalah..tapi aku dah tengok, tak ada pulak.." Kusha terbongkok-bongkok mencari seliparnya.

"Tulah kau, celupar sangat mulut kau tu. Kononnya letak kat situ, tak nak orang curi. Kalau nak letak tu, letak sajalah! Tak payah nak tambah ayat 'kalau orang curi'. Kan Allah dah bayar cash kat kau!" Kuyah membebel. Telekung yang dipakainya dikibas-kibas. Cuaca panas di tanah haram itu memang terasa namun tidak sepanas di Malaysia. Panas di Malaysia sehingga kulit terasa pedih dek pancaran matahari.

"Kau ni, bukan nak tolong aku!" Kusha mencebik. Dia masih melilau mencari seliparnya.

Kuyah sengih. Dia hanya perhatikan saja Kusha terhendap-hendap seliparnya di antara beberapa selipar lain. Dia duduk di tepi tiang, masih memerhati Kusha. Malas hendak menolong minah tu.

"Kuyah! Tolong la sekali!" Laung Kusha setelah melihat Kuyah dengan selambanya lepak di tepi tiang.

"Balik kaki ayam la!" Balas Kuyah sambil mengekek ketawakan Kusha. Jemaah lain masih ramai. Keluar masuk masjid yang tak pernah surut.

Kusha mencebik. Dia menjeling Kuyah yang ketawakannya. "Bukan nak tolong aku.."

"Assalamualaikum.."

Kusha mendongak. Tadi dia terbongkok-bongkok mencari seliparnya yang hilang. Seorang lelaki Arab menegurnya. Kusha masih termangu di situ. Tidak tahu apa yang harus dijawab. Dia pandang sekitar situ. Seorang pengawal polis sedang memerhati ke arah mereka. Ah, buatnya polis itu ingat lelaki Arab itu hendak mengurat, sudahlah berada di kawasan masjid. Tempat orang beribadah.

"Wa..wa..wa.." Kusha sudah berpeluh. Tersekat-sekat dia menjawab.

"Kamu cari apa" tegur lelaki itu.

Kusha terbeliak. Oh, pandai cakap melayu rupanya mamat Arab ni...

"Saya cari selipar saya. Dah hilang.." Kusha pandang ke arah rak kasut.

"Oh..di sini selalu terjadi selipar dan kasut yang hilang. Anggaplah ia ujian dari Allah dan niatkan sedekah."

Kusha pandang lelaki itu. Habis, aku nak balik kaki ayam je ke Mahu sahaja dia berkata seperti itu tetapi itu hanya dalam hatinya saja. Lelaki Arab itu dilihat masih tercegat di depannya. Kalau tolong carikan selipar aku okeylah juga.

"Kamu tunggu di sini ya. Tunggu!"

Kusha berkerut kening melihat lelaki Arab itu mula berlalu pergi tetapi boleh pula menyuruhnya tunggu di situ. Dia berpaling ke arah Kuyah yang masih memandang ke arahnya. Kuyah dilihat sudah sengih di situ sambil menopang dagu. Tidak sampai setengah jam, lelaki Arab itu kembali semula ke situ bersama sepasang selipar baru.

"Nah, untuk kamu!" Selipar itu dihulur kepada Kusha.

Teragak-agak Kusha mengambilnya. Dia tunduk. Masih berfikir. Terasa pelik pula, tiba-tiba lelaki yang tidak dikenali menyapa dan membelikannya selipar baru. Ah, memang tak pelik di tanah haram ini. Ustaz pun pernah berpesan, di sini boleh berlaku apa saja atas kehendak Allah.

"Kusha! Terima sajalah!!" Laung Kuyah.

Kusha melihat sekilas pada Kuyah. Dia kembali melihat selipar yang masih berada di tangan lelaki Arab itu. Perlahan dia mengambil selipar itu dan menyarungkan ke kakinya yang berstokin hitam.

"Terima kasih.." Kusha segera berlalu pergi ke tempat Kuyah. Sempat dia menoleh ke arah lelaki Arab itu. Lelaki itu dilihat masih memandang ke arahnya.

KUYAH hanya senyum melihat gelagat Kusha yang sudah muncung. Sepanjang balik ke hotel penginapan, Kusha muncung tak sudah.

"Hai..dah dapat selipar baru pun, nak muncung jugak ke" Usik Kuyah.

Kusha tidak menjawab. Dia meneruskan langkahnya. Laju kakinya mengatur langkah ke sebuah kedai.

Kuyah yang berada di belakang hanya senyum melihat Kusha yang sudah membeli ais krim. Bukan satu tapi lima bekas! Dia menggeleng. Dia segera mendekati Kusha yang sudah duduk di bangku yang disediakan di situ sambil menikmati ais krim.

"Untuk aku tak ada ke" Kuyah turut duduk di sebelah Kusha.

"Tak ada! Kau tak nak tolong aku tadi." Kusha jeling Kuyah. Dia makan ais krim itu sampai habis dua bekas kecil.

Kuyah terkulat-kulat melihat Kusha menikmati ais krim. Memanglah minah ni..hatinya sudah geram. Dia bingkas bangun dan mendekati kaunter.

"Merajuklah tu! Nah!" Kusha tarik tangan Kuyah dan menghulurkan dua bekas ais krim pada Kuyah.

"Kau ikhlas ke ni" Kuyah sengih.

"Kalau tak nak, aku ambil balik." Kusha jeling Kuyah yang sudah senyum sampai ke telinga.

"Terima kasih beri ais krim pada anak yatim macam aku ni.." Kuyah sengih lagi.

Kusha hanya menjeling. Anak yatim apa ke bendanya Dah besar panjang!

Mereka berdua mula menapak ke hotel semula. Sampai di lobi hotel, Puan Karina dan Nek Tom bersama Kudin sudah berada di situ dengan wajah pucat. Serentak mereka mendekati Kuyah dan Kusha.

"Kusha dan Kuyah pergi mana Dah sejam kami tunggu kat sini." Puan Karina sudah menggelabah.

"Kenapa ni Apa yang dah berlaku" Kuyah pula menyampuk. Terpinga-pinga.

"Mama ni..dia risau. Selalunya korang dah sampai hotel dari tadi lagi. Ni, dah lebih sejam. Mana mama tak risau. Esok, tak payah pergi berdua. Nak ke masjid, ikut abang." Kudin pandang Kuyah dan Kusha silih berganti.

"Mama, tadi Kusha hilang selipar. Tu yang lambat sikit tu.." Kusha berkata perlahan. Dia tundukkan wajah.

"Tu apa" Puan Karina tuding ke arah kaki Kusha.

"Selipar la." Kusha menjawab.

Puan Karina mengetap bibir. Loyar buruk betul budak ni. "Mama tahu la..tadi kata selipar hilang. Beli baru ke apa"

"Tak..ada orang belikan..." Kuyah mencelah sambil menjeling Kusha yang masih tunduk.

"Dah la tu Karina. Mereka dah selamat sampai hotel. Jom kita makan." Nek Tom akhirnya mencelah juga. Dia sudah faham dengan perangai Karina yang sentiasa memantau gerak geri Kusha dan Kuyah.

"Assalamualaikum.."

Kudin dan yang lain menoleh ke arah suara yang memberi salam tadi. Chad

"Chad!" Kudin segera peluk Chad yang berjubah putih.

"Kau kata nak jumpa di Bir Ali, aku tunggu kau kat sana sampai aku habis solat sunat kat sana pun, aku tak jumpa kau." Tambah Kudin lagi.

Puan Karina tercengang. Tergamam melihat anak muda itu yang hampir tidak dikenalinya tadi. Berbeza benar penampilannya. Apa yang lebih membuatnya tergamam, dia berjumpa Chad di Mekah. Tanpa sedar, berlinang air matanya tatkala melihat lelaki yang dia ingin sangat berjumpa.

"Puan..." Chad menegur Puan Karina yang masih terdiam di situ.

"Mama..ini Chad mama." Kudin pandang Puan Karina yang masih memandang ke arah Chad tidak berkelip.

"Chad...maafkan makcik..makcik minta ampun..maafkan makcik..maaf.." Puan Karina teresak-esak menangis, Dia sudah tidak hiraukan orang sekliling lagi.

"Makcik..saya dah lama maafkan makcik. Saya yang sepatutnya minta maaf pada makcik. Saya yang menyihirkan makcik dulu. Saya jahat..saya jauh tersesat..maafkan saya.." Chad turut mengalirkan air mata.

Semua yang ada di situ terdiam seketika. Suasana hiba mula terasa. Kuyah pandang lelaki muda itu yang sebaya Kudin. Lelaki itu sudah banyak berubah.

Kusha hanya memandang lelaki berjubah putih di depannya. Jadi..inilah Chad...

"Chad, kami nak makan ni, jomlah ikut sekali." Ajak Kudin, memecah keheningan suasana yang tiba-tiba senyap seketika tadi.

"Ya..marilah Chad. Jangan malu-malu. Kita kan sekeluarga." Puan Karina mengesat air matanya. Chad sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri.

"Ya Chad, mak kau, mak aku juga." Kudin mengiakan kata-kata Puan Karina. Walaupun dia dan Chad berlainan bapa tetapi mak Chad masih isteri arwah ayah yang sah.

Chad hanya mengangguk lemah. Mereka semua mula mengatur langkah menuju ke sebuah restoran.