Permainan teng-teng memerlukan seketul batu biasa yang boleh dikutip dari mana-mana sahaja.Tiada kriteria khas dalam memilih batu. Selain itu, kawasan tanah yang lapang dan berpasir diperlukan.
Setiap pemain akan diundi bagi menentukan giliran. Dengan menggunakan batang kayu, satu lukisan dengan 6 segi empat yang membentuk seperti huruf t atau simbol salib akan dilukis di atas tanah.
Dengan mengikut giliran, setiap pemain akan membaling batu ke dalam mana-mana kotak. Selesai membaling, pemain perlu mengangkat sebelah kaki dan perlu menjengket pada semua kotak dengan menggunakan kaki yang satu lagi tanpa menjejakkan langsung kaki yang diangkat. Apabila tiba di kotak yang mempunyai batu yang dibaling tadi, pemain akan mengutip batu tersebut. Pemain boleh berhenti sebentar dan menjejakkan kedua-dua belah kaki. Selepas itu, pemain akan meneruskan jengketan sebelah kaki ke kotak seterusnya dan perlu kembali semula ke tempat permulaan. Pemain yang menjejakkan kedua kaki ketika permainan akan dikira mati.
Lukisan jengket-jengket di atas tanah perlu dipadamkan apabila selesai bermain bagi mengelakkan hantu datang bermain di tengah malam. Sejauh mana kebenarannya, bolehlah cuba sendiri di halaman rumah malam nanti.