Prosedur dijalankan tanpa sebarang halangan. Lancar dan efisien. Tatkala Han-1 dan Han-2 menguruskan Anom, Han-3 masuk ke bilik Anom dan menggantikan pen pemberian Azhan bersama buku tadi dengan satu replika yang serupa. Pen replika yang berjaya dibuat hasil dari risikan ke atas Azhan selama lebih tiga bulan. Pen tiruan tersebut seratus-peratus sama dari segi bentuk luarannya dengan pen asal yang dihadiahkan oleh Azhan itu. Jadi sudah pasti Anom tidak akan perasan perbezaannya. Dia tidak akan sedar bahawa pen itu sebenarnya istimewa. Dakwatnya luarbiasa. Terkandung sejenis dadah yang sengaja dilarutkan di dalamnya untuk satu sebab yang spesifik.
Keseluruhan misi hanya mengambil masa sepuluh minit. Memang itu saja masa yang mereka ada. Ubat pelali yang digunakan ke atas Anom tidak tahan lama. Memang ia diformulasikan begitu. Mereka hanya mahu Anom tidak sedarkan diri untuk satu jangka masa pendek. Hanya cukup-cukup untuk mereka melaksanakan misi mereka. Sebaik itu, Anom harus tersedar semula. Agar tak ada siapa-siapa yang perasan apa-apa pun berlaku. Dan mereka berjaya mengecap efek itu. Sebaik kelima-lima Han tadi meninggalkan tempat tersebut, Anom terjaga semula. Dia memicit kepalanya yang terasa sedikit berat. Kemudian sambung semula mandi seperti biasa. Langsung tak sedar akan apa yang baru saja berlaku kepada dirinya. Seperti... ia tidak pernah terjadi.
Dua bulan kemudian.
"Mak percaya...."
Anom mengelap airmata yang mengalir membasahi hidungnya.
"Tapi macam mana..."
"Yang tu mak tak tau. Tapi yang mak nak Anom tau sekarang ni, mak percaya. Dan Anom tak keseorangan dalam semua ni."
"Kenapa..."
"Hmm.."
"Kenapa mak percayakan Anom"
"Sebab mak kenal anak mak. Lebih daripada tu lagi, naluri mak sebagai seorang ibu boleh merasa..."
Anom rebah dalam rangkulan ibunya. Dia rasa lemah. Dalam masa yang sama kuat.
"Apa mak nak bagi tau pada orang kampung nanti"
Mariah menarik nafas dalam. Anom boleh rasa melalui dada ibunya yang mengembang.
"Mak pun tak tau. Kita berserah jelah. Bila sampai masanya nanti kita akan hadapi sama-sama. Yang paling penting Anom jangan lupa berdoa. Dalam keadaan macam ni, hanya Allah yang boleh bantu kita."
"Mak rasa... Anom patut bagi tau Azhan ke..." tanya Anom sayu. Menyebut nama lelaki itu dalam nafas yang dia sedang alami sekarang ini dirasakan cukup perit.
Malah barangkali, kesakitan Anom yang paling besar sekarang ini bukan kerana dia tiba-tiba mengandung walaupun dirinya tidak pernah bersama mana-mana lelaki. Sebaliknya yang paling menghancurkan hati Anom adalah hakikat bahawa dia terpaksa menyakiti Azhan dengan keadaan itu.
Seolah-olah takdir telah menghulurkan sebilah pisau kepada Anom, dan harus dia tujah ke dada lelaki itu dengan tangan kirinya sendiri. Meskipun tangan kanannya masih membelai wajah lelaki itu dengan perasaan cinta yang paling penuh.
"Terpulanglah kepada Anom nak bagi tau Azhan ke tak. Anom yang tau hati budi dia macam mana. Cuma nasihat mak, benda ni bukan Anom boleh sembunyi sampai bila-bila. Jadi mungkin ada baiknya kalau Anom berterus-terang awal-awal. Mungkin dia akan marah, atau benci Anom. Tapi Anom ingatlah, kalau cinta tu benar, ia akan cari jalan untuk kembali..."
Anom mengangguk. Dia menyeka airmatanya yang tak henti gugur dari tadi.
"Anom akan bagi tau dia bila Anom keluar dengan dia esok..." putusnya.
Azhan berdiri di hadapan cermin. Rambutnya dibelah ke kiri tak kena dibelah ke kanan pun tak kena. Akhir sekali dia sisir ke belakang sahaja. Baju kemeja kotak-kotak biru dan ungunya dibetul-betulkan walaupun sudah sempurna. Kalau selalu dia mengambil masa sepuluh minit saja untuk siap, itupun sekali dengan mandi, tapi hari ni macam lama sedikit. Maklumlah nak keluar temujanji dengan Anom.
Bukan Azhan tak pernah pergi jalan-jalan dengan Anom. Selalu. Tapi hari ni berbeza. Sebelum ini mereka hanya keluar bersama sebagai kawan lama yang paling rapat. Tapi hari ni mereka keluar sebagai pasangan kekasih. Sebab hari ini adalah temujanji mereka yang pertama sejak Azhan meluahkan perasaannya terhadap Anom minggu lepas.
Azhan tersenyum sendiri apabila mengenangkan peristiwa itu. Masih terasa debaran dalam hatinya sampai hari ini, kesan dari luahan perasaannya terhadap Anom waktu itu. Azhan masih ingat betapa dia berpeluh sejuk, dan tangan menggigil tatkala dia berdiri di hadapan Anom dan mengucapkan kata cinta. Kata cinta yang sebelum ini hanya berani dia sebutkan melalui tulisan. Tak pernah dengan suara.
Azhan tertawa kecil. Lucu bila memikirkan. Betapanya dia getar lutut semasa hendak meluahkan perasaannya minggu lepas. Alih-alih bila sudah menyatakan bahawa dia cinta pada Anom, gadis itu tergelak.
bersambung
Bab akan datang:
Apakah reaksi Azhan setelah Anom memberitahunya bahawa dia sedang mengandung Dapatkah Azhan menerimanya