Che Guevara ataupun nama sebenarnya
Ernesto Rafael Guevara de la Serna merupakan seorang peminat sukan, terutamanya sukan ragbi dan bola sepak. Che Guevara sangat aktif bermain ragbi ketika masih menuntut di sekolah dan universiti. Graduan perubatan ini turut meminati kelab di tempat kelahiran beliau iaitu Club Atltico Rosario Central sebagai kelab pujaan.
Idea revolusi dan reformasi warga Argentina ini timbul setelah beliau bersama beberapa rakan mahasiswa fakulti perubatan dari Universiti Buenos Aires, mengembara dengan menggunakan motosikal ke seluruh pelosok benua Amerika Selatan.
Dari Andes ke Amazon, dari Peru ke Chile, ke segenap tinggalan t a m a d u n - t a m a d u n peribumi Amerika Selatan, ke setiap ceruk kampung di pedalaman, Che Guevara mengembara mencari erti penghidupan. Beliau laparkan pengalaman. Kisah pengembaraan beliau itu lah yang membuka mata jiwanya betapa ramai lagi di luar sana hidup sengsara, miskin, papa dan serba kekurangan.
Kekurangan akibat kekhilafan sistem yang dikemudikan oleh para oportunis.
Sistem kapitalis lawannya komunis. Maka tidak dapat tidak, ideologi tersebut tampak cocok dengan jiwa Che Guevara.
Perlu ada perubahan, revolusi dan reformasi.
Seperti mana p emimpin-p emimpin agung di dunia, Che Guevara punyai daya pengucapan umum yang sangat bagus. Isinya memang mantap, disulami u n g k a p a n - u n g k a p a n yang hebat. Si pendengar pastinya akan bangun berdiri menepuk tangan sebagai tanda kekaguman.
Football is not just a simple game. It is also a weapon of the revolution.
Ini salah satu kata-kata Che Guevara memperihalkan tentang sukan bola sepak.
Di Peru, ada satu cerita tatkala Che Guevara masih dalam pengembaraannya. Beliau kesuntukan wang. Bekalan makanan juga menyusut. Oleh yang demikian, Che Guevara terpaksa membuat kerja sampingan seperti buruh, tukang kayu, tukang cuci bagi mendapatkan wang. Dan, ada satu pekerjaan yang cukup memberi inspirasi kepada Che Guevara seperti mana yang tercatat dalam catatan perjalanan beliau.
Che Guevara pernah bekerja sebagai jurulatih bola sepak, melatih anak-anak kecil di kampung-kampung. Beliau diupah oleh para ibu bapa, pihak gereja atau pun perwakilan kampung.
Dari situ, Che Guevara menggambarkan betapa sukan bola sepak berupaya menghilangkan rasa sengsara rakyat biarpun sekejap. Walaupun hidup serba susah ditekan rejim zalim sang pemerintah, sukan bola sepak bisa menerbitkan suka, ceria
dan tawa di kalangan rakyat sama ada pemain mahupun orang yang menonton perlawanan bola sepak itu sendiri. Keseronokan dan keterujaan terhadap bola sepak buatkan mereka alpa dan lupa sejenak sengsara yang dipikul.
Seperti mana tayangan filem-filem Hindustan di kalangan rakyat India, begitu juga lah perihalnya akan sukan bola sepak terhadap rakyat di benua Amerika Selatan.
Kalau lain-lain orang lihat dunia dari dalam tempurung, sebilangan orang lihat dunia dari mata burung, Che Guevara lihat dunia dari mata fikir.
Che Guevara yang sememangnya peminat sukan, menggunakan medium sukan bola sepak sebagai salah satu cara untuk menambat hati marhaen. Siapa pula boleh melupakan foto ikonik paling popular dalam sejarah cacahan imej di dunia.
Dirakam pada tarikh 5 Mac 1960.
Hasil kerja tangan seorang jurugambar bernama Alberto Korda.
Imej ini digelar sebagai Guerrillero Heroico.
Imej Ernesto Che Guevara ini kemudiannya menjadi sangat popular di seluruh dunia. Ia sering digunakan sebagai lambang manifestasi perjuangan, anti-penindasan dan pembebasan.
Mengapa imej ini popular
Alberto Korda adalah seorang jurugambar biasa di Cuba. Dia mulanya hanya mengambil upah mengambil gambar majlis-majlis perkahwinan, majlis sambutan ulang tahun kelahiran, hari kebesaran dan pelbagai lagi.
Korda turut mempunyai sebuah studio. Korda sangat pakar memproses imej hitam-putih. Dia gemar mengambil gambar dari sudut berbeza, yang agak berlainan daripada gaya fotografi di masa itu.
Pada 4 Mac 1960, berlaku satu malapetaka di Havana Harbour. Letupan mengakibatkan 100 orang terbunuh, di samping ramai yang cedera. Presiden Cuba Fidel Castro mendakwa peristiwa tersebut adalah konspirasi CIA dari Amerika Syarikat. Beliau kemudiannya menggesa satu rapat-umum diadakan di tapak pengebumian pada esok harinya, bagi menghormati mangsa kejadian.
Selesai pengebumian, Castro memberi satu ucapan yang cukup berapi-api. Sentimen dibangkit, menyelar campur tangan Amerika Syarikat.
Korda waktu itu adalah jurugambar rasmi untuk Fidel Casrtro. Sementara Guevara pula pada ketika itu merupakan Menteri Industri Cuba. Sedang Korda asyik merakam gambar Castro, beliau sesekali merakam detik ucapan Castro, Korda merakam juga latar sekitar pentas Castro berucap. Lalu tidak semena-mena, imej Che Guevara terakam secara tidak sengaja.
Selepas mencuci gulungan filem, Korda sedar, yang beliau telah sempat merakam imej Che Guevara yang cukup ikonik.
Ada sesuatu yang istimewa pada imej tersebut.
Korda kemudiannya merujuk foto tersebut pada dua orang ahli falsafah Perancis. Mereka turut teruja dengan imej Che Guevara yang terakam dalam gulungan filem milik Korda.
Ia satu imej penuh ikonik dan simbolik, memaparkan ekspresi wajah seorang pemimpin yang terbuku di hati nya 1,001 persoalan.
Editor majalah Revolucin kemudiannya menerbitkan imej Che Guevara ini di kulit depan majalahnya. Sekelip mata, imej ini menjadi popular. Ia mula diterjemahkan dan dimanifestasikan di mana-mana sahaja, sama ada di batang pokok, dinding, jalan raya, pintu dan tingkap.
Che Guevara menjadi ikon bagi kebanyakan rakyat di benua Amerika Tengah, Caribbean dan Amerika Selatan. Dan ianya terus popular hingga kini, malah turut menjadi tatarias fesyen buat remaja masa kini dengan menggayakan baju-T, seluar, topi dan sebagainya yang terpapar imej Che Guevara.
Dan Korda tidak menerima sebarang bayaran dan royalti atas usaha kreatifnya itu. Sebabnya, dia berfahaman komunis, jadi usahanya itu adalah milik negara.
Che Guevara, bekas mahasiswa perubatan berbangsa Argentina, kemudiannya berselisih pendapat dengan Fidel Castro, membawa diri berperang di Congo, sebelum pulang ke Amerika Selatan bagi mengembangkan ideologinya.
Pada 8 Oktober 1967, beliau tertangkap di pergunungan di Bolivia, di sebuah tempat bernama Vallegrande, setelah diburu sejak sekian lama oleh pihak berkuasa Bolivia. Che Guevara lalu dihukum tembak sampai mati sehari selepas itu ketika masih dalam tahanan.
Tangannya dipotong sebagai bukti kematiannya dan mayatnya dikebumikan di suatu lokasi rahsia.
Hanya pada tahun 1997 baharu lah kuburnya ditemui dan mayatnya dibawa pulang ke Cuba untuk upacara pengebumian negara yang dihadiri jutaan marhaen Cuba.