HARI-HARI yang dilalui dirasakan hambar. Kudin, Ana Dahlia dan Jai masing-masing cuba menyibukkan diri dengan kerja. Tiada lagi soal hati dan perasaan.
Kudin sibuk dengan seminar dan persidangan yang memerlukannya ke luar negara sentiasa. Namun, ada juga ketikanya dia merasa rindu pada Ana Dahlia tetapi cuba dibuang jauh-jauh perasaan itu kerana dia sedar gadis itu masih menaruh hati pada Jai. Sudah banyak kali Nek Tom bertanyakan hal nikah kepadanya. Sekarang ini dia tidak mahu memikirkan soal itu lagi. Jangan kerana seorang perempuan, persahabatannya dengan Jai terputus. Masih banyak lagi bunga yang mekar di luar sana.
Ana Dahlia pula cuba menyibukkan diri dengan tugasan barunya itu. Maklumat tentang sindiket curi kereta mewah yang didalangi kumpulan Sayap Hitam itu dikemas kini sebaik mungkin. Jika memerlukan dia berjumpa dengan Detektif Jailani, dia akan sedaya upaya mengelak dari berbicara soal hati. Memang setiap kali ada mesyuarat dan perbincangan, dia perasan lelaki itu sering memerhati dan merenungnya. Ah! Biarlah! Kenapa baru sekarang hendak bersikap begitu
Jai hanya mampu melihat Ana Dahlia bersikap dingin dengannya. Dia tahu gadis itu sudah kecewa. Apa yang dilakukan, serba tidak kena. Bila ada perbincangan pula, gadis itu sering ingin mengelak bila diajak berbual. Sepatah yang ditanya, sepatah juga yang dijawab. Akhirnya, masing-masing buat hal sendiri. Namun dalam soal kerja, mereka akan bersikap profesional. Tidak ada langsung menyentuh soal hati. Ana Dahlia dilihat mudah menerima arahan. Dia juga terpaksa bersikap seorang bos sepanjang perbincangan dan operasi itu nanti.
SEMINGGU berlalu. Jai dan Ana Dahlia mula melancarkan operasi seperti yang telah dirancang. Tepat pukul 12 malam, mereka akan bertindak. Seawal sepuluh malam, mereka sudah bersedia di sekitar kawasan itu. Ana Dahlia sudah bersiap sedia dengan senjata dan bersama tiga orang lagi, dia sudah bersedia menerima arahan dari Detektif Jailani.
"Kita tunggu di sini. Dia orang akan berkumpul di sini jam dua belas nanti." Detektif Jailani memberi arahan.
Ana Dahlia dan anggota polis yang lain mengangguk tanda faham. Ana Dahlia pula mengarahkan dua orang lagi anggota polis supaya menuju ke arah kiri bangunan. Dua orang lagi di sebelah kanan. Dia dan Detektif Jailani akan menunggu di situ. Sementara seorang lagi berkawal di pintu masuk jalan kecil ke kawasan tapak pembinaan yang terbengkalai itu untuk memberi amaran kedatangan kumpulan Sayap Hitam itu.
Dalam keadaan yang gelap itu, hanya diterangi cahaya bulan, Jai masih memernati ke arah Ana Dahlia yang sudah bersiap sedia dengan senjata di tangannya. Menunggu masa untuk membidik ke arah sindiket itu. Dia senyum. Bangga melihat gadis itu begitu berdedikasi menjalankan tugas yang sepatutnya dipikul oleh orang lelaki. Kata-kata Ana Dahlia masih terngiang di telinganya. Dia tidak berani menyentuh soal itu lagi selepas diberi amaran oleh gadis itu sendiri.
"Dia benar-benar kecewa..." Jai berkata sendiri. Sambil itu matanya liar memerhati ke sekitar tapak pembinaan itu.
Ana Dahlia masih menunggu di situ. Dia cuba melihat ke arah Jai yang sedang berselindung di sebalik salah satu tiang di tapak pembinaan itu. Dia tahu lelaki itu seperti kecewa dengan sikapnya yang dingin.
Maafkan aku Jai..aku bukan perempuan lembik. Aku tidak suka mengemis cinta. Cinta aku tidak murah. Ana Dahlia berkata dalam hati.
Dia mula menerima arahan dari Detektif Jailani melalui alat pendengar yang dipasang di telinga. Nampaknya, kumpulan Sayap Hitam itu sudah mula memasuki kawasan itu. Dia sudah bersedia memegang picu senjata. Dari situ dia melihat Detektif Jailani sudah berganjak ke tiang lain. Seorang lagi anggota polis turut bergerak cepat ke satu arah. Kini mereka bertiga berada di dalam kedudukan tiga penjuru. Bermakna, jika kuncu sindiket itu melalui kawasan itu, mereka sudah pun terkepung. Dengan dua orang anggota polis di kiri dan kanan bangunan itu, orang-orang sindiket itu tidak boleh lari dari situ.
Sebaik kedengaran bunyi enjin kereta berhenti di situ, Detektif Jailani sudah bersedia memberi arahan. Masing-masing senyap, menunggu masa untuk bertindak. Jika ditembak, mereka akan menembak balas semula. Itu prosedur yang perlu dipatuhi. Tidak boleh membabi buta melepaskan tembakan.
KUDIN memandu perlahan melalui jalan lama menuju ke sebuah restoran. Perutnya dari tengahari tadi tidak diisi. Hari ini, dia terpaksa membuat kerja lebih masa, esok dia ada mesyuarat penting dan kertas kerja perlu disiapkan malam itu juga. Setahunya, jalan itu yang paling dekat kalau hendak ke restoran yang terkenal dengan masakan asam pedas itu. Sudah lama tekaknya ingin menikmati masakan itu. Kereta BMW dibawa berhati-hati melalui jalan kecil yang tidak rata itu.
Tiba-tiba ada sebuah kereta memintas keretanya. Kudin terpaksa brek mengejut. Kelihatan dua orang lelaki sudah keluar dari kereta putih itu dan mendekati keretanya. Cermin keretannya diketuk berkali-kali. Kudin masih diam di dalam keretanya. Dia pandang kiri kanan jalan. Gelap dan sunyi. Dia pandang pula ke arah dua orang lelaki tadi. Dia pasti lelaki itu mempunyai niat jahat terhadapnya.
Keretanya dipecut laju menuju ke satu lorong. Dari cermin belakang, dia perasan kereta putih tadi mengejar keretanya. Semakin laju dia menekan pedal minyak.
"Gila!" Kudin menyumpah sendiri. Kereta putih tadi dilihat semakin dekat mengejar keretanya. Dia pandang pula ke arah depan.
Hanya ada tapak pembinaan yang sudah terbengkalai. Tiada lagi jalan lain. Di kiri kanan pula, hanya ada belukar.
Tiba-tiba terasa belakang keretanya dirempuh kuat. Kudin sudah kaget. Dia pandang ke depan. Jalan mati! Dia mula menggelabah. Sempat dia melihat jam di dashboard. Hampir sebelas setengah malam. Keretanya sudah tersekat di hujung jalan. Dia mula buntu. Cepat saja dia keluar dari kereta dan menyusup masuk ke dalam belukar. Dia sudah biasa dengan keadaan cemas seperti itu sewaktu bekerja sebagai pengawal peribadi dulu.
Dari situ dia melihat dua orang lelaki tadi melilau mencarinya. Keretanya yang masih hidup enjinnya, kelihatan dibawa oleh salah seorang lelaki itu ke arah sebuah bangunan terbengkalai di tapak pembinaan itu.
"Oh..dia orang ni mungkin dari sindiket curi kereta.." Teka Kudin. Dia masih lagi sembunyi di sebalik belukar itu. Masih memerhati ke arah lelaki itu. Kali ni keduanya sudah mula bergerak ke arah bangunan itu.
"Aku kena tahu apa yang mereka buat kat situ.." Kudin beranikan diri menuju ke arah bangunan itu. Keretanya dilihat sudah diparkir di depan bangunan itu.
Dalam keadaan gelap begitu, dia cuba mengintai apa yang sebenarnya berlaku. Perlahan dia mendekati bangunan itu. Dia terdengar bunyi tapak kaki dari arah kirinya. Terbuntang melihat pakaian seragam yang pernah dilihatnya dulu. Nampaknya ada operasi di kawasan itu. Seketika kemudian, kedengaran suara seseorang yang cukup dikenalinya mengarahkan senjata diletakkan. Suasana senyap seketika. Belum sempat dia mengatur langkah, kedengaran bunyi tembakan dilepaskan ke arah luar. Dia cepat-cepat sembunyikan diri.
MANAKALA di depan bangunan itu, Ana Dahlia sedang melepaskan tembakan ke arah bangunan bila tembakan yang dilepaskan oleh salah seorang sindiket itu terkena salah seorang pegawai polis yang cuba keluar dari tempat persembunyian. Pantas saja Ana Dahlia membalas tembakan itu dan tepat mengenai dada lelaki yang bertopeng itu. Tembak menembak semakin rancak.
Detektif Jailani pula berguling dari tiang tempat persembunyiannya dan meluru ke arah satu susuk tubuh yang dilihatnya tadi cuba melarikan diri. Satu das tembakan tepat mengenai paha lelaki itu. Lelaki bertopeng itu dilihat sudah rebah berlumuran darah.
Ana Dahlia turut mengikuti Detektif Jailani ke arah kiri. Kini ketua kumpulan Sayap Hitam itu dilihat sudah dikepung. Arahan untuk menyerah diri sudah diberitahu oleh Detektif Jailani. Lelaki itu dilihat masih berdegil dan dia cuba menembak Detektif Jailani yang mula menoleh ke arah kanan bila terasa ada satu susuk tubuh bergerak di situ. Satu das tembakan dilepaskan.
Ana Dahlia cepat-cepat menghadang Detektif Jailani. Dia membidik tepat ke dahi ketua sindiket itu. Satu das tembakan tepat mengenai dahi lelaki itu. Tubuh lelaki itu sudah terkulai rebah ke lantai. Namun pada masa sama, ledakan peluru juga sudah dilepaskan ke arahnya.
"Ana..Ana!!" Detektif Jailani pantas mendekati Ana Dahlia yang turut rebah. Darah bersembur keluar dari mulut Ana Dahlia.
"Tuan! Kita ada mangsa tembakan lain, dia bukan ahli sindiket!" Seorang anggota polis berlari ke arah Detektif Jailani memberitahu seoang lelaki telah ditembak. Lelaki itu dilihat hanya memakai pakaian biasa, bukan seperti ahli sindiket itu yang bertopeng semuanya.
Detektif Jailani menyuruh pegawainya menjaga Ana Dahlia sementara dia melihat siapa lelaki yang dimaksudkan oleh pegawainya tadi. Laju saja dia berlari ke arah kanan bangunan.
"Ku...Kudin" Terduduk Detektif Jailani di sisi Kudin yang terbaring di dalam lopak air dengan pahanya berlumuran darah. Dia pasti tembakannya tadi mengenai paha Kudin.
Segera dia menyuruh anggota polis yang lain membawa Kudin dan Ana Dahlia ke hospital dengan segera.
SUASANA cemas di hospital. Jai bersama dua orang anggota polis lain sudah berada di bahagian kecemasan. Kudin dan Ana Dahlia sudah disorong masuk ke dalam bilik pembedahan. Dia mundar mandir di luar bilik itu. Tadi, sebaik tiba di hospital, dia segera menghubungi keluarga Kudin dan juga keluarga Ana Dahlia. Kudin hanya cedera di paha tetapi darah banyak mengalir menyebabkan Kudin pengsan. Ana Dahlia pula sudah cedera di bahagian dada. Darah pekat mengalir dan darah juga turut keluar dari mulut gadis itu. Jai sudah kusut masai rambutnya.
Sesekali dia melihat jam. Sudah hampir sejam Kudin dan Ana Dahlia berada di dalam bilik bedah.
"Tuan, saya dah hubungi Detektif Razif dan sudah maklumkan hal ini." Seorang anggota polis yang turut sama dalam operasi itu mendekati Detektif Jailani yang masih mundar mandir di situ.
"Bagus! Terima kasih!" Jai senyum hambar. Dia kemudian duduk di kerusi. Jiwanya sudah kusut, serabut!
Lama Jai menekup muka. Satu persatu kejadian tadi bermain di benaknya semula. Kejadian berbalas tembak tadi sungguh cepat. Dia pula tidak perasan susuk tubuh yang bergerak dari arah kanan tadi adalah tidak bertopeng. Terus saja dia melepaskan tembakan dan pada masa sama, dia tidak sedar, ketua sindiket itu cuba menembaknya dan dihadang oleh Ana Dahlia. Ana Dahlia yang cekap menembak itu sudah menembak dahi ketua sindiket itu tetapi rupanya peluru yang dilepaskan oleh ketua sindiket itu mengenai tubuh Ana Dahlia. Dia baru menyedarinya bila melihat Ana Dahlia rebah sekali dengan ketua sindiket itu.
"Ya Allah...kalau apa-apa jadi pada Ana, aku tak akan maafkan diri aku sendiri.." Jai meraup muka. Air matanya mengalir ke pipi.
Ketika ini, Kudin pula bermain di benaknya. "Kudin...maafkan aku..aku tak sengaja tembak kau tadi.."
"Detektif Jailani! Macam mana dengan Ana Dahlia" Detektif Razif bergegas ke tempat Jai yang sudah terduduk di situ.
"Oh tuan!" Pantas Detektif Jailani berdiri dan memberi tabik hormat.
"Tak payah..Ana Dahlia macam mana" Sekali lagi Detektif Razif bertanya.
"Masih dalam bilik pembedahan. Darah banyak keluar.." Jai berkata sugul. Dia cuba sorokkan air matanya dari dilihat Detektif Razif.
"Oh...teruk ke" Tanya Detektif Razif lagi. Dia tahu, dari riak Detektif Jailani tadi, dia dapat merasakan Ana Dahlia cedera parah.
"Ya...tembakan tu terkena dadanya.." Jai meraup muka sekali lagi.
"Dan...saya juga salah tembak...ada orang awam di situ.." Jai menambah. Wajah Kudin bermain di ruang matanya.
"Siapa" Detektif Razif terkejut.
"Kudin...kawan saya sendiri.."
"Kudin Abang Kuyah" Riak Detektif Razif sudah lain.
Jai mengangguk perlahan. Dia masih tunduk. Tidak berani dia menatap wajah Detektif Razif. Dia telah melakukan kesilapan ketika operasi. Sepatutnya dia memerhati dulu sebelum menembak.
"Ya Allah...habis tu, dia cedera teruk jugak ke"
"Tak..dia hanya cedera di paha saja.." Terang Jai dengan nada sugul.
PUAN KARINA dan yang lain bergegas ke hospital setelah menerima panggilan dari pejabat polis. Dia meluru ke arah Jai yang kelihatan tunduk di situ bersama Razif. Kuyah pula sudah mendekati Jai dan Razif.
"Mana abang Kudin" Kuyah terus bertanya pada Jai. Bahu Jai digoncang kuat. Air matanya sudah mengalir laju.
"Dia...dia masih dalam bilik bedah.." Jai menoleh ke arah Kuyah. Matanya beralih pula pada Kusha, Puan Karina dan Nek Tom.
"Apa yang sudah berlaku Ma...macam mana boleh jadi macam ni" Bertubi-tubi Puan Karina bertanya.
"Puan...sabar puan. Kudin hanya cedera di paha dan dia masih dirawat di dalam bilik pembedahan. Doktor sedang berusaha membuang peluru dari pahanya." Razif cuba menenangkan Puan Karina yang sudah menangis di sebelah Kusha.
"Oh...Kudin..cucu aku.." Nek Tom sudah pengsan.
Kuyah dan Kusha segera mengangkat Nek Tom dan dibantu oleh jururawat di situ.
Razif pandang Kuyah yang masih menangis di bahu Puan Karina. Dia juga tidak menyangka perkara itu akan berlaku. Suasana hiba mula menyelubungi mereka di situ. Keluarga Ana Dahlia juga sudah mula sampai di situ. Jai cuba mententeramkan mak Ana Dahlia yang sudah meraung-raung.
"Makcik..sabar makcik..doakan Ana selamat.." Jai mula rasa bersalah. Ana Dahlia sudah pertaruhkan nyawanya dalam operasi itu tadi.
"Makcik dah pesan lama dah. Jangan jadi polis! Degil! Sekarang ni, tengok! Apa dah jadi" Mak Ana Dahlia sudah membebel sambil menangis. Ana Dahlia adalah satu-satunya anak perempuan yang ada selain anak lelaki dua orang lagi, adik Ana Dahlia yang masih bersekolah.
"Makcik...sabarlah..Ana tak apa-apa.." Jai turut sebak. Air mata yang ditahan jatuh juga ke pipi.
Lama mereka berkumpul di situ. Hampir tiga jam Ana Dahlia dan Kudin berada di dalam bilik bedah. Razif pandang Kuyah yang sudah tersengguk-sengguk di kerusi. Ingin saja dia tadah bahunya untuk gadis itu tidur. Kusha pula sudah terlentuk kepalanya di bahu Puan Karina. Nek Tom masih belum sedar dari pengsan. Mak Ana Dahlia pula dilihat masih menangis.
"Doktor!" Razif segera bangun bila melihat seorang doktor sudah mula keluar dari bilik bedah.
"Macam mana Kudin dan Ana Dahlia doktor" Jai pula mendekati doktor tadi.
Belum sempat doktor itu menjawab, Kudin sudah dibawa keluar dari bilik bedah dan disorong masuk ke bahagian wad.
"Mana Ana Dahlia" Jai sudah panik. Kudin sudah selamat dibedah.
Doktor itu hanya diam. Kemudian dia berkata perlahan pada Jai. "Doakan yang terbaik..kami sedang berusaha menyelamatkan nyawanya.."
Terduduk Jai di situ, terjelepuk di atas lantai. Mak Ana Dahlia pula sudah meraung kuat menangis. Razif juga turut terkelu. Kuyah, Kusha dan Puan Karina juga turut sebak dan tergamam mendengar penjelasan doktor tadi.